Ahad, 29 April 2012

Panduan Mencerap Gerhana Matahari


JENIS-JENIS GERHANA MATAHARI

Gerhana matahari berlaku apabila bulan melintasi di hadapan cakera matahari. Peristiwa ini hanya boleh berlaku pada waktu siang sahaja.. Terdapat 4 jenis gerhana matahari. Ianya bergantung jarak antara bumi-bulan;

1. Gerhana Matahari Penuh (total) : Berlaku apabila bulan meliputi 100% permukaan matahari. Cahaya matahari akan ditutup seratus peratus yang membawa keadaan seperti malam bagi lokasi yang bertuah. Hanya corona matahari yang akan kelihatan ketika totaliti berlaku.

Gerhana matahari penuh 
Kredit imej : Luc Viatour

2. Gerhana Matahari Cincin (Annular) : Berlaku apabila jarak bulan terlalu jauh untuk meliputi 100% permukaan matahari. Oleh itu ketika di pertengahan gerhana, kelihatan matahari berbentuk cincin dengan bulan berada di tengahnya.

Gerhana matahari cincin
Kredit imej : www.ast.cam.ac.uk

3. Gerhana Matahari Separa : Berlaku apabila bulan hanya melintasi bahagian tepi cakera matahari. Ianya juga boleh berlaku ketika gerhana matahari cincin atau penuh. Lokasi di bumi yang tidak berada dalam laluan bayang umbra  ketika gerhana matahari penuh akan melihat gerhana tersebut sebagai gerhana separa. Kita fahami dengan lebih lanjut di bawah.

Gerhana matahari separa
Kredit imej : Aaron Favila/AP Photo

4. Gerhana Matahari Hibrid (annular/total) : Gerhana matahari jenis ini adalah sangat jarang berlaku. Pada satu tempat ianya kelihatan sebagai gerhana matahari penuh dan tempat lain melihatnya sebagai gerhana matahari cincin.


MEMAHAMI GERHANA MATAHARI.

Bayang akan terbentuk apabila sesuatu objek berada di hadapan satu sumber cahaya, contohnya sewaktu kita berada di bawah sinaran lampu jalan raya. Apabila diamati pada bayang tersebut, terdapat dua jenis bayang terbentuk; satu bayang gelap yang digelar umbra, dan satu bayang separa gelap yang digelar penumbra.

Konsep yang sama berlaku apabila bulan melintasi di hadapan matahari (rujuk rajah atas). Kelihatan ada lokasi di bumi yang termasuk dalam bayang umbra dan ada yang termasuk dalam bayang penumbra. Bagi kes di atas, sesiapa yang berada dalam bayang umbra akan melihat gerhana matahari penuh berlaku, manakala sesiapa yang berada dalam bayang penumbra, mereka akan melihat gerhana matahari separa sahaja.

Ketika bulan melintasi di hadapan matahari, jarak bulan dari bumi boleh jadi betul2 tepat untuk membolehkan cakera matahari ditutup secara 100% oleh bulan. Tetapi kadang kala bulan boleh berada lebih jauh dari bumi, yang menyebabkan kita melihat bulan lebih kecil. Maka bulan yang 'kecil' ini hanya menutupi bahagian tengah matahari sahaja, dan membiarkan bahagian luar matahari masih lagi kelihatan sebagai cincin.



Konsepnya mudah sahaja. Sesiapa yang berada dalam bayang umbra, maka akan dapat melihat gerhana matahari penuh. Manakala sesiapa yang berada dalam bayang penumbra akan melihat gerhana matahari separa.

Mengikut rajah di atas, kedudukan bulan-matahari ketika gerhana matahari cincin ialah bulan berada lebih dekat dengan matahari yang menyebabkan bayang umbra yang terhasil akan difokus kepada satu titik yang tidak sampai ke permukaan bumi. Titik fokus umbra ini akan membentuk satu bayang baru iaitu bayang antumbra. Sesiapa yang berada dalam bayang antumbra akan melihat gerhana matahari cincin. Mudah sahaja!

CARA MENCERAP GERHANA MATAHARI 

Untuk mencerap gerhana matahari, anda dilarang sama sekali untuk melihat matahari menggunakan mata kasar sahaja. Walaupun ada yang akan kata matanya halus atau apa pun alasannya, anda tetap dan wajib menggunakan teknik tertentu untuk mengikuti gerhana ini demi keselamatan mata anda. Antaranya ialah ;

1. Projeksi Lubang Pin Dengan Kad Board

Buat satu lubang menggunakan pin pada kad board. Kemudian benarkan cahaya matahari melalui lubang kad tersebut dan seterusnya cahaya itu jatuh pada satu kertas putih. Cahaya yang berbentuk bulat itu akan menyerupai cakera matahari yang sedang ditutup secara perlahan2 oleh bulan.



2. Projeksi Lubang Pin Dengan Kotak Panjang

Konsepnya sama dengan cara di atas, cuma ianya menggunakan kotak panjang yang mempunyai satu tetingkap untuk melihat imej gerhana. 



3. Bayang Dari Pokok atau Objek Yang Berlubang

Ketika gerhana terjadi, perhatikan pada cahaya matahari yang terhasil pada bayang pokok. Anda juga boleh gunakan sebarang objek seperti senduk yang berlubang.



4. Menggunakan Cermin Mata Gerhana Khas
Kredit imej : ANGKASA

Anda adalah dilarang sama sekali menggunakan cermin mata hitam biasa, polaroid, negatif filem, filem xray, atau sebarang penapis lain yang tidak diiktiraf. Saya percaya ramai yang akan degil dengan menggunakan peralatan yang saya sebutkan tadi, malah kadang kala saya juga turut berbuat begitu.hehe.

Namun ingin saya ingatkan di sini jika anda berdegil, mata anda akan mengalamai kerosakan secara perlahan2 oleh kerana mata tidak mempunyai deria sakit. Risiko untuk katarak juga meningkat.

5. Menggunakan Teleskop Dengan Penapis Khas.

Kredit imej : ANGKASA

Teleskop yang dilengkapi penapis khas seperti mylar sahaja boleh digunakan untuk mencerap gerhana matahari. Teleskop tanpa penapis boleh membawa padah yang membinasakan mata anda.

6. Menggunakan Projeksi Binokular

Kredit imej : Society for Popular Astronomy




KEKERAPAN GERHANA MATAHARI

Bulan mengorbit bumi dalam bentuk elips, iaitu sama dengan orbit bumi mengelilingi matahari. Oleh kerana bentuk yang lonjong ini, ada ketikanya bulan adalah jauh dari bumi dan bumi pula boleh jadi jauh atau dekat dengan matahari, dan sebaliknya bagi kedua-dua objek.

Bumi berada pada kedudukan terdekat dengan matahari pada bulan Januari yang disebut sebagi perihelion. Oleh itu, bulan Januari cenderung untuk berlaku peristiwa gerhana bulan cincin. Bumi berada paling jauh dari matahari pula pada bulan Julai (aphelion) yang menyebabkan gerhana matahari penuh cenderung berlaku pada bulan tersebut.

Orbit bulan mengelilingi bumi adalah sendeng sebanyak 5 darjah jika dibandingkan dengan orbit bumi (komponen garisan ekliptik) mengelilingi matahari. Disebabkan perbezaan sudut ini, kebiasaannya bulan akan melalui sama ada atas matahari atau di bawahnya pada setiap bulan. Namun orbit bulan dan ekliptik (orbit bumi) boleh bersimpang pada masa2 tertentu yang disebut sebagai titik nod. Ketika inilah gerhana matahari akan berlaku.

Persimpangan garis nod ini boleh berlaku sebanyak 2 kali setahun dengan dibezakan 180 darjah antara satu sama lain (360 darjah bahagi dua). Oleh sebab ini, setiap tahun gerhana matahari biasanya terjadi sebanyak dua kali dengan jarak 6 bulan antara satu sama lain. Tahun ini gerhana matahari akan berlaku pada 15 Januari dan kali ke-dua pada 11 Julai 2010 nanti. Namun kadang kala gerhana boleh jadi sehingga 5 kali dalam masa setahun, seperti yang berlaku pada tahun 1693, 1758, 1823, 1805, 1870 dan 1935.

Gerhana matahari penuh adalah satu peristiwa yang jarang berlaku. Dianggarkan peristiwa ini berlaku dalam tempoh 18 bulan sekali. Namun kawasan yang bernasib baik untuk melihat gerhana matahari penuh ini adalah sangat kecil radiusnya. Oleh itu, gerhana matahari penuh hanya akan berlaku dalam tempoh 370 tahun sekali untuk satu satu tempat.

Tempoh gerhana matahari berlaku pula sangat pendek, iaitu di bawah 7 minit 31 saat. Ini disebabkan oleh peredaran bulan yang sangat laju iaitu lebih 1700 kilimeter per jam. Ditambah pula pergerakan bumi yang sedang mengorbit matahari. Gerhana matahari paling panjang untuk abad ke 21 ini berlaku pada 22 Julai 2009 yang bertahan selama 6 minit 39 saat.

Gerhana matahari berlaku lebih kerap berbanding gerhana bulan. Namun disebabkan oleh gerhana bulan dapat dicerap dari lokasi yang besar berbanding gerhana matahari yang sebaliknya, maka kita lebih berpeluang untuk mengikuti gerhana bulan.

Salam hormat dari saya,

Jom mencerap!


013-218 0412
ibnu_ali_87 (@) yahoo.com