Panduan Memasang Teleskop

Memasang teleskop adalah sangat mudah. Artikel ini menerangkan bagaimana memasang teleskop jenis pantulan pada mount ekuitorial

Al Quran dan Teori Big Bang

Surah Al Anbiyak ayat 30 mengatakan bahawa alam terhasil dari satu titik yang padu lalu dipisahkan menjadi alam yang sedia ada sekarang ini. Kaitannya dengan teori Big Bang diulas di artikel ini.

Mengenali Planet Kerdil

Apakah itu planet kerdil? Apakah beza planet kerdil dengan planet biasa? Artikel ini mengupas isu tersebut

Kalendar Astronomi 2012

Kalendar ini memuatkan senarai fenomena astronomi yang bakal berlaku pada tahun 2012. Jangan biarkan diri anda terlepas fenomena astronomi yang menarik dan jarang berlaku

Meneroka langit menggunakan binokular

Jangan pandang rendah kepada binokular kerana peralatan ini membolehkan anda melihat bintang, planet, gugusan bintang malah galaksi!

Sabtu, 27 September 2008

Program Angkasawan Negara

Diambil dan diubah suai dari Wikipedia Bahasa Melayu.
 Logo Program Angkasawan

Pengenalan

Program Angkasawan Negara Malaysia bermula pada 2006 untuk menghantar angkasawan dari negara Malaysia ke angkasa lepas. Pada 4 September 2007, Sheikh Muszaphar Shukor telah dipilih sebagai Angkasawan Malaysia yang pertama. Beliau akan berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa menaiki Soyuz TMA-11 pada 10 Oktober 2007.

Solat hajat dan khutbah Jumaat bertemakan 'Misi Angkawasan Negara Anugerah Allah SWT Dalam Menjana Fardhu Kifayah Ummah' dibaca di semua masjid di seluruh Malaysia pada hari Jumaat 5 Oktober 2007 menjelaskan kepentingan program itu mengikut pandangan Islam.


Kos Pembiayaan

Program Angkasawan Malaysia ini merupakan sebahagian daripada program timbal balik Malaysia dengan Russia. Malaysia telah membeli 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM dan pesawat udara pelbagai guna bernilai RM3.4 bilion dari Russia.

Jika menghantar sendiri memerlukan kos yang tinggi. Sebagai perbandingkan ,penghantaran satelit komunikasi saja mencecah RM1.5 bilion, iaitu kos satelit kira-kira RM700 juta, pelancar RM350 juta dan baki adalah insfrastruktur lokasi pelancaran. Kos melonjak empat atau lima kali ganda jika pembangunan dilakukan sendiri. Namun itu pun jika kita membeli peralatan dan prasarana dari Russia atau Amerika. Sudah pastilah negara maju tersebut tidak mungkin menjual teknologi ini kerana pelancar kapal angkasa lepas ini boleh diubahsuai menjadi pelancar peluru berpandu atau roket nuklear.


Faedah Program

Program ini akan menjadi pemangkin / 'moon shot' kepada seluruh rakyat Malaysia untuk belajar sains dan teknologi. 5 juta pelajar akan bercerita tentang angkasawan. Pelajar mula mendalami makna 3G, 4G dan 5G. Mereka tahu itulah graviti dan minat terhadap sains akan bercambah.
Dua angkasawan, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Dr Faiz Khaleed akan menjadi 'duta angkasa', menjelajah ke sekolah-sekolah apabila misi mereka berjaya.Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (Mosti) dapat menyebarkan ilmu sains angkasa ke sekolah di seluruh negara.

Kementerian Pengajian Tinggi akan meminta universiti supaya memberi penekanan terhadap sains dan teknologi. Di universiti, saintis mengajar dan melakukan penyelidikan. Di universiti mesti ada saintis, berbanding sekarang yang hanya ada pensyarah. Tiada saintis sepenuh masa.

Ilmu dan teknologi bermula di universiti dan berakhir di pasaran menjadi produk yang menjana pekerjaan. Kita tidak mahu ilmu dan teknologi yang dicipta ditinggalkan di menara gading dan sebaliknya mesti diterjemahkan kepada kemakmuran negara, menjana produk, perkhidmatan, peluang pekerjaan, mengeksport dan menjana pendapatan negara. Ia bermakna kita mesti menterjemahkan ilmu kepada agenda ekonomi.


Kecaman
  • Program Angkasawan ini dianggap membazir berbanding dengan keuntungan pihak Russia yang dapat menjual 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM.
  • NASA tidak mengiktiraf angkasawan pertama negara sebagai angkasawan, tetapi sebagai peserta penerbangan angkasa sahaja atau spaceflight participant. Tanpa pengiktirafan ini, imej dan kredibiliti angkasawan pertama Malaysia mungkin terjejas. Russia menggunakan istilah kosmonaut , bukan astronout. Hanya Russia sahaja yang mengiktiraf angkasawan pertama negara sebagai angkasawan bertauliah atau dalam istilah Russia "Cosmonaut". Ini adalah kerana, Sheikh Muzaphar Shukor telah menjalani berbagai latihan khusus angkasawan di Pusat Latihan Angkasa Yuri Gagarin sebagai persediaan untuk ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang melayakkan beliau menjadi seorang angkasawan dan pergi ke ISS. 
  • Bagi pihak NASA, gelaran angkasawan atau Astronaut (Asal dari Astrology/Astronomy) hanya layak diberikan kepada mereka-mereka yang berupaya mengendalikan kapal angkasa, menjadi jurutera angkasa, memberi arahan dan menjadi ketua di ISS serta menjadi krew di ISS selain sebagai seorang saintis dan pengkaji di angkasa. Ini adalah kerana gelaran Astronaut merujuk kepada segala bidang astronomy dan perkara yg berkaitan dgn ilmu astronomy atau angkasa. Jadi, untuk membolehkan seseorang itu mendapatkan gelaran Astronaut dari NASA, dia perlulah mengetahui segala aspek ilmu mengenai astronomy termasuk dari segi pengendalian kapal angkasa dan kejuruteraan angkasa. Bagi mereka-mereka yang tidak mempunyai pengetahuan ini dan sekadar hanya sebagai orang yang pergi naik ke angkasa dan membuat kajian sains hanya digelar sebagai peserta penerbangan angkasa sahaja atau spaceflight participant. 
  • Di pihak Russia (ROSCOSMOS) pula, mereka menggunakan istilah Comosnaut (Asal dari Cosmology) merujuk kepada skop bidang yang lebih luas meliputi angkasa, orbit, mengetahui asas ilmu angkasa atau astronomy, berupaya membuat kajian sains di angkasa, mengetahui selok-belok teknologi maklumat walaupun pihak yang terlibat tidak tahu mengendalikan kapal angkasa, tidak menjadi ketua atau commander di ISS dan tidak menjadi jurutera angkasa. Ini adalah kerana, sesiapa sahaja yang telah lulus dan melepasi ujian intensif yang ketat dan sukar di Pusat Latihan Angkasa Yuri Gagarin di Moscow Russia, layak mendapat tauliah sebagai angkasawan atau Cosmonaut dari pihak Russia dan layak pergi ke angkasa atau ISS. Pihak Russia mengiktiraf sesiapa sahaja yang telah melepasi ujian sebagai angkasawan dan telah pegi ke angkasa, sebagai Cosmonaut walaupun seseorang itu pergi sebagai peserta penerbangan angkasa/pelancong. Ini disebabkan tidak mudah bagi seseorang itu untuk menjalani latihan angkasa dan berlepas ke angkasa. 
 Balasan Kepada Kecaman
  • Pengiktirafan NASA sebagai seorang angkasawan dahulunya telah digunakan kepada sesiapa yang mengembara ke angkasa, termasuk ahli sains, ahli politik, pemberita, dan pelancong, oleh itu tiada sebab untuk mereka menukar syarat pengiktirafan.
  • Selain itu, pengiktirafan NASA tidak diperlukan, kerana mereka hanya mengiktiraf mereka yang menyertai pakej angkasa USA dan Malaysia tidak memerlukan pengiktirafan NASA kerana Malaysia tidak membayar NASA bagi pengiktirafan tersebut.
  • Angkasawan Malaysia telahpun menjalani berbagai latihan khusus angkasawan di Pusat Latihan Angkasa Yuri Gagarin yang cukup lengkap bagi melayakkan beliau menjadi seorang angkasawan dan pergi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
  • Pihak Russia telahpun mengiktiraf angkasawan pertama negara sebagai angkasawan bertauliah atau Cosmonaut sebagaimana yang telah dianugerahkan oleh pihak Russia kepada angkasawan dari negara lain yang menyertai dan melengkapi keseluruhan latihan dan program angkasa mereka.
Artikel Oleh Astromas


Apa pendapat anda. Jom komen!



.

Perhebat Program Angkasa Lepas Negara

Oleh : Dr Sheikh Muszaphar Shukor
KINI hampir setahun Program Angkasawan Negara berlalu dengan penghantaran rakyat Malaysia pertama ke angkasa lepas. Hampir setahun juga berlalu melihat Jalur Gemilang berkibar di angkasa lepas.

Adakah kita sudah mencapai matlamat? Adakah berbaloi meneruskan penghantaran angkasawan kedua? Adakah kita sudah bersedia menyahut cabaran untuk bersaing dengan negara maju lain yang lebih awal menerokai angkasa lepas yang membabitkan perbelanjaan tinggi? 

Perlu diakui bahawa banyak persoalan yang timbul. Pada pandangan saya, kita perlu peka terhadap matlamat Program Angkasawan Negara, iaitu untuk melahirkan minat mendalam, terutama di kalangan generasi baru terhadap bidang sains dan angkasa supaya negara dapat melahirkan golongan cerdik pandai yang mampu membawa Malaysia ke era baru sains dan teknologi.

Saya melihat bahawa minat yang mendalam sudah wujud di kalangan pelajar sekolah yang kini mempunyai cita-cita tinggi untuk menerokai angkasa lepas.

Dulu, ramai kanak-kanak apabila ditanya memberitahu mereka mahu menjadi anggota polis, bomba dan guru. Kini terdapat anjakan paradigma apabila angkasawan, doktor, saintis dan jurutera angkasa lepas menjadi pilihan.  
Minat mendalam ini dapat dilihat apabila berinteraksi bersama pelajar ketika melawat sekolah di seluruh negara.

Seperti Yuri Gagarin (Russia) dan Neil Amstrong (Amerika Syarikat) yang melonjakkan negara mereka sebagai peneraju bidang angkasa lepas, hasil Program Angkasawan Negara akan dapat dilihat dalam tempoh antara lima hingga 10 tahun akan datang apabila generasi muda melepasi alam persekolahan.

Persoalannya, adakah kita bersedia untuk fasa kedua? Adakah kita berhenti di sini setelah berbelanja jutaan ringgit untuk mencapai misi menghantar rakyat Malaysia pertama ke angkasa lepas?

Program Angkasawan Negara bukan saja memberikan tumpuan kepada penghantaran angkasawan ke angkasa lepas, tetapi memfokuskan terhadap akar umbi di peringkat sekolah. Ramai kanak-kanak masih tidak tahu nama planet dan ramai menyangka saya pergi ke bulan.

Ini jelas menunjukkan matlamat program angkasawan belum tercapai secara menyeluruh kerana kurang pendedahan di peringkat sekolah dan akar umbi rakyat Malaysia.

Kita mempunyai lebih 400 jurutera angkasa lepas di seluruh Malaysia, tetapi hanya 10 peratus daripada mereka bekerja dalam bidang berkaitan angkasa lepas. Sebahagian besar terpaksa bekerja dalam bidang lain seperti automotif dan perkapalan kerana kurang peluang atau permintaan dalam bidang angkasa lepas.

Malaysia harus mencontohi Korea Selatan yang sudah mempunyai teknologi dan kepakaran tinggi dalam bidang angkasa lepas. Selepas penghantaran angkasawan ke ISS, negara itu mempunyai fasa kedua untuk melancarkan satelit menggunakan roket buatan sendiri pada 2009.

Kita masih belum terlambat dan pelbagai usaha harus dilakukan untuk meneruskan momentum ke arah itu.

Seperti saya nyatakan, kita harus menangguhkan penghantaran angkasawan kedua buat seketika dan sebaliknya memperhebatkan tumpuan terhadap pembinaan satelit serta memantapkan bidang sains dan teknologi bagi mencapai sasaran melancarkan roket buatan Malaysia sebelum 2020.

Baru baru ini, hasil eksperimen yang dijalankan di ISS telah dikongsi bersama oleh saintis tempatan dan keputusan yang dicapai sungguh memberangsangkan. Ini membuktikan Malaysia serius memberi sumbangan terhadap dunia penyelidikan.

Selain itu, saranan untuk menubuhkan universiti angkasa lepas di Johor pada 2011 dan bandar angkasa lepas di Negeri Sembilan perlu diberi perhatian dan mendapat galakan sepenuhnya oleh kerajaan.

Kita sudah pasti berada pada landasan yang betul, tetapi pelbagai pihak terutama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) harus memainkan peranan lebih mendalam menghasilkan pelan induk fasa kedua mengenai hala tuju program angkasawan negara.

Ini termasuk bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk memberi tumpuan kepada akar umbi di peringkat sekolah rendah dan menengah untuk melahirkan generasi yang mencintai sains dan angkasa lepas. 

Selamat Berpuasa kepada pembaca.

Angkasawan China berjalan di angkasa

 Kapal angkasa Shenzhou VII

Angkasawan China yang sedang berada dalam kapal angkasa Shenzhou VII, mula memasang pakaian angkasa lepas, suatu tugas yang memakan masa beberapa jam, sebagai persiapan untuk melakukan percubaan sulung mereka berjalan di angkasa lepas selama 20 minit pada hari ini (27hb Sept 08).

Sejak dilancarkan malam kelmarin, ekspedisi itu tidak mengalami sebarang masalah dan tiga angkasawannya telah menikmati hidangan pertama mereka berupa sup dan tidur untuk seketika, kata jurucakap misi berkenaan Wang Zhaoyao pada sidang akhbar di sini.

Penerbangan manusia ke angkasa lepas kali ketiga oleh China ini bermula dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut wilayah Gansu dan memasuki orbit setinggi 343km dari bumi.
“Mengikut perancangan, angkasawan kami akan berjalan di angkasa selama 20 minit,” katanya.

Aksi berjalan di angksa itu, yang dipercayai akan cuba dilakukan oleh komander penerbangan, Zhai Zhigang, akan dipancar secara langsung ke bumi.

Wang berkata kegiatan di luar kenderaan (EVA) itu dijadual bermula pada jam 4.30 petang Sabtu, bergantung pada keadaan pakaian angkasa dan angkasawan.  

Media kerajaan melaporkan bahawa Zhai, 42, akan memakai pakaian buatan China dikenali sebagai “Feitian” (penerbangan ke langit) seberat 120kg dengan bantuan seorang lagi anak kapal bernama Liu Boming, yang menggunakan pakaian buatan Russia dikenali sebagai “Haiying” (helang laut).

Angksawan ketiga, Jing Haipeng, akan berada di dalam modul kemasukan semula ke kapal angkasa itu, yang akan kembali ke bumi di Inner Mongolia pada Ahad setelah melakukan perjalanan yang dijadualkan memakan masa 68 jam.

Kejayaan EVA ini sangat penting bagi China untuk merealisasikan cita-citanya membina stesen angkasa lepas sendiri pada dekad akan datang.

Ketua pereka kapal angkasa berkenaan, yang juga orang yang menamakannya sebagai Shenzhou (kapal suci), memberitahu agensi berita Xinhua bahawa China akan mengeluarkan model itu secara besar-besaran bagi membawa angkasawan ke stesen angkasa China. - Bernama 

Khamis, 4 September 2008

Majalah Dewan Kosmik isu september 2008

Majalah Dewan Kosmik isu September 2008

TAJUK : Sistem Balai Cerap Astronomi
RUANGAN : Sains Angkasa
Balai cerap merupakan fasiliti yang digunakan untuk melakukan aktiviti pencerapan dan kajian akan objek-objek cakerawala dan pelbagai peristiwa astronomi yang berlaku. Fasiliti tersebut umumnya terdiri dari sebuah kawasan tertutup yang mana di dalamnya terdapat pelbagai peratalatan astronomi seperti teleskop. Kawasan tertutup tersebut kebiasaanya berbentuk kubah yang boleh dibuka sebahagianya untuk membolehkan teleskop melihat ke langit. Balai cerap boleh terdiri dari pondok kecil persendirian ataupun satu bangunan yang canggih yang direka khas untuk melakukan aktiviti pencerapan dan kajian astronomi, fotometri, spektroskopi, astrometri, pengimejan CCD, astrofotografi dan sebagainya. Balai cerap boleh jadi berada di permukaan bumi, iaitu kebiasaanya ditempat yang tinggi dan jauh dari pencemaran cahaya dan juga balai, dan juga balai cerap di ruang angkasa seperti teleskop Hubble............


Untuk lebih lanjut, sila dapatkan majalah Dewan Kosmik isu September 2008 yang kini boleh di dapati di pasaran dengan harga RM6 senaskah. Anda juga boleh beli secara online di laman web
Artikel Oleh Astromas

Rabu, 20 Ogos 2008

Dua Bulan Pada 27hb Ogos ini?



Beberapa hari yang lepas, seorang rakan saya bertanya, betul ke pada 27 haribulan Ogos ini kita akan dapat melihat dua 'bulan'?

Bulan yang dimaksudkan ialah bulan kita sendiri dan satu lagi ialah Marikh yang akan kelihatan sebesar saiz bulan!

Wah..punya best fenomena tu (kalau ianya adalah benar...hehe..)

Kemudian, seorang rakan telah menghantar email yang menyatakan akan peristiwa 'sekali seumur hidup' ini. Berikut adalah petikan dari email tersebut.

Planet Mars will be the brightest in the night sky starting August. It will look as large as the full moon to the naked eye. This will cultivate on Aug. 27 when Mars comes within 34.65M miles off earth. Be sure to watch the sky on Aug. 27 12:30 am. It will look like the earth has 2 moons.

The next time Mars may come this close is in 2287.Share this with your friends as NO ONE ALIVE TODAY will ever see it again.

Teruja?

Maaf untuk saya nyatakan bahawa peristiwa ini tidak akan terjadi! Email tersebut hanyalah satu email yang mengelirukan. Mengelirukan kerana tarikh 27 Ogos yang dinyatakan tidak mempunyai tahun yang spesifik! Maka sudah tentu email ini akan menjadi valid setiap tahun sehinggalah tahun 2287. Seperti yang telah diagak, setiap tahun email ini terus berlegar2 terutamanya pada bulan Ogos. Bagi yang kurang biasa dengan astronomi, sudah tentu mereka akan kecewa kerana penantian pada jam 12.30 malam itu hanya akan mengundang gigitan nyamuk. (hehe...)

Mari kita lihat sedikit fakta mengenai Marikh & Bumi yang akan menjatuhkan 'hujah' akan kehadiran dua bulan pada 27 Ogos ini.

Permulaan kepada penyebaran email ini dipercayai bermula pada tahun 2003 di mana berlaku peristiwa planet Marikh berada sangat dekat dengan planet Bumi. Tarikhnya ialah pada 27 Ogos tahun tersebut, Marikh berada sejauh 55,758,006 kilometers iaitu jarak yang terdekat antara bumi dan Marikh sejak 60 ribu tahun sebelumnya. Fenomena tersebut menjadikan Marikh kelihatan bersinar lebih terang berbanding bintang lain. Namun pada ketika itu, Marikh tidaklah kelihatan sebesar saiz bulan. Ianya hanya membolehkan para pencerap melihat dengan lebih baik pada ketika itu di mana kutub ais pada Marikh dapat dilihat dengan lebih jelas berserta ciri2 di permukaan Marikh.

Pada bulan ini, Marikh akan berada sejauh 360 juta kilometer jauh dari bumi. Disebabkan kerana bumi dan Marikh mempunyai orbit yang berlainan, maka planet2 ini mengambil masa yang berbeza untuk mengorbit matahari (bumi 365 hari, Marikh 687 hari). Marikh dan Bumi akan berada pada titik paling berhampiran antara satu sama lain pada setiap 26 bulan (2 tahun). Kali terakhir ialah pada tahun 2007.

Jadi, jika ada yang menyatakan Marikh akan kelihatan sebesar bulan pada 27 Ogos ini, mungkin anda boleh menolak 'hujah2' rakan anda itu seperti yang dibincangkan di atas.
Harap artikel pendek ini dapat membantu!


Artikel Oleh Astromas

Sabtu, 16 Ogos 2008

Gerhana Bulan Separa 17 Ogos 2008 (LIVE broadcast)


Pencerapan LIVE Gerhana Bulan Separa 17 Ogos 2008

 Dari Kamera Mallicam milik Shahrin Ahmad di Planetarium Negara  .
. Dari kamera PUSKAL, Sabah .
.  Dari kamera milik Agensi Angkasa Lepas (ANGKASA)
 
 
Gerhana bulan berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada dalam satu garisan lurus. Kehadiran bumi dihadapan bulan akan menghalang cahaya matahari dari menyentuh permukaan bulan dengan sempurna. Disebabkan bayang bumi terdiri daripada bayang gelap (umbra) dan separa gelap (penumbra), maka wujudlah istilah gerhana bulan separa, gerhana bulan penuh dan gerhana bulan penumbra. Gerhana yang akan berlaku pada pagi 17 haribulan ini akan bermula pada pukul 2.25 pagi apabila bulan mula memasuki bayang penumbra bumi pada ketinggian 65 darjah dari ufuk. Ini dilabel sebagai P1 pada rajah 1.
 Rajah 1
Menunjukkan arah laluan bulan pada pagi 17 Ogos 2007
Namun perbezaan warna bulan ketika ini adalah agak sedikit dan sukar untuk dibezakan dengan keadaan biasa. Warna bulan akan mula menjadi gelap kemerahan bermula pukul 3.36 pagi (U1) di mana bulan mula memasuki bayang umbra. Bulan seterusnya akan berada di pertengahan gerhana pada jam 5.10 pagi dan keluar sepenuhnya dari bayang umbra pada pukul 6.44 pagi (U4). Gerhana bulan separa akan berakhir pada pukul 7.55 pagi (P4) ketika bulan telah berada -10 darjah di bawah ufuk. Rujuk rajah 1. Peristiwa ini ialah gerhana bulan yang pertama dan terakhir berlaku pada tahun ini yang boleh diikuti dari Malaysia. 
 
Gerhana seterusnya akan berlaku ialah pada 9 Februari 2009 iaitu gerhana bulan penumbra. Manakala kali terakhir peristiwa ini kelihatan dari Malaysia ialah gerhana bulan penuh pada 28 Ogos tahun lalu yang berlaku pada waktu hampir subuh. Gerhana bulan agak jarang berlaku jika dibandingkan dengan gerhana matahari. Namun ianya dapat dilihat dengan lebih meluas di seluruh dunia berbanding gerhana matahari iaitu hampir separuh dari glob bumi berpeluang untuk melihatnya. Untuk tahun ini, gerhana bulan yang berlaku pada 21 Februari yang lepas tidak dapat diikuti dari Malaysia. Oleh itu, gerhana pada bulan ini seharusnya tidak boleh dilepaskan. Gerhana matahari pula berlaku dengan agak kerap, iaitu sekitar 2 hingga 5 kali dalam masa setahun. Namun kawasan yang diliputi oleh gerhana matahari adalah hanya beberapa puluh kilometer lebar. Maka adalah sangat jarang bagi sesuatu lokasi di bumi untuk berada di dalam laluan gerhana matahari. Secara umumnya, gerhana matahari penuh akan berlaku pada kawasan yang sama setiap 360 tahun sekali.
Artikel oleh Astromas

Khamis, 17 Julai 2008

Bersempena Program Amal Inspirasi Aspirasi Negara anjuran Jawatankuasa Pembangunan Mahasiswa Universiti Utara Malaysia & Dewan Penginapan Pelajar Tradewinds, beberapa program melibatkan angkasawan negara telah diatur. Butir-butir program adalah seperti berikut:

NAMA PROGRAM
Motivasi Angkasawan
MASA
3 petang hingga 7 malam
TARIKH
26 Julai 2008
TEMPAT
Dewan Muadzam Shah, Universiti Utara Malaysia
PANEL
Dr. Sheikh Muszaphar Shukor
YURAN
RM20
PENYERTAAN
Terbuka kepada semua

Pada waktu malamnya, majlis makan malam bersama angkasawan negara akan diadakan seperti berikut:

NAMA MAJLIS
Gala Charity Dinner
MASA
9 malam
TARIKH
26 Julai 2008
TEMPAT
Hotel Holiday Villa, Alor Star
YURAN
RM200
PENYERTAAN
Terbuka kepada semua

Sebahagian dari hasil yuran penyertaan akan disumbangkan kepada Yayasan Sultanah Bahiyah dan badan-badan amal lain.

Sebarang pertanyaan, bolehlah dihubungi saudari Aemelia (012-6279895) atau saudara Nasriq (012-5343787), atau saudara Hairol (019-4606826)

Artikel Oleh Astromas

Khamis, 10 Julai 2008

Pengumuman
Konvensyen Falak Selangor 2008


Jabatan Mufti Negeri Selangor Darul Ehsan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor akan menganjurkan Konvensyen Falak Selangor 2008. Perincian adalah seperti berikut ;

Program :
Konvensyen Falak Selangor 2008
Tema :
Matahari : Bintang Di Dalam Sistem Solar
Tarikh :
19 & 20 Julai 2008 (Sabtu dan Ahad)
Masa :
8 pagi hingga 10.45 malam (Sabtu)
8.30 pagi hingga 12 tengah hari (Ahad)
Tempat :
Auditorium SIRIM Berhad
1, Persiaran Dato’ Menteri
Seksyen 2, P.O. Box 7035
40911 Shah Alam
Selangor.

Antara aktiviti yang bakal diadakan ialah perbentangan kertas kerja berkaitan falak dan matahari, cerapan bintang oleh saudara Shahrin Ahmad, kuiz falak, dan ceramah oleh saudar a Syeikh Muszaphar Shukor (Ahad). Tentatif program boleh dimuat turun di sini. Untuk menyertai seminar pada hari sabtu, sila isi borang berikut untuk diserahkan kepada urusetia program.

Saya akan berada di sana pada pada hari Ahad.

Jom kita ke sana!

Artikel Oleh Astromas

Jumaat, 4 Julai 2008

Astrofotografi Menggunakan Digicam


Rajah 1
Kamera digital biasa juga boleh digunakan untuk astrofotografi

Hari ini adalah hari ke-enam saya berpindah ke rumah baru di apartment Brunsfield Riverview bertempat di Seksyen 13, Shah Alam. Rumah saya kini berbeza dengan rumah lama kerana dahulunya saya tinggal di rumah teres 2 tingkat. Rumah ini pula merupakan apartment 14 tingkat dan saya tinggal di tingkat ke-11. Fuh..gayat juga dibuatnya. Namun yang baiknya ialah balkoni rumah saya menghadap ke arah timur. Maka ini akan membolehkan saya melihat planet, matahari dan bulan naik dari ufuk! :D Namun arah timur di Shah Alam merupakan di mana bandaraya Kuala Lumpur terletak. Maka saya akan terpaksa 'berdepan' dengan cahaya Kuala Lumpur yang teruk mencemarkan langit di sini.

Saya pulang dari makan malam sekitar jam 9.30 malam. Melangkah saja ke dalam rumah, mata saya terus tertarik untuk melihat satu titik cahaya terang yang tergantung di langit timur. 'Oh..si gergasi Musytari dah naik...' kata hati saya. Terus saja saya mencapai teleskop yang berada di balkoni. Terlintas difikiran saya untuk mengambil gambar teleskop saya sedang 'beraksi' menghadap sang Musytari.

Peralatan yang saya gunakan ialah kamera Digital Olympus FE-270 yang merupakan milik rakan sebilik saya. Kamera berharga sekitar RM600 dan mempunyai sensor sensitif sehingga 7.1 mega piksel. Untuk menghilangkan gegaran tangan, maka kamera tersebut saya lekatkan pada tripod. Teleskop saya arahkan ke arah Musytari yang kelihatan seperti 'raja bintang' pada malam itu dek kerana kecerahannya yang jauh menerangi bintang lain.
Nah, sedia untuk bermula.
Light, camera & action!

Klik!
Gambar pertama saya ambil. Namun hasilnya agak gelap. Saya cuba mencari di menu kamera tersebut untuk meninggikan masa dedahan tapi tidak berjumpa. Ah..apa kata guna sahaja mod malam.

Klik!



Wah..hasilnya boleh tahan juga. Kelihatan teleskop saya sedang mengintai sang Musytari pada skrin kamera tersebut. Saya berpendapat bahawa ketika penggunaan mod malam, kamera akan memancarkan denyar (flash) dahulu kemudian membiarkan shutter terbuka untuk beberapa saat, baharulah shutter kembali tertutup. Denyar dari kamera telah membolehkan teleskop saya kelihatan dengan jelas manakala dedahan yang sedikit panjang membolehkan titik Musytari berjaya dikesan pada sensor kamera. Apa lagi, saya terus mengklik dalam sudut yang berbeza untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

Setelah mendapat gambar yang agak memuaskan, terus sahaja saya mencari sudut dengan permandangan yang lain memandangkan Musyatari sebentar lagi akan hilang kerana dilindung bumbung apartment saya.

Klik! Klik! Klik!
Berikut adalah hasil astrofotografi saya malam itu.

Kelihatan Musytari lebih gah bersinar berbanding bintang lain

Artikel oleh Astromas

Khamis, 3 Julai 2008

Konvensyen & Ekspo Astronomi USM 2008

“KONVENSYEN DAN EKSPO ASTRONOMI USM 2008”

“ASTRONOMI DAN ANGKASA—BUKAKAN HATI ANDA”

TEMPAT: DEWAN PEPERIKSAAN UTAMA DAN PADANG KAWAD, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, PULAU PINANG, MALAYSIA

TARIKH: 18 KE 20 JULAI 2008 (JUMAAT KE AHAD)

PENGELOLA: Unit Penyelidikan Ilmu Falak Dan Sains Atmosfera,

Universiti Sains Malaysia; Jabatan Mufti, Pulau Pinang;

dan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang

AKTIVITI-AKTIVITI:

(1) Seminar Astronomi Akademik

(2) Pameran Pengembaraan Angkasa

(3) Pameran Dan Promosi Teleskop

(4) Klinik Teleskop

(5) Pameran Astrofotografi

(6) Ceramah-Ceramah Awam

(7) Pertunjukan Planetarium

(8) Pencerapan Tompok dan Nyalaan Matahari

(9) Kuiz Astronomi dan Kuiz Pengembaraan Angkasa

(10) Bengkel “Radio Astronomi Amatur”

(11) Bengkel “Membina Teleskop Amatur”

(12) Bengkel “Roket Air – Lebih Tinggi, Lebih Jauh Dan Lebih

Baik”

(13) Pertandingan Melancar Roket Air

(14) DUA MALAM PENCERAPAN BINTANG

Guru-guru, pelajar-pelajar dan peminat astronomi yang berminat menyertai “Konvensyen Dan Ekspo Astronomi USM 2008” boleh hubungi:

(1) Prof. Madya Dr. Chong Hon Yew,

Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera, U.S.M.

(e-mel: pearl_of_orion@yahoo.com, h/p: 016-3157318)

(2) En. Jamil Zakaria,

Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera, U.S.M.

(e-mel: jamilzakaria@notes.usm.my, h/p: 017-4005065)

Digicam bersama Musytari (Kertas Dinding )


Kertas dinding 1
Untuk menjadikannya sebagai latar belakang desktop anda, klik pada imej untuk mendapatkan resolusi 1024 x 768, kemudian klik kanan dan pilih set as desktop background/wallpaper

Saya sering terpesona apabila melihat kertas dinding (wallpaper) yang banyak boleh didapati di internet. Ini membuatkan saya terfikir tentu menjadi sesuatu yang menarik jika laman astromas juga mempunyai kertas dindingnya sendiri. Namun ini mungkin sedikit bermasalah kerana saya bukanlah mahir dalam mengunakan Adobe Photoshop. Kebanyakan tutorial yang dipelajari ketika di matrikulasi dahulu telah banyak luput dari ingatan saya. Emm..nampaknya perlu menuntut kembali ilmu Photoshop ni..

Kertas dinding yang pertama ini saya hasilkan dari kombinasi astrofoto kamera digital Olympus Fe-270 (7.1 mp) merakam teleskop yang diarahkan ke Musytari yang diambil dari balkoni rumah saya. Harap anda sukakannya ;)

Sesiapa yang ingin menyiarkan kertas dinding astronomi dalam bahasa Malaysia di laman Astromas, sila email-kannya ke ibnu_ali_87@yahoo.com

Artikel Oleh Astromas

Peta Bintang Julai 2008

Pautan berikut akan membawa anda kepada peta bintang yang saya hasilkan dari perisian CyberSky 4.04. CyberSky merupakan perisian yang bagus, senang difahami dan juga mesra pengguna. Anda semua boleh muat turun perisian ini di http://www.cybersky.com/. Namun ini adalah perisian komersial dan perlu dibeli. Apa kata anda cuba dulu versi percubaannya. Saya pasti anda akan sukakannya.

Peta bintang kali ini saya hasilkan dalam 5 bentuk, iaitu ;
  1. Peta bintang keseluruhan langit
  2. Peta bintang langit utara
  3. Peta bintang langit selatan
  4. Peta bintang langit timur
  5. Peta bintang langit barat
Saya cadangkan anda muat turun semua peta bintang ini untuk kemudahan pencerapan anda. Peta bintang ini menunjukkan keadaan langit pada tengah malam pertengahan bulan ini, keadaan langit pada lewat malam bulan sebelum ini, dan keadaan langit pada awal malam bulan hadapan. Harap ianya dapat membantu anda.

Selamat mencerap!

Artikel Oleh Astromas

Ahad, 29 Jun 2008

Wajah Baru Astromas (".)

Assalamualaikum & selamat sejahtera....


Blog astronomi Astromas telah dibina sejak tahun 2006 lagi. Sepanjang hampir 3 tahun kewujudannya, blog ini telah mengalami banyak kali perubahan (umumnya 3 kali perubahan) demi menjadikannya lebih interaktif, berinfomasi dan mesra pengguna dalam berkongsi & menyebarkan hal-hal yang berkaitan astronomi kepada umum. Ini tidak lain ialah untuk mencapai moto blog ini iaitu Astronomi Untuk Semua.

Ingin dimaklumkan di sini bahawa blog Astromas telah mengalami beberapa perubahan major pada 27hb Jun 2008 yang lalu. Bagi yang lama tidak melayari blog ini atau belum mengenali blog Astromas, silalah berbuat demikian ke http://astromas2020.blogspot.com.

Antara perubahan kali ini ialah kehadiran 2 lagi penulis baru yang menjadikannya 3 orang penulis buat masa ini. Penulis tersebut adalah saudari Norsofiah dan saudara Kamayok. Saudari Norsofiah adalah lulusan Ijazah sarjana muda dalam Fizik dari UM. Manakala saudara Kamayok pula adalah astronomi amatur yang berkemahiran dan berpengalaman dalam astrofotografi.

Maka dengan kehadiran dua penulis ini, para pelayar akan dihidangkan dengan tambahan variasi artikel berkaitan kosmologi, astrofizik, astrofotografi, aeroangkasa dan pelbagai subbidang astronomi yang kami rasakan sesuai. Saya pasti ini pasti menggembirakan ramai pihak yang mempunyai minat dalam kepelbagaian aspek bidang astronomi yang besar ini.

Perubahan seterusnya ialah sudah tentunya pada tema blog ini. Wajah blog Astromas telah diubah suai agar kelihatan lebih profesional, kompak namun berinfomatif kepada anda semua. Saya mengharapkan anda sukakan wajah baru ini

Namun jika diperhatikan dengan teliti, terdapat satu kotak hitam di bahagian atas laman ini. Saya berkira-kira untuk meletakkan logo blog Astromas di situ namun sehingga kini blog Astromas tidak mempunyai logo sendiri. Maka di sini, saya ingin meminta bantuan pelayar blog astromas untuk membantu saya membuat & mereka logo blog Astromas. Saya pasti ramai peminat astronomi di luar sana yang kreatif dan berkemahiran untuk menggunakan pelbagai perisian pengimejan seperti Photoshop, Illustrator dan sebagainya. Logo tersebut mestilah bernama ASTROMAS dan mempunyai moto Astronomi Untuk Semua. Reka bentuk, warna dan sebagainya terpulang kepada pereka. Namun saya ingin mengatakan di sini bahawa khidmat ini perlulah secara sukarela, iaitu sama seperti usaha saya & rakan-rakan lain dalam membangunkan blog Astromas ini. InsyaAllah, Tuhan sahaja yang akan membalas sumbangan kita kepada umum walaupun sekecil mana pun sumbangan itu. Logo tersebut boleh di-email-kan ke ibnu_ali_87@yahoo.com.

Saya berpendapat, alangkah bagusnya jika pelayar juga terlibat dalam menyumbang akan isi blog Astromas. Maka untuk mencapai angan-angan saya ini, saya mencadangkan usul berikut;

Sebarang aktiviti astronomi sama ada yang persendirian mahupun dianjurkan oleh badan-badan tertentu boleh dihebahkan di blog astromas. Saya pasti ini akan membantu dalam menambahkan bilangan pelawat ke aktiviti anda!

• Mana-mana kelab astronomi atau badan-badan lain yang melakukan sebarang aktiviti astronomi seperti ceramah, cerapan bintang, kem astronomi dan sebagainya, bolehlah menghantar repot aktiviti anda berserta gambar ke blog Astromas. Paling kurang pun kirim gambar & sedikit ayat pun dah kira jadi. Berkongsi sesuatu yang bagus, kan?

• Mana-mana pelayar blog Astromas yang ingin menyumbang artikel yang berkaitan dengan astronomi, bolehlah berbuat demikian dengan meng-email-kannya kepada saya. Sertakan nama anda, lokasi, dan sebarang maklumat lain yang perlu. Sumbangan anda akan dikreditkan di blog Astromas. Namun tiada bayaran honorarium akan diberikan kerana semua ini adalah khidmat masyarakat semata-mata. Tuhan sahaja yang membalas jasa anda!

• Mana-mana syarikat berkaitan astronomi yang ingin mengiklankan produk mereka di blog Astromas, bolehlah e-mail-kan kepada saya di ibnu_ali_87@yahoo.com. Saya ketika ini ada membayangkan beberapa pertandingan yang boleh dibuat di blog Astromas. Mana-mana syarikat ingin menaja hadiah bolehlah menghubungi saya untuk perbincangan lanjut. Saya pasti ini akan membantu dalam mempromosikan barangan dari syarikat tuan.

• Sebarang pendapat dan cadangan bolehlah diberitahu secara terus kepada saya. Saya amat menghargai setiap komen dan pendapat dari pihak pelayar. Terima kasih!


Sesungguhnya, keberlangsungan blog Astromas dari dulu sehingga sekarang sudah pastinya disebabkan oleh sokongan yang terus menerus saya terima. Terima kasih kepada mereka yang menghantar e-mail sokongan kepada saya. saya amat menghargainya & telah berjaya membuatkan saya (kini kami) bersemangat untuk terus mengemas kini blog ini. Diharap mendapat respon dari anda semua. Semoga hasrat Astronomi Untuk Semua itu akan tercapai.


Salam dari warga blog,

Astromas,
(MOHD RIZUAN BIN ALI)
http://astromas2020.blogspot.com
Astronomi Untuk Semua

Sabtu, 28 Jun 2008

Pencarian Objek Astronomi - Star Hopping


Teknologi teleskop semakin lama semakin maju sejajar dengan perkembangan masa. Dahulu, kebanyakan teleskop adalah berbentuk manual di mana pencerap perlu mencari sendiri sesuatu objek astronomi dengan cara 'melompat' dari bintang ke bintang sehinggalah menjumpai objek yang ingin dicerap. Teknik ini dipanggil sebagai star hopping iaitu pencerap akan memulakan pencarian objek astronomi menggunakan bintang utama yang terang, kemudian bergerak ke bintang seterusnya dan sehinggalah objek yang ingin dicerap kelihatan di pandangan. Teknik ini memerlukan kefahaman akan medan sudut pandangan (field of view, FOV) dan juga bintang-bintang berkaitan yang ada dalam sesuatu buruj di mana objek yang dicari berada.

Namun saya percaya teknik ini kini semakin lama kurang dimahiri oleh para pencerap. Ini adalah disebabkan oleh kehadiran teleskop yang dilengkapi sistem goto dan yang terkini dengan sistem GPS pula. Teleskop dengan sistem goto memudahkan para pencerap mencari sesuatu objek. Selepas memasukkan koordinat latitud & longitud dan masa pada teleskop dan melakukan penjajaran (alignment), langkah seterusnya untuk mencari objek yang ingin dilihat ialah dengan menekan butang pada pad kawalan dan teleskop akan mencari objek tersebut untuk anda. Mudah bukan! Ini membolehkan kita meneroka dan menikmati ribuan objek astronomi seperti dihujung jari anda!

Bintang yang dilihat melalui teleskop kelihatan lebih banyak dari yang dilihat menggunakan mata kasar. Ini disebabkan oleh magnitud penghad (skala kecerahan bintang yang kelihatan) yang semakin melebar apabila menggunakan peralatan optik tersebut. Oleh itu kelihatan melalui kanta mata (eyepiece) ialah pandangan yang dipenuhi banyak bintang yang disebut sebagai field of stars. Maka ini memerlukan anda mempunyai buku panduan mengenai medan pandangan melalui teleskop atau binokular. Buku sebegini biasa ditulis sebagai field guide akan membantu anda mengenal pasti bintang apakah yang anda sedang lihat melalui kanta mata dan bintang manakah yang perlu 'dilompat' untuk tiba ke objek yang dikehendaki. Buku field guide boleh dibeli di kedai-kedai buku utama seperti Kinokuniya, Popular, MPH dan boleh didapati pada harga RM30 dan ke atas. Buku ini bukan sahaja berguna bagi pemilik teleskop, tetapi juga kepada anda yang menggunakan binokular untuk mencerap bintang. Saya pasti anda yang memiliki binokular sedang teruja untuk mendapatkan buku ini, bukan? (",)

Rajah 2 (klik untuk imej besar)
Sebahagian bintang di buruj Sagittarius. Bintang-bintang yang banyak ini pasti mengelirukan ditambah lagi jika dilihat melalui binokular atau teleskop. Buku field guide pasti berguna untuk membantu anda ketika ini.

Jom kita ambil contoh mudah beberapa objek untuk dicari menggunakan kaedah ini. Pastikan di tangan anda ketika ini ialah peta bintang biasa (lebih baik lagi jika ada field guide), lampu suluh merah dan binokular. Kita akan bemula dengan buruj Sagittarius yang kelihatan seperti teko air. Bintang-bintang yang membentuk formasi teko air ini mempunyai nama-nama tertentu antaranya ialah Kaus Borealis, Kaus Meridinialis, Kaus Australis, Phi Saggitari, Nunki, Ascella, dan lain-lain. Rujuk rajah 2. Dengan menggunakan binokular, mari kita mulakan dengan melihat ke arah bintang Kaus Borealis. Jika anda menggerakkan arah pandangan ke kanan bawah, anda akan dapat lihat sebuah bintang yang terang berbanding bintang lain iaitu bintang Kaus Meridinialis.

Setelah anda berjaya kenal pasti dua bintang ini, seterusnya gerakkan binokular anda ke atas dengan sedikit ke kanan (kurang dari 45 darjah dari utara) dengan perlahan-lahan. Pada awalnya anda akan melihat pandangan bintang yang berselerak, tetapi kemudiannya anda akan bertemu dengan sekumpulan bintang yang sangat rapat dan mempunyai awan kabut di tengah-tengahnya. Tahniah! kerana anda sedang melihat nebula Lagoon (M8) menggunakan binokular! Seterusnya jika anda bergerak sedikit lagi ke atas, anda akan bertemu dengan kumpulan bintang yang rapat. Ini adalah nebula Trifid, M20 dan tidak jauh disebelah kiri-atasnya ialah kelompokan bintang terbuka M21. Emmm.....Menarik bukan?

Rajah 3 (klik untuk imej besar)
Buruj Sagittarius dan objek Mesier disekitarnya.

Artikel Oleh Astromas