Khamis, 2 Ogos 2007

Planet Cerapan Mata Kasar Bulan Ini


Selepas beberapa bulan menjadi latar utama penghias permandangan langit senja, bulan ini planet paling terang di langit iaitu planet Zuhrah sudah mula berada rendah di ufuk pada awal bulan dan kemudiannya akan terus menghilang dari pandangan waktu senja. Pengganti planet ini ialah planet Utarid yang akan mula muncul rendah di kaki langit bulan ini. Namun disebabkan faktor awan dan kecerahannya yang tidak setanding dengan planet Zuhrah, maka agak sukar untuk kita melihatnya dengan mata kasar.

Namun anda jangan risau kerana planet Musytari masih menjadi planet tumpuan pencerapan pada bulan kemerdekaan ini. Kedudukannya di buruj Scorpius Si Kala Jengking pasti membantu anda dalam mencarinya dengan berbekalkan bantuan dari bintang paling terang di buruj tersebut iaitu bintang Antares. Kecerahan planet ini yang mencapai -2.32 sudah tentu akan terang menyinar terang bintang Antares yang hanya berkecerahan 1.03. Planet gas terbesar dalam sistem suria ini akan berada tinggi di atas kepala pencerap sekitar pukul 8 malam. Ini membolehkan ia menjadi objek tumpuan teleskop pada awal malam. Planet ini akan tenggelam di ufuk barat bersama-sama dengan pusat galaksi Bima Sakti sekitar pukul 2 pagi.