Surah Al Anbiyak ayat 30 mengatakan bahawa alam terhasil dari satu titik yang padu lalu dipisahkan menjadi alam yang sedia ada sekarang ini. Kaitannya dengan teori Big Bang diulas di artikel ini.
Kalendar ini memuatkan senarai fenomena astronomi yang bakal berlaku pada tahun 2012. Jangan biarkan diri anda terlepas fenomena astronomi yang menarik dan jarang berlaku
Maafkan saya kerana tidak sempat menghebahkan kepada anda akan peristiwa astronomi iaitu gerhana matahari separa yang berlaku pada 22 Julai 2009 yang lepas. Saya sendiri pada ketika itu tidak berkesempatan untuk mengikuti pencerapan tersebut kerana kesibukan dengan urusan posting di hospital.
Berikut adalah diubah suai dari artikel dari Berita Harian.
Mencerap Gerhana di Malaysia
Rakyat Malaysia terutamanya di kawasan utara Semenanjung telah berpeluang untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari separa yang bermula jam 8.23 hingga 9.48 pagi pada hari Rabu yang lepas. Bagaimanapun, penduduk Malaysia hanya dapat melihat 17.8 peratus saja kawasan permukaan matahari ditutupi oleh bulan ketika gerhana separa berlaku.
Walaupun hanya dapat melihat gerhana matahari separa secara minimum namun orang ramai termasuk pelajar sekolah tetap mahu melihat keunikan fenomena berkenaan.
Gerhana dilihat dari Pulau Pinang, Malaysia
Kejadian gerhana matahari separa itu terbentuk berikutan berlakunya fenomena gerhana matahari penuh, yang juga gerhana matahari terpanjang di abad ini iaitu selama enam minit 39 saat.
Pada abad ini, penduduk Malaysia akan dapat menikmati gerhana matahari separa pada 15 Januari 2010, 9 Mac 2016 dan 26 Disember 2019.
Gerhana di Benua Asia
Gerhana paling panjang abad ke-21 ini bermula pagi Rabu lepas, menyebabkan sebahagian rantau Asia bergelap, terutama di India dan China.
Pencerap amatur dan sainstis mengambil kesempatan merakam fenomena gerhana yang dianggap bersejarah.
Selain menggunakan peralatan pencerap, mereka turut menyewa khas kapal terbang semata-mata untuk menyaksikan fenomena yang kebanyakan penduduk menganggapnya sebagai ganjil.
Kon bayangan gerhana atau 'umbra' mula muncul di Gujarat, barat India jam 6.30 pagi waktu tempatan (0100 GMT).
Ia kemudian bergerak merentasi benua India ke bandar suci masyarakat Hindu, Varanasi dan ke tebing Sungai Ganges sebelum ke selatan Semenanjung Bangladesh, Bhutan di Nepal hinggalah ke tanah besar China.
Bagaimanapun, awan monsun di India dan cuaca buruk di China mengecewakan berjuta mereka yang menyaksikan fenomena gerhana ini.
Di Mumbai, ratusan penduduk berkumpul di Planetarium Nehru yang bersama peralatan pencerap serta memakai kaca mata hitam hampa apabila terpaksa berpayung dan memakai baju hujan.
Ini kerana malam tadi hujan dilaporkan lebat sehingga awal pagi ketika gerhana berkenaan.
Suka Duka & Peristiwa Menarik Sepanjang Gerhana Julai 2009
Seorang wanita terbunuh dalam satu kejadian rempuhan di sungai Ganges di India, di mana penganut Hindu berkumpul untuk menyaksikan fenomena itu.
Berjuta yang lain, diselubungi ketakutan, menyembunyikan diri mereka di dalam rumah.
Di Beijing yang dijangka dapat melihat gerhana sepenuhnya, kabus tebal berwarna kelabu pada pagi mengecewakan penduduk yang bangun pagi untuk menyaksikan fenomena berkenaan.
Pemerhati di Shanghai juga kecewa apabila hujan gerimis pada sebelah pagi. Namun apabila langit siang hari mula bertukar gelap seperti malam selama kira-kira lima minit, pemerhati menjadi teruja semula.
"Walaupun hujan turun, saya tidak mahu suasana muram. Saya mahu menikmati hari yang istimewa ini," katanya.
KANAK-KANAK menyaksikan gerhana matahari menerusi cermin mata khas dan teleskop di pinggir Osaka, Jepun semalam.
Pemerhati di Shanghai juga kecewa apabila hujan gerimis pada sebelah pagi. Namun apabila langit siang hari mula bertukar gelap seperti malam selama kira-kira lima minit, pemerhati menjadi teruja semula.
"Walaupun hujan turun, saya tidak mahu suasana muram. Saya mahu menikmati hari yang istimewa ini," katanya.
Di Bangladesh, penduduk turut bersuka ria.
"Ia adalah saat yang jarang berlaku, saya tidak pernah terfikir untuk melihatnya dalam hidup saya," kata Abdullah Sayeed, seorang pelajar kolej yang berkunjung ke bandar Panchagarh dari ibu kota Dhaka untuk menyaksikannya.
KEADAAN di Shanghai sebelum (atas) dan selepas gerhana penuh.
Katanya kereta di bandar itu memerlukan lampu ketika "siang bertukar malam secara tiba-tiba." Orang ramai berpelukan antara satu sama lain dan sesetengahnya meniup wisel apabila gerhana bermula, katanya.
Gerhana penuh matahari semalam hanya dapat dilihat di Asia dan adalah fenomena paling lama sejak 11 Julai 1991, apabila gerhana penuh berlaku selama enam minit 53 saat dapat dilihat dari Hawaii ke Amerika Selatan. Tiada lagi gerhana penuh yang lama berbanding semalam sehingga 2132.
Berikut adalah senarai aktiviti astronomi yang sedang dan bakal diadakan di sekitar Malaysia hingga Ogos 2009.
1) Sambutan Bulan Astronomi akan diadakan di Galeria Perdana, Langkawi pada 15 hingga 20 Jun ini. Anda semua dijemput hadir
2) Satu aktiviti Karnival Sains dan Astronomi akan diadakan di Muzium dan Galeri USM Pulau Pinang pada 18 hingga 21 Jun 2009
3) Karnival Sains & Astronomi untuk 135 buah sekolah akan diadakan di Teluk Intan, Perak pada 26 hingga 27 Jun 2009
4) USM International Astronomi Convention dirancangkan berlangsung pada 3 hingga 5 Julai 2009. Merupakan konvensyen astronomi terbesar di Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk datang!
5) Satu aktiviti Minggu Astronomi akan diadakan di Perpustakaan Awam Ipoh pada 8-10 Julai 2009. Anda semua dijemput hadir
6) Ketua Menteri Pulau Pinang akan merasmikan balai cerap Pearl Of The Orion di Pulau Pinang pada pertengahan Julai ini
7) Satu program bertajuk "Minggu Kesenian dan Astronomi" akan diadakan di Kuching, Sarawak pada 1 hingga 8 Ogos 2009
Apa khabar semua? Maafkan saya kerana sudah hampir sebulan tidak mengemaskini blog Astromas ini. Kesibukan dengan urusan pelajaran di universiti dan urusan kelab Medical Science telah sedikit membataskan saya untuk meluangkan masa di blog ini. Apa pun, sekarang ini saya sudah mula cuti semester selama 2 minggu. Cuti semester ini pendek sahaja memandangkan saya ini adalah pembahagi antara semester panjang dan semester pendek.
Semester hadapan saya berkemungkinan menjadi sedikit sibuk kerana akan memulakan rotation di hospital Jempol. Kemudiannya saya akan bertukar ke jabatan forensik di Hospital Serdang dan kemudian terus pula ke Pusat Perubatan Respiratori HKL. Namun, saya akan cuba untuk meluangkan sedikit masa untuk mengemas kini blog ini. InsyaAllah. Kunjungan dan komen anda di blog ini sebenarnya yang memberi semangat untuk saya terus menulis :-)
Untuk makluman anda semua, saya baru sahaja membeli kamera DSLR Canon 1000D. Alhamdulillah angan2 sejak lama sudah tercapai. hehe. Dengan adanya kamera ini maka saya boleh melangkah kehadapan dalam bidang astrofotografi. Dulunya saya hanya menggunakan kamera digital kompak sahaja untuk mengambil gambar panorama objek langit. Anda boleh rujuk di sini.
Dalam bidang astrofotografi, ada beberapa peringkat yang boleh saya kategorikan. Seseorang peminat astronomi itu mungkin boleh bermula dengan kamera point & shot. Kemudian berubah kepada penggunaan webcam untuk mengambil gambar planet khususnya, kemudian kepada DSLR dan seterusnya kepada penggunaan kamera CCD.
Salam jumpa lagi,
ASTROMAS
Mohd Rizuan Ali
ibnu_ali_87@yahoo.com
013-2180412
Peta bintang menunjukkan suasana langit pada waktu malam tepat 12 tengah malam, 15 Mei 2009 di Kuala Lumpur. Zenith adalah titik langit betul-betul di atas kepala anda. Garisan hijau yang merentang dari arah timur ke barat adalah orbit bagi matahari, bulan, dan planet. Garisan ini dikenali sebagai garisan ekliptik. Disepanjang garisan ekliptik terletaknya 12 buruj zodiak. Perhatikan pusat galaksi Bima Sakti di buruj Saggitarius yang menjanjikan pelbagai objek menarik untuk dicerap.
Memerhatikan langit adalah satu aktiviti yang menyeronokkan. Melihat langit terutamanya pada waktu senja mahupun melihat gemerlapan kelipan bintang pada waktu malam amatlah dapat menenangkan hati dan fikiran. Keindahan kejadian senja dan malam ciptaan tuhan pasti akan menginsafkan diri betapa kerdilnya diri kita di sisi-Nya.
Memerhatikan langit, atau biasa disebut dalam bidang astronomi sebagai mencerap langit atau bintang akan menjadi lebih menarik jika kita mengetahui apa yang boleh dilihat dan bila boleh melihat sesuatu objek langit. Planet sebagai contohnya. Pasti ramai yang terpinga-pinga apabila dikatakan kebanyakan planet dalam sistem suria boleh dilihat atau dicerap menggunakan mata kasar. Disamping itu, objek lain seperti awan gas yang disebut sebagai nebula, galaksi dan kumpulan bintang juga boleh dilihat jika anda mengetahui bila dan di mana untuk melihatnya.
Jom Mencerap Planet!
Permandangan langit senja apabila digandingkan dengan kehadiran planet yang tergantung di kaki langit pastilah mengundang permandangan yang mengasyikkan. Kehadiran ‘bintang’ senja yang bersinar terang di atas ufuk ini kadang-kala mengundang teka-teki sama ada ‘bintang’ tersebut adalah sebuah satelit ataupun bintang biasa. Namun, jawapan yang sebenar ialah anda sedang melihat planet!
Terdapat dua planet yang biasa boleh dilihat pada waktu senja dan sebelum matahari timbul. Planet tersebut ialah planet Utarid dan Zuhrah. Planet Utarid berkemungkinan dilihat sebagai satu titik bintang yang biasa. Planet Zuhrah pula akan terlihat sebagai sebuah bintang yang amat terang, malah lebih terang dari semua jenis bintang yang ada di langit!
Pada bulan ini, planet Utarid akan menghiasi permandangan langit senja dengan kelihatan rendah di kaki langit pada awal bulan sehinggalah pada 10haribulan. Kedudukannya sekarang ialah berhampiran dengan kelompokan bintang Pleiades. Selepas 10 haribulan, planet Utarid akan dapat dilihat semula pada 25 haribulan sehinggalah ke hujung bulan. Namun kehadiran semula Utarid ini adalah pada waktu pagi iaitu sebelum matahari timbul.
Bulan juga akan turut menghiasi langit senja iaitu pada 25, 26 dan 27 haribulan ini. Bulan yang pada ketika itu sedang dalam fasa awal bulan sabit pasti menambahkan kecantikan langit senja.
Masuknya waktu Isyak menandakan langit telah betul-betul gelap untuk membolehkan pencerapan bintang dijalankan dengan sebaiknya. Waktu Isyak dikatakan telah masuk waktu apabla mega merah di langit barat telah hilang sepenuhnya. Ini boleh dicapai apabila kedudukan matahari di bawak ufuk telah mencapai sudut negatif yang tertentu.
Menjelmanya malam, kita boleh mencerap planet bergelang iaitu Zuhal pula. Zuhal pada bulan ini akan berada hampir di atas kepada pada awal malam. Ianya kini sedang mendiami buruj Leo sang Singa. Planet ini akan berada sekitar 45 hingga 50 darjah di langit barat pada jam 12 tengah malam. Jika anda dapat mengenal pasti buruj Leo, pasti anda akan terperasankan akan kehadiran satu ‘bintang’ jingga yang bukan milik bintang di buruj Leo. ‘Bintang’ itu sebenarnya ialah planet Zuhal. Planet Zuhal dapat dicerap sehingga ianya tenggelam di ufuk barat sekitar jam 3 pagi.
Rajah 1 :
Musytari dilihat dari teleskop kecil. Kelihatan 3 bulan utama planet Musytari
Sesudah tenggelamnya planet Zuhal, kita akan dihidangkan dengan persembahan planet ke-dua paling terang di langit iaitu planet gas Musytari. Planet terbesar dalam sistem suria ini akan mula muncul dari kaki langit timur pada 02.30 pagi pada 1 haribulan, pada 01.38 pagi pada 15 haribulan dan pada 12.39 pagi pada 31 haribulan ini. Ini bermakna planet ini akan dapat dilihat pada semakin awal malam untuk bulan-bulan seterusnya. Musytari kini sedang bertapa di buruj Capricornus. Menariknya pada 3 dan 4 haribulan ini ialah apabila bulan akan menemani Musytari dengan berada berhampirannya pada tarikh tersebut. Jangan lepaskan peluang untuk menggunakan bulan untuk menjejaki planet Musytari.
Naiknya sang Musytari di buruj Capricornus di ufuk timur menandakan bahawa buruj Saggitarius dan Scorpious akan juga naik dari ufuk sebentar sahaja lagi. Signifikannya buruj ini ialah ianya merupakan di mana letakknya pusat galaksi kita, Bima Sakti. Anda boleh melihat pusat galaksi kita sebagai satu jaluran seakan awan yang merentasi buruj Saggitarius. Ini hanya boleh dilihat di kawasan yang betul-betul gelap sahaja.
Mengekori planet Musytari ialah planet paling terang di langit iaitu planet Zuhrah. Seketika kemudian planet Marikh pula akan menyusul dengan keduanya mendiami buruj Pisces sepanjang bulan ini. Zuhrah mula naik dari ufuk pada 04.21 pagi pada 15 haribulan manakala si Marikh mula muncul pada 04.45 pagi.
Tarikh
Masa
Peristiwa
02 hb Mei 2009
04.00 pagi
Suku pertama bulan
06 hb Mei 2009
08.00 pagi
Kemuncak peristiwa hujan meteor Eta Aquarids
Bulan tenggelam 4.27 pagi
10 hb Mei 2009
12.02 petang
Bulan penuh
14 hb Mei 2009
11.00 pagi
Bulan berkedudukan terjauh: 404,916 km
17 hb Mei 2009
03.25 petang
Suku akhir bulan
17 hb Mei 2009
04.00 petang
Musytari pada 3 darjah di selatan bulan
18 hb Mei 2009
06.00 petang
Utarid berkonjukasi inferior
21 hb Mei 2009
04.00 petang
Zuhrah di 6.7 di selatan bulan
24 hb Mei 2009
08.12 malam
Bulan baru
26 hb Mei 2009
12.00 petang
Bulan pada kedudukan terdekat: 361,155 km
31 hb Mei 2009
11.19 pagi
Suku pertama bulan
Jadual 1:
Menunjukkan senarai peristiwa astronomi bulan ini.
Hujan Meteor Eta Aquarids (6 Mei 2009)
Rajah 2 :
Menunjukkan punca peristiwa hujan tahi bintang Eta Aquarids pada jam 4.30 pagi, 6 haribulan Mei 2009 dengan menghadap ke arah timur.
Hujan meteor Eta Aquarids merupakan salah satu perisiwa hujan meteor yang menarik dan kaya dengan jaluran tahi bintang. Peristiwa ini dikaitkan dengan kehadiran komet 1P/Halley yang turut menjadi punca kepada peristiwa hujan meteor Orionids pada bulan Oktober. Peristiwa ini dinamakan sebagai ‘hujan meteor’ kerana ketika peristiwa ini sedang terjadi, anda dapat melihat jaluran tahi bintang di langit ibarat hujan yang sedang turun.
Peristiwa ini dijangka mencapai waktu kemuncakknya pada 6 Mei 2009 pada jam 8 pagi waktu Malaysia. Radian, iaitu buruj tempat keluarnya tahi bintang ini ialah buruj Aquarius yang akan mula keluar dari ufuk sekitar pukul 3 pagi. Kedudukan radian yang rendah pada ufuk akan membolehkan meteor kelihatan lebih panjang dari biasa. Dijangkakan kita boleh melihat sekitar 85 tahi bintang dalam masa sejam jika cuaca adalah baik dan bebas dari awan.
Sedikit membawa gangguan apabila bulan yang hampir penuh hanya akan tenggelam di ufuk barat pada pukul 4.30 pagi. Oleh itu, jika anda ingin mengikuti peristiwa ini, dicadangkan aktiviti dimulakan sekitar pukul 4 pagi sehinggalah subuh. Pada awal pencerapan, anda bolehlah mengadap ke arah langit timur, iaitu kepada buruj Aquarius secara spesifik. Cara terbaik untuk mencerapnya ialah dengan menyediakan tikar berserta bantal. Berbaringlah di kawasan yang bebas dari lindungan bangunan atau pokok dan agak gelap. Namun pastikan keselamatan diri anda terjamin. Ajaklah rakan-rakan yang lain untuk membantu menghangatkan suasana. Selamat mencerap!.
Chalet milik Dr Rowi di pantai Mek Mas sering dijadikan tempat untuk melakukan kegiatan astronomi kerana lokasinya yang gelap.
Pada 20, 21, dan 22 haribulan Mac yang lalu, saya dan berapa rakan dari Falak-Online telah mengadakan satu aktiviti cerapan bintang yang bertempat di chalet milik Dr Rowi di Pantai Mek Mas, Kuala Besar, Kota Bharu Kelantan. Aktiviti ini dinamakan Program Realiti Menjejak Bintang (bunyinya ala-ala Akademi Fantasia aje…hehe)
Program cerapan bintang ini disertai sekitar 15 orang peserta yang datang dari sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Penang. Antara yang hadir ialah Dr Mahamarowi sendiri, tuan punya Falak-Online iaitu En Shahrin Ahmad, Pak Aziz, dari ANGKASA iaitu saudara Redzuan dan Hamka, wakil Jabatan Mufti Pulau Pinang iaitu ustaz Hardi dan dua pembantunya, dari negeri Sembilan iaitu Ustaz Shamsul & Ustaz Ramli, dua rakan dari sekolah Maahad Muhammadi Lelaki iaitu Izul dan Azwan, Ustaz Mat Noor dari Maahad Muhammadi Perempuan, Abe Jih, Shafie, beberapa forumer Falak-Online seperti Nursyah, Fukhairei dan lain2 yang tidak dapat saya sebutkan di sini.
Lagoon dan Trifid Nebula adalah antara objek yang sempat kami jejaki menggunakan binokular pada malam itu.
Pencerapan dimulakan pada hari Jumaat malam Sabtu. Alhamdulillah cuaca begitu amat mengizinkan untuk kami melakukan cerapan. Keadaan yang amat gelap di Pantai Mek Mas sangatlah mengujakan kami dengan taburan bintang kelihatan memenuhi dada langit. Bintang2 yang malap yang kebiasaannya susah untuk dilihat telah bersinar terang pada malam tersebut sehinggakan saya merasa sedikit susah untuk mengenal pasti bentuk buruj. Saya hampir2 tersilap cuba membayangkan bentuk buruj Scorpio pada buruj Bootes.hehe. Antara aktiviti pengimejan yang dilakukan pada malam tersebut ialah mencerap planet Zuhal, melakukan astrofotografi oleh Pak Aziz dan mengambil gambar star trail oleh saudara Redzuan. Saya sempat menunjukkan kepada Nursyah dan rakan dari sekolah Maahad Muhammadi cara untuk menjejaki objek astronomi yang mudah dilihat menggunakan binokular. Antara objek yang kami jejak pada malam itu ialah kelompokan bintang terbuka M6 dan M7, kelompokan bintang globul Omega Centauri, Whirpool Galaxy M51, Nebula Lagoon M8, Nebula Trifid M20 dan Nebula Burung Helang M16 (eagle nebulae). Aktiviti cerapan telah berakhir pada jam 4 pagi.
Hari ke-dua program dimulakan dengan sarapan pagi dengan nasi bungkus berlauk. Adalah menjadi kebiasaan di negeri Kelantan untuk sarapan pagi dengan nasi berlaukkan ayam atau ikan yang dimasak kari. Selain itu, menu seperti nasi dagang dan nasi kerabu juga biasa dimakan pada waktu pagi. Sesiapa yang tidak pernah ke Kelantan kebiasaannya akan mengalami sedikit kejutan budaya apabila terpaksa menjamah sarapan dengan menu yang agak berat. Namun akhirnya nasi bungkus tersebut licin juga dimakan walaupun mengambil tempoh yang lama untuk dihabiskan.hehe.
Aktiviti pada waktu tengah hari ialah melawat balaicerap Dr Rowi yang terletak di Jalan Bayam, Kota Bharu. Balai cerap ini telah dibina sendiri oleh Dr Rowi di atas loteng rumahnya. Peserta program ditunjukkan secara ringkas akan peralatan yang dimiliki oleh Dr Rowi. Pastu ramai yang kagum apabila melihatkan betapa hardcorenya Dr Rowi dalam hobi astronomi ini. Saya tidak hadir pada sesi tengah hari ini kerana meluangkan masa untuk berhibernasi di rumah saya :p
Abe Jih dan Izul sedang sibuk membakar ikan dan ayam. Kelihatan Encik Shah sedang memerhati tempat BBQ dari jauh sambil menanti bila ayam akan masak.hehe
Aktiviti petang diteruskan dengan acara membakar BBQ untuk dijadikan santapan awal makan malam sebelum pencerapan dilakukan. Tujuan utamanya ialah untuk memastikan kami mempunyai lebih masa untuk mencerap pada malam nanti.hehe. Malam nanti saya bercadang untuk mengadakan aktiviti Messier Marathon iaitu aktiviti menjejak sebanyak mungkin objek Messier.
Ikan yang tidak dapat dikenal pasti spesiesnya. Yang penting sedap :p
Aktiviti pencerapan bintang yang dirancang pada malam hari ke-dua telah dibataskan oleh kehadiran awan tebal yang menyelubungi langit Kota Bharu. Nampaknya Messier Marathon saya juga terpaksa dibatalkan. Oleh itu, kami menghabiskan masa dengan bersembang mengenai pengalaman melakukan cerapan dan sebagainya. Taiko2 astronomi tempatan seperti Dr Rowi, En Shahrin dan Pak Aziz mendominasi suasana dengan kisah mereka yang menarik.
Encik Shah, Ustaz Hardi, Dr Rowi, Redzuan ANGKASA, Pak Aziz dan saya sedang bersembang mengenai aktiviti astronomi tempatan.
Saya tertarik dengan kisah lama Dr Rowi yang mana beliau terpaksa menghabiskan masa selama tiga tahun semata-mata untuk mempelajari cara menfokuskan pada sesuatu bintang. Dengan sumber info yang terhad ditambah lagi pada masa itu (tahun 90-an) masih ramai yang kurang mengetahui teknik melakukan cerapan bintang dan astrofotografi, maka Dr Rowi terpaksa mencuba sendiri bagaimana menggunakan alatan yang dibelinya itu secara try & error. Dengan berkat dan kesungguhan beliau, akhirnya kini beliau tergolong di antara sifu2 astronomi yang disegani di negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Program pada malam tersebut berakhir sekitar jam 12 malam.
Pak Aziz sedang melihat cicak di dinding. hehe.. Jangan marah ye Pak Aziz..
Saya akan terus berada di Kelantan sehingga 5haribulan April ini. InsyaAllah saya akan cuba melaksanakan aktiviti Messier Marathon saya dengan bantuan peralatan Dr Rowi. Kita tunggu dan lihat laporannya nanti ;)
Salam hormat dari saya,
MOHD RIZUAN BIN ALI,
ASTROMAS,
www.astromas2020.blogspot.com
ibnu_ali_87@yahoo.com
013-2180412
Saya masih ingat lagi malam tu langit sungguh cerah sekali dan buruj-buruj yang terang dapat juga saya dilihat. Jadi, saya terfikir nak ambil gambar Messier 42 yang berada dalam buruj Pemburu yang terkenal(Orion).
Awal lagi sebelum matahari hilang di depan mata saya, alat-alat pencerapan saya sudah pun sedia untuk beroperasi. Langit semakin gelap, jadi bintang-bintang terang sekali sudah pun boleh dilihat dengan jelas sekali dengan mata kasar. Messier 42 iaitu The Great Orion Nebula juga dapat dilihat. Jadi saya membuat keputusan untuk mengambil gambar nebula yang terkenal ini.
Inilah gambar yang saya dapat melalui teknik Prime Focus dalam astrofotografi. Masa exposurenya adalah seperti berikut:
30 saat ( 8 Light Frames + 2 Dark Frames) 10 saat ( 4 Light Frames + 1 Dark Frame) 8 saat ( 4 Light Frames + 1 Dark Frames)
Dengan melalui teknikpemprossesan imej yang sesuai, imej akan menjadi lebih sesuai untuk dilihat dan dipamerkan.
Selepas mengambil Messier 42, saya pun mengambil peluang ini untuk cuba mengambil gambar Messier 45 iaitu salah satu Open Cluster yang terkenal sekali.
Memang senang sekali nak melihat kedua-dua Deep sky objek ini dengan mata kasar. Cubalah malam ini ataupun lain kali jikalau cuaca bagus sekali.
Saya dan beberapa rakan dari Falak-Online akan melakukan satu program astronomi 'Program Realiti Menjejak Bintang' bertempat di balai cerap Dr Rowi di Pantai Mek Mas, dan di rumah beliau di Jalan Bayam, Kota Bharu pada 20 hingga 22haribulan ini.
Saya diberitahu bahawa program ini terhad kepada peserta berdaftar sahaja. Namun jika anda berminat untuk bertemu kami untuk sesi sual kenal dan mendapatkan info terkini dunia astronomi, kami dengan sukacita akan cuba membantu anda sedaya yang mungkin.
Nantikan laporan bergambar dari saya nanti.
Salam hormat,
Astronomi Untuk Semua,
ibnu_ali_87@yahoo.com
013-2180412
13 Mac 2009 : Kapal angkasa, Discovery selamat mendarat di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dalam misi melengkapkan pembinaan stesen itu serta membawa angkasawan pertama Jepun.
Kedua-dua kapal angkasa itu merapati antara satu sama lain tepat jam 2119 GMT di posisi selatan Australia, terlewat kira-kira enam minit daripada jadual pendaratan asal.
Selama 13 hari di angkasa, krew Discovery, termasuk Koichi Wakata, yang menjadi angkasawan Jepun pertama tinggal dalam tempoh panjang di ISS akan memasang dua pasang panel solar di ISS.
Pemasangan panel solar itu akan dilakukan dua angkasawan yang akan melakukan 'space walk' (berjalan di angkasa) selama lima jam untuk menyiapkannya.
Selepas pelancaran Discovery ditangguhkan berikutan berlaku kebocoran gas hidrogen, panel solar itu akan mula dipasang esok membabitkan tiga kali 'space walk'.
Sebaik mendarat, tiga krew ISS terdiri dua angkasawan Amerika dan seorang Russia menyambut krew Discovery.
Wakata akan menggantikan angkasawan Amerika, Sandra Magnus yang sudah tinggal empat bulan di ISS.
Wakata pula dijadual pulang ke bumi Jun nanti. - AFP
Perjalanan komet Lulin untuk mengelilingi matahari telah mencapai jarak paling dekat dengan bumi (perigee) pada malam semalam. Ini membolehkan kita untuk melihat komet Lulin yang akan kelihatan agak terang selama dua tiga hari ini. Ianya kini sedang berada pada kedudukan 180 darjah dari matahari yang membolehkannya dilihat hampir sepanjang malam. Komet Lulin akan kelihatan bergerak mengubah kedudukannya sekitar jarak sepuluh bulan penuh di langit untuk satu malam.
Walaupun hari ini saya mempunyai ujian akhir penyakit endocrine, tetapi saya masih lagi sempat keluar mengintai langit pada malam semalam untuk melihat komet Lulin. Menerusi binokular, Lulin kelihatan seperti bintang yang sedikit kembang berada di atas kanan planet Zuhal ketika itu.
Astrofoto di atas telah diambil oleh seorang pencerap dari New Mexico, USA. Foto ini menunjukkan koma (pusat) komet yang berwarna kehijauan, iaitu menunjukkan kehadiran cyanogen yang bersinar dan molekul2 gas karbon. Kelihatan ekor debu yang sedikit kekuningan kerana membalikkan cahaya matahari berada pada bahagian kiri koma manakala ekor gas terion kelihatan sedikit kebiruan berada di kanan koma.
Komet Lulin, diambil oleh Dr. Mahamarowi Omar dari balai cerap di loteng rumahnya.
Saya diberitahu dari Falak-Online bahawa Dr. Rowi dan Abe Jih telah berjaya merakam foto komet Lulin dari rumahnya di Jalan Bayam, Kota Bharu Kelantan. Ruginya saya tak berada di Kelantan pada waktu ini.
Emm...Bila pula saya boleh ambil gambar macam Dr Rowi ni? hehe..
Salam hormat dari saya,
ASTROMAS,
Astronomi Untuk Semua
ibnu_ali_87@yahoo.com
Astrofoto oleh Karzaman Ahmad dari Balaicerap Negara Langkawi.
Dua tiga hari ini, ahli astronomi amatur seluruh negara mula bising membincangkan mengenai komet Lulin yang semakin menghampiri matahari. Cuma saya sahaja yang kurang bising kerana terpaksa menghadapi final examination bermula 23hb ni. :'(
Komet Lulin (C/2007 N3) merupakan sebuah komet dengan orbit tidak dijangka. Ini bermaksud ianya akan mengorbit matahari pada kali ini dan kemudiannya berkemungkinan untuk keluar dari sistem solar untuk tidak kembali lagi. Komet ini pertama kali dijumpai oleh Ye Quanzhi & Lin Chi-Sheng dari Balaicerap Lulin yang bertempat di Taiwan.
Komet Lulin kini semakin menghampiri pusat sistem suria iaitu matahari. Ini bermakna kecerahannya akan menjadi semakin terang untuk membolehkannya dicerap dengan lebih mudah. Ketika saya menulis rencana ini, komet Lulin dikatakan sedang bersinar pada magnitud 6, iaitu boleh dilihat menggunakan mata kasar jika anda berada di kawasan gelap seperti di kampung!
Lulin dijangka mencapai kecerahan maksimum pada 24 Februari ini. Ianya boleh mencapai magnitud 4 pada ketika itu yang bermaksud ianya akan kelihatan secerah bintang yang ada di langit!
Pasti anda sedang teruja untuk melihat dan mencerap komet ini pada 24hb ini bukan? Jangan terasa malu kerana saya pun sedang rasa teruja. Hehe.
Sepanjang minggu ini, anda boleh menjejaki komet Lulin yang sedang berada di buruj Leo Sang Singa. Buruj Leo akan mula keluar dari arah timur pada jam 8.30 malam bersama2 planet Zuhal (boleh dilihat dengan mata kasar). Buruj ini akan terus meninggi di dada langit pada tengah malam. Sekitar jam 10 malam ke atas, buruj Leo berserta planet Zuhal dan komet Lulin sedang berada pada ketinggian yang sesuai untuk dicerap.
Klik untuk rajah lebih besar
Rajah di atas menunjukkan rupa bentuk buruj Leo dan kedudukan komet Lulin pada 24haribulan ini. Cuba ambil masa untuk mengenali buruj Leo serta planet Zuhal yang kelihatan berwarna kejinggaan (oren) pada pandangan mata kasar. Setelah anda berjaya mengenal pasti planet Zuhal, maka jangan berputus asa untuk cuba mencari satu titik seakan bintang yang kembang di sebelah bawah planet tersebut.
"Isk...buruj Leo dah nampak, Zuhal pun dah nampak, tapi komet Lulin masih tak nampak2. Astromas ni kelentong aje kot"
Mungkin begitu getus hati anda pada malam 24haribulan ini.hehe.. Jangan marah kat saya ye. Mungkin tiba masanya untuk anda menggunakan binokular ataupun biasa kita panggil sebagai teropong. Jika ada teleskop sudah tentu lagi baik. Komet ini sepatutnya dapat dilihat sebagai satu titik yang kembang dan mempunyai sedikit ekor.
Jika masih lagi tidak nampak, berkemungkinan anda sebenarnya sedang berusaha melihat komet ini melalui awan yang sedang melindungi langit di tempat anda. Jika ini yang terjadi, maka eloklah anda masuk ke dalam rumah untuk berehat dahulu dan berdoa agar awan akan hilang secepat mungkin :-)
Gunakan yang berikut sebagai panduan menjejaki komet Lulin:
Melintasi bintang kembar Zubenelgenubi pada 6 Feb 09
Menghampiri bintang Spica di buruj Virgo pada 15 & 16 Feb 09
Menhampiri bintang Gamma Virginis pada 19 Feb 09
Mencapai kecerahan maksimum pada 24 Feb 09 (sekitar magnitud +4)
Kelihatan melintasi planet Zuhal pada 23 Feb 09
Kelihatan berada berdekatan bintang Regulus di buruj Leo pada 26 & 27 Feb 09
Kelihatan berhampiran kelompokan bintang M44 pada 4 & 5 Mac 09
Kelihatan berdekatan komet Cardinal pada 12 Mei 09.
Jika anda ada mengambil foto komet ini, jangan lupa untuk kongsikan dengan kami dengan cara meng-email-kan foto tersebut kepada saya.
Selamat mencerap!
Salam hormat dari saya,
ASTROMAS
Astronomi Untuk Semua
ibnu_ali_87@yahoo.com
013-2180412
Heart Nebulae atau pun kodnya IC 1805 ini berada di lengan Perseus dalam galaksi Bima Sakti dan terletak di kawasan buruj Cassiopeia, iaitu dimitoskan sebagai Puteri Negara Habshah.
Ianya terletak sejauh 7500 tahun cahaya dari bumi iaitu bersamaan jarak perjalanan cahaya selama 7500 tahun. Bayangkan betapa jauhnya objek ini kerana dalam masa satu saat cahaya dapat bergerak sejauh 300 ribu kilometer !
Nebulae atau boleh dipanggil sebagai awan gas ini terdiri daripada plasma dan gas hidrogen terion serta elektron2 bebas lain.
Nebulae Hati ini kelihatan bersinar kemerahan disebabkan oleh sinaran yang dipancarkan oleh sekumpulan bintang (star cluster) di tengah2 hati tersebut. Cahaya ini telah menyebabkan gas disekitar menjadi flourescent dan kelihatan bercahaya.
LAKARAN artis Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) menunjukkan bumi dikelilingi 18,000 objek termasuk satelit.
MOSCOW: Satelit Amerika Syarikat dan Russia berlanggar di angkasa lepas buat kali pertama dalam sejarah menyebabkan sisa serpihannya mungkin mengancam pesawat lain di orbit, kata pakar dua negara itu.
Buat masa ini, ia tidak memberi risiko besar kepada Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) yang mempunyai tiga krew, dua daripada mereka angkasawan Amerika, kata jurucakap Kawalan Misi Russia, Valery Lyndin.
Perlanggaran berlaku pada 1700 GMT di ruang angkasa utara Siberia membabitkan satelit Iridium LLC dan satelit tentera Cosmos-2251 kira-kira 780 kilometer di ruang Artik Russia.
Ketinggian berkenaan biasanya digunakan satelit memantau cuaca, menyampaikan komunikasi dan melakukan pemerhatian saintifik.
“Orbit itu memang penting bagi satelit. Kami percaya ini kali pertama dua satelit berlanggar di orbit,” kata Kolonel Les Kodlick dari Ibu Pejabat Strategik Amerika.
Pusat Operasi Bersama Angkasa Lepas Amerika kini memantau 500 hingga 600 serpihan satelit berkenaan, ada sekecil 10 sentimeter selain 18,000 objek buatan manusia lain di angkasa lepas, katanya.
Unit Tentera Angkasa Russia berkata, ia juga memantau pergerakan serpihan berkenaan pada ketinggian 500 kilometer dan 1300 kilometer di ruang angkasa bumi.
Keutamaan diberi kepada keselamatan ISS yang berada di orbit 350 kilometer di bawah lokasi perlanggaran.
Lyndin berkata, pemantauan serpihan tertumpu kepada usaha memastikan tiada serpihan itu mendekati ISS. Stesen itu juga mengubah orbit bagi mengelak serpihan satelit berkenaan. - Reuters/AP
* Dipetik dari Berita Harian 13 Februari 2009
Salam hormat,
ASTROMAS,
Astronomi Untuk Semua
013-2180412
ibnu_ali_87@yahoo.com
Cantik betul gambar dari Kamayok seperti di bawah ini. Nampaknya banyak perkara saya perlu belajar dari Kamayok mengenai astrofotografi.hehe.. Boleh kan Kamayok? ;;)
Alhamdulillah cuaca di Shah Alam ketika gerhana sedang berlaku adalah sangat baik. Ini membolehkan saya melihat gerhana bermula dari awal gerhana sehinggalah ke akhir gerhana.
Seperti yang dijangka, gerhana bulan penumbra ini kelihatan seperti 'malu2 kucing' untuk menunjukkan bayang bumi yang ada di permukaan bulan tersebut. Disebabkan hal ini, ramai yang bertanya dengan saya adakah gerhana tak berlaku pada malam tersebut.hehe
Gerhana bulan penumbra, seperti namanya merujuk kepada peristiwa bayang separa gelap bumi (bayang penumbra) jatuh ke permukaan bulan ketika bulan sedang bersinar penuh. Peristiwa ini hanya boleh terjadi pada 15haribulan kalendar Islam atau mana2 kalendar yang menggunakan bulan sebagai penentu tempoh sebulan.
Disebabkan ketika gerhana kali ini berlaku, bulan hanya melintasi bayang separa gelap (penumbra), tetapi tidak pada bayang gelap (umbra), maka bayang pada permukaan bulan adalah tidak begitu ketara. Sekali imbas anda akan lihat warna bulan tak ubah seperti warna biasa bulan penuh. Tetapi jika anda perhatikan dengan teliti, sebahagian dari wajah bulan adalah sedikit malap dari bahagian yang bertentangan.
Perbezaan warna pada permukaan bulan lebih senang ditangkap oleh kamera berbanding mata kasar. Semalam saya sempat bereksperimen menggunakan kamera 3.2megapiksel pada handset Sony Ericsson K810i saya, binokular dan sebuah teleskop kecil.
Klik gambar untuk rajah lebih besar.
Gerhana bulan penumbra sedang menyinari dada langit Shah Alam
Gambar diambil menggunakan kamera handset diletakkan di hadapan binokular berkuasa 10x50. Perhatikan warna bulan yang agak malap pada satu bahagian.
Gambar ini diambil dengan cara meletakkan kamera handset di hadapan kanta mata teleskop kecil saya.
Perubahan warna gelap pada bulan dapat dilihat berubah berdasarkan masa.
Anda ada mengambil gambar gerhana bulan semalam? Kirimkan kepada saya dan saya akan kongsikan dengan pelayar weblog Astromas.
Salam hormat dari saya,
ASTROMAS
Astronomi Untuk Semua,
ibnu_ali_87@yahoo.com
Semalam sungguh bernasib baik kerana saya dapat mengambil foto bagi Gerhana Bulan Penumbra yang menarik pada tahun ini. Bulan penuh semalam juga yang terbesar sekali pada tahun ini. Saya dapat rasakan sebab bulan penuh semalam nampaknya besar sekali dalam viewfinder kamera saya. Jadi, saya ingin mengkongsikan gambar saya dengan pelayar weblog Astromas.