Sabtu, 27 September 2008

Perhebat Program Angkasa Lepas Negara

Oleh : Dr Sheikh Muszaphar Shukor
KINI hampir setahun Program Angkasawan Negara berlalu dengan penghantaran rakyat Malaysia pertama ke angkasa lepas. Hampir setahun juga berlalu melihat Jalur Gemilang berkibar di angkasa lepas.

Adakah kita sudah mencapai matlamat? Adakah berbaloi meneruskan penghantaran angkasawan kedua? Adakah kita sudah bersedia menyahut cabaran untuk bersaing dengan negara maju lain yang lebih awal menerokai angkasa lepas yang membabitkan perbelanjaan tinggi? 

Perlu diakui bahawa banyak persoalan yang timbul. Pada pandangan saya, kita perlu peka terhadap matlamat Program Angkasawan Negara, iaitu untuk melahirkan minat mendalam, terutama di kalangan generasi baru terhadap bidang sains dan angkasa supaya negara dapat melahirkan golongan cerdik pandai yang mampu membawa Malaysia ke era baru sains dan teknologi.

Saya melihat bahawa minat yang mendalam sudah wujud di kalangan pelajar sekolah yang kini mempunyai cita-cita tinggi untuk menerokai angkasa lepas.

Dulu, ramai kanak-kanak apabila ditanya memberitahu mereka mahu menjadi anggota polis, bomba dan guru. Kini terdapat anjakan paradigma apabila angkasawan, doktor, saintis dan jurutera angkasa lepas menjadi pilihan.  
Minat mendalam ini dapat dilihat apabila berinteraksi bersama pelajar ketika melawat sekolah di seluruh negara.

Seperti Yuri Gagarin (Russia) dan Neil Amstrong (Amerika Syarikat) yang melonjakkan negara mereka sebagai peneraju bidang angkasa lepas, hasil Program Angkasawan Negara akan dapat dilihat dalam tempoh antara lima hingga 10 tahun akan datang apabila generasi muda melepasi alam persekolahan.

Persoalannya, adakah kita bersedia untuk fasa kedua? Adakah kita berhenti di sini setelah berbelanja jutaan ringgit untuk mencapai misi menghantar rakyat Malaysia pertama ke angkasa lepas?

Program Angkasawan Negara bukan saja memberikan tumpuan kepada penghantaran angkasawan ke angkasa lepas, tetapi memfokuskan terhadap akar umbi di peringkat sekolah. Ramai kanak-kanak masih tidak tahu nama planet dan ramai menyangka saya pergi ke bulan.

Ini jelas menunjukkan matlamat program angkasawan belum tercapai secara menyeluruh kerana kurang pendedahan di peringkat sekolah dan akar umbi rakyat Malaysia.

Kita mempunyai lebih 400 jurutera angkasa lepas di seluruh Malaysia, tetapi hanya 10 peratus daripada mereka bekerja dalam bidang berkaitan angkasa lepas. Sebahagian besar terpaksa bekerja dalam bidang lain seperti automotif dan perkapalan kerana kurang peluang atau permintaan dalam bidang angkasa lepas.

Malaysia harus mencontohi Korea Selatan yang sudah mempunyai teknologi dan kepakaran tinggi dalam bidang angkasa lepas. Selepas penghantaran angkasawan ke ISS, negara itu mempunyai fasa kedua untuk melancarkan satelit menggunakan roket buatan sendiri pada 2009.

Kita masih belum terlambat dan pelbagai usaha harus dilakukan untuk meneruskan momentum ke arah itu.

Seperti saya nyatakan, kita harus menangguhkan penghantaran angkasawan kedua buat seketika dan sebaliknya memperhebatkan tumpuan terhadap pembinaan satelit serta memantapkan bidang sains dan teknologi bagi mencapai sasaran melancarkan roket buatan Malaysia sebelum 2020.

Baru baru ini, hasil eksperimen yang dijalankan di ISS telah dikongsi bersama oleh saintis tempatan dan keputusan yang dicapai sungguh memberangsangkan. Ini membuktikan Malaysia serius memberi sumbangan terhadap dunia penyelidikan.

Selain itu, saranan untuk menubuhkan universiti angkasa lepas di Johor pada 2011 dan bandar angkasa lepas di Negeri Sembilan perlu diberi perhatian dan mendapat galakan sepenuhnya oleh kerajaan.

Kita sudah pasti berada pada landasan yang betul, tetapi pelbagai pihak terutama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) harus memainkan peranan lebih mendalam menghasilkan pelan induk fasa kedua mengenai hala tuju program angkasawan negara.

Ini termasuk bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk memberi tumpuan kepada akar umbi di peringkat sekolah rendah dan menengah untuk melahirkan generasi yang mencintai sains dan angkasa lepas. 

Selamat Berpuasa kepada pembaca.