Ahad, 15 April 2012

Peluang Terbaik Untuk Melihat Planet Zuhal dan Marikh!

Assalamualaikum & hai..

Planet apakah yang paling cantik dalam sistem suria?

Jawapannya sudah tentulah planet Zuhal!.

Sepanjang minggu ini adalah minggu yang terbaik untuk kita melihat dan merakam imej planet Zuhal. Ini adalah kerana pada minggu ini planet Zuhal akan berada paling dekat dengan bumi. Tarikh yang paling tepat ialah pada 15 April 2012 ini. Kedudukan Zuhal yang berdekatan ini dipanggil sebagai oposisi.

Foto planet Zuhal yang diambil pada 3 April yang lepas.
Kredit imej : Efrain Morales.

Jika anda ada binokular, teleskop atau kamera, apa lagi keluarkan ia dan rakam dan lihat planet ini  secepat mungkin kerana ianya sedang bersinar terang pada minggu ini. Kedudukan Zuhal yang mendekati bumi menyebabkan ia bersinar lebih terang dari minggu2 lain. Tambahan pula gelang planet Zuhal ini kini sedang condong ke arah kita pada sudut yang optimum iaitu 13 darjah. Ini bermaksud, kita dapat melihat permukaan gelang planet Zuhal dengan lebih banyak pada minggu ini  berbanding 5 tahun kebelakangan ini. 

Jangan pandang hal ini sebagai temeh kerana pada masa tertentu anda akan tidak dapat melihat langsung gelang planet Zuhal kerana ianya berada pada kedudukan satah yang sama dengan pandangan kita. Pada masa tu planet Zuhal hanya akan kelihatan bulat sahaja tanpa gelang! Betapa sedihnya bagi yang melihatnya.



CARA MENCARI PLANET MARIKH & ZUHAL MENGGUNAKAN MATA KASAR!


Mudah aje nak mengenal pasti planet ini. Anda tidak perlukan binokular atau teleskop, mata kasar anda sudah memadai!

Permandangan pada jam 10 malam untuk bulan April 2012

Caranya mudah sahaja, sepanjang bulan ini sekitar jam 10 malam, sila lihat ke arah matahari timbul (timur) dan perhatikan di atas kepala anda ada satu cahaya bintang yang bersinar sedikit kemerahan. Itu sebenarnya ialah planet Marikh! Disebelahnya Marikh tersebut terdapat satu bintang yang berwarna kebiruan, itu adalah bintang yang bernama Regulus, yang merupakan bintang paling terang dalam buruj zodiak Leo.

Dah jumpa planet Marikh? Sekarang perhatikan di bawahnya pula terdapat dua bintang yang kelihatan bersinar terang berada berdekatan antara satu sama lain. Titik bintang disebelah kiri tersebut sebenarnya ialah planet Zuhal, manakala di sebelahnya pula ialah bintang yang bernama Spica (bintang di buruj zodiak Virgo). Jika anda perhatikan betul2, planet Zuhal kelihatan sedikit kuning berbanding bintang Spica tersebut.

Mudah aje bukan? Jangan risau jika anda terlepas peluang untuk melihatnya pada malam ini kerana anda masih boleh melihatnya hingga ke bulan2 akan datang.

Jom mencerap!

ibnu_ali_87 @yahoo. com
0132180412