Teknologi teleskop semakin lama semakin maju sejajar dengan perkembangan masa. Dahulu, kebanyakan teleskop adalah berbentuk manual di mana pencerap perlu mencari sendiri sesuatu objek astronomi dengan cara 'melompat' dari bintang ke bintang sehinggalah menjumpai objek yang ingin dicerap. Teknik ini dipanggil sebagai star hopping iaitu pencerap akan memulakan pencarian objek astronomi menggunakan bintang utama yang terang, kemudian bergerak ke bintang seterusnya dan sehinggalah objek yang ingin dicerap kelihatan di pandangan. Teknik ini memerlukan kefahaman akan medan sudut pandangan (field of view, FOV) dan juga bintang-bintang berkaitan yang ada dalam sesuatu buruj di mana objek yang dicari berada.
Namun saya percaya teknik ini kini semakin lama kurang dimahiri oleh para pencerap. Ini adalah disebabkan oleh kehadiran teleskop yang dilengkapi sistem goto dan yang terkini dengan sistem GPS pula. Teleskop dengan sistem goto memudahkan para pencerap mencari sesuatu objek. Selepas memasukkan koordinat latitud & longitud dan masa pada teleskop dan melakukan penjajaran (alignment), langkah seterusnya untuk mencari objek yang ingin dilihat ialah dengan menekan butang pada pad kawalan dan teleskop akan mencari objek tersebut untuk anda. Mudah bukan! Ini membolehkan kita meneroka dan menikmati ribuan objek astronomi seperti dihujung jari anda!
Bintang yang dilihat melalui teleskop kelihatan lebih banyak dari yang dilihat menggunakan mata kasar. Ini disebabkan oleh magnitud penghad (skala kecerahan bintang yang kelihatan) yang semakin melebar apabila menggunakan peralatan optik tersebut. Oleh itu kelihatan melalui kanta mata (eyepiece) ialah pandangan yang dipenuhi banyak bintang yang disebut sebagai field of stars. Maka ini memerlukan anda mempunyai buku panduan mengenai medan pandangan melalui teleskop atau binokular. Buku sebegini biasa ditulis sebagai field guide akan membantu anda mengenal pasti bintang apakah yang anda sedang lihat melalui kanta mata dan bintang manakah yang perlu 'dilompat' untuk tiba ke objek yang dikehendaki. Buku field guide boleh dibeli di kedai-kedai buku utama seperti Kinokuniya, Popular, MPH dan boleh didapati pada harga RM30 dan ke atas. Buku ini bukan sahaja berguna bagi pemilik teleskop, tetapi juga kepada anda yang menggunakan binokular untuk mencerap bintang. Saya pasti anda yang memiliki binokular sedang teruja untuk mendapatkan buku ini, bukan? (",)
Sebahagian bintang di buruj Sagittarius. Bintang-bintang yang banyak ini pasti mengelirukan ditambah lagi jika dilihat melalui binokular atau teleskop. Buku field guide pasti berguna untuk membantu anda ketika ini.
Jom kita ambil contoh mudah beberapa objek untuk dicari menggunakan kaedah ini. Pastikan di tangan anda ketika ini ialah peta bintang biasa (lebih baik lagi jika ada field guide), lampu suluh merah dan binokular. Kita akan bemula dengan buruj Sagittarius yang kelihatan seperti teko air. Bintang-bintang yang membentuk formasi teko air ini mempunyai nama-nama tertentu antaranya ialah Kaus Borealis, Kaus Meridinialis, Kaus Australis, Phi Saggitari, Nunki, Ascella, dan lain-lain. Rujuk rajah 2. Dengan menggunakan binokular, mari kita mulakan dengan melihat ke arah bintang Kaus Borealis. Jika anda menggerakkan arah pandangan ke kanan bawah, anda akan dapat lihat sebuah bintang yang terang berbanding bintang lain iaitu bintang Kaus Meridinialis.
Setelah anda berjaya kenal pasti dua bintang ini, seterusnya gerakkan binokular anda ke atas dengan sedikit ke kanan (kurang dari 45 darjah dari utara) dengan perlahan-lahan. Pada awalnya anda akan melihat pandangan bintang yang berselerak, tetapi kemudiannya anda akan bertemu dengan sekumpulan bintang yang sangat rapat dan mempunyai awan kabut di tengah-tengahnya. Tahniah! kerana anda sedang melihat nebula Lagoon (M8) menggunakan binokular! Seterusnya jika anda bergerak sedikit lagi ke atas, anda akan bertemu dengan kumpulan bintang yang rapat. Ini adalah nebula Trifid, M20 dan tidak jauh disebelah kiri-atasnya ialah kelompokan bintang terbuka M21. Emmm.....Menarik bukan?
Rajah 3 (klik untuk imej besar)
Buruj Sagittarius dan objek Mesier disekitarnya.
Buruj Sagittarius dan objek Mesier disekitarnya.
Artikel Oleh Astromas