Panduan Memasang Teleskop

Memasang teleskop adalah sangat mudah. Artikel ini menerangkan bagaimana memasang teleskop jenis pantulan pada mount ekuitorial

Al Quran dan Teori Big Bang

Surah Al Anbiyak ayat 30 mengatakan bahawa alam terhasil dari satu titik yang padu lalu dipisahkan menjadi alam yang sedia ada sekarang ini. Kaitannya dengan teori Big Bang diulas di artikel ini.

Mengenali Planet Kerdil

Apakah itu planet kerdil? Apakah beza planet kerdil dengan planet biasa? Artikel ini mengupas isu tersebut

Kalendar Astronomi 2012

Kalendar ini memuatkan senarai fenomena astronomi yang bakal berlaku pada tahun 2012. Jangan biarkan diri anda terlepas fenomena astronomi yang menarik dan jarang berlaku

Meneroka langit menggunakan binokular

Jangan pandang rendah kepada binokular kerana peralatan ini membolehkan anda melihat bintang, planet, gugusan bintang malah galaksi!

Sabtu, 27 September 2008

Program Angkasawan Negara

Diambil dan diubah suai dari Wikipedia Bahasa Melayu.
 Logo Program Angkasawan

Pengenalan

Program Angkasawan Negara Malaysia bermula pada 2006 untuk menghantar angkasawan dari negara Malaysia ke angkasa lepas. Pada 4 September 2007, Sheikh Muszaphar Shukor telah dipilih sebagai Angkasawan Malaysia yang pertama. Beliau akan berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa menaiki Soyuz TMA-11 pada 10 Oktober 2007.

Solat hajat dan khutbah Jumaat bertemakan 'Misi Angkawasan Negara Anugerah Allah SWT Dalam Menjana Fardhu Kifayah Ummah' dibaca di semua masjid di seluruh Malaysia pada hari Jumaat 5 Oktober 2007 menjelaskan kepentingan program itu mengikut pandangan Islam.


Kos Pembiayaan

Program Angkasawan Malaysia ini merupakan sebahagian daripada program timbal balik Malaysia dengan Russia. Malaysia telah membeli 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM dan pesawat udara pelbagai guna bernilai RM3.4 bilion dari Russia.

Jika menghantar sendiri memerlukan kos yang tinggi. Sebagai perbandingkan ,penghantaran satelit komunikasi saja mencecah RM1.5 bilion, iaitu kos satelit kira-kira RM700 juta, pelancar RM350 juta dan baki adalah insfrastruktur lokasi pelancaran. Kos melonjak empat atau lima kali ganda jika pembangunan dilakukan sendiri. Namun itu pun jika kita membeli peralatan dan prasarana dari Russia atau Amerika. Sudah pastilah negara maju tersebut tidak mungkin menjual teknologi ini kerana pelancar kapal angkasa lepas ini boleh diubahsuai menjadi pelancar peluru berpandu atau roket nuklear.


Faedah Program

Program ini akan menjadi pemangkin / 'moon shot' kepada seluruh rakyat Malaysia untuk belajar sains dan teknologi. 5 juta pelajar akan bercerita tentang angkasawan. Pelajar mula mendalami makna 3G, 4G dan 5G. Mereka tahu itulah graviti dan minat terhadap sains akan bercambah.
Dua angkasawan, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Dr Faiz Khaleed akan menjadi 'duta angkasa', menjelajah ke sekolah-sekolah apabila misi mereka berjaya.Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (Mosti) dapat menyebarkan ilmu sains angkasa ke sekolah di seluruh negara.

Kementerian Pengajian Tinggi akan meminta universiti supaya memberi penekanan terhadap sains dan teknologi. Di universiti, saintis mengajar dan melakukan penyelidikan. Di universiti mesti ada saintis, berbanding sekarang yang hanya ada pensyarah. Tiada saintis sepenuh masa.

Ilmu dan teknologi bermula di universiti dan berakhir di pasaran menjadi produk yang menjana pekerjaan. Kita tidak mahu ilmu dan teknologi yang dicipta ditinggalkan di menara gading dan sebaliknya mesti diterjemahkan kepada kemakmuran negara, menjana produk, perkhidmatan, peluang pekerjaan, mengeksport dan menjana pendapatan negara. Ia bermakna kita mesti menterjemahkan ilmu kepada agenda ekonomi.


Kecaman
  • Program Angkasawan ini dianggap membazir berbanding dengan keuntungan pihak Russia yang dapat menjual 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM.
  • NASA tidak mengiktiraf angkasawan pertama negara sebagai angkasawan, tetapi sebagai peserta penerbangan angkasa sahaja atau spaceflight participant. Tanpa pengiktirafan ini, imej dan kredibiliti angkasawan pertama Malaysia mungkin terjejas. Russia menggunakan istilah kosmonaut , bukan astronout. Hanya Russia sahaja yang mengiktiraf angkasawan pertama negara sebagai angkasawan bertauliah atau dalam istilah Russia "Cosmonaut". Ini adalah kerana, Sheikh Muzaphar Shukor telah menjalani berbagai latihan khusus angkasawan di Pusat Latihan Angkasa Yuri Gagarin sebagai persediaan untuk ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang melayakkan beliau menjadi seorang angkasawan dan pergi ke ISS. 
  • Bagi pihak NASA, gelaran angkasawan atau Astronaut (Asal dari Astrology/Astronomy) hanya layak diberikan kepada mereka-mereka yang berupaya mengendalikan kapal angkasa, menjadi jurutera angkasa, memberi arahan dan menjadi ketua di ISS serta menjadi krew di ISS selain sebagai seorang saintis dan pengkaji di angkasa. Ini adalah kerana gelaran Astronaut merujuk kepada segala bidang astronomy dan perkara yg berkaitan dgn ilmu astronomy atau angkasa. Jadi, untuk membolehkan seseorang itu mendapatkan gelaran Astronaut dari NASA, dia perlulah mengetahui segala aspek ilmu mengenai astronomy termasuk dari segi pengendalian kapal angkasa dan kejuruteraan angkasa. Bagi mereka-mereka yang tidak mempunyai pengetahuan ini dan sekadar hanya sebagai orang yang pergi naik ke angkasa dan membuat kajian sains hanya digelar sebagai peserta penerbangan angkasa sahaja atau spaceflight participant. 
  • Di pihak Russia (ROSCOSMOS) pula, mereka menggunakan istilah Comosnaut (Asal dari Cosmology) merujuk kepada skop bidang yang lebih luas meliputi angkasa, orbit, mengetahui asas ilmu angkasa atau astronomy, berupaya membuat kajian sains di angkasa, mengetahui selok-belok teknologi maklumat walaupun pihak yang terlibat tidak tahu mengendalikan kapal angkasa, tidak menjadi ketua atau commander di ISS dan tidak menjadi jurutera angkasa. Ini adalah kerana, sesiapa sahaja yang telah lulus dan melepasi ujian intensif yang ketat dan sukar di Pusat Latihan Angkasa Yuri Gagarin di Moscow Russia, layak mendapat tauliah sebagai angkasawan atau Cosmonaut dari pihak Russia dan layak pergi ke angkasa atau ISS. Pihak Russia mengiktiraf sesiapa sahaja yang telah melepasi ujian sebagai angkasawan dan telah pegi ke angkasa, sebagai Cosmonaut walaupun seseorang itu pergi sebagai peserta penerbangan angkasa/pelancong. Ini disebabkan tidak mudah bagi seseorang itu untuk menjalani latihan angkasa dan berlepas ke angkasa. 
 Balasan Kepada Kecaman
  • Pengiktirafan NASA sebagai seorang angkasawan dahulunya telah digunakan kepada sesiapa yang mengembara ke angkasa, termasuk ahli sains, ahli politik, pemberita, dan pelancong, oleh itu tiada sebab untuk mereka menukar syarat pengiktirafan.
  • Selain itu, pengiktirafan NASA tidak diperlukan, kerana mereka hanya mengiktiraf mereka yang menyertai pakej angkasa USA dan Malaysia tidak memerlukan pengiktirafan NASA kerana Malaysia tidak membayar NASA bagi pengiktirafan tersebut.
  • Angkasawan Malaysia telahpun menjalani berbagai latihan khusus angkasawan di Pusat Latihan Angkasa Yuri Gagarin yang cukup lengkap bagi melayakkan beliau menjadi seorang angkasawan dan pergi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
  • Pihak Russia telahpun mengiktiraf angkasawan pertama negara sebagai angkasawan bertauliah atau Cosmonaut sebagaimana yang telah dianugerahkan oleh pihak Russia kepada angkasawan dari negara lain yang menyertai dan melengkapi keseluruhan latihan dan program angkasa mereka.
Artikel Oleh Astromas


Apa pendapat anda. Jom komen!



.

Perhebat Program Angkasa Lepas Negara

Oleh : Dr Sheikh Muszaphar Shukor
KINI hampir setahun Program Angkasawan Negara berlalu dengan penghantaran rakyat Malaysia pertama ke angkasa lepas. Hampir setahun juga berlalu melihat Jalur Gemilang berkibar di angkasa lepas.

Adakah kita sudah mencapai matlamat? Adakah berbaloi meneruskan penghantaran angkasawan kedua? Adakah kita sudah bersedia menyahut cabaran untuk bersaing dengan negara maju lain yang lebih awal menerokai angkasa lepas yang membabitkan perbelanjaan tinggi? 

Perlu diakui bahawa banyak persoalan yang timbul. Pada pandangan saya, kita perlu peka terhadap matlamat Program Angkasawan Negara, iaitu untuk melahirkan minat mendalam, terutama di kalangan generasi baru terhadap bidang sains dan angkasa supaya negara dapat melahirkan golongan cerdik pandai yang mampu membawa Malaysia ke era baru sains dan teknologi.

Saya melihat bahawa minat yang mendalam sudah wujud di kalangan pelajar sekolah yang kini mempunyai cita-cita tinggi untuk menerokai angkasa lepas.

Dulu, ramai kanak-kanak apabila ditanya memberitahu mereka mahu menjadi anggota polis, bomba dan guru. Kini terdapat anjakan paradigma apabila angkasawan, doktor, saintis dan jurutera angkasa lepas menjadi pilihan.  
Minat mendalam ini dapat dilihat apabila berinteraksi bersama pelajar ketika melawat sekolah di seluruh negara.

Seperti Yuri Gagarin (Russia) dan Neil Amstrong (Amerika Syarikat) yang melonjakkan negara mereka sebagai peneraju bidang angkasa lepas, hasil Program Angkasawan Negara akan dapat dilihat dalam tempoh antara lima hingga 10 tahun akan datang apabila generasi muda melepasi alam persekolahan.

Persoalannya, adakah kita bersedia untuk fasa kedua? Adakah kita berhenti di sini setelah berbelanja jutaan ringgit untuk mencapai misi menghantar rakyat Malaysia pertama ke angkasa lepas?

Program Angkasawan Negara bukan saja memberikan tumpuan kepada penghantaran angkasawan ke angkasa lepas, tetapi memfokuskan terhadap akar umbi di peringkat sekolah. Ramai kanak-kanak masih tidak tahu nama planet dan ramai menyangka saya pergi ke bulan.

Ini jelas menunjukkan matlamat program angkasawan belum tercapai secara menyeluruh kerana kurang pendedahan di peringkat sekolah dan akar umbi rakyat Malaysia.

Kita mempunyai lebih 400 jurutera angkasa lepas di seluruh Malaysia, tetapi hanya 10 peratus daripada mereka bekerja dalam bidang berkaitan angkasa lepas. Sebahagian besar terpaksa bekerja dalam bidang lain seperti automotif dan perkapalan kerana kurang peluang atau permintaan dalam bidang angkasa lepas.

Malaysia harus mencontohi Korea Selatan yang sudah mempunyai teknologi dan kepakaran tinggi dalam bidang angkasa lepas. Selepas penghantaran angkasawan ke ISS, negara itu mempunyai fasa kedua untuk melancarkan satelit menggunakan roket buatan sendiri pada 2009.

Kita masih belum terlambat dan pelbagai usaha harus dilakukan untuk meneruskan momentum ke arah itu.

Seperti saya nyatakan, kita harus menangguhkan penghantaran angkasawan kedua buat seketika dan sebaliknya memperhebatkan tumpuan terhadap pembinaan satelit serta memantapkan bidang sains dan teknologi bagi mencapai sasaran melancarkan roket buatan Malaysia sebelum 2020.

Baru baru ini, hasil eksperimen yang dijalankan di ISS telah dikongsi bersama oleh saintis tempatan dan keputusan yang dicapai sungguh memberangsangkan. Ini membuktikan Malaysia serius memberi sumbangan terhadap dunia penyelidikan.

Selain itu, saranan untuk menubuhkan universiti angkasa lepas di Johor pada 2011 dan bandar angkasa lepas di Negeri Sembilan perlu diberi perhatian dan mendapat galakan sepenuhnya oleh kerajaan.

Kita sudah pasti berada pada landasan yang betul, tetapi pelbagai pihak terutama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) harus memainkan peranan lebih mendalam menghasilkan pelan induk fasa kedua mengenai hala tuju program angkasawan negara.

Ini termasuk bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk memberi tumpuan kepada akar umbi di peringkat sekolah rendah dan menengah untuk melahirkan generasi yang mencintai sains dan angkasa lepas. 

Selamat Berpuasa kepada pembaca.

Angkasawan China berjalan di angkasa

 Kapal angkasa Shenzhou VII

Angkasawan China yang sedang berada dalam kapal angkasa Shenzhou VII, mula memasang pakaian angkasa lepas, suatu tugas yang memakan masa beberapa jam, sebagai persiapan untuk melakukan percubaan sulung mereka berjalan di angkasa lepas selama 20 minit pada hari ini (27hb Sept 08).

Sejak dilancarkan malam kelmarin, ekspedisi itu tidak mengalami sebarang masalah dan tiga angkasawannya telah menikmati hidangan pertama mereka berupa sup dan tidur untuk seketika, kata jurucakap misi berkenaan Wang Zhaoyao pada sidang akhbar di sini.

Penerbangan manusia ke angkasa lepas kali ketiga oleh China ini bermula dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut wilayah Gansu dan memasuki orbit setinggi 343km dari bumi.
“Mengikut perancangan, angkasawan kami akan berjalan di angkasa selama 20 minit,” katanya.

Aksi berjalan di angksa itu, yang dipercayai akan cuba dilakukan oleh komander penerbangan, Zhai Zhigang, akan dipancar secara langsung ke bumi.

Wang berkata kegiatan di luar kenderaan (EVA) itu dijadual bermula pada jam 4.30 petang Sabtu, bergantung pada keadaan pakaian angkasa dan angkasawan.  

Media kerajaan melaporkan bahawa Zhai, 42, akan memakai pakaian buatan China dikenali sebagai “Feitian” (penerbangan ke langit) seberat 120kg dengan bantuan seorang lagi anak kapal bernama Liu Boming, yang menggunakan pakaian buatan Russia dikenali sebagai “Haiying” (helang laut).

Angksawan ketiga, Jing Haipeng, akan berada di dalam modul kemasukan semula ke kapal angkasa itu, yang akan kembali ke bumi di Inner Mongolia pada Ahad setelah melakukan perjalanan yang dijadualkan memakan masa 68 jam.

Kejayaan EVA ini sangat penting bagi China untuk merealisasikan cita-citanya membina stesen angkasa lepas sendiri pada dekad akan datang.

Ketua pereka kapal angkasa berkenaan, yang juga orang yang menamakannya sebagai Shenzhou (kapal suci), memberitahu agensi berita Xinhua bahawa China akan mengeluarkan model itu secara besar-besaran bagi membawa angkasawan ke stesen angkasa China. - Bernama 

Khamis, 4 September 2008

Majalah Dewan Kosmik isu september 2008

Majalah Dewan Kosmik isu September 2008

TAJUK : Sistem Balai Cerap Astronomi
RUANGAN : Sains Angkasa
Balai cerap merupakan fasiliti yang digunakan untuk melakukan aktiviti pencerapan dan kajian akan objek-objek cakerawala dan pelbagai peristiwa astronomi yang berlaku. Fasiliti tersebut umumnya terdiri dari sebuah kawasan tertutup yang mana di dalamnya terdapat pelbagai peratalatan astronomi seperti teleskop. Kawasan tertutup tersebut kebiasaanya berbentuk kubah yang boleh dibuka sebahagianya untuk membolehkan teleskop melihat ke langit. Balai cerap boleh terdiri dari pondok kecil persendirian ataupun satu bangunan yang canggih yang direka khas untuk melakukan aktiviti pencerapan dan kajian astronomi, fotometri, spektroskopi, astrometri, pengimejan CCD, astrofotografi dan sebagainya. Balai cerap boleh jadi berada di permukaan bumi, iaitu kebiasaanya ditempat yang tinggi dan jauh dari pencemaran cahaya dan juga balai, dan juga balai cerap di ruang angkasa seperti teleskop Hubble............


Untuk lebih lanjut, sila dapatkan majalah Dewan Kosmik isu September 2008 yang kini boleh di dapati di pasaran dengan harga RM6 senaskah. Anda juga boleh beli secara online di laman web
Artikel Oleh Astromas