Rabu, 11 September 2013

Komet Baru Lovejoy Ditemui

Assalamualaikum & hai...

Komet ISON yang dikatakan bakal menjadi komet paling terang abad ini kini ditemani oleh komet baru yang diberi nama sebagai komet C/2013 R1 (Lovejoy).

Komet C/2013 R1 Lovejoy ini ditemui pada 9 September yang lepas. Penemuan ini dibuat oleh En. Terry Lovejoy dari Australia menggunakan teleskop pembalikan jenis Schmidt-Cassegrain bersaiz 8 inci. Penemuan ini merupakan komet ke-4 oleh beliau.

Gambarajah menunjukkan komet Lovejoy sebelum ini yang kelihatan pada waktu krismas 2011.
Kredit imej : Colin Legg

Pada masa kini komet Lovejoy bersinar pada magnitud 14.5 di antara buruj Orion dan Monoceros dan hanya boleh dilihat menggunakan teleskop. Ia dijangkakan akan bersinar semakin terang pada bulan  November dengan jangkaan mencapai magnitud 8. Ini bermakna ia boleh menjadi target bagi teleskop kecil dan juga binokular.

Rajah ini menunjukkan kedudukan komet Lovejoy ketika ditemui di antara buruj Belantik (Orion) dan Monoceros. 

Gambarajah ini menunjukkan komet C/2013 R1 Lovejoy yang dirakamkan pada 10 September yang lepas. Komet Lovejoy adalah titik di tengah gambar dengan kelihatan ekor koma yang kecil. jaluran di sebelah atas kanan adalah hasil dari pergerakan sebuah satelit.

Menariknya pada bulan November ini juga komet ISON akan turut bersama komet Lovejoy berada di langit kita dengan kecerahan 2 hingga 3 pada skala magnitud. Ini bermaksud ISON berkemungkinan bakal boleh dilihat dengan mata kasar seperti yang terjadi kepada komet Hale Bopp yang lalu.

Gambaran grafik apa yang bakal anda lihat pada 9 November 2013 nanti dengan komet Encke bersinar pada magnitud 6, ISON pada magnitud 6 atau 7 dan komet Lovejoy pada magnitud 9.

Komet Lovejoy akan berada paling dekat dengan bumi pada  23 November ini pada jarak 61.3 juta kilometer di buruj biduk.

Peristiwa yang menarik ini sangat sayang untuk dilepaskan. Kedudukan 3 komet serentak di langit pasti menjadi objek fotografi yang sangat hebat dan jarang berlaku. Ikuti perkembangan semasa komet2 ini di FB Astromas.

Jom mencerap!

.