Isnin, 28 Januari 2013

Panduan Memasang Teleskop

Assalamualaikum & hai...

Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda semua mengenai cara memasang teleskop jenis pantulan. Komponen utama sebuah teleskop ialah kaki tripod, mount, tiub teleskop, teleskop pencari, dan kanta mata. Anda juga mungkin memerlukan unit motor untuk membantu anda menjejak objek langit. Mount di bawah adalah dari jenis equatorial

Kredit imej : The Practical Astronomer oleh Will Gater dan Anton Vamplew.


Langkah 1 : Memastikan Kaki Tripod Pada Permukaan Yang Rata

Letakkan tripod anda pada permukaan yang rata dan keras. Letakkan pembaris yang mempunyai bubble level dan pastikan udara berada di tengah2 kolum air. Jika perlu laraskan kaki tripod anda sehingga penanda menunjukkan tripod anda sudah seimbang.


Sebaiknya jangan laraskan kaki tripod terlalu tinggi kerana keseimbangan teleskop mudah terganggu. Laraskan kaki tripod pada kedudukan separuh. Pastikan kunci pada kaki tripod sudah diketatkan.


Langkah 2 : Letakkan Mount Pada Tripod


Letakkan mount pada tripod dengan memastikan mount masuk ke dalam lubang yang ada pada tripod.

 Ketatkan mount dengan skru yang berada di bawah kepala tripod, pastikan ianya ketat.


Langkah 3 : Memasang Motor Pemandu


Pasangkan motor pemandu kepada mount. Pastikan gigi motor melekat dengan baik pada mount.


Langkah 4 : Penjajaran Dengan Utara


Apabila kita menggunakan mount ekuitorial, pastikan mount menghadap ke arah utara secara kasar dengan berpandukan kompas. Ini dapat dibuat dengan memastikan bentuk T pada mount menghala ke arah utara. 


Langkah 5. Memasang Pengimbang Berat


Pemberat pengimbang adalah sangat penting untuk memastikan teleskop anda dapat bergerak dengan bebas tanpa cenderung ke mana2 arah. Pemberat ini akan mengimbangi berat dari badan tiub teleskop. 

Masukkan pemberat ke dalam batang besi pengimbang dan ketatkan skru. Selepas itu pastikan anda memasang skru keselamatan pada hujung besi pengimbang sebagai langkah berjaga jaga sekiranya skru pada besi pengimbang gagal berfungsi.


Tripod dengan mount dan besi pengimbang siap dipasang.


Langkah 6 : Masukkan Tiub Teleskop


Masukkan tiub teleskop ke atas besi pemegang yang berbentuk separa bulatan. Selepas itu tutup besi bulatan itu dan ketatkan skrunya.


Langkah 7 : Pasangkan Kabel Pelaras (adjustment cable)


Kabel pelaras membolehkan anda melaras teleskop ke atas-bawah dan ke kiri-kanan secara halus. Pasangkan kabel pelaras dengan cara memutarkan ia kepada mount.


Langkah 8 : Memasang Unit Motor



Pasangkan kabel unit kawalan kepada motor pemandu. Jangan pasangkan motor kepada  sumber kuasa lagi.


Langkah 9 : Pasang Teleskop Pencari (finderscope) dan Kanta Mata



Teleskop pencari adalah satu teleskop berkuasa kecil yang diletakkan di atas teleskop. Disebabkan ianya menawarkan medan pandangan yang besar, kita boleh gunakannya untuk melihat secara kasar ke arah objek dengan meletakkan objek cerapan di tengah2 palang X. Sesudah itu barulah kita melihat menggunakan tiub teleskop yang utama untuk pelarasan secara halus pula.

Pasangkan teleskop pencari dan kanta mata yang bersesuaian. Sesetengah teleskop menggantikan teleskop pencari dengan red dot finder.


Langkah 10 : Mengimbangkan Mount


Langkah penting yang seterusnya ialah mengimbangkan mount. Ini akan membolehkan teleskop anda bergerak dengan lancar dan bergerak ke kedudukan yang anda hendaki dengan mudah. Mount perlu diimbangkan  pada satah Right Ascension dan dan satah Declination.


Untuk mengimbangkan pada satah Right Ascension, sokong tiub teleskop dengan tangan kiri anda dan longgarkan kunci yang menghalang teleskop dari bergerak pada satah R.A dengan menggunakan tangan kanan. Sesudah itu longgarkan kekunci besi pengimbang dan gelongsorkan besi pengimbang. Cari kedudukan besi pengimbang yang sesuai sehingga tiub teleskop dan besi pengimbang berada dalam kedudukan seimbang. Ketatkan skru anda kembali.



Untuk mengimbangkan pada satah Declination, pusingkan tiub teleskop anda supaya tiub berada dalam kedudukan melintang. Longgarkan skru pada besi pemegang tiub. Jangan lupa untuk sokong teleskop anda daripada jatuh. Gelongsorkan tiub teleskop anda sehingga beratnya berada dalam keadaan seimbang pada pemegang.


Langkah 11 : Hidupkan Teleskop Anda!



Pasangkan unit motor anda kepada sumber kuasa. Seterusnya anda mungkin perlu melaraskan lagi penjajaran teleskop ke arah utara dengan lebih halus dan tepat. 

Teleskop anda sudah siap untuk beraksi! Ribuan objek astronomi menanti untuk dicerap oleh anda.


Jom mencerap!

 
Mohd Rizuan Ali
ibnu_ali_87 @ y a h o o . com
013-2180412