Sabtu, 5 Januari 2013

1001 INVENTIONS: Akan Datang ke Malaysia


Assalamualaikum & selamat sejahtera pembaca ASTROMAS,

Sudah lama saya tidak menulis di sini sejak post yang lepas, insyaAllah, jika diberikan kelapangan, saya akan cuba untuk sentiasa menulis dan berkongsi dengan semua.

Sebelum kita berdiskusi tentang topik astronomi, saya mahu kongsikan satu berita baik. Pernahkah kalian terlihat, terbaca atau terdengar tentang ini?
Alhamdulillah, perkara yang memang amat saya nanti-nantikan sejak tiga tahun lepas, saya amat bercita-cita besar untuk melawati pameran ini, tapi apakan daya, nun jauh di London letaknya. Namun tidak lama lagi, pameran ulung ini akan berlangsung di Malaysia selama tiga tahun insyaAllah!


1001 Inventions: Kegemilangan Tamadun Muslim


Mengumpulkan hasil penemuan sains & teknologi sejak kurun ke-7 kira-kira 1,000 tahun lampau, para ilmuan Islam menzahirkan pelbagai cabang ilmu yang diserap masuk daripada tamadun Mesir, Yunani dan Rom, membina satu bangsa yang disegani bermula dari selatan Sepanyol sehinggalah ke China walaupun pada ketika itu tamadun di Barat sedang berhadapan Zaman Gelap.

Pelbagai mesin automatik dan alat perubatan telah dicipta, di samping banyak penemuan/pemerhatian astronomi juga turut dicatat, yang akhirnya menjadi penyuluh jalan membantu ke arah pembentukan Zaman Renaissance.




Kunjungi laman web 1001 Inventions dan berbanggalah melihat nama Malaysia tersenarai sebagai salah sebuah negara yang menjadi persinggahan pameran ilmiah yang mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat global ini.

Kami di ASTROMAS amat berharap semua pembaca khususnya ibu bapa, golongan pendidik dan pelajar turut serta merasai kenikmatan ilmu yang disajikan dalam pameran ini apatah lagi ianya dipelopori oleh para sarjana Islam sendiri.


Saya juga masih belum pasti tentang tarikh sebenar pameran ini akan berlangsung namun apa yang pasti, ia akan bermula sekitar awal tahun 2013. Sebarang update berkenaannya boleh didapati di laman Facebook ini.

Semoga pameran 1001 Inventions: Kegemilangan Tamadun Muslim akan turut membawa 1001 manfaat kepada kita semua dan membantu menyemarakkan minat generasi muda untuk berkecimpung dalam dunia sains & teknologi ini insyaAllah.


Yang baik itu dari Allah, salah/silap itu kelemahan saya sendiri. Terima kasih kerana sudi membaca dan berkongsi bersama yang lain :)



Langit percuma untuk semua,