Selasa, 6 Disember 2011

Peristiwa Gerhana Bulan Penuh 10 Disember 2011

Assalamualaikum & hai....



Sudah lama saya tidak menulis di sini. Rindu juga untuk menulis balik dan mendapat respon dari kawan2 yang berminat dengan astronomi di luar sana. Kali ini saya ingin mengkhabarkan kepada anda semua akan peristiwa gerhana bulan penuh yang akan berlaku pada 10hb Disember ini.

Gerhana bulan yang bakal terjadi pada sabtu malam 10hb ini merupakan rentetan peristiwa gerhana bulan penuh yang terjadi pada 16 Jun tahun ini. Menariknya kerana ke-dua2 peristiwa gerhana pada tahun 2011 ini ialah gerhana bulan penuh. Tahun terakhir kita melihat gerhana penuh ialah pada tahun 2007 dan jika anda terlepas peluang kali ini, maka anda perlu menanti tahun 2018 untuk melihat gerhana bulan penuh sekali lagi. Namun jangan risau kerana gerhana bulan separa sentiasa akan terjadi setiap tahun pada tahun mendatang sehinggalah tahun 2018 tiba.

Apa yang akan anda lihat nanti ialah pada malam tersebut, bulan yang awalnya bersinar penuh akan menjadi bulan sabit secara perlahan- lahan sehinggalah keselurahan bulan kelihatan bertukar warna menjadi merah tembaga.

Waktu Gerhana

Peristiwa kali ini akan amatlah sesuai dan menyenangkan untuk diikuti memandangkan ianya mula berlaku pada jam 8.46 minit malam dan berakhir pada jam 12.17 pagi (gerhana pada Jun yang lepas adalah pada lewat pagi yang sejuk!) . Pada ketika ini, apa yang terjadi ialah bulan akan mula memasuki bayang gelap bumi (umbra).

Bulan yang pada awal malamnya adalah bulan purnama penuh akan di'makan' sedikit demi sedikit bermula jam 8.46 malam sehinggalah keseluruhan bulan akan berada dalam bayang gelap bumi sepenuhnya pada jam 10.06 minit malam. Pada saat ini dikatakan totaliti bermula.



Bulan akan bermula berada dalam totaliti dari jam 10.06 mlm, kemuncak pada jam 10.32 mlm dan mula keluar dari bayang umbra pada jam 10.57 malam. Bulan akan keluar keseluruhannya dari bayang umbra pada jam 12.17 pagi pada 11hb Disember 2011.

Oleh itu, anda mempunyai masa lebih kurang 3 jam setengah untuk mengikuti peristiwa ini. Apa lagi, ajak rakan2, saudara mara dan orang kampung anda untuk melihat peristiwa ini. Disunatkan untuk melakukan solat sunat gerhana 2 rakaat. Panduannya ada di sini.

Cara untuk mengikuti peristiwa ini mudah sahaja, iaitu menggunakan mata kasar anda! Selain itu, anda boleh cuba untuk merakam peristiwa ini menggunakan kamera dan juga video. Link di sini dan di sini boleh membantu anda mendapatkan idea bagaimana untuk merakam peristiwa ini. 

Jom Sertai Saya dan Dr Rowi Mencerap di Pantai Mek Mas, Kota Bharu

Jom sertai saya dan Dr Rowi melakukan aktviti cerapan gerahna bulan penuh ini di Pantai Mek Mas, Kota Bharu Kelantan. Di sini terdapat chalet milik Dr Rowi yang boleh dijadikan tempat berteduh dan menjanjikan kawasan cerapan yang gelap dan bebas dari lindungan pokok serta bangunan di ufuk.

Antara aktiviti yang akan dilakukan ialah sesi mencerap gerhana menggunakan teleskop, binokular dan mata kasar, sesi penerangan gerhana dan sesi astrofotografi di mana kita akan cuba untuk merakam fasa fasa gerhana.


Lokasi Pantai Mek Mas terletak di Kuala Besar iaitu menghala ke arah kompleks LKIM Kuala Besar. Untuk ke sana, dalam perjalanan anda ke arah Pantai Cahaya Bulan (PCB) dari Kota Bharu, apabila anda terjumpa Balai Polis Badang, sila ambil simpang 3 berdekatan balai polis tersebut (papan tanda ke Kuala Besar). Masuk ke simpang tersebut dan bergerak sejauh 3.5km. Ambil simpang ke kanan dan bergerak terus sejauh 1km sehingga anda melepasi jambatan dan sampai ke hujung jalan. Bagus, lokasi cerapan ada di hadapan anda namun dipisahkan oleh tasik, maka anda perlu ambil kanan dan melalui sedikit jalan kampung untuk sampai ke chalet Dr Rowi. 

Jika anda perlukan bantuan saya jangan malu untuk menghubungi saya di no di bawah.

Jom mencerap!


MOHD RIZUAN ALI
013-2180412
astromas@gmail.com