Panduan Memasang Teleskop

Memasang teleskop adalah sangat mudah. Artikel ini menerangkan bagaimana memasang teleskop jenis pantulan pada mount ekuitorial

Al Quran dan Teori Big Bang

Surah Al Anbiyak ayat 30 mengatakan bahawa alam terhasil dari satu titik yang padu lalu dipisahkan menjadi alam yang sedia ada sekarang ini. Kaitannya dengan teori Big Bang diulas di artikel ini.

Mengenali Planet Kerdil

Apakah itu planet kerdil? Apakah beza planet kerdil dengan planet biasa? Artikel ini mengupas isu tersebut

Kalendar Astronomi 2012

Kalendar ini memuatkan senarai fenomena astronomi yang bakal berlaku pada tahun 2012. Jangan biarkan diri anda terlepas fenomena astronomi yang menarik dan jarang berlaku

Meneroka langit menggunakan binokular

Jangan pandang rendah kepada binokular kerana peralatan ini membolehkan anda melihat bintang, planet, gugusan bintang malah galaksi!

Jumaat, 12 Februari 2016

JEMPUTAN KE 'GALAXY FORUM SOUTHEAST ASIA - MALAYSIA 2016'

Assalamualaikum WBT & Selamat Sejahtera,

JEMPUTAN KE 'GALAXY FORUM SOUTHEAST ASIA - MALAYSIA 2016'

‘Galaxy Forum’ adalah acara awam percuma yang direka sebagai penyelesaian yang fleksibel dan responsif untuk memajukan Pendidikan Galaksi Abad ke-21. ‘Galaxy Forum’ telah diadakan di Hawaii, Silicon Valley, Kanada, China, India, Asia Tenggara, Jepun , Eropah, Afrika , Chile , Brazil, Kansas dan New York. Maklumat lanjut mengenai Galaxy Forum boleh didapati di sini: http://galaxyforum.org/

Pada tahun ini Pusat Sains Angkasa (ANGKASA), Institut Perubahan Iklim, UKM dengan kerjasama International Lunar Observatory Association (ILOA) akan menganjurkan ‘Galaxy Forum’ di Malaysia dengan tajuk ‘Galaxy Forum Southeast Asia – Malaysia 2016’.

Anda semua dijemput hadir!
Pendaftaran awal bagi pengesahan tempat melalui pautan berikut: http://goo.gl/forms/WiJ2LVPGi6 (Tempat adalah terhad)

Tarikh       : 27 Februari 2016 (Sabtu)
Masa        : 08:30 Pagi
Tempat : Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi Selangor (Tempat rasmi akan dimaklumkan kemudian)



Jom pergi bagi yang berkesempatan

Ahad, 28 Jun 2015

Ceramah Kosmologi di Planetarium Negara 29 Julai 2015

Asssalamualaikum & hai

Satu ceramah astronomi yang bertajuk "A Deep View into Active Galactic Nuclei" akan diadakan pada 29 Jun 2015 di Planetarium Negara pada jam 2 petang hingga 4 petang.

SPEAKER:  Prof. Sascha Trippe (Seoul National University, Korea)

Sesiapa yang berkesempatan dijemput hadir. Masuk percuma

Tentatif program di link berikut : link



Jom ke sana

Rabu, 15 April 2015

Imej Pluto paling jelas buat masa ini!

Assalamualaikum & hai semua..


Bangun2 saja dari tidur hari ini terus saya terkenyit membaca berita di handset mengenai foto paling jelas Pluto buat masa ini! Saya terus mencelikkan mata dengan tak sabar untuk baca info seterusnya. 

Selama ini gambaran planet kerdil Pluto yang biasa kita lihat hanyalah gambaran imiginasi artis astronomi sahaja. Ianya hanyalah jangkaan bagai mana rupa Pluto oleh kerana kita tidak mengetahui bagaimana rupa sebenar objek ini. Kedudukannya yang sangat jauh dari jangkauan teleskop moden untuk melihat permukaaanya dengan jelas.

Ini adalah foto Pluto & bulannya Charon yang paling jelas buat masa ini. Bulan hadapan pasti foto planet ini akan semakin jelas apabila kapal angkasa New Horizons semakin menghampiri planet kerdil ini. Saya pun teruja untuk melihatnya!

Planet kerdil Pluto sudah makin dihampiri oleh kapal angkasa New Horizons. Hampir dalam 3 bulan lagi kapal angkasa ini akan ada jarak terdekat untuk mengambil foto Pluto dengan jelas.

Tak sangka kapal angkasa New Horizon akan sampai ke destinasinya tak lama lagi. Sejak dilancarkan pada tahun 2006, kapal angkasa ini teleh menjelajah lebih 3.4 juta kilometer untuk sampai ke Pluto. Kini jaraknya dengan Pluto adalah lebih dekat dari jarak bumi ke matahari. Buat masa ini kapal New Horizon adalah kapal angkasa yang paling laju bergerak.

Kapal New Horizon dilancarkan pada januari 2006, dan telah meluncur selama 9 tahun  menggunakan kuasa yang dijanakan oleh plutonium. Kos operasinya dijangkakan berjumlah 700 juta US dolar.

Ketika dilancarkan tempoh hari, Pluto masih lagi berstatus planet. Namun setelah melalui perbincangan oleh International Astronomical Union, Pluto telah diturun taraf dan dimasukkan kedalam pengkelasan baru iaitu planet kerdil. Anda boleh baca mengenainya di sini.

Kini Pluto mempunyai 5 buah bulan yang mengelilinginya. Yang terbesar ialah Charon, Nix, Hydra, Stynx & Kerberos. Boleh baca di sini.

Jom mencerap!

Sabtu, 25 Oktober 2014

Salam 1 Muharam dari Astromas.org!

Assalamualaikum & hai...

Dah lama saya tak menulis di sini. Malu juga apabila buka blog tengok2 dah lama post terakhir. Kesibukan dengan kerja asyik tidak membenarkan saya untuk update di sini.

Hari ini dah 1 Muharam 1436 Hijrah. Bermula lah kalendar baru untuk umat Islam. Hari ini juga mengenangkan peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah ke kota Madinah. Hijrah bukan sahaja bermaksud berpindah tempat, tapi juga berhijrah dari tingkah laku, tingkat amalan dan ibadat dari yang biasa kepada yang lebih baik. Jadi pada hari ini sewaktu saya sedang memandu kereta ke tempat kerja (Hospital Serdang), saya terfikira apa azam aku pada tahun baru ni?

Salah satu yang saya fikirkan ialah untuk lebih istiqomah dalam mengemaskini blog, FB & whatsapp group Astromas. Sejujurnya sejak saya mula berkerja ini saya agak mengabaikan membalas soalan dan pertanyaan yang ditanyakan melalui email, FB atau whatsapp. Apakan lagi untuk membuat rencana. Maaf saya ucapakan. Saya harap dapat luangkan lebih masa untuk anda semua.

Jadi azam baru sudah ditetapkan. Doakan saya untuk berusaha lebih gigih untuk mempromosi dan menyebarkan ilmu astronomi/falak ini kepada umum.



Bagi sesiapa yang berkelapangan, jangan lupa untuk melihat bulan sabit 1 Muharam yang akan kelihatan di kaki langit barat pada jam 7 malam ini, 25 Oktober 2014. Bulan yang kelihatan halus dan nipis ini hanya 2.5% diterangi oleh cahaya matahari. Ianya akan ditemani oleh planet Zuhal yang bersinar kekuningan di atas kirinya.

Sekian dulu untuk kali ini
Jom mencerap!

Dr Mohd Rizuan
www.astromas.org

p/s :
Saya sedang dalam proses mengaturkan program cerapan di Telok Kemang bersempena dengan peristiwa hujan meteor Geminids 13/14 Disember ini. Ada sesiapa berminat untuk join?

Rabu, 23 April 2014

Masa untuk mencerap planet Marikh!

Assalamualaikum & hai...

Dah lama sungguh saya tak menulis kat sini. Nak kata bizi sangat tu tak lah sangat. Tapi masa yang ada tu selalu digunakan untuk berehat di rumah setelah kepenatan bekerja di hospital..

Apapun saya nak berkongsi di sini mengenai peristiwa astronomi yang kini sedang berlaku. Buat masa sekarang tumpuan kita sudah tentulah kepada planet Marikh yang sedang bersinar terang di langit malam.  Planet Marikh ni adalah jiran kita yang paling dekat. Ianya bersaiz lebih kecil dari bumi. Warnanya memang kemerah-merahan disebabkan permukaannya yang terdiri dari besi berkarat. Kawasan yang tandus dan kering kontang yang sering dilanda ribut ini bukanlah tempat yang menarik untuk didiami Ia boleh diibaratkan sebagai kawasan yang tandus di kawasan pergunungan di Arizona, cuma tanpa pokok2nya sahaja,

Planet Marikh boleh dilihat dengan mata kasar sahaja. Ianya akan kelihatan bersinar ibarat bintang2 yang lain, cuma warnanya kelihatan seperti bintang yang merah. Pada sekitar bulan ini, ianya akan bersinar pada magnitud -1.5, iaitu kecerahan yang cukup terang berbanding bintang2 lain yang ada di langit.

Astrofoto yang diambil oleh Dr Mahamarowi Omar dari Kota Bharu Kelantan

Mudah sahaja cara untuk melihat planet ini dengan menggunakan mata kasar. Anda boleh memulakan pencerapan dengan melihat kearah langit timur (arah matahari timbul di waktu pagi)  ketika selepas waktu maghrib. Sedang langit menjadi semakin gelap, anda akan perasan satu bintang kemerahan yang bersinar berbelakangkan bintang putih yang lain. Ianya kini sedang berada di buruj Virgo, si dara yang cantik. 

Setiap dua tahun sekali, planet Marikh akan berada dikedudukan yang terdekat dengan kita di bumi. Pada ketika inilah Marikh akan kelihatan bersinar jauh lebih terang. Pada masa ini para ahli astronomi amatur akan berebut2 mengambil peluang untuk merakamkan planet ini dengan kamera masing2. Beruntung juga kali ini kerana kita objek ini sedang berada berdekatan dengan kita, ianya juga sedang berada dalam fasa oposisi.

Anda boleh melihat planet Marikh sejurus selepas matahari tenggelam sehinggalah ke waktu subuh.


Fasa oposisi ini bermaksud ianya berada pada kedudukan yang bertentangan dengan matahari dengan bumi berada ditengah2nya. Oleh itu Marikh akan hanya muncul di langit apabila matahari tenggelam dan akan Marikh akan tenggelam di kaki langit subuh apabila matahari sudah mahu timbul.

Oleh itu anda boleh menggunakan peluang untuk melihat planet Marikh sepanjang malam. Pelbagai cara boleh digunakan untuk menikmati planet ini. Dengan menggunakan mata kasar sehinggalah kepada menggunakan binokular, teleskop, merakamkan menggunakan kamera digital atau CCD dan sebagainya.

Selamat mencerap!

Isnin, 18 November 2013

Cara Memasukkan Komet dan Asteroid ke Stellarium


Assalamualaikum & hai...

Stellarium adalah satu perisian planetarium astronomi yang percuma dan menarik. Antara-muka  nya adalah sangat cantik dan mimik kepada keadaan langit dan bumi yang realistik. Stellarium adalah satu perisian yang berguna untuk memahami langit. Bagi sesiapa yang belum mencubanya boleh muat turun di www.stellarium.org

Kali ini saya ingin berkongsi cara memasukkan data komet atau asteroid ke dalam Stellarium. Disebabkan komet dan asteroid boleh muncul dan ditemui pada bila2 masa, maka kita mempunyai cara untuk memasukkan komet ini ke dalam perisian kita untuk kemudahan perancangan mencerapnya.

Langkah berikut adalah contoh saya memasukkan komet ISON C/2012 S1

Langkah 1 : Buka perisian Stellarium Anda
Langkah 2 : Klik fungsi configuration di bar sebelah kiri anda dan pilih bar Plugin

Langkah 3 : Tick pada Load at Startup. Pilih fungsi Solar System Editor dan klik pada configure

Langkah 4 : Tekan bar Solar System, dan klik Import Orbital Elements in MPC format

Langkah 5 : Pada tetingkap Import Data, diruangan list, anda select the type sebagai comet (atau asteroid). Pada ruangan Select The Source, pilih MPC's list of observable comet. Kemudian klik pada get orbital elements. Anda memerlukan talian internet untuk fungsi ini

Langkah 6 : Taip di ruangan carian "ISON". Apabila sudah ditemui anda boleh tekan add object

Langkah 7 : Tutup tetingkap configuration anda dan kembali ke ruangan utama.

Untuk menjejak komet ISON yang anda baru tambah tadi, tekan kekunci F3 pada keyboard dan taip ISON. Anda boleh menggunakan teknik ini untuk menambah komet dan asteroid lain.

Selamat mencuba 

InsyaAllah dilain masa saya akan bercerita mengenai ciri2 Stellarium bagi yang belum mengenalnya.

Jom mencerap!

Komet Paling Terang Dekad Ini! ISON

Assalamualaikum dan hai...

Bulan November sedang berada dipertengahannya. Bulan ini mempunyai keistimewaannya yang agak banyak berbanding bulan2 yang lain dari segi astronomi. Salah satunya ialah kerana komet ISON sedang menjadi semakin terang dan akan terus menerang hingga ke bulan Disember 2013.


Komet ISON yang sangat2 dinantikan ini pada bulan Oktober yang lalu telah menjadi objek cerapan teleskop kecil. Kemudian pada awal bulan November ianya menjadi objek yang boleh dicerap menggunakan binokular. Seterusnya semakin ISON mendekati matahari ianya menjadi objek cerapan mata kasar pada minggu ke dua bulan November. Setakat artikel ini ditulis komet ISON sedang bersinar pada magnitud 5.5 iaitu boleh dilihat dengan mata kasar di lokasi yang gelap.


Komet ISON seperti yang dirakamkan oleh Damian Peach pada 15 November 2013

Jangan anda terlepas akan perkembangan komet ini kerana ianya akan terus menjadi semakin terang dengan cepat pada minggu2 akan datang. Ia dijangka akan menjadi secerah planet Zuhrah (Venus) atau biasa disebut sebagai bintang Kejora. Berapa terangkah planet Zuhrah di langit? Ianya adalah jauh berganda2 lebih terang dari bintang yang paling terang di langit iaitu bintang Sirius di buruj Canis Major. Anda tak memerlukan bantuan teleskop atau binokular. Cukup sekadar menggunakan mata kasar sahaja. Malah dijangka komet ini boleh dilihat dengan mata kasar pada waktu siang juga nanti! 

Pada 24 November ini, komet ISON akan berada di kaki langit subuh ditemani oleh planet Utarid dan Zuhal. Anda boleh melihat ke arah matahari terbit (timur) dengan hanya menggunakan mata kasar. Namun sudah tentu kita mengharapkan tiada awan menutupi langit timur pada masa itu.

Kredit imej : Roan Kelly (astronomy.com)

Komet ISON yang sedang dalam perjalanannya untuk menghampiri matahari dijangka akan berada pada kedudukan paling dekat dengan matahari pada 28 November ini. Kedudukan ini dipanggil sebagai Perihelion. Pada ketika ini ISON akan hilang dan tidak dapat dilihat lagi pada waktu lewat pagi kerana kedudukannya yang sudah terlalu dekat dengan matahari.. Salah satu cara untuk melihat ISON ketika ini ialah dengan cara menutup cakera matahari dengan sesuatu objek pada waktu siang hari, dan melihat ke arah langit di sebelah matahari. Sebagai contohnya menggunakan tangan. Jangan cuba untuk melihat menggunakan peralatan optikal kerana ini sangat merbahaya! Cukup sekadar mata kasar. Jika anda bernasib baik kemungkinan komet ini akan kelihatan di langit siang. 

Salah satu cara lagi ialah dengan melihat imej yang dihasilkan oleh teleskop SOHO. Teleskop ini mensimulasikan peristiwa gerhana matahari dengan cara meletakan satu penutup untuk menutup cakera matahari yang menyilaukan. Maka hasilnya kita boleh melihat sebarang objek yang berada berdekatan matahari. Selain itu korona matahari turut diperhatikan melalui cara ini. Anda boleh ke website SOHO di sini.

Perhatikan komet McNaught telah berjaya dirakam oleh teleskop SOHO.
Cakera di tengah imej adalah bertujuan menutup cakera matahari yang terang.

Selepas 28 haribulan November, komet ISON akan mula menjauhi matahari dan akan kelihatan semula di kaki langit waktu subuh. Ianya dijangka boleh dicerap kembali pada 10  Disember hingga ke hujung bulan.

Jom mencerap!



Dr. Mohd Rizuan Ali

Khamis, 12 September 2013

Katak dilancarkan ke bulan :D

Assalamualaikum & hai...

Satu berita menyedihkan bagi penggemar katak.


Credit NASA/Wallops/Mid-Atlantic Regional Spaceport

Pada 6 September 2013 yang lepas, kapal angkasa LADEE milik NASA telah dilancarkan dari Wallops Island Flight Facility di Virginia, USA dalam misinya ke bulan.

Namun didapati bukan sahaja kapal angkasa LADEE yang dilancarkan, tetapi juga seekor katak turut mengalami nasib yang sama apabila secara tidak sengaja berada di tapak perlancaran pada ketika itu.

Ini bukanlah kali pertama haiwan terlibat dengan pelancaran kapal angkasa. Beberapa burung turut pernah menjadi antara haiwan yang terkorban apabila ia terbang ke arah roket yang sedang dilancarkan. Boleh lihat videonya di sini 


Macam macam  :p


Rabu, 11 September 2013

Komet Baru Lovejoy Ditemui

Assalamualaikum & hai...

Komet ISON yang dikatakan bakal menjadi komet paling terang abad ini kini ditemani oleh komet baru yang diberi nama sebagai komet C/2013 R1 (Lovejoy).

Komet C/2013 R1 Lovejoy ini ditemui pada 9 September yang lepas. Penemuan ini dibuat oleh En. Terry Lovejoy dari Australia menggunakan teleskop pembalikan jenis Schmidt-Cassegrain bersaiz 8 inci. Penemuan ini merupakan komet ke-4 oleh beliau.

Gambarajah menunjukkan komet Lovejoy sebelum ini yang kelihatan pada waktu krismas 2011.
Kredit imej : Colin Legg

Pada masa kini komet Lovejoy bersinar pada magnitud 14.5 di antara buruj Orion dan Monoceros dan hanya boleh dilihat menggunakan teleskop. Ia dijangkakan akan bersinar semakin terang pada bulan  November dengan jangkaan mencapai magnitud 8. Ini bermakna ia boleh menjadi target bagi teleskop kecil dan juga binokular.

Rajah ini menunjukkan kedudukan komet Lovejoy ketika ditemui di antara buruj Belantik (Orion) dan Monoceros. 

Gambarajah ini menunjukkan komet C/2013 R1 Lovejoy yang dirakamkan pada 10 September yang lepas. Komet Lovejoy adalah titik di tengah gambar dengan kelihatan ekor koma yang kecil. jaluran di sebelah atas kanan adalah hasil dari pergerakan sebuah satelit.

Menariknya pada bulan November ini juga komet ISON akan turut bersama komet Lovejoy berada di langit kita dengan kecerahan 2 hingga 3 pada skala magnitud. Ini bermaksud ISON berkemungkinan bakal boleh dilihat dengan mata kasar seperti yang terjadi kepada komet Hale Bopp yang lalu.

Gambaran grafik apa yang bakal anda lihat pada 9 November 2013 nanti dengan komet Encke bersinar pada magnitud 6, ISON pada magnitud 6 atau 7 dan komet Lovejoy pada magnitud 9.

Komet Lovejoy akan berada paling dekat dengan bumi pada  23 November ini pada jarak 61.3 juta kilometer di buruj biduk.

Peristiwa yang menarik ini sangat sayang untuk dilepaskan. Kedudukan 3 komet serentak di langit pasti menjadi objek fotografi yang sangat hebat dan jarang berlaku. Ikuti perkembangan semasa komet2 ini di FB Astromas.

Jom mencerap!

.

Isnin, 12 Ogos 2013

Kemuncak hujan meteor Perseid 12/13 Ogos 2013

Assalamualaikum dan hai....

Pernahkah anda melihat tahi bintang melintas di dada langit secara live di depan mata anda? Mungkin pernah sekali dua. Namun tahukah anda bahawa pada malam ini anda berpeluang melihat sehingga 100 tahi bintang dalam masa satu jam dengan hanya menggunakan mata kasar sahaja? Ini bukan gurauan.

Pada malam ini (malam 12/13 Ogos 2013) akan berlaku kemuncak peristiwa hujan meteor Perseid. Ia diberi nama Perseid kerana tahi bintang ini kelihatan keluar dari buruj Perseus.

Apa yang bakal saya lihat?

Apa yang bakal anda lihat ialah jaluran cahaya memanjang di langit selama beberapa saat. Jaluran cahaya tersebut boleh jadi kuning, putih, hijau dan sebagainya bergantung kepada komposisi tahi bintang tersebut. Anda jangan risau kerana tahi bintang tersebut tidak akan melanggar anda.

Jika anda bernasib baik, anda akan dapat melihat ratusan tahi bintang sepanjang anda mencerap pd pagi nanti.

Cara melihat peristiwa ini.

Semua ini boleh dilihat dengan mata kasar sahaja. Tidak perlu anda menggunakan binokular atau teleskop. Cara melihat peristiwa ini ialah dengan cara berbaring di padang atau kawasan yang luas dari cahaya lampu. Gunakan bantal dan tikar serta baju sejuk dan secawan kopi untuk menyegarkan anda.

Bila dan di mana kawasan untuk dilihat.

Saya ingin mencadangkan anda untuk memulakan pencerapan pada jam 1 pagi 13 hb Ogos. Anda boleh mula dengan memandang ke arah langit timur (arah matahari timbul) dan apabila sekitar jam 3 pg ke atas anda boleh melihat ke seluruh kawasan langit. Boleh dikatakannya peristiwa ini akan bermula pada sekitar jam 1 pg sehingga waktu matahari naik.

Ada tips penting?

Sudah tentu ada. Pastikan dada langit yang anda lihat tersebut adalah dipenuhi dgn bintang.  Jangan lihat pd langit yg gelap tanpa bintang kerana di situ terdapat awan tebal. Jika ada tompokan langit yg bersih dari awan, maka anda boleh fokus di kawasan tersebut.

Peristiwa ini boleh dicerap bukan pada malam ini sahaja, tetapi juga pada malam2 akan datang. Walaupun aktiviti nya mungkin tidak akan semeriah pada malam ini namun masih berbaloi untuk diikuti. 

Jika anda ada membuat pencerapan atau ingin bertanya kan soalan, boleh terus ke FB Astromas.

Jom mencerap!

Dr. Mohd Rizuan Ali

Ahad, 4 Ogos 2013

Mencari objek langit lebih mudah dengan Google Sky Map

Assalamualaikum & hai...

Pasti anda tertanya2 bagaimana ahli astronomi amatur dapat mengetahui apakah objek yang ada di langit itu adalah sebuah planet, nebula, atau galaksi? Adakah memerlukan kiraan matematik yang kompleks atau mengira hukum fizik yang memeningkan kepala? Sekarang tidak lagi. Ada trik untuk memudahkan anda.
 
Jawapannya ialah applikasi Sky Map daripada Google untuk dipasang ke dalam telefon bimbit anda.


Aplikasi ini adalah bersaiz kecil sekitar 2.2mb sahaja. Anda boleh download dari Google Play Store atau App Store untuk IOS dengan menaip "Sky Map"

Apabila anda melancarkan aplikasi ini, ianya akan terus menunjukkan objek2 yang ada di langit. Objek pada skrin akan bergerak2 mengikut ke arah mana anda menghalakan telefon anda. Gerakkan sahaja telefon anda ke arah bintang tertentu dan aplikasi ini akan memberitahu anda apakah nama bintang tersebut. 



Sebagai contohnya jika anda ternampak satu titik 'bintang' yang amat terang dan anda rasa itu adalah planet Zuhrah, arahkah sahaja telefon anda ke arah bintang itu di langit dan aplikasi ini akan mengesahkan anda.


Selain itu terdapat fungsi Search. Taip objek yang anda ingin cari, seperti "Marikh" dan aplikasi ini akan memberikan anak panah ke arah mana anda harus melihat planet Marikh. Menarik bukan? Apa lagi cuba pula menaip galaksi Andromeda, nebula Orion dan sebagainya.

Selamat mencuba :)




 
Dr Rizuan Ali

Pertembungan Galaksi di buruj Ursa Major

Assalamualaikum & hai

Hari ini 4 Ogos, Astronomy Picture of the Day (APOD) memaparkan gambar yang menarik mengenai galaksi yang berada di buruj si beruang besar Ursa Major. Di dalam gambar ini terdapat beberapa galaksi di tengah, di atas dan kanan gambar.

Image Credit & Copyright: Martin Pugh (Heaven's Mirror Observatory)

Galaksi di tengah gambar ini ialah NGC 3718, galaksi spiral yang mempunyai lengan yang kelihatan terbelit dan memanjang. Ianya penuh dengan bintang biru yang bermaksud bintang2 ini masih muda dan baru dilahirkan.

Galaksi yang cantik berwarna ungu-merah di sebelah kanan pula ialah galaksi NGC 3729. Kedua galaksi ini sebenarnya sedang berinteraksi secara graviti. Ini menyebabkan galaksi di tengah gambar ini kelihatan seperti terbelit.

Perhatikan juga terdapat beberapa galaksi yang sedang berinteraksi di atas gambar ini.

Alam semesta sebenarnya bukanlah tempat yang nyaman. Pertembungan dan letupan setiasa berlaku. Namun ianya adalah keajaiban ciptaan Tuhan yang menarik untuk dikaji. Dengan itu kita akan tahu siapa kita dan di mana kita berada.


Langit percuma untuk diterokai :)

 
Dr. Rizuan Ali

Astromas kini di Google Play Store

Assalamualaikum & hai...

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Ilahi kerana pada hari ini aplikasi Android sudah berjaya di terbitkan di Google Play Store.




Menariknya mengenai app ini ialah saya boleh menghantar notifikasi berupa artikel terus ke handset yang memasang app ini. Jadi tiada orang akan ketinggalan apabila ada peristiwa yang menarik berlaku, yang mungkin akan terjadi sekali dalam seumur hidup.



Aplikasi ini dibahagikan kepada beberapa bahagian. Antaranya ialah artikel dari website Astromas, panduan pencerapan, ruangan istilah astronomi, direktori astronomi tempatan, berita astronomi semasa, hujan meteor, messier objek dan sebagainya.

Ini kali pertama saya buat app Android, mungkin banyak lagi perlu diperbaiki. InsyaAllah isinya akan saya tambah dari masa ke semasa.

Semoga aplikasi ini akan menyemarakkan lagi perkembangan ilmu astronomi dan falak di Malaysia.

Jom mencerap!

 
Dr. Rizuan Ali

Isnin, 29 Julai 2013

Kemuncak peristiwa hujan meteor Delta Aquarids pada malam ini!

Assalamualaikum dan hai....

Malam ini pada pagi 30 Julai 2013 akan berlaku peristiwa kemuncak hujan tahi bintang. Delta Aquarids. Dijangkakan anda boleh melihat sehingga 10 tahi bintang dalam masa satu jam menggunakan mata kasar. Jika cuaca baik, kemungkinan anda boleh melihat sehinga 50 tahi bintang dalam masa 5 6 jam melakukan pemerhatian. 

Cara untuk melihat tahi bintang ini mudah sahaja.. bermula pada sekitar jam 12 tengah malam ini (30Julai), anda boleh berbaring di lantai dengan beralaskan bantal dan tikar dan lihat sahaja ke arah tengah dada langit. Jika langit di tempat anda bebas dari awan maka anda berpeluang untuk melihat sekitar 10 tahi bintang muncul di langit sebagai jaluran cahaya yang bergerak selama beberapa saat. Anda boleh melihat ke langit sehingga waktu subuh.

Sekali lagi ingin diingatkan bahawa anda hanya perlu melihat menggunakan mata kasar sahaja. Tidak perlu teleskop dan sebagainya.  Peristiwa ini boleh dilihat di seluruh kawasan di Malaysia.. dicadangkan anda membuat pencerapan di kawasan yang jauh dari gangguan pencemaran cahaya bandar.

Peristiwa hujan tahi bintang atau hujan meteor Delta Aquarids ini diberi nama Aquarids kerana semua tahi bintang akan keluar dari buruj ini pada malam ini. Peristiwa Aquarids ini sebenarnya mula menjadi aktif bermula 12 Julai sehingga 15 Ogos. Ianya mencapai waktu kemuncak pada malam 30 Julai setiap tahun..

Jom mencerap!
Dr Rizuan Ali

Buruj Aquarius akan berada tepat di atas kepala anda sekitar jam 2 pagi. Apa yang perlu anda buat ialah berbaring sahaja memandang dada langit bermula jam 11 malam hingga ke subuh. 
Buruj Aquarius menjadi pusat kepada peristiwa ini.