Assalamualaikum dan hai...
Bulan November sedang berada dipertengahannya. Bulan ini mempunyai keistimewaannya yang agak banyak berbanding bulan2 yang lain dari segi astronomi. Salah satunya ialah kerana komet ISON sedang menjadi semakin terang dan akan terus menerang hingga ke bulan Disember 2013.
Komet ISON yang sangat2 dinantikan ini pada bulan Oktober yang lalu telah menjadi objek cerapan teleskop kecil. Kemudian pada awal bulan November ianya menjadi objek yang boleh dicerap menggunakan binokular. Seterusnya semakin ISON mendekati matahari ianya menjadi objek cerapan mata kasar pada minggu ke dua bulan November. Setakat artikel ini ditulis komet ISON sedang bersinar pada magnitud 5.5 iaitu boleh dilihat dengan mata kasar di lokasi yang gelap.
Komet ISON seperti yang dirakamkan oleh Damian Peach pada 15 November 2013
Jangan anda terlepas akan perkembangan komet ini kerana ianya akan terus menjadi semakin terang dengan cepat pada minggu2 akan datang. Ia dijangka akan menjadi secerah planet Zuhrah (Venus) atau biasa disebut sebagai bintang Kejora. Berapa terangkah planet Zuhrah di langit? Ianya adalah jauh berganda2 lebih terang dari bintang yang paling terang di langit iaitu bintang Sirius di buruj Canis Major. Anda tak memerlukan bantuan teleskop atau binokular. Cukup sekadar menggunakan mata kasar sahaja. Malah dijangka komet ini boleh dilihat dengan mata kasar pada waktu siang juga nanti!
Pada 24 November ini, komet ISON akan berada di kaki langit subuh ditemani oleh planet Utarid dan Zuhal. Anda boleh melihat ke arah matahari terbit (timur) dengan hanya menggunakan mata kasar. Namun sudah tentu kita mengharapkan tiada awan menutupi langit timur pada masa itu.
Kredit imej : Roan Kelly (astronomy.com)
Komet ISON yang sedang dalam perjalanannya untuk menghampiri matahari dijangka akan berada pada kedudukan paling dekat dengan matahari pada 28 November ini. Kedudukan ini dipanggil sebagai Perihelion. Pada ketika ini ISON akan hilang dan tidak dapat dilihat lagi pada waktu lewat pagi kerana kedudukannya yang sudah terlalu dekat dengan matahari.. Salah satu cara untuk melihat ISON ketika ini ialah dengan cara menutup cakera matahari dengan sesuatu objek pada waktu siang hari, dan melihat ke arah langit di sebelah matahari. Sebagai contohnya menggunakan tangan. Jangan cuba untuk melihat menggunakan peralatan optikal kerana ini sangat merbahaya! Cukup sekadar mata kasar. Jika anda bernasib baik kemungkinan komet ini akan kelihatan di langit siang.
Salah satu cara lagi ialah dengan melihat imej yang dihasilkan oleh teleskop SOHO. Teleskop ini mensimulasikan peristiwa gerhana matahari dengan cara meletakan satu penutup untuk menutup cakera matahari yang menyilaukan. Maka hasilnya kita boleh melihat sebarang objek yang berada berdekatan matahari. Selain itu korona matahari turut diperhatikan melalui cara ini. Anda boleh ke website SOHO di sini.
Perhatikan komet McNaught telah berjaya dirakam oleh teleskop SOHO.
Cakera di tengah imej adalah bertujuan menutup cakera matahari yang terang.
Selepas 28 haribulan November, komet ISON akan mula menjauhi matahari dan akan kelihatan semula di kaki langit waktu subuh. Ianya dijangka boleh dicerap kembali pada 10 Disember hingga ke hujung bulan.
Jom mencerap!