Khamis, 1 Oktober 2009

Kapal Angkasa MESSENGER Mendekati Utarid


Imej resolusi tinggi dibahagian utara Utarid iambil oleh MESSENGER 
Kredit imej : MESSENGER team


Semalam, 29 September 09, kapal angkasa MESSENGER  milik NASA telah melakukan penerbangan mendekati planet Utarid. Ini merupakan penerbangan lintas (flyby) MESSENGER yang ke tiga sejak pelancarannya pada Ogos 2004 yang lalu. Penerbangan lintas yang pertama adalah pada  14 Januari 08, kali ke dua pada  6 Oktober tahun yang sama dan kali ke tiga pada hari semalam.

MESSENGER merupakan misi NASA yang ke-dua ke Utarid selepas misi kapal angkasa Mariner 10 telah tamat beroperasi pada Mac 1975.

Penerbangan lintas kali ini membolehkan MESSENGER mengambil gambar sekitar 5% dari permukaan Utarid yang tidak sempat dirakam oleh Mariner 10. Menurut Emily Lakdawalla di blognya, antara tujuan penting penerbangan lintas kali ini ialah untuk membolehkan kapal angkasa tersebut mendapatkan bantuan lencongan graviti Utarid untuk membolehkannya memasuki orbit eliptikal mengelilingi planet itu pada 2011.


Bahagian planet Utarid yang sebelum ini tidak pernah dilihat
Kredit imej : Credit: NASA/Johns Hopkins University Applied Physics Laboratory/Carnegie Institution of Washington

Semalam, kapal angkasa ini telah terbang pada jarak terdekatnya, 228 km di atas Utarid pada kelajuan 12 ribu batu per jam sebelum menuju ke belakang planet tersebut untuk mendapatkan bantuan lencongan graviti. Lencongan graviti ini akan memperlahankan kelajuan MESSENGER ke sekitar 6 ribu batu per jam yang akan meletakkannya pada laluan yang betul untuk membolehkan kemasukan ke orbit Utarid dapat dilakukan pada 2011.

Kapal angkasa MESSENGER direka untuk mengkaji 6 persoalan utama di Utarid iaitu mengenai ketumpatan tinggi Utarid; sejarah geologinya; sifat medan magnetik dan struktur di terasnya; kemungkinan kewujudan ais di kutubnya; dan mengkaji atmosfera nipis yang wujud padanya.

 Salam hormat,


ASTROMAS,
Astronomi Untuk Semua,
ibnu_ali_87@yahoo.com