Ahad, 23 Mac 2008

"Ikut Lengkungnya Untuk Ke Arcturus"


Rajah 1 Asterisma Biduk di buruj Beruang Besar digunakan untuk mencari bintang Utara (Polaris)

Sekarang adalah masa yang terbaik untuk keluar dan melihat langit malam untuk mempelajari buruj-buruj yang selalu digunakan untuk membantu mencari bintang yang lain. Salah satu frasa yang biasa kita jumpa dalam buku-buku astronomi ialah follow the arc to Arcturus ataupun dalam bahasa Malaysia bermaksud ‘ ikut lengkungnya untuk ke bintang Arcturus’

Bintang Arcturus terletak di buruj Bootes dan merupakan bintang paling terang bersinar di buruj tersebut dengan kecerahan magnitud sekitar -0.07. Kecerahan Arcturus menjadikannya bintang yang tetap boleh dilihat dari bandar-bandar besar yang teruk dicemari oleh cahaya lampu (kecuali cuaca mendunglah! (",) ). Salah satu cara mencarinya ialah dengan berpandukan lengkung si asterisme Biduk (berbentuk seperti senduk) di buruj Beruang Besar (Ursa Major).

Apa yang perlu anda buat ialah pertama sekali mencari buruj Beruang Besar di langit utara berpandukan gambar rajah di atas. Mungkin lebih tepat lagi ialah mencari asterisma Biduk yang lebih senang dikenal pasti berbanding buruj Beruang Besar itu sendiri. Asterisma Biduk boleh dilihat sepanjang malam hingga ke hujung bulan ini. Apabila anda sudah mengenali asterisma ini, apa kata ambil masa seketika untuk mencari si Biduk Kecil di buruj Beruang Kecil (Ursa Minor) di bawahnya.

Asterisma Biduk terdiri dari dua bahagian iaitu bahagian mangkuknya dan bahagian pemegang. Bahagian mangkuk terdiri dari bintang Dubhe, Merak, Phecda, dan Megrez. Bahagian pemegang pula terdiri dari bintang Alioth, Mizar dan Alkaid. Gunakan rajah di atas untuk membantu anda.




Rajah 2
Cara melukis garisan lengkung imiginasi untuk mencari bintang Arcturus.
Klik untuk gambar lebih besar.



Baiklah, sekarang kita tiba kepada objektif pembelajaran kita pada hari ini iaitu menjejak bintang Arcturus di buruj Bootes. Setelah anda mengenali bintang-bintang yang saya sebut di atas tadi, cuba anda lakarkan satu garisan imiginasi melengkung dari bintang Alioth, Mizar, Alkaid dan seterusnya sehingga anda terjumpa dengan bintang terang berwarna oren. Inilah bintang Arcturus! Tahniah buat anda jika berjaya menjejakinya. Nampaknya satu misi telah berjaya anda lakasanakan malam ini (“;)

Bintang Arcturus adalah satu bintang gergasi yang dianggarkan terletak sejauh 37 tahun cahaya dari bumi. Bayangkan betapa jauhnya kedudukan bintang ini dengan mengambil kira walaupun kelajuan cahaya yang bergerak sangat laju, ianya tetap memerlukan masa perjalanan 37 tahun untuk menyentuh permukaan bumi. Fuhhh....