Sudah Lama Tak Mencerap Hujan Meteor
Rajah 1
Perisitiwa hujan meteor Perseid 2007.
Credit image : Fred Bruenjes
Setelah sekian lama tidak disajikan dengan peristiwa hujan meteor yang hebat, maka bulan ini kita akan dapat bertemu dengan salah satu peristiwa hujan meteor yang menarik iaitu hujan meteor Perseids. Mungkin ramai yang masih belum tahu apakah sebenarnya perstiwa hujan meteor.
Peristiwa hujan meteor/tahi bintang bermaksud pada ketika peristiwa ini terjadi, anda akan berpeluang untuk melihat sehingga puluhan malah ratusan bilangan meteor atau lebih dikenali sebagai tahi bintang dengan menggunakan mata kasar sahaja. Meteor merupakan jaluran cahaya yang kelihatan memanjang di langit dan boleh bertahan selama beberapa saat yang bergantung kepada saiznya. Jaluran yang kelihatan pula berkemungkinan berwarna kejinggaan, kekuningan, kebiruan dan juga kehijauan yang ditentukan oleh komposisi batuan angkasa yang menerjah masuk ke atmosfera bumi itu.
Data Cerapan Peristiwa Hujan Meteor Perseids, 12-13hb Ogos 2009
Mengikut data oleh International Meteor Organization, waktu kemuncak peristiwa Perseids akan berlaku pada 01.30 pagi waktu Malaysia, 13hb Ogos 09 (05.30pm pada 12hb waktu antarabangsa, UT). Ianya dijangka bertahan sehingga pukul 04.00 pagi (08.00pm UT, 12hb Ogos 09). Namun jangan lupa bahawa peristiwa ini boleh dilihat sepanjang malam bermula selepas Isyak 12hb sehinggalah ke waktu Subuh. Sekitar waktu puncak, dijangkakan kita boleh mencerap sekitar 10 dan boleh mencapai sehingga 100 tahi bintang dalam masa satu jam.
Rajah 2 :
Rajah menunjukkan kedudukan buruj Perseus pada jam 2.00 pagi di langit timur. Kredit imej : Roen Kelly dari majalah Astronomy
Rajah menunjukkan kedudukan buruj Perseus pada jam 2.00 pagi di langit timur. Kredit imej : Roen Kelly dari majalah Astronomy
Radian peristiwa Perseids, iaitu Perseus hanya mula naik dari ufuk timur sekitar pukul 01.00 pagi. Namun sedikit malang ketika itu kerana bulan sedang pada fasa suku akhir dan sudah berada di atas kepala. Cahaya bulan yang ada pasti akan menenggelamkan jaluran cahaya tahi bintang yang malap. Oleh itu saya menjangkakan jika paling bertuah pun kita akan dapat melihat sekitar 10 tahi bintang per jam. Keadaan langit juga memainkan peranan. Berdoalah pada malam tersebut langit adalah bebas dari awan.
Cara untuk mencerap peristiwa ini ialah selepas pukul 1 pagi anda perlu memandang sedikit rendah ke arah timur dan kemudian apabila buruj Perseus semakin meninggi, anda bolehlah memandang di sekitar buruj Perseus. Dicadangkan di sini anda memulakan pencerapan pada jam 2 pagi sehinggalah ke subuh. Namun anda sebenarnya boleh menghayatinya sepanjang malam.
Anda boleh mengikuti peristiwa ini sendirian di rumah kerana ianya tidak memerlukan sebarang alatan optik untuk mencerapnya. Cukup dengan mata kasar anda dan juga kawasan cerapan yang selamat, selesa dan terselindung dari gangguan cahaya lampu. Juga tidak perlu dibimbangkan mengenai kemungkinan batuan angkasa tersebut akan jatuh menimpa anda kerana setakat ini tidak pernah dilaporkan bahawa ada manusia yang mati atau tercedera ditimpa oleh tahi bintang.
Apa yang anda perlu buat untuk menghayati fenomena ‘bunga api’ semula jadi ini ialah dengan berbaring di atas tikar atau di kerusi malas untuk keselesaan dan memandang ke arah radian peristiwa ini iaitu buruj Perseus (rajah 2) secara terus.
Jika anda terlepas tarikh ini, masih boleh mengikuti bakinya sehingga ke 24 Ogos 2008 Peristiwa ini mulai aktif pada 17 Julai dan mencapai kemuncak sekitar 13 dan 14 Ogos setiap tahun.
Fakta Menarik Mengenai Perseids
Hujan meteor Perseids (Perseids) adalah merupakan antara hujan meteor paling menarik dan dinamik pada tahun 1990-an dengan aktiviti yang hebat sehingga mencapai bilangan meteor yang kelihatan sebanyak 400 lebih pada tahun 1991 dan 1992. Kadar bilangan ini kemudiannya semakin menurun sehingga ke bilangan 100 dan 120 pada lewat tahun 90-an dan pada tahun 2000, pertama kali ia gagal untuk muncul.
Bagi tahun 2004-2006, dijangkakan bilangan meteor kelihatan akan kembali menjadi lebih aktif. Ini dibuktikan pada pada tahun 2004 di mana kemuncak Perseids mencapai jumlah yang memberangsangkan. Tahun berikutnya, kemuncak Perseids menjadi normal. Pencerapan pada tahun 2006 pula diganggu oleh gangguan cahaya bulan yang hampir purnama.
Tahun 1992 merupakan tahun komet punca kepada perisitiwa ini iaitu komet 109P/Swift-Turtle berkedudukan perihelion iaitu mengorbit berdekatan dengan planet bumi. Orbit komet ini yang mengambil masa 130 tahun untuk melengkapkan satu pusingan orbit menandakan bahawa komet Swift Turtle ini kini sedang menjauhi luar sistem solar dan akan kembali dalam masa 122 tahun lagi.
Selamat mencerap!
p/s : Maafkan saya kerana lama tidak menulis :)
Artikel oleh :
MOHD RIZUAN ALI,
Astromas,
Astronomi Untuk Semua
ibnu_ali_87@yahoo.com