Sabtu, 16 Ogos 2008

Gerhana Bulan Separa 17 Ogos 2008 (LIVE broadcast)


Pencerapan LIVE Gerhana Bulan Separa 17 Ogos 2008

 Dari Kamera Mallicam milik Shahrin Ahmad di Planetarium Negara  .
. Dari kamera PUSKAL, Sabah .
.  Dari kamera milik Agensi Angkasa Lepas (ANGKASA)
 
 
Gerhana bulan berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada dalam satu garisan lurus. Kehadiran bumi dihadapan bulan akan menghalang cahaya matahari dari menyentuh permukaan bulan dengan sempurna. Disebabkan bayang bumi terdiri daripada bayang gelap (umbra) dan separa gelap (penumbra), maka wujudlah istilah gerhana bulan separa, gerhana bulan penuh dan gerhana bulan penumbra. Gerhana yang akan berlaku pada pagi 17 haribulan ini akan bermula pada pukul 2.25 pagi apabila bulan mula memasuki bayang penumbra bumi pada ketinggian 65 darjah dari ufuk. Ini dilabel sebagai P1 pada rajah 1.
 Rajah 1
Menunjukkan arah laluan bulan pada pagi 17 Ogos 2007
Namun perbezaan warna bulan ketika ini adalah agak sedikit dan sukar untuk dibezakan dengan keadaan biasa. Warna bulan akan mula menjadi gelap kemerahan bermula pukul 3.36 pagi (U1) di mana bulan mula memasuki bayang umbra. Bulan seterusnya akan berada di pertengahan gerhana pada jam 5.10 pagi dan keluar sepenuhnya dari bayang umbra pada pukul 6.44 pagi (U4). Gerhana bulan separa akan berakhir pada pukul 7.55 pagi (P4) ketika bulan telah berada -10 darjah di bawah ufuk. Rujuk rajah 1. Peristiwa ini ialah gerhana bulan yang pertama dan terakhir berlaku pada tahun ini yang boleh diikuti dari Malaysia. 
 
Gerhana seterusnya akan berlaku ialah pada 9 Februari 2009 iaitu gerhana bulan penumbra. Manakala kali terakhir peristiwa ini kelihatan dari Malaysia ialah gerhana bulan penuh pada 28 Ogos tahun lalu yang berlaku pada waktu hampir subuh. Gerhana bulan agak jarang berlaku jika dibandingkan dengan gerhana matahari. Namun ianya dapat dilihat dengan lebih meluas di seluruh dunia berbanding gerhana matahari iaitu hampir separuh dari glob bumi berpeluang untuk melihatnya. Untuk tahun ini, gerhana bulan yang berlaku pada 21 Februari yang lepas tidak dapat diikuti dari Malaysia. Oleh itu, gerhana pada bulan ini seharusnya tidak boleh dilepaskan. Gerhana matahari pula berlaku dengan agak kerap, iaitu sekitar 2 hingga 5 kali dalam masa setahun. Namun kawasan yang diliputi oleh gerhana matahari adalah hanya beberapa puluh kilometer lebar. Maka adalah sangat jarang bagi sesuatu lokasi di bumi untuk berada di dalam laluan gerhana matahari. Secara umumnya, gerhana matahari penuh akan berlaku pada kawasan yang sama setiap 360 tahun sekali.
Artikel oleh Astromas