Panduan Memasang Teleskop

Memasang teleskop adalah sangat mudah. Artikel ini menerangkan bagaimana memasang teleskop jenis pantulan pada mount ekuitorial

Al Quran dan Teori Big Bang

Surah Al Anbiyak ayat 30 mengatakan bahawa alam terhasil dari satu titik yang padu lalu dipisahkan menjadi alam yang sedia ada sekarang ini. Kaitannya dengan teori Big Bang diulas di artikel ini.

Mengenali Planet Kerdil

Apakah itu planet kerdil? Apakah beza planet kerdil dengan planet biasa? Artikel ini mengupas isu tersebut

Kalendar Astronomi 2012

Kalendar ini memuatkan senarai fenomena astronomi yang bakal berlaku pada tahun 2012. Jangan biarkan diri anda terlepas fenomena astronomi yang menarik dan jarang berlaku

Meneroka langit menggunakan binokular

Jangan pandang rendah kepada binokular kerana peralatan ini membolehkan anda melihat bintang, planet, gugusan bintang malah galaksi!

Khamis, 24 Disember 2009

Jom menyambut tahun baru 2010 dengan gerhana bulan separa!

Assalamualaikum & hai...

Apa khabar semua? Saya harap anda semua dalam keadaan sihat sejahtera sahaja. Sedar tak sedar kita telah berada dihujung tahun 2009. Tidak lama lagi tahun 2010 pula akan menjelma. Perjalanan ditahun 2010 belum pasti bagaimana keadaanya. Namun insyaAllah semuanya akan menjadi baik2 sahaja jika ada perancangan dan perlaksanaan yang terbaik dari diri sendiri. Sudah pasti impian dan harapan kita adalah untuk memastikan kita di tahun yang baru adalah lebih baik dari tahun yang lepas. Dengan izin Allah, semuanya akan berjalan lancar.


Rajah 1
Gerhana bulan separa
Kredit imej : http://www.icerabbit.com

Amat menarik untuk tahun 2010 ini kerana kita akan menyambut tahun baru dengan peristiwa gerhana bulan separa pada pagi 1 Januari 2010 nanti. Seperti yang diketahui, gerhana bulan hanya boleh berlaku ketika bulan sedang mengambang penuh sahaja. Maka, pada malam tahun baru, bulan purnama akan memancarkan sinarnya yang terang benderang pada magnitud -12 untuk menerangi alam maya dari kegelapan malam. Secara sinonimnya, ianya bagai melambangkan permulaan hari tahun 2010 akan dimulai dengan kegemilangan cahaya. Alangkah manisnya! hehe

Namun berbeza pula bagi masyarakat di barat  kerana gerhana kali ini akan berlaku pad hujung tahun 2009. Mengikut data yang diberikan oleh pihak NASA, gerhana akan mula  berlaku pada jam 05.17 minit petang (Universal Time), 31 Disember 2009 dimana bulan mula memasuki bayang penumbra bumi. Namun disebabkan GMT bagi Malaysia adalah +8, maka kita akan mula melihat gerhana pada jam 01.17 minit pagi 1 Januari 2010. Satu perbezaan yang bagi saya membawa pelbagai maksud. Di sana ia boleh diibaratkan sebagai pengakhiran kepada tahun 2009 manakala kita di Malaysia membawa kepada sambutan tahun baru!

Adalah menarik juga kerana sedar tidak sedar kita mengalami kejadian bulan penuh/purnama sebanyak dua kali dalam bulan Disember ini. Bulan penuh yang pertama adalah pada 2 Disember 2009 dan yang ke dua adalah pada 31 Disember 2009.

Kejadian bulan penuh sebanyak dua kali dalam masa sebulan ini adalah sangat jarang berlaku. Bulan penuh seperti ini biasanya digelar sebagai blue moon hanya berlaku sebanyak 41 kali dalam masa seratus tahun ini (kurun ke-21). Disebabkan oleh blue moon ini berlaku dengan sangat jarang, maka timbullah istilah once in a blue moon  yang digunakan untuk merujuk kepada perisitiwa yang jarang terjadi.

Dari 41 kali blue moon itu terjadi, hanya 4 kali yang berlaku serentak dengan gerhana bulan. Salah satu darinya ialah pada tahun 1982 yang melibatkan gerhana bulan penuh. Ianya boleh dilihat oleh penduduk di Amerika Syarikat. Namun pada ketika itu, penduduk di sana tidaklah melihat bulan berwarna biru, tetapi ianya adalah sekadar nama yang digelar padanya.hehe

Pada 22 Disember 1999, blue moon pada ketika itu menjadi tumpuan ahli astronomi kerana ianya berlaku pada hari soltis musim sejuk; terjadi hanya beberapa jam dari kedudukan bulan paling dekat dengan bumi (perigee); dan berlaku dalam tempoh sebulan sebelum gerhana bulan seterusnya pada ketika itu.


Gerhana Bulan Separa 1 Januari 2010

Jom kita fokus kepada peristiwa ini pula. Sila rujuk rajah sebagai panduan.


Rajah 2
Klik untuk gambar lebih besar.

Gerhana bulan separa kali ini akan bermula pada jam 01.17 minit pagi dimana bulan akan mula memasuki bayang penumbra bumi (P1 pada rajah 2). Ingin diingatkan disini bahawa bayang penumbra adalah bayang bumi yang separa gelap. Maka bayang yang akan bakal kelihatan di permukaan bulan berkemungkinan tidak dapat dikesan oleh mata kasar disebabkan oleh kontras yang kurang ketara.

Maka ingin saya cadangkan anda memulakan cerapan dengan mula melihat bulan ketika ianya sedang ingin masuk ke bayang umbra bumi pada jam 02.52 minit pagi (U1). Bermula dari detik ini, anda akan melihat sebahagian kecil dari permukaan bulan akan dimamah secara perlahan2 oleh bayang umbra bumi.

Keadaan ini akan berterusan sehinggalah kemuncak gerhana iaitu pada jam 03.23 minit pagi. Seterusnya bulan akan terus berada dalam bayang umbra sehinggalah ia keluar secara keseluruhannya dari bayang umbra pada jam 03.52 minit pagi (U4).

Bulan akan keluar dari bayang penumbra pada jam 05.28 minit pagi (P4) yang menandakan berakhirnya peristiwa kali ini.


Rajah 3
Perbandingan rupa bulan ketika gerhana (kiri) dan sebelum gerhana pada pagi 1 Januari 2010

Jadi bagai mana untuk mencerap peristiwa ini?

Mudah sahaja, pada waktu yang dinyatakan, pandang sahaja ke arah langit barat (arah matahari tenggelam) di mana anda lihat bulan berada. Harap2 tak mendung atau hujan nanti.

Jangan lupa untuk khabarkan kepada saya perkembangan anda ketika pencerapan. Saya akan nantikan berita dari anda!


Selamat mencerap!

Mohd Rizuan B. Ali,
013-2180412
ibnu_ali_87@yahoo.com



Isnin, 14 Disember 2009

Data Cerapan Geminids Dari 11hb hingga 16 Disember. Anda masih ada peluang!

Assalamualaikum & hai...

Bagaimana dengan pencerapan hujan meteor Geminids anda?

Kecewa kerana terlepas beberapa malam yang lepas? Jangan risau kerana malam2 yang berbaki masih lagi boleh digunakan untuk menikmati Geminids.

Berikut adalah data bilangan meteor mengikut hari yang disediakan oleh Fluximator NASA. Graf ini merujuk kepada pencerapan yang dilakukan di kawasan desa. Paksi X merujuk kepada waktu dan paksi Y merujuk kepada bilangan meteor.

Malam 11hb hingga ke pagi 12 Disember.
Waktu puncak  03.18 pagi dengan 12 meteor per jam

Malam 12hb hingga ke pagi 13 Disember.
Waktu puncak 03.46 pagi dengan 22 meteor per jam

Malam 13hb hingga ke pagi 14 Disember.
Waktu puncak 03.58 pagi dengan 58 meteor per jam

Malam 14hb hingga ke pagi 15 Disember.
Waktu puncak 02.22 pagi dengan 27 meteor per jam

Malam 15hb hingga ke pagi 16 Disember.
Waktu puncak 02.34 pagi dengan 7 meteor per jam.

Rumusan :
11/12 Dis : 12 meteor per jam
12/13 Dis : 22 meteor per jam
13/14 Dis : 58 meteor per jam
14/15 Dis : 27 meteor per jam
15/16 Dis : 7 meteor per jam

Berdasarkan graf di atas, bilangan meteor mula semakin banyak pada malam 12/13 Disember, memuncak pada malam 13/14 Disember dan mula menurun pada malam 14/15 Disember.

Jika anda terlepas malam 13/14 Disember, maka jangan lepaskan peluang untuk mengikuti peristiwa ini pada malam 14/15 Disember.

Jika terlepas juga disebabkan oleh keadaan cuaca dan sebagainya, jangan risau kerana tahun depan peristiwa ini akan terjadi lagi. Cuma kena sabar sedikit menunggu..hehe

Jom mencerap!
Mohd Rizuan B. Ali,
ibnu_ali_87@yahoo.com
013-2180412



Sabtu, 12 Disember 2009

Maklumat Pencerapan Hujan Meteor Geminids 2009

Assalamualaikum & hai….

Apa khabar semua? Saya harap anda berada dalam keadaan yang sihat sahaja. Saya baru sahaja sembuh dari demam selesema selama 3 hari. Alhamdulillah sekarang keadaan semakin baik untuk membolehkan saya menaip artikel untuk Geminids 2009 ini. Hehe.  Mungkin ini sedikit terlambat namun mungkin boleh dijadikan panduan pada saat2 akhir kepada anda.

Peristiwa hujan meteor Geminids merupakan peristiwa hujan meteor yang paling ditunggu-tunggukan sepanjang tahun. Ianya selalu dianggap sebagai peristiwa yang boleh diharap dan kebiasaannya tidak menghampakan para pencerap yang menunggu.

Antara kelebihannya ialah Geminids biasanya menawarkan 120 tahi bintang untuk satu jam untuk dicerap. Jaluran tahi bintang yang dihasilkannya pula adalah terang dan berkelajuan sederhana untuk membolehkan kita tidak akan terlepas pandang tahi bintang yang melintas di langit.  Kemuncaknya juga biasa boleh dinikmati pada dua hari antara waktu kemuncak, yang menjadikannya boleh dicerap oleh semua manusia tidak kira di pelusuk dunia mereka berada.

Tahun ini, peristiwa hujan meteor Geminids menjadi lebih menarik untuk dicerap memandangkan sang bulan tidak akan berada di dada langit malam. Maka langit akan menjadi sangat gelap untuk membolehkan kita melihat jaluran cahaya tahi bintang yang malap. Apatah lagi tahi bintang yang terang yang disebut sebagai fireball.

Artikel kali ini saya sediakan dalam bentuk soalan dan jawapan (FAQ)

Peristiwa hujan meteor ? Apa tu? Boleh makan ke?

Credit & CopyrightWally Pacholka (AstroPics.com, TWAN)

Peristiwa hujan meteor /peristiwa hujan tahi bintang/meteor shower adalah satu peristiwa astronomi yang membolehkan kita melihat banyak tahi bintang di langit pada satu jangkamasa tertentu. Bilangan tahi bintang yang boleh dilihat ketika waktu kemuncaknya boleh mencapai hingga ratusan tahi bintang dalam masa satu jam.  Namun ini bergantung kepada apakah jenis peristiwa hujan meteor tersebut. Sebagai contohnya peristiwa hujan meteor Taurids hanya menawarkan sekitar 10 tahi bintang dalam masa satu jam manakala Geminids pula boleh mencapai 120 tahi bintang dalam masa satu jam.

Apa yang akan saya lihat? 

Anda berpeluang untuk melihat satu jaluran cahaya yang panjang melintasi dada langit secara tiba2. Ianya boleh bertahan selama satu saat hingga dua  saat sahaja. Ada yang sangat cerah sehingga mampu menghasilkan bayang anda di lantai. Namun ada juga yang malap. Kecerahanya bergantung kepada saiz ketulan batu angkasa yang masuk ke atmosfera bumi pada ketika itu. Kebiasanya ianya bersaiz pasir di pantai sehinggalah ke saiz bola keranjang. Jangan risau kerana batuan tersebut akan habis terbakar di atmosfera.

Betul ke boleh tengok banyak tahi bintang dalam masa satu malam? Berapa banyak tu?

Mengikut data yang diberikan oleh perisian Fluximator oleh NASA, kita berpeluang untuk melihat sehingga 5.4 meteor per jam bagi di pusat bandar, 30 meteor dalam masa satu jam bagi pencerap yang berada di kawasan subbandar,  58 meteor per jam bagi pencerap di kawasan desa, dan sekitar 86 meteor per jam bagi pencerap di puncak gunung.

Graf untuk pencerap di pinggir bandar di bawah menunjukkan tahi bintang mula aktif bermula jam 11 malam (21 hours) dan memuncak pada jam 4 pagi.



Saya belum beli lagi teleskop. Mahal lah. Jadi macam mana saya nak mencerap peristiwa ini? Merajuklah macam ni.

Anda jangan risau kerana pencerapan hujan meteor tidak memerlukan penggunaan teleskop ataupun binokular. Malah alatan ini boleh disimpan sahaja dalam rumah  pada waktu tersebut. Apa yang diperlukan ialah sepasang mata yang boleh melihat dengan jelas, sebidang tikar untuk membantu anda berbaring dengan selesa, satu bantal untuk mengalas kepala untuk mengelakkan tengkok anda cramp pada keesokan paginya, baju yang selesa, secawan air kopi dan juga beberapa kawan untuk memeriahkan lagi suasana. Lagi ramai lagi bagus. Jangan lupa juga  untuk memasang ubat nyamuk untuk mengelakkan aktiviti cerapan anda berubah menjadi aktiviti manampar nyamuk.

Cara cerapan ialah dengan berbaring sambil memandang ke dada langit. Sabar menunggu, insyaAllah akan ada tahi bintang yang akan melintas di langit secara tiba2 yang akan menyebabkan jantung anda berdegup laju secara tiba2. Seterusnya pasti senyuman akan terukir di bibir anda dan perasaan tidak sabar untuk melihat tahi bintang seterusnya.

Bila Boleh Mencerap Peristiwa Ini?

Pencerapan hujan meteor Geminids boleh dilakukan pada malam 12hb Disember sehingga pagi dan malam 13 Disember sehingga pagi. Namun ramai peminat astronomi amatur di Malaysia melakukan pencerapan pada malam 13hb ke pagi 14 Disember.

Radian iaitu pusat kepada peristiwa hujan meteor Geminids  ialah buruj Gemini Sang Kembar . Ianya akan mula muncul dari dada langit timur pada jam 9 malam 13 Disember.  Namun disebabkan pada ketika itu buruj tersebut begitu rendah di ufuk, maka apa kata kita tangguhkan dulu pencerapan sehingga jam 12 malam di mana buruj ini sedang berada sekitar 40 darjah dari ufuk timur.


Buruj Gemini  yang menjadi pusat peristiwa ini.

Bermula jam 12 malam, bolehlah anda hamparkan tikar berserta bantal dan pandanglah ke dada langit menggunakan mata kasar anda. Pencerapan boleh dilakukan sehingga matahari terbit.

Langit tu luas. Jadi saya perlu pandang ke arah mana?


Pada awal malam, anda boleh memandang ke langit timur. Apabila sudah tengah malam, maka anda boleh memandang mana2 arah di langit. Cuba kenal pasti buruj Gemini yang akan berada di langit timur pada awal malam.  Rujuk rajah di bawah untuk sebagai bantuan.

Rajah menunjukkan keadaan langit timur (kawasan matahari terbit) pada 12 tengah malam 14 Disember. Kelihatan buruj Gemini tergantung di langit menjadi punca tahi bintang keluar.

Saya risau tahi bintang tu jatuh terkena saya. Dah la saya tak kahwin lagi ni.

Anda jangan risau kerana tidak pernah direkodkan kejadian manusia mati dihempap tahi bintang. Maka peluang anda untuk terkena mungkin 1 dalam sejuta.


Kenapa saya tak boleh terlepas peristiwa Geminids ini?

1. Ini peluang anda untuk melihat banyak tahi bintang dalam masa satu malam. Sebelum ini tengok dalam televisyen sahaja kan?
2. Kerana Geminids pasti tidak akan mengecewakan pencerapnya.
3. Kerana tahun ini tiada bulan yang mengganggu pencerapan. Tahun lepas bulan penuh berada di langit ketika waktu cerapan.
4. Keadaan langit yang kelihatan sangat baik pada dua tiga malam ini.

Apa saya perlu buat jika saya terlepas untuk mencerap peristiwa ini? Mak saya tak kasi saya keluar malam. Sedih

Peristiwa Geminids ini berlaku setiap tahun. Maka anda boleh mengikuti peristiwa ini pada tahun hadapan pula. Namun jangan lupa bahawa hampir setiap bulan terdapat peristiwa hujan meteor yang berlainan. Sila layari blog Astromas untuk info akan peristiwa astronomi akan datang.

Jika saya keluar mencerap, tetapi tak dapat lihat apa2. Astromas kelentong saya ke ni?

Ada beberapa kemungkinan anda tidak dapat melihat tahi bintang ketika peristiwa ini memuncak.
1. Anda memandang langit yang ditutupi awan.
Penyelesaian : Pandang sahaja di mana2 kawasan langit yang anda lihat bintang berada. Jika langit gelap sepenuhnya tanpa bintang, itu bermaksud awan sedang melitupi langit. Jika ada kawasan yang sedikit terbuka, maka tumpulah pada kawasan itu.
2. Anda memandang langit untuk dua saat kemudian bersembang dan bermain dam dengan rakan.
Penyelesaian : Anda perlulah berbaring dan memandang langit paling kurang untuk beberapa minit secara terus menerus. InsyaAllah akan ada tahi bintang yang akan ditangkap oleh mata anda. Sabar adalah kunci kejayaan.hehe

Jika saya menghadapi masalah, apa yang perlu saya buat?

Jangan segan untuk menghubungi saya jika anda ada persoalan untuk ditanyakan. Panggilan adalah diutamakan berbanding SMS. :-)

Sekian dulu dari saya.

Jom mencerap!
Mohd Rizuan Ali,
ibnu_ali_87@yahoo.com
013-2180412



Isnin, 16 November 2009

[KEMAS KINI] Sesi Cerapan Leonids 09 di Dataran Shah Alam

Kemas kini mengenai lokasi (update 8.40pm, 16hb Nov)

Assalamualaikum & hai...


Bersempena peristiwa hujan meteor Leonids 2009 pada 18hb November ini, saya akan melakukan sesi pencerapan seperti mana berikut :

Program : Pencerapan Hujan Meteor Leonids 2009
Lokasi    : Sebelah Padang B, Dataran Shah Alam, Selangor D.E
Masa      : 02.00 pagi ~ 06.30 pagi (kemuncak pada 5.45 pagi)
Tarikh     : 18hb November 2009



 Credit : 2001 F. Espenak

Dengan ini saya ingin menjemput rakan2 semua  untuk sama2 memeriahkan aktiviti cerapan. Ajak sekali ibu-bapa dan rakan2 lain yang berminat. Sesi membaca peta bintang dan chit chat astronomi  turut akan diadakan. Jika sesiapa ingin sponsor air kopi/nescafe atau makanan ringan pula amatlah dialu-alukan..hehe

Ini hanyalah sesi cerapan kecil sahaja. Mungkin lain kali kita boleh buat secara lebih besar dan teratur. Mungkin untuk peristiwa Geminids pada bulan Disember nanti ;-) Saya akan sediakan peta bintang dan almanac percuma untuk anda semua nanti.

 Lokasi Cerapan


View Larger Map

Arah masuk ke lokasi. Dilihat dari jalan utama di Dataran Shah Alam. Perhatikan padang B di sebelah kiri gambar

Papan tanda di persimpangn jalan untuk ke lokasi. Dibelakang adalah Padang B

Lokasi cerapan. Ada sedikit pokok2 tapi tidak akan mengganggu cerapan.

Pesan saya, Jangan lupa untuk memakai baju sejuk dan membawa tikar dan bantal jika perlu untuk memastikan keselesaan sewaktu cerapan. Kalau tidak nanti kesejukan pulak. :p

Jumpa di sana!

Jom mencerap!
MOHD RIZUAN BIN ALI,
ibnu_ali_87@yahoo.com
013-2180412



Ahad, 15 November 2009

[KEMAS KINI] Mencerap Hujan Meteor Leonids 18 November 2009

Kemaskini terbaru  : 15 November 2009

Assalamualaikum & hai...


Pasti ramai yang teruja untuk mencerap peristiwa hujan meteor kali ini. Dikhabarkan bahawa peristiwa Leonids pada tahun ini akan membawa kita kepada peristiwa hujan tahi bintang yang hebat seperti yang pernah berlaku pada tahun 2001.

Mengikut data terbaru yang disediakan oleh International Meteor Organization, kita berkemungkinan dapat melihat sehingga 150 ke 200 tahi bintang dalam masa satu jam. Dijangka peristiwa ini akan memuncak pada jam 05.46 minit malam pada 18hb November 09 ini. Buruj Leo yang akan menjadi pusat (radian) kepada peristiwa ini hanya akan keluar dari ufuk timur sekitar jam 1 pagi pada 18hb Nov.

Maka, saya ingin mencadangkan kepada anda untuk memulakan sesi cerapan bermula pukul 2 pagi pada18 November 09 sehinggalah ke waktu matahari mula timbul di langit timur. Ini adalah berdasarkan data oleh perisian Java Fluximator oleh pihak NASA seperti di bawah.

Rajah 1
Maklumat akan bilangan meteor yang kelihatan untuk peristiwa Leonids. Garisan hijau menunjukkan waktu kemuncak iaitu sekitar jam 5.45 minit pagi.


Pada waktu tersebut, anda hanya perlu berbaring di atas tikar dan pandanglah langit menggunakan mata kasar sahaja. Sebarang peralatan optik seperti teleskop atau binokular tidak  diperlukan sama sekali. Cuma cermin mata sahaja digalakkan pakai bagi yang rabun tu.hehe..

Jangan lupa untuk mengajak teman2 untuk menikmati keajaiban ini kerana ianya pasti akan menambahkan suasana gamat tika saat anda terlihat tahi bintang yang melintas di dada langit. Sediakan juga makanan ringan dan air nescafe atau kopi untuk menghilangkan rasa mengantuk. Ubat nyamuk pun penting juga.

Ingin sekali saya menasihati anda di sini supaya memerhatikan keadaan awan. Jika langit di tempat anda dilitupi oleh awan tebal yang gelap, maka mungkin anda boleh masuk rumah dahulu dan kemudian keluar lagi apabila awan sudah beredar dari dada langit. Jika tidak, penantian anda hanya akan menjadi sia2. Oleh itu, marilah kita sama2 berdoa agar pada pagi 18hb nanti, keadaan cuaca tidak hujan dan langit adalah bebas dari awan. Jika ada awan yang sedikit, anda bolehlah melihat ke arah 'lubang2' langit yang tidak ditutupi awan. Sebagai klu untuk anda, langit yang tidak diliputi awan akan memperlihatkan bintang di langit tersebut. Ok?


 Rajah 2
Menunjukkan keadaan langit mengikut pandangan anda ketika sedang berbaring pada jam 3 pagi 18 Nov 09.
Sila klik untuk gambar lebih besar.

Terdapat beberapa objek langit yang menarik boleh anda lihat pada waktu cerapan ini. Antaranya ialah planet Marikh, gugusan Jula Juli bintang 7, buruj belantik, galaksi Andromeda dan banyak lagi. Sila rujuk gambar rajah di atas. Klik pada imej dan simpankan ia di dalam komputer anda untuk rujukan nanti.

Oh..sebelum saya terlupa, peristiwa ini boleh dilihat dari seluruh pelusuk negara kita dan juga negara2 bukan di Malaysia. Jadi jangan risau anda tidak berpeluang untuk mengikuti peristiwa ini.

Rumusan untuk peristiwa ini adalah seperti berikut :

Peristiwa  : Hujan Meteor (tahi bintang) Leonids
Tarikh      : 18 November 2009
Masa       :  12am ~ 6 pagi
Lokasi     :  Mana2 tempat di Malaysia. Cuba cari lokasi yang segelap mungkin seperti di kampung2.
Peralatan  : Mata kasar sahaja, tikar, bantal, ubat nyamuk, sedikit air dan makanan.
Teknik Cerapan : Berbaring di kawasan lapang yang terlindung dari cahaya lampu & pandanglah ke langit

Jangan lupa untuk menghubungi saya ketika anda sedang mencerap. Sebarang soalan akan saya jawab dengan senang hati sekali.

Jom mencerap!
MOHD RIZUAN B. ALI
013-2180412
ibnu_ali_87@yahoo.com (YM)
astromas (Skype)



Sabtu, 7 November 2009

Sesi Cerapan dan Ceramah di Balai Seni Lukis Negara 7hb Nov 09

Assalamualaikum & hai..


Petang ini (7hb Nov 09), saya, Dr Chong dan rakan dari USM akan berada di Balai Seni Lukis Negara untuk satu sesi ceramah astronomi dan cerapan bintang. Program akan bermula pada jam 6 petang dan berakhir sekitar 12 malam.

Anda semua dijemput hadir. Masuk adalah percuma

Boleh hubungi saya jika perlu.

Jom mencerap!

013-2180412



Jumaat, 6 November 2009

Teleskop James Webb Peganti Teleskop Hubble

Artikel oleh : Mohd Rizuan Bin Ali
http://astromas2020.blogspot.com


Rajah 1
Gambaran artis terhadap Teleskop Angkasa James Webb.


Teleskop Angkasa James Webb (James Webb Space Telescope, JWST) boleh dikatakan sebagai teleskop pengganti kepada teleskop angkasa Hubble. Namun ianya akan mencerap dalam julat gelombang inframerah, iaitu tidak seperti teleskop Hubble yang mencerap dalam gelombang cahaya dan sinar ultra-ungu. Seperti teleskop Hubble, JWST juga akan ditempatkan di ruang angkasa lepas tetapi ianya lebih jauh iaitu pada jarak 1.5 juta kilometer dari bumi iaitu pada titik Lagrange ke-2 (L2) berbanding teleskop Hubble pada jarak 570 kilometer sahaja dari permukaan bumi. JWST adalah hasil kerjasama antara NASA, Agensi Angkasa Eropah dan Agensi Angkasa Lepas Kanada. JWST dahulunya dikenali sebagai Teleskop Angkasa Generasi Seterusnya (Next Generation Space Telescope, NGST) namun telah diubah namanya dengan mengambil nama pengarah kedua NASA, James E. Webb sebagai nama kepada teleskop ini. Dengan panjang 22 meter dan diameter 12 meter, JWST adalah lebih hampir dua kali ganda lebih besar dari sebuah bas sekolah. JWST dirancang untuk dilancarkan tidak awal dari bulan Jun 2013.


MISI



Misi saintifik JWST melibatkan empat komponen utama iaitu; mengkaji cahaya dari bintang dan galaksi pertama yang terbina selepas kejadian Big Bang; untuk mengkaji pembentukan dan evolusi galaksi, untuk memahami proses pembentukan bintang dan sistem protoplanetari; dan untuk mengkaji sistem planetari dan kejadian asal kehidupan. Untuk membolehkan kajian ini dibuat, JWST akan beroperasi dalam mod gelombang inframerah yang mana tidak akan menghasilkan gambar secantik yang dihasilkan oleh Teleskop Angkasa Hubble. JWST akan beroperasi dengan julat gelombang antara 0.6 ke 28 micrometer yang membolehkan pencerapan tidak terganggu oleh gelombang inframerah yang dihasilkan oleh teleskop itu sendiri. Oleh itu badan teleskop perlu dipastikan sentiasa berkeadaan sejuk dan terlindung dari matahari untuk mengekalkan suhu sekitar -233.15 darjah selsius. Misi pelancaran JWST dijangkakan tidak awal dari bulan Jun 2013 dan bakal di lancarkan oleh roket Ariane 5 di Pusat Angkasa Lepas Kourou Guiana, di French Guina. JWST bakal di letakkan di titik orbit L2 yang mana merupakan kawasan yang sesuai untuk memberi perlindungan dari radiasi inframerah dari matahari dan juga dari bumi dan bulan. JWST akan hanya mula beroperasi menjalanlkan misi sainsnya selepas enam bulan dilancarkan.


OPTIK

Cermin utama JWST (cermin pembalikan berilium berdiameter 6.5 meter) mempunyai keupayaan 6 kali lebih besar mengumpul dari Hubble. Oleh sebab diameter ini adalah terlalu besar untuk diangkut oleh mana-mana pesawat pelancar, maka cermin JWST adalah terdiri dari 18 segmen cermin hexagonal, yang akan dilipat semasa teleskop ini dilancarkan. Mikromotor sensitif dan sensor wavefront akan memastikan kedudukan segmen cemin ini berada di kedudukan yang tepat yang mana tidak seperti cermin teleskop Keck di Hawaii yang senantiasa perlu dikawal menggunakan optik aktif untuk mengatasi kesan angin dan graviti di bumi.







Rajah 2
Kedudukan JWST di titik L2 adalah sejauh 1.5 juta kilometer iaitu hampir 4 kali ganda lebih jauh dari jarak bulan-bumi.


STATUS TERKINI


JWST kini menghampiri fasa C perekaannya. Pada Januari 2007, 9 dari 10 teknologi yang dibangunkan untuk JWST telah melepasi penilaian yang ketat yang bertujuan untuk mengelakkan risiko terhadap program ini seperti yang pernah berlaku terhadap teleskop Hubble yang tidak dapat berfungsi selepas perlancarannya kerana kesilapan pada cermin utama. Dijangkakan kos pembangunan, perlancaran dan penyelenggaraan JWST akan mencecah US Dolar 4.5 bilion yang mana 1 bilion adalah kos penyelenggaraan selama 10 tahun.


PEMBINAAN JWST

Pusat Penerbangan Angkasa Goddard milik Nasa di Greenbelt, Maryland merupakan pusat pengurusan utama misi JWST. Pusat ini juga bertanggung jawab untuk pembangunan Modul Peralatan Sains Integrasi (Integrated Science Instrument Module, ISIM) yang merupakan jantung kepada JWST. ISIM terdiri dari empat peralatan sains. Satu darinya ialah NIRCam (Near InfraRed Camera). NIRCam adalah peralatan pengimejan gelombang inframerah yang berupaya mencerap gelombang dari 0.6 micrometer (hampir kepada gelombang cahaya) hingga ke 5 micrometer (hampir kepada gelombang inframerah). NIRCam akan turut bertindak sebagai sensor wavefront dan pengawalan aktiviti teleskop.


Sebagai tambahan terhadap keupayaan pengimejan hampir inframerah yang dimiliki oleh NIRCam, JWST juga akan melakukan spektroskopi melalui julat gelombang yang dicerap oleh NIRSpec (Near InfraRed Spectrograph). NIRSpec kini sedang dibina oleh Agensi Angkasa Lepas Eropah di ESTEC, Noordwijk, Belanda. Pembinaan NIRSpec melibatkan 3 mod pencerapan; mod resolusi rendah menggunakan prisma, mod pelbagai-objek R~1000, dan mod R~3000 unit penglihatan integrasi. Mekanisma dan elemen optikal ini kini sedang direka, dibangunkan dan diuji oleh Carl Zeiss Optronics GmbH di Oberkochen, German.


Gelombang pertengahan inframerah pula akan dicerap oleh oleh MIRI (Mid InfraRed Instrument) yang terdiri dari kamera pertengahan inframerah dan spektrometer yang mempunyai julat spektral gelombang dari 5 ke 27 micrometer. Ciri-ciri mekanisma roda pada MIRI adalah hampir sama dengan NIRSPec yang juga turut dibangunkan oleh Carl Zeiss Optronics GmbH.


Instrumen ke-empat dikenali sebagai FGS (Fine Guidance Sensor) yang diketuai pembangunnanya oleh Agensi Angkasa Kanada di bawah projek kajian Dr. John Hutchings dari Balaicerap Astrofizikal Dominion, Victoria. FGS digunakan untuk menstabilkan arah pandangan teleskop sewaktu pencerapan dilakukan dengan menggunakan penunjuk tepat dan bintang sebagai titik panduan. Sensor FGS merangkumi julat gelombang 1 hinga 5 micrometer. Turut dimuatkan dengan FGS ialah kamera penapis boleh-ubah yang menghasilkan imej pada julat gelombang 1.6 hingga 4.9 micrometer, dengan jurang antara 2.6 hingga 3.1 micrometer yang dikawal oleh Farby-Perot etalon boleh ubah.


Rajah 3
Rajah menunjukkan satu kawasan langit yang sama diambil menggunakan teleskop yang mencerap pada gelombang yang berbeza.





Berbanding teleskop Hubble, JWST menggunakan teknologi terbaru yang membolehkannya tidak perlu diperbaiki langsung. Namun baru-baru ini, pihak Nasa bercadang untuk menambah peralatan tambahan supaya pesawat angkasa seterusnya dapat melawat teleskop ini untuk memperbaiki masalah-masalah yang mungkin timbul secara tidak disangka. Tambahan lagi dengan adanya kapal angkasa Orion yang baru yang berupaya untuk mengambil angkasawan pergi ke bulan dan balik semula.


Adalah sangat penting untuk pencerapan dilakukan dalam julat gelombang yang berbeza seperti sinar cahaya, sinar UV, sinar inframerah dan lain-lain kerana kombinasi hasil pelbagai mod pencerapan akan mendatangkan kefahaman yang lebih terhadap sesuatu objek yang ada langit. Pelbagai halangan dan kelemahan setiap pencerapan seperti persembunyian objek di debu-debu angkasa pasti dapat diatasi dengan hadirnya pelbagai jenis teleskop seperti yang dilakukan oleh teleskop Hubble dalam gelombang cahaya, teleskop Chandra dalam gelombang sinar X, teleskop Spitzer dalam gelombang inframerah dan kini bakal ditambah oleh JWST yang bakal menjadi teleskop utama untuk dekad seterusnya.


Salam hormat,



ASTROMAS,
013-2180412
ibnu_ali_87@yahoo.c

Khamis, 1 Oktober 2009

Kapal Angkasa MESSENGER Mendekati Utarid


Imej resolusi tinggi dibahagian utara Utarid iambil oleh MESSENGER 
Kredit imej : MESSENGER team


Semalam, 29 September 09, kapal angkasa MESSENGER  milik NASA telah melakukan penerbangan mendekati planet Utarid. Ini merupakan penerbangan lintas (flyby) MESSENGER yang ke tiga sejak pelancarannya pada Ogos 2004 yang lalu. Penerbangan lintas yang pertama adalah pada  14 Januari 08, kali ke dua pada  6 Oktober tahun yang sama dan kali ke tiga pada hari semalam.

MESSENGER merupakan misi NASA yang ke-dua ke Utarid selepas misi kapal angkasa Mariner 10 telah tamat beroperasi pada Mac 1975.

Penerbangan lintas kali ini membolehkan MESSENGER mengambil gambar sekitar 5% dari permukaan Utarid yang tidak sempat dirakam oleh Mariner 10. Menurut Emily Lakdawalla di blognya, antara tujuan penting penerbangan lintas kali ini ialah untuk membolehkan kapal angkasa tersebut mendapatkan bantuan lencongan graviti Utarid untuk membolehkannya memasuki orbit eliptikal mengelilingi planet itu pada 2011.


Bahagian planet Utarid yang sebelum ini tidak pernah dilihat
Kredit imej : Credit: NASA/Johns Hopkins University Applied Physics Laboratory/Carnegie Institution of Washington

Semalam, kapal angkasa ini telah terbang pada jarak terdekatnya, 228 km di atas Utarid pada kelajuan 12 ribu batu per jam sebelum menuju ke belakang planet tersebut untuk mendapatkan bantuan lencongan graviti. Lencongan graviti ini akan memperlahankan kelajuan MESSENGER ke sekitar 6 ribu batu per jam yang akan meletakkannya pada laluan yang betul untuk membolehkan kemasukan ke orbit Utarid dapat dilakukan pada 2011.

Kapal angkasa MESSENGER direka untuk mengkaji 6 persoalan utama di Utarid iaitu mengenai ketumpatan tinggi Utarid; sejarah geologinya; sifat medan magnetik dan struktur di terasnya; kemungkinan kewujudan ais di kutubnya; dan mengkaji atmosfera nipis yang wujud padanya.

 Salam hormat,


ASTROMAS,
Astronomi Untuk Semua,
ibnu_ali_87@yahoo.com



Rabu, 23 September 2009

Kapal Angkasa Kargo Jepun Tiba di ISS

*Dipetik dari akhbar  Berita Harian

CAPE CANAVERAL (Florida): Kapal angkasa kargo terbaru Jepun selamat tiba di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada jarak 225 kilometer dari bumi pada 10 September yang lepas.

Angkasawan Nicole Stott menggunakan 'tangan robot' di ISS untuk menarik bekalan seberat 18 tan dari kapal angkasa kargo itu, petang semalam.

Kapal angkasa itu - yang pertama di dunia - dilancarkan ke orbit minggu lalu dari Jepun. 



Ia juga kapal angkasa pertama tanpa manusia di dalamnnya, 'mendarat' di ISS pada jarak 9 meter.

Sebelum ini, kaedah lama pendaratan kapal angkasa kargo ke ISS milik Russia dan Eropah ialah mendarat terus di ISS.

Kapal angkasa kargo Jepun itu membawa makanan, komputer riba, tangan robotik dan bahan kajian atmosfera.

Jepun memperuntukkan sejumlah AS$680 juta untuk mengangkut bahan itu ke ISS. - AP 


p/s : Satu perkembangan menarik untuk bidang aeroangkasa bukan?

Astronomi Untuk Semua,
ibnu_ali_87@yahoo.com



Ahad, 20 September 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2009




Assalamualaikum...

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua peminat astronomi dan falak serta semua yang mengenali saya.

Mohon maaf zahir dan batin jika ada salah dan silap dari pihak saya.

Semoga anda semua bergembira di hari raya.


Salam lebaran,

Astromas,
Astronomi Untuk Semua.



Jumaat, 18 September 2009

Fenomena Astronomi September 2009

Assalamualaikum...

Berikut adalah senarai peristiwa astronomi yang akan berlaku sehingga hujung bulan ini. Waktu dinyatakan dalam format Universal Time (UT). Tambah 8 jam untuk waktu Malaysia.


18hb    0        Utarid pada jarak paling dekat dengan bumi
18hb    18 44 Bulan Baru. Dah nak raya ni...hehe
19hb    0        Bulan sangat hampir dengan Utarid! 1.1 darjah
20hb    9        Utarid berkonjukasi inferior
20hb    9        Bintang Regulus di buruj Leo berada 0.4 darjah dari Zuhrah
20hb    20      Bintang Spica 3.2 darjah di utara Bulan
22hb    21 19 Ekuinoks bermula!! Matahari betul2 di atas kepala
24hb    6        Bintang Antares (Scorpio) berselisih 0.8 darjah di Selatan Bulan
26hb    4        Suku pertama bulan
28hb    3        Bulan berkedudukan paling jauh dari bumi (apogee)
30hb    0        Bulan dan Musytari berselisih 3 darjah
30hb    13      Bulan di 2.8 darjah Utara Neptun



Planet Cerapan Bulan ini

Sehingga hujung bulan ini, langit pada lewat petang kita tidak akan dihiasi oleh mana2 planet. Maka pencerapan anak bulan pada 19hb ini  tidak akan ditemani oleh mana-mana planet seakan 'satelit' yang biasa kelihatan tergantung di kaki langit. Planet yang dimaksudkan ini ialah planet Zuhrah atau bintang Kejora, yang hanya akan mula muncul di kaki langit timur pada jam 5 pagi sepanjang bulan ini. Planet ini akan kelihatan sangat cerah di kaki langit pada waktu subuh.


Planet Musytari dan 4 bulan utamanya. Diambil menggunakan lens DSLR 135mm
Kredit imej : Paul  Larne

Sebelum itu, ketika waktu malam mula melabuhkan tirai, pandangan kita sudah pasti tertumpu pada satu titik 'bintang' yang amat terang berada hampir di atas kepala. Objek ini iaitu planet Musytari yang akan mendominasi langit malam dengan kecerahannya yang amat terang, iaitu sekitar magnitud -2. Ianya akan bertapa di buruj Capricornus sehinggalah hujung bulan. Jangan lepaskan peluang untuk melihat planet ini berada sangat hampir dengan Bulan pada 30hb ini.

Sedang anda melihat planet Musytari pada awal malam, jangan lupa untuk melemparkan pandangan anda ke arah pusat galaksi bima sakti kita yang berada di buruj Saggitarius. Mungkin lebih mudah untuk anda mengenali buruj Scorpio si kala jengking disebelahnya. Untuk mencarinya, halakan pandangan anda ke arah langit selatan pada awal malam pada bulan ini. Jika anda bernasib baik, anda akan dapat melihat jaluran awan galaksi Bima Sakti!!


Menjelang pukul 2.30 pagi pula, planet Merah iaitu Marikh akan mula keluar dari ufuk dan akan mula meninggi ke dada langit sehinggalah waktu pagi. Bulan ini, planet merah ini akan mendiami buruj si kembar iaitu Gemini. Apabila melihat planet ini, pasti mata anda akan terlihat juga kepada dua bintang paling dominan dalam buruj Gemini iaitu Pollux dan Castor yang dikatakan pasangan kembar dalam mitos Greek.

Selamat mencerap!

p/s : Harap anda sukakan template baru ini.hehe. Komen janganlah segan..



Astronomi Untuk Semua,
ibnu_ali_87@yahoo.com
013-2180412



Ahad, 23 Ogos 2009

Selamat Berpuasa Semua!

Assalamualaikum & hai..

Selamat berpuasa saya ucapkan kepada umat Islam diseluruh dunia. Semoga Ramadhan yang penuh  barakah ini tidak kita sia-siakan begitu sahaja.


Bagaimana pengalaman mencerap hujan meteor Perseids anda? Saya pasti sesiapa yang meluangkan masa untuk mencerap pasti dapat melihat paling kurang satu atau dua jaluran meteor Perseid.


Video di atas telah rakamkan oleh John Chumack dari Dayton Ohio.

Rakaman dibuat selama 3 hari (11 hingga 14 Ogos) dengan menghalakan kamera ke arah langit utara. Dalam video selama 55 saat ini, 200 meteor telah kelihatan. Bulan pula kelihatan naik sebanyak 3 kali.

Tahi bintang yang paling terang dilihat dalam video ini ialah sekitar magnitud -8 iaitu hampir 5 kali ganda lebih terang dari bintang paling terang di langit, Sirius!

Menarik bukan?


Salam dari saya,
013-2180412
ibnu_ali_87@yahoo.com



Selasa, 11 Ogos 2009

Jom Mencerap Hujan Meteor Perseids Ogos Ini!

Sudah Lama Tak Mencerap Hujan Meteor


 Rajah 1
Perisitiwa hujan meteor Perseid 2007.
Credit image : Fred Bruenjes


Setelah sekian lama tidak disajikan dengan peristiwa hujan meteor yang hebat, maka bulan ini kita akan dapat bertemu dengan salah satu peristiwa hujan meteor yang menarik iaitu hujan meteor Perseids. Mungkin ramai yang masih belum tahu apakah sebenarnya perstiwa hujan meteor. 

Peristiwa hujan meteor/tahi bintang bermaksud pada ketika peristiwa ini terjadi, anda akan berpeluang untuk melihat sehingga puluhan malah ratusan bilangan meteor atau lebih dikenali sebagai tahi bintang dengan menggunakan mata kasar sahaja. Meteor merupakan jaluran cahaya yang kelihatan memanjang di langit dan boleh bertahan selama beberapa saat yang bergantung kepada saiznya. Jaluran yang kelihatan pula berkemungkinan berwarna kejinggaan, kekuningan, kebiruan dan juga kehijauan yang ditentukan oleh komposisi batuan angkasa yang menerjah masuk ke atmosfera bumi itu. 


Data Cerapan Peristiwa Hujan Meteor Perseids, 12-13hb Ogos 2009

Mengikut data oleh International Meteor Organization, waktu kemuncak peristiwa Perseids akan berlaku pada 01.30 pagi waktu Malaysia, 13hb Ogos 09 (05.30pm pada 12hb waktu antarabangsa, UT). Ianya dijangka bertahan sehingga pukul 04.00 pagi (08.00pm UT, 12hb Ogos 09). Namun jangan lupa bahawa peristiwa ini boleh dilihat sepanjang malam bermula selepas Isyak 12hb sehinggalah ke waktu Subuh. Sekitar waktu puncak, dijangkakan kita boleh mencerap sekitar 10 dan boleh mencapai sehingga 100 tahi bintang dalam masa satu jam.

Rajah 2 :

Rajah menunjukkan kedudukan buruj Perseus pada jam 2.00 pagi di langit timur. Kredit imej : Roen Kelly dari majalah Astronomy
Radian peristiwa Perseids, iaitu Perseus hanya mula naik dari ufuk timur sekitar pukul 01.00 pagi. Namun sedikit malang ketika itu kerana bulan sedang pada fasa suku akhir dan sudah berada di atas kepala. Cahaya bulan yang ada pasti akan menenggelamkan jaluran cahaya tahi bintang yang malap. Oleh itu saya menjangkakan jika paling bertuah pun kita akan dapat melihat sekitar 10 tahi bintang per jam. Keadaan langit juga memainkan peranan. Berdoalah pada malam tersebut langit adalah bebas dari awan.

Cara untuk mencerap peristiwa ini ialah selepas pukul 1 pagi anda perlu memandang sedikit rendah ke arah timur dan kemudian apabila buruj Perseus semakin meninggi, anda bolehlah memandang di sekitar buruj Perseus. Dicadangkan di sini anda memulakan pencerapan pada jam 2 pagi sehinggalah ke subuh. Namun anda sebenarnya boleh menghayatinya sepanjang malam. 

Anda boleh mengikuti peristiwa ini sendirian di rumah kerana ianya tidak memerlukan sebarang alatan optik untuk mencerapnya. Cukup dengan mata kasar anda dan juga kawasan cerapan yang selamat, selesa dan terselindung dari gangguan cahaya lampu. Juga tidak perlu dibimbangkan mengenai kemungkinan batuan angkasa tersebut akan jatuh menimpa anda kerana setakat ini tidak pernah dilaporkan bahawa ada manusia yang mati atau tercedera ditimpa oleh tahi bintang. 

Apa yang anda perlu buat untuk menghayati fenomena ‘bunga api’ semula jadi ini ialah dengan berbaring di atas tikar atau di kerusi malas untuk keselesaan dan memandang ke arah radian peristiwa ini iaitu buruj Perseus (rajah 2) secara terus.

Jika anda terlepas tarikh ini, masih boleh mengikuti bakinya sehingga ke 24 Ogos 2008 Peristiwa ini mulai aktif pada 17 Julai dan mencapai kemuncak sekitar 13 dan 14 Ogos setiap tahun.


Fakta Menarik Mengenai Perseids

Hujan meteor Perseids (Perseids) adalah merupakan antara hujan meteor paling menarik dan dinamik pada tahun 1990-an dengan aktiviti yang hebat sehingga mencapai bilangan meteor yang kelihatan sebanyak 400 lebih pada tahun 1991 dan 1992. Kadar bilangan ini kemudiannya semakin menurun sehingga ke bilangan 100 dan 120 pada lewat tahun 90-an dan pada tahun 2000, pertama kali ia gagal untuk muncul. 

Bagi tahun 2004-2006, dijangkakan bilangan meteor kelihatan akan kembali menjadi lebih aktif. Ini dibuktikan pada pada tahun 2004 di mana kemuncak Perseids mencapai jumlah yang memberangsangkan. Tahun berikutnya, kemuncak Perseids menjadi normal. Pencerapan pada tahun 2006 pula diganggu oleh gangguan cahaya bulan yang hampir purnama. 

Tahun 1992 merupakan tahun komet punca kepada perisitiwa ini iaitu komet 109P/Swift-Turtle berkedudukan perihelion iaitu mengorbit berdekatan dengan planet bumi. Orbit komet ini yang mengambil masa 130 tahun untuk melengkapkan satu pusingan orbit menandakan bahawa komet Swift Turtle ini kini sedang menjauhi luar sistem solar dan akan kembali dalam masa 122 tahun lagi.


Selamat mencerap!

p/s : Maafkan saya kerana lama tidak menulis :)


Artikel oleh :
MOHD RIZUAN ALI,
Astromas,
Astronomi Untuk Semua
ibnu_ali_87@yahoo.com

Sabtu, 25 Julai 2009

Gerhana Matahari Julai 2009

Assalamualaikum & hai...

Maafkan saya kerana tidak sempat menghebahkan kepada anda akan peristiwa astronomi iaitu gerhana matahari separa yang berlaku pada 22 Julai 2009 yang lepas. Saya sendiri pada ketika itu tidak berkesempatan untuk mengikuti pencerapan tersebut kerana kesibukan dengan urusan posting di hospital.

Berikut adalah diubah suai dari artikel dari Berita Harian.

Mencerap Gerhana di Malaysia

Rakyat Malaysia terutamanya di kawasan utara Semenanjung telah berpeluang untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari separa yang bermula jam 8.23 hingga 9.48 pagi pada hari Rabu yang lepas.  Bagaimanapun, penduduk Malaysia hanya dapat melihat 17.8 peratus saja kawasan permukaan matahari ditutupi oleh bulan ketika gerhana separa berlaku.

Walaupun hanya dapat melihat gerhana matahari separa secara minimum namun orang ramai termasuk pelajar sekolah tetap mahu melihat keunikan fenomena berkenaan.
Gerhana dilihat dari Pulau Pinang, Malaysia

Kejadian gerhana matahari separa itu terbentuk berikutan berlakunya fenomena gerhana matahari penuh, yang juga gerhana matahari terpanjang di abad ini iaitu selama enam minit 39 saat.

Pada abad ini, penduduk Malaysia akan dapat menikmati gerhana matahari separa pada 15 Januari 2010, 9 Mac 2016 dan 26 Disember 2019.

Gerhana di Benua Asia

Gerhana paling panjang abad ke-21 ini bermula pagi Rabu lepas, menyebabkan sebahagian rantau Asia bergelap, terutama di India dan China.

Pencerap amatur dan sainstis mengambil kesempatan merakam fenomena gerhana yang dianggap bersejarah.

Selain menggunakan peralatan pencerap, mereka turut menyewa khas kapal terbang semata-mata untuk menyaksikan fenomena yang kebanyakan penduduk menganggapnya sebagai ganjil.
Kon bayangan gerhana atau 'umbra' mula muncul di Gujarat, barat India jam 6.30 pagi waktu tempatan (0100 GMT).

Ia kemudian bergerak merentasi benua India ke bandar suci masyarakat Hindu, Varanasi dan ke tebing Sungai Ganges sebelum ke selatan Semenanjung Bangladesh, Bhutan di Nepal hinggalah ke tanah besar China.

Bagaimanapun, awan monsun di India dan cuaca buruk di China mengecewakan berjuta mereka yang menyaksikan fenomena gerhana ini.  
Di Mumbai, ratusan penduduk berkumpul di Planetarium Nehru yang bersama peralatan pencerap serta memakai kaca mata hitam hampa apabila terpaksa berpayung dan memakai baju hujan.

Ini kerana malam tadi hujan dilaporkan lebat sehingga awal pagi ketika gerhana berkenaan.


Suka Duka & Peristiwa Menarik Sepanjang Gerhana Julai 2009

Seorang wanita terbunuh dalam satu kejadian rempuhan di sungai Ganges di India, di mana penganut Hindu berkumpul untuk menyaksikan fenomena itu.

Berjuta yang lain, diselubungi ketakutan, menyembunyikan diri mereka di dalam rumah.

Di Beijing yang dijangka dapat melihat gerhana sepenuhnya, kabus tebal berwarna kelabu pada pagi mengecewakan penduduk yang bangun pagi untuk menyaksikan fenomena berkenaan.

Pemerhati di Shanghai juga kecewa apabila hujan gerimis pada sebelah pagi. Namun apabila langit siang hari mula bertukar gelap seperti malam selama kira-kira lima minit, pemerhati menjadi teruja semula.

"Walaupun hujan turun, saya tidak mahu suasana muram. Saya mahu menikmati hari yang istimewa ini," katanya.
 
KANAK-KANAK menyaksikan gerhana matahari menerusi cermin mata khas dan teleskop di pinggir Osaka, Jepun semalam.

Pemerhati di Shanghai juga kecewa apabila hujan gerimis pada sebelah pagi. Namun apabila langit siang hari mula bertukar gelap seperti malam selama kira-kira lima minit, pemerhati menjadi teruja semula.

"Walaupun hujan turun, saya tidak mahu suasana muram. Saya mahu menikmati hari yang istimewa ini," katanya.

Di Bangladesh, penduduk turut bersuka ria.

"Ia adalah saat yang jarang berlaku, saya tidak pernah terfikir untuk melihatnya dalam hidup saya," kata Abdullah Sayeed, seorang pelajar kolej yang berkunjung ke bandar Panchagarh dari ibu kota Dhaka untuk menyaksikannya.
 
KEADAAN di Shanghai sebelum (atas) dan selepas gerhana penuh.

Katanya kereta di bandar itu memerlukan lampu ketika "siang bertukar malam secara tiba-tiba." Orang ramai berpelukan antara satu sama lain dan sesetengahnya meniup wisel apabila gerhana bermula, katanya.

Gerhana penuh matahari semalam hanya dapat dilihat di Asia dan adalah fenomena paling lama sejak 11 Julai 1991, apabila gerhana penuh berlaku selama enam minit 53 saat dapat dilihat dari Hawaii ke Amerika Selatan. Tiada lagi gerhana penuh yang lama berbanding semalam sehingga 2132.
 
 
Salam hormat,
ibnu_ali_87@yahoo.com

Rabu, 10 Jun 2009

Aktiviti Astronomi di Malaysia Hingga Ogos 2008

Assalamualaikum & Selamat sejahtera...


Kredit foto : Tommy Lim

Berikut adalah senarai aktiviti astronomi yang sedang dan bakal diadakan di sekitar Malaysia hingga Ogos 2009.


1) Sambutan Bulan Astronomi akan diadakan di Galeria Perdana, Langkawi pada 15 hingga 20 Jun ini. Anda semua dijemput hadir

2) Satu aktiviti Karnival Sains dan Astronomi akan diadakan di Muzium dan Galeri USM Pulau Pinang pada 18 hingga 21 Jun 2009

3) Karnival Sains & Astronomi untuk 135 buah sekolah akan diadakan di Teluk Intan, Perak pada 26 hingga 27 Jun 2009

4) USM International Astronomi Convention dirancangkan berlangsung pada 3 hingga 5 Julai 2009. Merupakan konvensyen astronomi terbesar di Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk datang!

5) Satu aktiviti Minggu Astronomi akan diadakan di Perpustakaan Awam Ipoh pada 8-10 Julai 2009. Anda semua dijemput hadir

6) Ketua Menteri Pulau Pinang akan merasmikan balai cerap Pearl Of The Orion di Pulau Pinang pada pertengahan Julai ini

7) Satu program bertajuk "Minggu Kesenian dan Astronomi" akan diadakan di Kuching, Sarawak pada 1 hingga 8 Ogos 2009

Jom mencerap!


Selasa, 9 Jun 2009

Menjengah ke Blog

Assalamualaikum & selamat sejahtera...

Galaksi kita iaitu Bima Sakti diambil menggunakan kamera SLR Nikon oleh Jerry Lodriguss
Kredit imej : Jerry Lodriguss


Apa khabar semua? Maafkan saya kerana sudah hampir sebulan tidak mengemaskini blog Astromas ini. Kesibukan dengan urusan pelajaran di universiti dan urusan kelab Medical Science telah sedikit membataskan  saya untuk meluangkan masa di blog ini. Apa pun, sekarang ini saya sudah mula cuti semester selama 2 minggu. Cuti semester ini pendek sahaja memandangkan saya ini adalah pembahagi antara semester panjang dan semester pendek. 

Semester hadapan saya berkemungkinan menjadi sedikit sibuk kerana akan memulakan rotation di hospital Jempol. Kemudiannya saya akan bertukar ke jabatan forensik di Hospital Serdang dan kemudian terus pula ke Pusat Perubatan Respiratori HKL. Namun, saya akan cuba untuk meluangkan sedikit masa untuk mengemas kini blog ini. InsyaAllah. Kunjungan dan komen anda di blog ini sebenarnya yang memberi semangat untuk saya terus menulis :-)


Untuk makluman anda semua, saya baru sahaja membeli kamera DSLR Canon 1000D. Alhamdulillah angan2 sejak lama sudah tercapai. hehe. Dengan adanya kamera ini maka saya boleh melangkah kehadapan dalam bidang astrofotografi. Dulunya saya hanya menggunakan kamera digital kompak sahaja untuk mengambil gambar panorama objek langit. Anda boleh rujuk di sini

Dalam bidang astrofotografi, ada beberapa peringkat yang boleh saya kategorikan. Seseorang peminat astronomi itu mungkin boleh bermula dengan kamera point & shot. Kemudian berubah kepada penggunaan webcam untuk mengambil gambar planet khususnya, kemudian kepada DSLR dan seterusnya kepada penggunaan kamera CCD.

Salam jumpa lagi,


ASTROMAS
Mohd Rizuan Ali
ibnu_ali_87@yahoo.com
013-2180412



Selasa, 28 April 2009

Diari Langit Mei 2009

Peta Bintang Mei 2009


Peta bintang menunjukkan suasana langit pada waktu malam tepat 12 tengah malam, 15 Mei 2009 di Kuala Lumpur.  Zenith adalah titik langit betul-betul di atas kepala anda. Garisan hijau yang merentang dari arah timur ke barat adalah orbit bagi matahari, bulan, dan planet. Garisan ini dikenali sebagai garisan ekliptik. Disepanjang garisan ekliptik terletaknya 12 buruj zodiak. Perhatikan pusat galaksi Bima Sakti di buruj Saggitarius yang menjanjikan pelbagai objek menarik untuk dicerap.


Memerhatikan langit adalah satu aktiviti yang menyeronokkan. Melihat langit terutamanya pada waktu senja mahupun melihat gemerlapan kelipan bintang pada waktu malam amatlah dapat menenangkan hati dan fikiran. Keindahan kejadian senja dan malam ciptaan tuhan pasti akan menginsafkan diri betapa kerdilnya diri kita di sisi-Nya.

Memerhatikan langit, atau biasa disebut dalam bidang astronomi sebagai mencerap langit atau bintang akan menjadi lebih menarik jika kita mengetahui apa yang boleh dilihat dan bila boleh melihat sesuatu objek langit. Planet sebagai contohnya. Pasti ramai yang terpinga-pinga apabila dikatakan kebanyakan planet dalam sistem suria boleh dilihat atau dicerap menggunakan mata kasar. Disamping itu, objek lain seperti awan gas yang disebut sebagai nebula, galaksi dan kumpulan bintang juga boleh dilihat jika anda mengetahui bila dan di mana untuk melihatnya.

Jom Mencerap Planet!


Permandangan langit senja apabila digandingkan dengan kehadiran planet yang tergantung di kaki langit pastilah mengundang permandangan yang mengasyikkan. Kehadiran ‘bintang’ senja yang bersinar terang di atas ufuk ini kadang-kala mengundang teka-teki sama ada ‘bintang’ tersebut adalah sebuah satelit ataupun bintang biasa. Namun, jawapan yang sebenar ialah anda sedang melihat planet!

Terdapat dua planet yang biasa boleh dilihat pada waktu senja dan sebelum matahari timbul. Planet tersebut ialah planet Utarid dan Zuhrah. Planet Utarid berkemungkinan dilihat sebagai satu titik bintang yang biasa. Planet Zuhrah pula akan terlihat sebagai sebuah bintang yang amat terang, malah lebih terang dari semua jenis bintang yang ada di langit!

Pada bulan ini, planet Utarid akan menghiasi permandangan langit senja dengan kelihatan rendah di kaki langit pada awal bulan sehinggalah pada 10haribulan. Kedudukannya sekarang ialah berhampiran dengan kelompokan bintang Pleiades. Selepas 10 haribulan, planet Utarid akan dapat dilihat semula pada 25 haribulan sehinggalah ke hujung bulan. Namun kehadiran semula Utarid ini adalah pada waktu pagi iaitu sebelum matahari timbul.

Bulan juga akan turut menghiasi langit senja iaitu pada 25, 26 dan 27 haribulan ini. Bulan yang pada ketika itu sedang dalam fasa awal bulan sabit pasti menambahkan kecantikan langit senja.

Masuknya waktu Isyak menandakan langit telah betul-betul gelap untuk membolehkan pencerapan bintang dijalankan dengan sebaiknya. Waktu Isyak dikatakan telah masuk waktu apabla mega merah di langit barat telah hilang sepenuhnya. Ini boleh dicapai apabila kedudukan matahari di bawak ufuk telah mencapai sudut negatif yang tertentu.

Menjelmanya malam, kita boleh mencerap planet bergelang iaitu Zuhal pula. Zuhal pada bulan ini akan berada hampir di atas kepada pada awal malam. Ianya kini sedang mendiami buruj Leo sang Singa. Planet ini akan berada sekitar 45 hingga 50 darjah di langit barat pada jam 12 tengah malam. Jika anda dapat mengenal pasti buruj Leo, pasti anda akan terperasankan akan kehadiran satu ‘bintang’ jingga yang bukan milik bintang di buruj Leo. ‘Bintang’ itu sebenarnya ialah planet Zuhal. Planet Zuhal dapat dicerap sehingga ianya tenggelam di ufuk barat sekitar jam 3 pagi.

Rajah 1 :
Musytari dilihat dari teleskop kecil. Kelihatan 3 bulan utama planet Musytari

Sesudah tenggelamnya planet Zuhal, kita akan dihidangkan dengan persembahan planet ke-dua paling terang di langit iaitu planet gas Musytari. Planet terbesar dalam sistem suria ini akan mula muncul dari kaki langit timur pada 02.30 pagi pada 1 haribulan, pada 01.38 pagi pada 15 haribulan dan pada 12.39 pagi pada 31 haribulan ini. Ini bermakna planet ini akan dapat dilihat pada  semakin awal malam untuk bulan-bulan seterusnya. Musytari kini sedang bertapa di buruj Capricornus. Menariknya pada 3 dan 4 haribulan ini ialah apabila bulan akan menemani Musytari dengan berada berhampirannya pada tarikh tersebut. Jangan lepaskan peluang untuk menggunakan bulan untuk menjejaki planet Musytari.

Naiknya sang Musytari di buruj Capricornus di ufuk timur menandakan bahawa buruj Saggitarius dan Scorpious akan juga naik dari ufuk sebentar sahaja lagi. Signifikannya buruj ini ialah ianya merupakan di mana letakknya pusat galaksi kita, Bima Sakti. Anda boleh melihat pusat galaksi kita sebagai satu jaluran seakan awan yang merentasi buruj Saggitarius. Ini hanya boleh dilihat di kawasan yang betul-betul gelap sahaja.

Mengekori planet Musytari ialah planet paling terang di langit iaitu planet Zuhrah. Seketika kemudian planet Marikh pula akan menyusul dengan keduanya mendiami buruj Pisces sepanjang bulan ini. Zuhrah mula naik dari ufuk pada 04.21 pagi pada 15 haribulan manakala si Marikh mula muncul pada 04.45 pagi.


Tarikh
Masa
Peristiwa
02 hb Mei 2009
04.00 pagi
Suku pertama bulan
06 hb Mei 2009
08.00 pagi
Kemuncak peristiwa hujan meteor Eta Aquarids
Bulan tenggelam 4.27 pagi
10 hb Mei 2009
12.02 petang
Bulan penuh
14 hb Mei 2009
11.00 pagi
Bulan berkedudukan terjauh: 404,916 km
17 hb Mei 2009
03.25 petang
Suku akhir bulan
17 hb Mei 2009
04.00 petang
Musytari pada 3 darjah di selatan bulan
18 hb Mei 2009
06.00 petang
Utarid berkonjukasi inferior
21 hb Mei 2009
04.00 petang
Zuhrah di 6.7 di selatan bulan
24 hb Mei 2009
08.12 malam
Bulan baru
26 hb Mei 2009
12.00 petang
Bulan pada kedudukan terdekat: 361,155 km
31 hb Mei 2009
11.19 pagi
Suku pertama bulan

Jadual 1:
Menunjukkan senarai peristiwa astronomi bulan ini.



 Hujan Meteor Eta Aquarids (6 Mei 2009)

Rajah 2 :
Menunjukkan punca peristiwa hujan tahi bintang Eta Aquarids pada jam 4.30 pagi, 6 haribulan Mei 2009 dengan menghadap ke arah timur.

Hujan meteor Eta Aquarids merupakan salah satu perisiwa hujan meteor yang menarik dan kaya dengan jaluran tahi bintang. Peristiwa ini dikaitkan dengan kehadiran komet 1P/Halley yang turut menjadi punca kepada peristiwa hujan meteor Orionids pada bulan Oktober. Peristiwa ini dinamakan sebagai ‘hujan meteor’ kerana ketika peristiwa ini sedang terjadi, anda dapat melihat jaluran tahi bintang di langit ibarat hujan yang sedang turun.

Peristiwa ini dijangka mencapai waktu kemuncakknya pada 6 Mei 2009 pada jam 8 pagi waktu Malaysia. Radian, iaitu buruj tempat keluarnya tahi bintang ini ialah buruj Aquarius yang akan mula keluar dari ufuk sekitar pukul 3 pagi. Kedudukan radian yang rendah pada ufuk akan membolehkan meteor kelihatan lebih panjang dari biasa.  Dijangkakan kita boleh melihat sekitar 85 tahi bintang dalam masa sejam jika cuaca adalah baik dan bebas dari awan.

Sedikit membawa gangguan apabila bulan yang hampir penuh hanya akan tenggelam di ufuk barat pada pukul 4.30 pagi. Oleh itu, jika anda ingin mengikuti peristiwa ini, dicadangkan aktiviti dimulakan sekitar pukul 4 pagi sehinggalah subuh. Pada awal pencerapan, anda bolehlah mengadap ke arah langit timur, iaitu kepada buruj Aquarius secara spesifik. Cara terbaik untuk mencerapnya ialah dengan menyediakan tikar berserta bantal. Berbaringlah di kawasan yang bebas dari lindungan bangunan atau pokok dan agak gelap. Namun pastikan keselamatan diri anda terjamin. Ajaklah rakan-rakan yang lain untuk membantu menghangatkan suasana. Selamat mencerap!.


Salam hormat,
ASTROMAS,
ibnu_ali_87@yahoo.com
013-2180412