Sabtu, 27 September 2008

Angkasawan China berjalan di angkasa

 Kapal angkasa Shenzhou VII

Angkasawan China yang sedang berada dalam kapal angkasa Shenzhou VII, mula memasang pakaian angkasa lepas, suatu tugas yang memakan masa beberapa jam, sebagai persiapan untuk melakukan percubaan sulung mereka berjalan di angkasa lepas selama 20 minit pada hari ini (27hb Sept 08).

Sejak dilancarkan malam kelmarin, ekspedisi itu tidak mengalami sebarang masalah dan tiga angkasawannya telah menikmati hidangan pertama mereka berupa sup dan tidur untuk seketika, kata jurucakap misi berkenaan Wang Zhaoyao pada sidang akhbar di sini.

Penerbangan manusia ke angkasa lepas kali ketiga oleh China ini bermula dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut wilayah Gansu dan memasuki orbit setinggi 343km dari bumi.
“Mengikut perancangan, angkasawan kami akan berjalan di angkasa selama 20 minit,” katanya.

Aksi berjalan di angksa itu, yang dipercayai akan cuba dilakukan oleh komander penerbangan, Zhai Zhigang, akan dipancar secara langsung ke bumi.

Wang berkata kegiatan di luar kenderaan (EVA) itu dijadual bermula pada jam 4.30 petang Sabtu, bergantung pada keadaan pakaian angkasa dan angkasawan.  

Media kerajaan melaporkan bahawa Zhai, 42, akan memakai pakaian buatan China dikenali sebagai “Feitian” (penerbangan ke langit) seberat 120kg dengan bantuan seorang lagi anak kapal bernama Liu Boming, yang menggunakan pakaian buatan Russia dikenali sebagai “Haiying” (helang laut).

Angksawan ketiga, Jing Haipeng, akan berada di dalam modul kemasukan semula ke kapal angkasa itu, yang akan kembali ke bumi di Inner Mongolia pada Ahad setelah melakukan perjalanan yang dijadualkan memakan masa 68 jam.

Kejayaan EVA ini sangat penting bagi China untuk merealisasikan cita-citanya membina stesen angkasa lepas sendiri pada dekad akan datang.

Ketua pereka kapal angkasa berkenaan, yang juga orang yang menamakannya sebagai Shenzhou (kapal suci), memberitahu agensi berita Xinhua bahawa China akan mengeluarkan model itu secara besar-besaran bagi membawa angkasawan ke stesen angkasa China. - Bernama