Jumaat, 29 Jun 2007

Mari Mencerap Musytari, Zuhal dan Zuhrah Dengan Mata Kasar!


Planet Musytari kini sudah pasti menjadi planet tumpuan pencerapan memandangkan kedudukannya yang kini berada sekitar di atas kepala pemerhati pada jam 8 malam. Kedudukannya yang berdekatan dengan bintang tercerah di buruj Scorpio iaitu bintang Antares pasti membantu pencerap untuk mencarinya.

Rajah menunjukkan kedudukan planet Musytari di buruj Scorpio yang akan ditemani oleh bulan untuk beberapa hari ini. Jadi bagi anda di luar sana, malam ini cuba keluar dari rumah anda dan perhatikan di mana terletaknya bulan. Gunakan gambar rajah di atas sebagai rujukan untuk mencari planet Musytari yang sangat terang dan bintang Antares yang merupakan bintang super raksasa merah yang akan mati tidak lama lagi. Kesian...


Pada 1 hari bulan Julai ini, menarik untuk dilihat ialah peristiwa planet Zuhrah dan Zuhal yang berada sangat dekat antara satu sama lain (menurut pandangan dari bumi). Planet Zuhrah yang kelihatan lebih cerah berbanding planet Zuhal akan kelihatan seperti bercantum dengan Zuhal. Jangan lepaskan peluang untuk melihat kedua planet ini pada 1 haribulan Julai ini dengan hanya menggunakan mata kasar anda! Kedua planet ini kemudiannya akan semakin menjauhi masing-masing pada hari berikutnya. Cara untuk melihatnya ialah dengan memandang ke arah langit barat iaitu arah matahari tenggelam bermula dari selepas waktu maghrib hinggalah kedua planet tersebut tenggelam sekitar jam 10.30 malam. Selamat mencerap!