Khamis, 5 Jun 2008

Asterisme Biduk


Rajah menunjukkan asterisme Biduk (senduk besar – Big Dipper). Asterisme biduk diketahui sebagai penunjuk arah ke bintang utara iaitu bintang Polaris di buruj Ursa Minor.

Bulan ini apa kata anda luangkan sedikit masa untuk mencari asterisme ini di langit utara. Asterisma ini dapat di lihat sepanjang bulan ini. Asterisme Biduk akan dapat dilihat bermula dari awal malam sehinggalah ke pukul 1 pagi.

Gelaran buruj Biduk yang biasa digunakan adalah tidak berapa tepat memandangkan Biduk berada di dalam buruj Beruang Besar (Ursa Major). Asterisme merupakan garisan-garisan bintang yang menggambarkan bentuk tertentu yang berada dalam sesuatu buruj. Manakala buruj kediaman asterisme itu sendiri mempunyai bentuk yang tersendiri. Antara contoh ialah asterisme mata kail dalam buruj Scorpio, asterisme teko air (tea pot) berada dalam buruj Sagittarius, huruf ‘W’ di buruj Cassiopeia dan lain-lain lagi.

Juga terdapat asterisme yang melambangkan kehadiran musim. Asterisme tersebut ialah

  1. asterisme Segi Empat Besar (musim luruh) di buruj Pegasus hasil gabungan bintang alpha, beta dan gamma Pegassi dan alpha Andromedae,
  2. asterisme Segi Tiga (musim panas) hasil dari bintang Deneb, Altair dan Vega iaitu hasil gabungan buruj Cygnus, Aquilae dan Lyra,
  3. asterisme Permata Virgo (musim bunga) hasil dari bintang Arcturus, Spica, Denebola dan Car Caroli (gabungan buruj Bootes, Spica, Leo dan Canes Venatici),
  4. asterisme Bulatan (musim sejuk) iaitu terbentuk dari bintang Sirius, Rigel, Aldebaran, Capella, Pollux dan Procyon dengan buruj Betelgeuse berada di tengah-tengah. Bintang-bintang ini adalah dari buruj Canes Major, Orion, Taurus, Auriga, Gemini dan Canis Minor.

Jika ada masa dan permintaan, saya akan terbitkan artikel lebih mendalam mengenai asterisme. Selamat mencerap ;)