Jarak yang hampir dengan bumi ini akan menjadikan planet Marikh kelihatan bersinar terang dengan amat hebat sekali pada malam ini, iaitu lebih terang dari mana-mana bintang yang ada di langit. Sudah tentunya warna kemerahannya pasti akan lebih jelas kelihatan yang sememangnya merupakan warna asli permukaan planet Marikh iaitu warna besi karat (ferum teroksida).
Bintang Sirius di buruj Canis Major yang memegang takhta bintang paling terang di langit dengan magnitud -1.42 nampaknya dengan mudah dikalahkan oleh kecerahan sinaran Marikh untuk beberapa minggu kebelakangan ini. Malam ini, cuba anda bandingkan kecerahan bintang Sirius di buruj canis major dan Marikh yang akan berada agak hampir dengan satu sama lain yang dipisahkan oleh buruj Belantik (Orion) di tengah.
Bulan Disember dan Januari pastinya akan menjadi bulan planet Marikh menjadi tumpuan cerapan teleskop. Bulan-bulan seterusnya planet Zuhal pula akan mula menjadi tumpuan pencerapan dengan kedudukannya yang makin meninggi pada awal malam.
Bagi anda yang mempunyai teleskop ataupun binokular, jangan lepaskan peluang untuk memanfaatkan peristiwa ini untuk melihat keindahan planet Marikh dengan lebih baik. Bagi yang mempunyai kemahiran dalam astrofotografi, pastinya malam ini menjadi malam yang tidak sepatutnya dilepaskan untuk menghasilkan gambar astrofoto yang baik. Bagi yang tiada kelengkapan seperti binokular ataupun teleskop, apa kata anda keluar sahaja malam ini untuk mencari si 'bintang merah' ini dengan cara memandang ke arah langit timur pada awal malam dan di atas kepala pada tengah malam serta di langit barat pada awal pagi. Planet Marikh akan kelihatan sebagai bintang yang paling terang di langit dengan warnanya yang sedikit kemerah-merahan.
Selamat mencerap ;) Saya menunggu berita dari anda di shoutbox di sebelah :)