Panduan Memasang Teleskop

Memasang teleskop adalah sangat mudah. Artikel ini menerangkan bagaimana memasang teleskop jenis pantulan pada mount ekuitorial

Al Quran dan Teori Big Bang

Surah Al Anbiyak ayat 30 mengatakan bahawa alam terhasil dari satu titik yang padu lalu dipisahkan menjadi alam yang sedia ada sekarang ini. Kaitannya dengan teori Big Bang diulas di artikel ini.

Mengenali Planet Kerdil

Apakah itu planet kerdil? Apakah beza planet kerdil dengan planet biasa? Artikel ini mengupas isu tersebut

Kalendar Astronomi 2012

Kalendar ini memuatkan senarai fenomena astronomi yang bakal berlaku pada tahun 2012. Jangan biarkan diri anda terlepas fenomena astronomi yang menarik dan jarang berlaku

Meneroka langit menggunakan binokular

Jangan pandang rendah kepada binokular kerana peralatan ini membolehkan anda melihat bintang, planet, gugusan bintang malah galaksi!

Memaparkan catatan dengan label Astrofotografi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Astrofotografi. Papar semua catatan

Ahad, 15 Julai 2012

Jula Juli bintang 7, Musytari, Zuhrah dan Al Debaran

Assalamualaikum dan hai..



Gambar ini menunjukkan permandangan langit timur pada waktu pagi beberapa hari lepas. Kelihatan Kelompokan Bintang Pleaides, planet Musytari, planet Zuhrah dan bintang Aldebaran berada dalam kedudukan garis lurus. 


Jika anda perhatikan dengan teliti, kelihatan planet Zuhrah adalah yang paling terang, diikuti oleh planet Musytari dan bintang Al-Debaran. 



Kelompokan bintang Pleaides juga turut dipanggil sebagai jula juli bintang 7

menarik bukan?


013-2180412

Isnin, 12 April 2010

Astrofoto bulan pada usia 27 hari

Salam...

Ini gambar bulan berusia 27 hari yang saya sempat tangkap semalam lebih kurang awal pukul 6. Gambar kali ni terdiri dari satu dedahan sahaja iaitu 0.04 saat.



Pada hari esok, bulan akan berusia 28 hari dan menjadi semakin nipis. Kedudukannya akan menjadi rendah di ufuk pada awal pagi menyebabkan sedikit sukar untuk mengambil gambarnya. Kita tunggu dan lihat ok ;)


Jom ambil gambar!

013-2180412
ibnu_ali_87[@]yahoo.com



Ahad, 11 April 2010

Astrofoto bulan pada usia 26 hari

Assalamualaikum & hai..




Ni gambar bulan yang berusia 26 hari. Saya ingat nak ambil bulan usia 24, 25, 26 dan seterusnya. Tapi semalam tiba2 dapat berita nenek sedara meninggal pulak. Jadi terpaksa skip satu hari. 

Takpa2, kena tunggu hari 26 yang seterusnya..hehe






Jumaat, 9 April 2010

Bulan sudah tua

Assalamualaikum & hai...

Semalam saya sempat bermalam di rumah Dr Mahamarowi Omar untuk sesi astrofotografi. Namun keadaan langit yang kurang baik menyebabkan saya sempat mengambil gambar bulan sahaja sekitar jam 4.30 pagi.



Gambar berikut adalah hasil gabungan dua gambar yang berlainan dedahan. Tujuaannya ialah untuk mengelakkan bahagian gambar menjadi kurang dedahan (underexposure).

Untuk gambar ini, saya rasa lebih elok jika digabungkan 3 keping gambar kerana bahagian bawah bulan masih lagi terlebih dedahan.

Ada komen dari sifu2?

Salam hormat,
(MOHD RIZUAN B. ALI)
ibnu_ali_87@yahoo.com
013-2180412



Sabtu, 20 Februari 2010

Astrofoto Asteroid 4 Vesta

Assalamualaikum & hai...

Pada 13 hingga  19 Februari yang lalu, saya telah berada di Kota Bharu bersempena cuti Tahun Baru Cina. Cuti kali ini sebenarnya memang saya nantikan memandangkan asteroid 4 Vesta dijangka akan menjadi cukup terang sehingga mampu dilihat oleh mata kasar pada malam 17/18 haribulan. Untuk melihatnya memerlukan keadaan langit yang gelap dari pencemaran cahaya.  Di Shah Alam sudah semestinya asteroid ini tidak akan kelihatan dengan mata kasar, kecuali dilihat menggunakan binokular.

Langit malam di Kota Bharu bermula 13 hingga 16 haribulan amatlah bersih dari awan. Keadaan waktu siangnya pula amatlah panas sehinggakan saya dah kena sunburn kerana asyik ulang alik dari USM ke rumah menggunakan motorsikal untuk urusan medical checkup. Buka aje jam tangan terus boleh tengok belang2 macam harimau.hehe.

Kelihatan pada rajah ialah asteroid 4 Vesta yang berada berhampiran bintang Algieba. Turut dalam rajah ialah planet Marikh dan objek Messier 44 (M44, Beehive cluster)
Klik rajah untuk imej besar.

Keadaan langit yang biru pada siang hari berkemungkinan besar menjanjikan langit yang bagus untuk pencerapan pada malam harinya. Namun malangnya pada 17 hingga ke 19hb, langit mula menjadi mendung diselang selikan hujan yang turun sekali sekala. Maka terbantutlah usaha saya untuk mencuba ambil gambar asteroid 4 Vesta pada malam 17/18hb.

Nasib baik pada malam 15hb, saya ada cuba mengambil gambar buruj Leo yang baru sahaja naik dari ufuk timur. Bertempat di sebelah rumah, saya menggunakan kamera DSLR EOS 1000D saya dengan tetapan ISO800 untuk kepekaan kamera terhadap cahaya secukupnya, bukaan lensa sehabis luas iaitu f3.5dan shutter speed pada 15 saat. Kamera diletakkan di atas tripod untuk mengelakkan gegaran.

Dengan membandingkan titik bintang pada gambar di buruj Leo dengan perisian Stellarium & Starry Night, barulah saya sedar bahawa titik cahaya di sebelah bintang Algieba & 40 Leo itu adalah milik asteroid 4 Vesta.

Alhamdulillah.

Macam mana dengan anda?


Jom mencerap!
Mohd Rizuan B. Ali,
ibnu_ali_87@yahoo.com
013-2180412



Jumaat, 8 Januari 2010

Laporan Cerapan Gerhana Bulan Separa Jan 2010

Assalamualaikum & hai...

Bagaimana keadaan anda semua di tahun baru? Harap ianya adalah permulaan yang hebat bagi anda. Dalam perspektif astronomi tempatan pula, tahun ini juga begitu hebat dengan dimulakan dengan peristiwa gerhana bulan separa yang baru sahaja berlaku. Seronok saya melihat pelbagai respon dan pertanyaan rakan2 yang berminat untuk melihat sendiri peristiwa ini.

Sejarah juga telah berlaku bagi blog Astromas apabila mencatat pengunjung tertinggi iaitu lebih 600 orang melawat blog ini pada hari gerhana. Terkejut juga saya dibuatnya.hehe. Kebiasaanya pelawat hanya mencapai 40-50 orang pada hari biasa dan mencecah sehingga 200 lebih apabila ada astronomi yang akan berlaku. Nampaknya makin ramai yang semakin peka terhadap peristiwa alam yang menggambarkan kekuasaan Tuhan yang Maha Esa. Satu perkembangan yang baik ni...

Namun pada hari gerhana, saya dikhabarkan ramai peminat2 astronomi kita telah terlepas untuk mencerap gerhana bulan ekoran keadaan langit yang berawan. Sesetengah tempat pula, hujan berlaku dengan sangat lebat ketika waktu gerhana. Di Shah Alam, keadaan langit berawan sambil memperlihatkan wajah bulan secara sekejap2. Bagi yang terlepas melihat gerhana bulan, pastikan anda tidak lagi terlepas untuk melihat gerhana matahari separa yang akan berlaku pada 15hb ini pula. Namun gerhana matahari tidak semudah seperti gerhana bulan untuk dicerap. Terdapat beberapa teknik dan tips yang anda perlu ikuti memandangkan ianya boleh merosakkan mata anda jika tidak dicerap dengan betul.

Namun artikel ini bukan bertujuan untuk menceritakan perincian gerhana matahari yang akan berlaku nanti. Itu akan saya ceritakan dalam artikel seterusnya. Apa kata kita lihat beberapa gambar hasil cerapan rakan2 kita diseluruh Malaysia. Kredit imej adalah dinyatakan di bawahnya.


Kredit Imej :
Sir William



Kredit imej :
Yati Agensi Angkasa Negara (ANGKASA)



Kredit Imej :
Kayzack dari Balai Cerap Negara Langkawi



Kredit imej : Sir Mart



Semuanya indah2 belaka kan?

Salam hormat.

ASTROMAS,
Astronomi Untuk Semua
ibnu_ali_87@yahoo.com
013-2180412



Jumaat, 20 Mac 2009

Messier 42 dan Messier 45 pada malam 18/03/09

Saya masih ingat lagi malam tu langit sungguh cerah sekali dan buruj-buruj yang terang dapat juga saya dilihat. Jadi, saya terfikir nak ambil gambar Messier 42 yang berada dalam buruj Pemburu yang terkenal(Orion).

Awal lagi sebelum matahari hilang di depan mata saya, alat-alat pencerapan saya sudah pun sedia untuk beroperasi. Langit semakin gelap, jadi bintang-bintang terang sekali sudah pun boleh dilihat dengan jelas sekali dengan mata kasar. Messier 42 iaitu The Great Orion Nebula juga dapat dilihat. Jadi saya membuat keputusan untuk mengambil gambar nebula yang terkenal ini.

Inilah gambar yang saya dapat melalui teknik Prime Focus dalam astrofotografi. Masa exposurenya adalah seperti berikut:

30 saat ( 8 Light Frames + 2 Dark Frames)
10 saat ( 4 Light Frames + 1 Dark Frame)
8 saat ( 4 Light Frames + 1 Dark Frames)















Dengan melalui teknik pemprossesan imej yang sesuai, imej akan menjadi lebih sesuai untuk dilihat dan dipamerkan.

Selepas mengambil Messier 42, saya pun mengambil peluang ini untuk cuba mengambil gambar Messier 45 iaitu salah satu Open Cluster yang terkenal sekali.

















Memang senang sekali nak melihat kedua-dua Deep sky objek ini dengan mata kasar. Cubalah malam ini ataupun lain kali jikalau cuaca bagus sekali.

Clear skies,

Tommy





Rabu, 25 Februari 2009

Astrofoto Hasil Dari Kedudukan Perigee Komet Lulin

Komet Lulin dengan 2 ekor
Credit & Copyright: Richard Richins (NMSU)



Perjalanan komet Lulin untuk mengelilingi matahari telah mencapai jarak paling dekat dengan bumi (perigee) pada malam semalam. Ini membolehkan kita untuk melihat komet Lulin yang akan kelihatan agak terang selama dua tiga hari ini. Ianya kini sedang berada pada kedudukan 180 darjah dari matahari yang membolehkannya dilihat hampir sepanjang malam. Komet Lulin akan kelihatan bergerak mengubah kedudukannya sekitar jarak sepuluh bulan penuh di langit untuk satu malam.

Walaupun hari ini saya mempunyai ujian akhir penyakit endocrine, tetapi saya masih lagi sempat keluar mengintai langit pada malam semalam untuk melihat komet Lulin. Menerusi binokular, Lulin kelihatan seperti bintang yang sedikit kembang berada di atas kanan planet Zuhal ketika itu.

Astrofoto di atas telah diambil oleh seorang pencerap dari New Mexico, USA. Foto ini menunjukkan koma (pusat) komet yang berwarna kehijauan, iaitu menunjukkan kehadiran cyanogen yang bersinar dan molekul2 gas karbon. Kelihatan ekor debu yang sedikit kekuningan kerana membalikkan cahaya matahari berada pada bahagian kiri koma manakala ekor gas terion kelihatan sedikit kebiruan berada di kanan koma.

 Komet Lulin, diambil oleh Dr. Mahamarowi Omar dari balai cerap di loteng rumahnya.

Saya diberitahu dari Falak-Online bahawa Dr. Rowi dan Abe Jih telah berjaya merakam foto komet Lulin dari rumahnya di Jalan Bayam, Kota Bharu Kelantan. Ruginya saya tak berada di Kelantan pada waktu ini.

Emm...Bila pula saya boleh ambil gambar macam Dr Rowi ni? hehe..


Salam hormat dari saya,
ASTROMAS,
Astronomi Untuk Semua
ibnu_ali_87@yahoo.com



Selasa, 10 Februari 2009

Catatan Pencerapan Gerhana Bulan Penumbra 9 Feb 09

Assalamualaikum & Hai....

Cantik betul gambar dari Kamayok seperti di bawah ini. Nampaknya banyak perkara saya perlu belajar dari Kamayok mengenai astrofotografi.hehe.. Boleh kan Kamayok? ;;)

Alhamdulillah cuaca di Shah Alam ketika gerhana sedang berlaku  adalah sangat baik. Ini membolehkan saya melihat gerhana bermula dari awal gerhana sehinggalah ke akhir gerhana. 

Seperti yang dijangka, gerhana bulan penumbra ini kelihatan seperti 'malu2 kucing' untuk menunjukkan bayang bumi yang ada di permukaan bulan tersebut. Disebabkan hal ini, ramai yang bertanya dengan saya adakah gerhana tak berlaku pada malam tersebut.hehe

Gerhana bulan penumbra, seperti namanya merujuk kepada peristiwa bayang separa gelap bumi (bayang penumbra) jatuh ke permukaan bulan ketika bulan sedang bersinar penuh. Peristiwa ini hanya boleh terjadi pada 15haribulan kalendar Islam atau mana2 kalendar yang menggunakan bulan sebagai penentu tempoh sebulan.



Disebabkan ketika gerhana kali ini berlaku, bulan hanya melintasi bayang separa gelap (penumbra), tetapi tidak pada bayang gelap (umbra), maka bayang pada permukaan bulan adalah tidak begitu ketara. Sekali imbas anda akan lihat warna bulan tak ubah seperti warna biasa bulan penuh. Tetapi jika anda perhatikan dengan teliti, sebahagian dari wajah bulan adalah sedikit malap dari bahagian yang bertentangan.

Perbezaan warna pada permukaan bulan lebih senang ditangkap oleh kamera berbanding mata kasar. Semalam saya sempat bereksperimen menggunakan kamera 3.2megapiksel pada handset Sony Ericsson K810i saya, binokular dan sebuah teleskop kecil.

Klik gambar untuk rajah lebih besar.

Gerhana bulan penumbra sedang menyinari dada langit Shah Alam
Gambar diambil menggunakan kamera handset diletakkan di hadapan binokular berkuasa 10x50. Perhatikan warna bulan yang agak malap pada satu bahagian.
Gambar ini diambil dengan cara meletakkan kamera handset di hadapan kanta mata teleskop kecil saya.
Perubahan warna gelap pada bulan dapat dilihat berubah berdasarkan masa.

Anda ada mengambil gambar gerhana bulan semalam? Kirimkan kepada saya dan saya akan kongsikan dengan pelayar weblog Astromas.

Salam hormat dari saya,
ASTROMAS
Astronomi Untuk Semua,
ibnu_ali_87@yahoo.com



Foto Gerhana Bulan Penumbra.

Kepada semua pelayar weblog Astromas,

Semalam sungguh bernasib baik kerana saya dapat mengambil foto bagi Gerhana Bulan Penumbra yang menarik pada tahun ini. Bulan penuh semalam juga yang terbesar sekali pada tahun ini. Saya dapat rasakan sebab bulan penuh semalam nampaknya besar sekali dalam viewfinder kamera saya. Jadi, saya ingin mengkongsikan gambar saya dengan pelayar weblog Astromas.











Selasa, 3 Februari 2009

Koleksi Astrofoto Bulan

Apa khabar pelayar weblog Astromas,

Ini adalah  kali kedua saya menulis untuk kategori astrofotografi. Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua gambar-gambar bulan yang saya dapat rakamkan sepanjang tahun lalu. 

Saya adalah agak baru dalam bidang astrofotografi. Saya berharap sesiapa sahaja boleh memberi komen akan gambar-gambar saya. Terima kasih.


























.

Astrofoto Gerhana Matahari Separa 26 Jan 09

Apa khabar semua, gambar ni saya ambil semasa saya sedang berehat di Janda Baik, Pahang. Masa itu saya fikir tidak akan dapat melihat fenomena yang istimewa ini kerana awan tebal. Jadi, saya bersabar dan menunggu ketibaan gerhana matahari separa kali ini.

Pada pukul 5+pm, matahari berbentuk bulan sabit mula muncul dari belakang awan tebal. Inilah masa keemasan yang saya sedang menunggu. Jadi saya mula menyediakan kamera digital SLR dan memulakan sesi pengambaran.

Inilah gambar yang saya ingin kongsikan dengan rakan-rakan kita.


Info:
Pentax K100D Super + 50-200mm@160mm + ND4 filter + ND8 filter
ISO: 200
Shutter: 1/800
Aperture: f/8
Lokasi: Janda Baik, Pahang.

Jumaat, 4 Julai 2008

Astrofotografi Menggunakan Digicam


Rajah 1
Kamera digital biasa juga boleh digunakan untuk astrofotografi

Hari ini adalah hari ke-enam saya berpindah ke rumah baru di apartment Brunsfield Riverview bertempat di Seksyen 13, Shah Alam. Rumah saya kini berbeza dengan rumah lama kerana dahulunya saya tinggal di rumah teres 2 tingkat. Rumah ini pula merupakan apartment 14 tingkat dan saya tinggal di tingkat ke-11. Fuh..gayat juga dibuatnya. Namun yang baiknya ialah balkoni rumah saya menghadap ke arah timur. Maka ini akan membolehkan saya melihat planet, matahari dan bulan naik dari ufuk! :D Namun arah timur di Shah Alam merupakan di mana bandaraya Kuala Lumpur terletak. Maka saya akan terpaksa 'berdepan' dengan cahaya Kuala Lumpur yang teruk mencemarkan langit di sini.

Saya pulang dari makan malam sekitar jam 9.30 malam. Melangkah saja ke dalam rumah, mata saya terus tertarik untuk melihat satu titik cahaya terang yang tergantung di langit timur. 'Oh..si gergasi Musytari dah naik...' kata hati saya. Terus saja saya mencapai teleskop yang berada di balkoni. Terlintas difikiran saya untuk mengambil gambar teleskop saya sedang 'beraksi' menghadap sang Musytari.

Peralatan yang saya gunakan ialah kamera Digital Olympus FE-270 yang merupakan milik rakan sebilik saya. Kamera berharga sekitar RM600 dan mempunyai sensor sensitif sehingga 7.1 mega piksel. Untuk menghilangkan gegaran tangan, maka kamera tersebut saya lekatkan pada tripod. Teleskop saya arahkan ke arah Musytari yang kelihatan seperti 'raja bintang' pada malam itu dek kerana kecerahannya yang jauh menerangi bintang lain.
Nah, sedia untuk bermula.
Light, camera & action!

Klik!
Gambar pertama saya ambil. Namun hasilnya agak gelap. Saya cuba mencari di menu kamera tersebut untuk meninggikan masa dedahan tapi tidak berjumpa. Ah..apa kata guna sahaja mod malam.

Klik!



Wah..hasilnya boleh tahan juga. Kelihatan teleskop saya sedang mengintai sang Musytari pada skrin kamera tersebut. Saya berpendapat bahawa ketika penggunaan mod malam, kamera akan memancarkan denyar (flash) dahulu kemudian membiarkan shutter terbuka untuk beberapa saat, baharulah shutter kembali tertutup. Denyar dari kamera telah membolehkan teleskop saya kelihatan dengan jelas manakala dedahan yang sedikit panjang membolehkan titik Musytari berjaya dikesan pada sensor kamera. Apa lagi, saya terus mengklik dalam sudut yang berbeza untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

Setelah mendapat gambar yang agak memuaskan, terus sahaja saya mencari sudut dengan permandangan yang lain memandangkan Musyatari sebentar lagi akan hilang kerana dilindung bumbung apartment saya.

Klik! Klik! Klik!
Berikut adalah hasil astrofotografi saya malam itu.

Kelihatan Musytari lebih gah bersinar berbanding bintang lain

Artikel oleh Astromas

Sabtu, 5 April 2008

Astrofotografi bersama Dr Rowi


Balai cerap Dr Rowi dilengkapi teleskop Takahashi Mewlon 10 inci sebagai teleskop utama dan teleskop William Optic 80 mm dan teleskop Pentax 75 mm sebagai teleskop sampingan. Kamera yang digunakan ialah dua kamera CCD dan DSLR EOS20Da

Pertemuan di Jabatan Anestetik dan Unit Rawatan Rapi, HUSM.

Dr. Mahamarowi merupakan seorang tokoh astronomi di negeri Kelantan. Beliau merupakan seorang pakar Anestetik dan bertugas sebagai ketua Jabatan Anastetik dan ICU di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. Sebelum ini saya ada mendengar akan penglibatan beliau dalam melakukan aktiviti astronomi di Kelantan namun saya sendiri tidak berkesempatan untuk bertemu dan melakukan aktiviti secara serius dengan beliau. Seingat saya, kali pertama dan terakhir saya berjumpa dan mendengar ceramah yang disampaikan oleh beliau adalah ketika saya di tingkatan empat (2003) ketika bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Panji, Kota Bharu.

Sempena cuti semester yang lepas, saya telah mengambil kesempatan untuk mengunjungi beliau di Jabatan Anastetik HUSM. Saya sendiri amat teruja untuk bertemu beliau memandangkan terdapat beberapa perkara berkaitan astronomi ingin dibincangkan. Antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai rancangan untuk melakukan aktiviti astronomi di Kelantan dan juga penglibatan dalam persatuan astronomi Malaysia yang sedang dalam perancangan untuk ditubuhkan.

Sesi Cerapan dan Astrofotografi, 4 April 2008


Bahagian loteng rumah Dr Rowi diubah suai menjadi balai cerap.
Memang sesuai untuk melakukan pencerapan ketika lapang.

Setelah perancangan diatur, pada 4 haribulan April yg lepas, saya telah berpeluang untuk melakukan satu sesi pencerapan dan astrofotografi bersama Dr Rowi. Pencerapan tersebut diadakan di rumah beliau sendiri di mana beliau membina balai cerap di atas loteng rumahnya. Saya tiba di rumah beliau sekitar jam 9 malam. Tidak disangka bahawa rumah beliau rupa-rupanya terletak tidak berapa jauh dari rumah lama saya di Jalan Guchil-Bayam di Kota Bharu. Sampai sahaja saya di rumah beliau, kami terus menuju ke loteng di mana balai cerap tersebut berada.

Balai cerap beliau dilengkapi oleh teleskop utama jenis pembalikan berjenama Takahashi berdiameter 10 inci dengan dua teleskop sokongan, satu buatan Pentax dan satu dari William Optic USA. Inilah kali pertama saya melihat teleskop Takahashi sebesar ini! Motor yang menggerakkan teleskop tersebut juga berjenama Takahashi yang sememangnya disegani dalam dunia astrofotografi. Fuh.....hebat-hebat

Bahagian bumbung balai cerap yang boleh digelongsorkan untuk
membuka-tutup


Aktiviti cerapan kami mulai dengan aktiviti melakukan aligment. Meng aligment-kan teleskop adalah sangat penting untk memastikan teleskop berada pada kedudukan dan posisi yang tepat agar apabila sesuatu objek di pilih, teleskop akan berjaya menjejakinya dengan tepat. Kebiasaanya aligment dilakukan dengan menggunakan bintang utara (Polaris). Namun ini tidak boleh dilakukan oleh kerana terdapat lindungan pokok di ufuk utara. Maka, proses alignmentasi terpaksa dilakukan dengan memilih dua bintang yang berbeza yang mana teleskop diberitahu apakah bintang tersebut. Dengan ini, perisian yang dibekalkan bersama teleskop akan mengira perbezan jarak dan kedudukan dua bintang tersebut dan seterusnya mengetahui teleskop sedang diarahkan ke arah mana.

Setelah selesai proses aligment, teleskop perlu pula dilakukan proses kalibrasi (calibration). Proses kalibrasi bertujuan untuk memastikan motor yang menggerakkan teleskop bergerak dengan kuasa yang sepatutnya pada paksi ke atas, ke bawah, ke kiri dan ke kanan ketika sedang mengikuti pergerakan sesebuah objek cakerawala. Sebagai contohnya, jika sesuatu objek cerapan itu berada agak rendah di ufuk, maka sudah tentunya badan teleskop cenderung untuk turun ke bawah disebabkan oleh daya tarikan graviti. Oleh itu, mengkalibrasikan teleskop akan memastikan objek tersebut sentiasa berjaya dijejaki oleh teleskop dengan mudah.

Proses kalibrasi dilakukan dengan cara memilih satu bintang dan membiarkan teleskop menjejakinya buat seketika. Kemudian, hasil penjejakan teleskop akan dipamerkan pada graf yang membolehkan penilaian terhadap penentuan kuasa untuk teleskop bergerak di setiap paksi dilakukan. Ketika proses ini dilakukan, imej yang terhasil di CCD SBIG ST-237A yang bertindak sebagai guider dan disambungkan ke teleskop Takahashi Mewlon 10 inci dibandingkan dengan imej yang diperolehi dari kamera CCD SBIG ST-7 yang bertindak sebagai imager yang disambungkan pada teleskop Pentax 75mm. Kedua-dua imej bintang yang dipaparkan seharusnya berada di tengah skrin sepanjang proses kalibrasi dilakukan. Dua buah komputer digunakan iaitu sebuah laptop untuk kemudahan ketika pencerapan di luar balai cerap dan sebuah desktop yang kekal di dalam balai cerap.

Setelah graf kalibrasi menunjukkan hasil yang diinginkan, maka telah tiba saat-saat yang ditunggu-tunggu, iaitu proses mengambil gambar objek cakerawala. Masa yang mengujakan. Hehe.. Disebabkan buruk Belantik (Orion) sedang berada di atas kepala ketika itu, maka nebula Orion dipilih untuk diambil gambarnya.

Say cheese!

Teleskop diarahkan untuk mencari nebula Orion dengan menggunakan sebuah perisian seakan skymap yang amat mudah untuk dikendalikan. Perisian untuk pemprosesan imej pula dikendallikan oleh CCDOPS yang boleh dimuat turun dari laman http://www.sbig.com/sbwhtmls/ccdopsv5.html atau boleh terus klik di ftp://ftp.sbig.com/pub/instops.exe untuk muat turun secara terus.

Proses mengambil gambar kali ini agak berbeza dengan proses yang pernah saya ikuti sebelum ini dengan CK Lim ketika melakukan aktiviti astrofotografi di Balik Pulau, Pulau Pinang. Kali ini, bagi setiap imej, frame merah, biru, dan hijau diambil secara berasingan dengan setiap frame diberi dedahan selama 5 atau 10 minit mengikut kesuaian dan jika cuaca amat baik, maka dedahan lebih lama boleh digunakan. Kemudian, ketiga-tiga frame tersebut digabungkan menjadi satu imej yang lengkap. Maka, setiap imej yang dihasilkan boleh dikatakan didedahkan selama 15 minit dedahan (jika setiap frame adalah 5 minit). Proses yang sama dilakukan terhadap imej nebula Orion yang kami ambil. Namun malangnya pada frame terakhir iaitu frame hijau, awan telah meliputi nebula tersebut yang menyebabkan hasil akhir imej menjadi kelabu. Tetapi masalah ini dapat diatasi menggunakan perisian Adobe Photoshop. Nasib baik! Hehe

Imej nebula Orion, M42 sebelum dan selepas proses


Awan oh Awan....

Awan kelihatan terus menyelubungi langit di Kota Bharu. ‘Adui....mungkin rezeki saya hanya sampai di sini sahaja’ gerutu hati saya. Oleh kerana hujan rintik mula turun, maka balai cerap terpaksa diturunkan dengan menggelongsorkan atap untuk menutupi bahagian dalam balai cerap. Sambil-sambil menunggu langit kembali baik (harap-harapnya...), saya mengambil peluang untuk mengedit imej-imej yang diambil oleh Dr Rowi sebelum ini. Agak lama juga untuk masa dihabiskan dengan kerja memproses imej sementara menanti cuaca mengizinkan pencerapan dilakukan kembali. Sempat juga saya mempelajari teknik-teknik baru cara memprosesan imej dari tutorial yang disediakan dari Jerry Lordriguss, yang merupakan astrofotografer yang terkenal. Laman web beliau boleh anda layari di http://www.astropix.com/. Banyak imej-imej hasil kerja beliau yang menarik dan sentiasa mengkagumkan saya.

Sekitar jam 5 pagi, barulah keadaan langit menjadi baik semula malah lebih klear dari awal malam tadi! Bak kata orang putih crystal clear. Hehe... Saya terus mengejutkan Dr Rowi yang telah terlena di tepi saya dan beliau terus bingkas bangun. Wah, keadaan langit betul mengujakan kami!

Pada ketika ini, buruj Saggitarius sedang berada di ketinggian 45 darjah di langit timur. Sebagaimana yang kita tahu bahawa buruj Saggitarius terletak di pusat jaluran galaksi Bima Sakti. Namun cahaya dari bandar Kota Bharu telah menenggelamkan jaluran tersebut dari kelihatan dengan mata kasar. Kami membuat keputusan untuk merakamkan imej nebula Trifid. Dedahan selama 10 minit digunakan bagi setiap frame dan alhamdulillah keadaan langit sentiasa mengizinkan proses merakam imej tersebut yang berjalan dengan lancar. Berikut adalah imej yang dirakamkan secara serentak menggunakan kamera digital SLR EOS20Da yang dipasang pada kamera William Optic 80 mm. Emmm..Saya lupa dimana saya letakkan gambar nebula Trifid dari kamera CCD. Harap anda berpuas hati dengan imej dari kamera DSLR ini. Sebelum malam beransur siang, kami sempat mengambil satu lagi imej iaitu kelompokan globular Omega Centauri.

---------------------------------------

Peralatan

1) Mount Takahashi NJP
2) Telescope Mewlon 10 inch (Takahashi)
3) Telescope Refractor Pentax SDHF 75 mm
4) Telescope William Optic 80 mm
5) Kamera CCD SBIG ST-7 + Colour filter
6) Kamera CCD SBIG ST-237A (as Guider)
7) Camera Digital SLR Canon Eos 20Da

Pembelajaran

1) Alignment telescope
2) Calibration
3) Long Exposure dgn mggunakan telescope Mewlon dan ST-237a sbg auto guider
4) Long exposure diambil melalui teleskop Pentax dgn menggunakan ST-7 sbg imager
5) Long exposure diambil dgn menggunakan digital kamera Canon melalui teleskop William Optic



Imej yg di ambil malam itu;

Omega Centauri Globular Cluster

* 5 minutes exposure for each filter (R 5 minit, G 5 minit, B 5 minit)


Orion Nebula

* dedahan 5 minit setiap filter R5, G5, B5. Namun disebabkan objek dilindungi awan ketika filter blue sedang dalam proses pengimejan, imej akhir kelihatan kabur. Namun disebabkan oleh kecanggihan perisian Adobe Photoshop, imej tersebut berjaya dibaik pulih.


Nebula Trifid

*Klik untuk imej lebih besar


Imej Yang Diambil Sebelum Ini Oleh Dr Rowi

Lagoon Nebula



Eagle Nebula



Orion Nebula



Kumpulan Galaksi



Omega Centauri