Ahad, 10 Jun 2007

Aktiviti Didik dan Astronomi di Planetarium Negara

9 Jun 2007-Sabtu - Planetarium Negara


Hari ini saya bersama Prof Madya Dr Chong Hon Yew telah berada di Planetarium Negara bersempena dengan aktiviti DIDIK yang melibatkan pelajar sekolah rendah dari seluruh Kuala Lumpur. Saya dan Dr Chong di sana mengadakan beberapa aktiviti berkaitan astronomi seperti cerapan tompok matahari, auto roket dan juga sesi penerangan astronomi kepada yang berminat.


Saya bertolak dari rumah sewa di Shah Alam pada pukul 8 pagi. Membayangkan akan berjumpa dengan ramai peminat astronomi di sana membuatkan saya rasa teruja untuk cepat sampai di sana. Perjalanan menaiki teksi, kemudian komuter, seterusnya Putra LRT dan kemudian sekali lagi teksi membuatkan saya sedikit boring dalam perjalanan. Sempat juga saya tidur dua tiga kali terlelap dalam perjalanan. Mmm...bagus juga untuk membolehkan saya berasa segar diwaktu tengah hari nanti. Akhirnya saya tiba di Planetarium Negara sekitar pukul 9 pagi. Dr Chong yang sudah berada di sana lebih awal kelihatan berada di kawasan cerapan tompok matahari.


Sebenarnya saya sudah agak lama tidak berjumpa dengan Dr Chong. Almaklumlah sekarang saya sedikit sibuk dengan pelajaran di Universiti. Tambahan pula dengan subjek-subjek yang agak berat yang menyebabkan saya agak menyepi sedikit dari aktiviti astronomi dalam masa setahun ini. Namun walaupun kesibukan di Universiti membataskan aktiviti astronomi saya, saya tetap cuba untuk meluangkan masa untuk mengemaskinikan laman Astromas ini sekerap mungkin. Sekurang-kurangnya peminat astronomi di luar sana boleh melakukan aktiviti mereka sendiri dengan berbekalkan sedikit maklumat dan panduan yang sempat saya berikan di laman Astromas ini. Saya sendiri amat berharap untuk mempunyai lebih masa untuk mengemaskini laman ini. Setakat sedaya yang saya mampu sahajalah.


Berbalik pada aktiviti hari ini, aktiviti kami bermula dengan acara cerapan tompok matahari. Kelihatan di kanta teleskop ialah dua tompok kecil tompok matahari. Walaupun ia kelihatan kecil, saya percaya ianya adalah bersaiz lebih besar dari bumi kita! Ramai juga anak-anak kecil dan jugak mak dan bapak anak yang beratur untuk melihat tompok matahari pada pagi ini. Saya teringat kembali sekitar bulan Januari lepas muncul kelompokan tompok matahari yang sangat besar. Sangat besar untuk dilihat terus dengan mata kasar berbekalkan penuras cahaya matahari. Pada masa itu saya gunakan negatif filem sahaja sebagai penuras kerana ketiadaan penuras yang sepatutnya. Hehe... Ingin saya ingatkan kepada pembaca semua supaya tidak melakukan ini kerana ianya sangat berbahaya kepada mata. Boleh menyebabkan mata buta secara berkekalan. Lebih bahaya lagi jika melihat matahari secara terus menggunakan binokular atau teleskop tanpa menggunakan sebarang penuras. Sangat bahaya!!!!!


Aktiviti seterusnya ialah aktiviti membuat water rocket. Dr Chong dibantu oleh saya dan juga seorang staf dari ANGKASA iaitu Mr. Jong telah mendemonstrasikan bagaimana membuat roket air menggunakan dua botol air berkarbonat 1.5 Liter. Peralatan yang digunakan adalah agak mudah didapati seperti botol air minuman, chopstik, plastisin dan juga kertas sebagai absorber hentakan. Seperti biasa demo ini turut menarik perhatian ibu-bapa dan anak mereka. Mmmm.. mungkin jika ada masa saya boleh muatkan artikel mengenai cara untuk membuat roket air yang mudah di sini. J Acara pelancaran roket air kelihatan telah berjaya menarik perhatian ramai pelawat yang berkunjung pada hari ini. Ramai yang terkejut dengan kemampuan roket air ini naik begitu tinggi di udara. Anggaran saya ada yang mencecah ketinggian seratus meter tinggi.


Aktiviti yang kami adakan ini sebenarnya adalah sebagai acara sampingan sahaja kepada aktiviti DIDIK iaitu melibatkan pelajar UPSR. Acara kali ini ditaja oleh Nutrigen iaitu sebuah syarikat pengeluar minuman susu kultur. Nampak gayanya syarikat Nutrigen amat berminat untuk menaja sebarang aktiviti astronomi yang melibatkan umum. Alhamdulillah, ini adalah satu perkembangan yang sangat baik. Saya sendiri berharap agar lebih banyak syarikat, badan kerajaan atau bukan kerajaan yang sanggup menaja aktiviti sebegini. Sekurang-kurangnya ia dapat membakar semangat kami untuk terus menyebarkan aktiviti astronomi kepada umum. Saya juga diberitahu oleh Puan Kim dari Media Event iaitu penganjur bersama aktiviti tersebut bahawa Nutrigen akan menaja sahabat saya Nurmasdiana sebuah teleskop jika kami melakukan satu aktiviti astronomi besar untuk umum. Dengar saja perkara tersebut, terus makin bersemangat saya dan yang lain-lain untuk melakukan aktiviti kerana mendapat sokongan dari badan lain. Terima kasih syarikat Nutrigen! :D Mengikut Dr Chong, mereka sudah merancang untuk mengadakan satu aktiviti astronomi besar-besaran di Melaka nanti. Kita nantikan aktiviti itu nanti. Harap dapat bertemu dengan anda semua di sana nanti.


Aktiviti selepas waktu tengah hari mengikut perancangan saya dan Dr Chong ialah untuk mengendalikan sesi interaktif astronomi di dalam kubah (dome) tayangan. Saya sedikit teruja kerana tidak pernah lagi mengendalikan mesin projektor tayangan yang besar di Planetarium Negara. Sebelum ini hanya penah usik-usik dengan projektor yang kecil dan manual sahaja. Namun perancangan kami terpaksa dilupakan kerana kebanyakan pegawai ANGKASA sudah mula pulang ke rumah masing-masing pada waktu tengah hari serentak dengan berakhirnya aktiviti DIDIK. Mungkin tidak ada rezeki kali ini, mungkin lain kali. Kami juga faham bahawa pegawai-pegawai tersebut sebenarnya kerja lebih masa hari ini memandangkan aktiviti di adakan pada hari sabtu, iaitu hari sepatutnya mereka berehat di rumah. Aktiviti kami berakhir di situ saja pada hari ini. Dr Chong menghantar saya ke KL Sentral dan saya terus sahaja pulang ke rumah manakala Dr Chong ke rumah ayahnya di Cheras jika tidak silap saya. Jumpa lagi di lain aktiviti. Maaf kerana tiada gambar dimuatkan. :)