Selasa, 31 Januari 2012

Asteroid 433 Eros melintasi bumi pada 31/1/2012 !

Assalamualaikum dan hai..

Pada jam 8 malam tadi, saya terlihat berita di Buletin Utama TV3 mengatakan asteroid 433 Eros akan dapat dilihat pada malam ini (31/1/2012). Pada masa tersebut saya sedang berada di luar kerana sedikit urusan terus terasa semangat kerana merasakan pasti ramai ahli masyarakat di luar sana yang akan terasa teruja untuk melihat objek ini. Namun yang lebih bagusnya lagi ialah publisiti sebegini boleh mencetusan ledakan minat dan sifat ingin tahu masyarakat umum terhadap ilmu astronomi ini. 
Berbalik pada cerita asteroid tadi, asterod 433 Eros dikatakan akan melintasi bumi pada jarak yang paling dekat dalam masa 37 tahun. Diameter asteroid ini dipercayai 34km lebar. Objek ini akan melintasi langit malam dari buruj Leo, Sextans dan Hydra. Pada kedudukan terdekatnya iaitu 26.7 juta kilometer dari bumi, asteroid ini akan mudah diperhatikan menggunakan teleskop yang kecil. Ianya dijangka boleh mencapai kecerahan magnitud 7, iaitu hampir boleh dilihat dengan mata kasar.  Mata kasar kita boleh melihat hingga ke magnitud 6 dengan syarat kawasan pencerapan adalah gelap. 
Asteroid 433 Eros seperti yang dilihat oleh kapal angkasa NEAR NASA pada 29 Februari, 2000.
(NASA / JPL / JHUAPL)


Ini merupakan jarak yang paling dekat asteroid ini pernah menghampiri bumi. Kali terakhir objek ini menghampiri bumi ialah pada tahun 1975 dan ianya akan kembali lagi untuk dilihat pada tahun 2056. Pada masa itu saya sudah berusia 69 tahun! hehe
Asteroid 433 merupakan asteroid jenis S, yang mana ianya terutamanya terdiri dari magnesium silika dan besi. Kebanyakan asteroid jenis S berasal dari kawasan dalam lingkaran asteroid (asteroid belt) yang terletak di antara planet Marikh dan Musytari.
Pada Februari tahun 2000, kapal angkasa NEAR Shoemaker milik NASA  telah terbang mendekati  asteroid ini dan melakukan pendaratan di permukaanya. Kapal angkasa ini telah merakamkan lebih 160,000 imej permukaan Eros, dan mengenal pasti lebih 100,000 kawah. Ini telah membawa saintis untuk merumuskan bahawa asteroid ini merupakan satu objek solid dan bukannya himpunan batuan angkasa yang terikat dengan satu pusat graviti.
Jika anda berminat  untuk mendapatkan update terkini mengenai astronomi, jangan lupa untuk Like di page Facebook Astromas di https://www.facebook.com/pages/ASTROMAS-Kumpulan-Peminat-Astronomi-Amatur-Malaysia/201381092118.

Jom mencerap!