Panduan Memasang Teleskop

Memasang teleskop adalah sangat mudah. Artikel ini menerangkan bagaimana memasang teleskop jenis pantulan pada mount ekuitorial

Al Quran dan Teori Big Bang

Surah Al Anbiyak ayat 30 mengatakan bahawa alam terhasil dari satu titik yang padu lalu dipisahkan menjadi alam yang sedia ada sekarang ini. Kaitannya dengan teori Big Bang diulas di artikel ini.

Mengenali Planet Kerdil

Apakah itu planet kerdil? Apakah beza planet kerdil dengan planet biasa? Artikel ini mengupas isu tersebut

Kalendar Astronomi 2012

Kalendar ini memuatkan senarai fenomena astronomi yang bakal berlaku pada tahun 2012. Jangan biarkan diri anda terlepas fenomena astronomi yang menarik dan jarang berlaku

Meneroka langit menggunakan binokular

Jangan pandang rendah kepada binokular kerana peralatan ini membolehkan anda melihat bintang, planet, gugusan bintang malah galaksi!

Selasa, 28 April 2009

Diari Langit Mei 2009

Peta Bintang Mei 2009


Peta bintang menunjukkan suasana langit pada waktu malam tepat 12 tengah malam, 15 Mei 2009 di Kuala Lumpur.  Zenith adalah titik langit betul-betul di atas kepala anda. Garisan hijau yang merentang dari arah timur ke barat adalah orbit bagi matahari, bulan, dan planet. Garisan ini dikenali sebagai garisan ekliptik. Disepanjang garisan ekliptik terletaknya 12 buruj zodiak. Perhatikan pusat galaksi Bima Sakti di buruj Saggitarius yang menjanjikan pelbagai objek menarik untuk dicerap.


Memerhatikan langit adalah satu aktiviti yang menyeronokkan. Melihat langit terutamanya pada waktu senja mahupun melihat gemerlapan kelipan bintang pada waktu malam amatlah dapat menenangkan hati dan fikiran. Keindahan kejadian senja dan malam ciptaan tuhan pasti akan menginsafkan diri betapa kerdilnya diri kita di sisi-Nya.

Memerhatikan langit, atau biasa disebut dalam bidang astronomi sebagai mencerap langit atau bintang akan menjadi lebih menarik jika kita mengetahui apa yang boleh dilihat dan bila boleh melihat sesuatu objek langit. Planet sebagai contohnya. Pasti ramai yang terpinga-pinga apabila dikatakan kebanyakan planet dalam sistem suria boleh dilihat atau dicerap menggunakan mata kasar. Disamping itu, objek lain seperti awan gas yang disebut sebagai nebula, galaksi dan kumpulan bintang juga boleh dilihat jika anda mengetahui bila dan di mana untuk melihatnya.

Jom Mencerap Planet!


Permandangan langit senja apabila digandingkan dengan kehadiran planet yang tergantung di kaki langit pastilah mengundang permandangan yang mengasyikkan. Kehadiran ‘bintang’ senja yang bersinar terang di atas ufuk ini kadang-kala mengundang teka-teki sama ada ‘bintang’ tersebut adalah sebuah satelit ataupun bintang biasa. Namun, jawapan yang sebenar ialah anda sedang melihat planet!

Terdapat dua planet yang biasa boleh dilihat pada waktu senja dan sebelum matahari timbul. Planet tersebut ialah planet Utarid dan Zuhrah. Planet Utarid berkemungkinan dilihat sebagai satu titik bintang yang biasa. Planet Zuhrah pula akan terlihat sebagai sebuah bintang yang amat terang, malah lebih terang dari semua jenis bintang yang ada di langit!

Pada bulan ini, planet Utarid akan menghiasi permandangan langit senja dengan kelihatan rendah di kaki langit pada awal bulan sehinggalah pada 10haribulan. Kedudukannya sekarang ialah berhampiran dengan kelompokan bintang Pleiades. Selepas 10 haribulan, planet Utarid akan dapat dilihat semula pada 25 haribulan sehinggalah ke hujung bulan. Namun kehadiran semula Utarid ini adalah pada waktu pagi iaitu sebelum matahari timbul.

Bulan juga akan turut menghiasi langit senja iaitu pada 25, 26 dan 27 haribulan ini. Bulan yang pada ketika itu sedang dalam fasa awal bulan sabit pasti menambahkan kecantikan langit senja.

Masuknya waktu Isyak menandakan langit telah betul-betul gelap untuk membolehkan pencerapan bintang dijalankan dengan sebaiknya. Waktu Isyak dikatakan telah masuk waktu apabla mega merah di langit barat telah hilang sepenuhnya. Ini boleh dicapai apabila kedudukan matahari di bawak ufuk telah mencapai sudut negatif yang tertentu.

Menjelmanya malam, kita boleh mencerap planet bergelang iaitu Zuhal pula. Zuhal pada bulan ini akan berada hampir di atas kepada pada awal malam. Ianya kini sedang mendiami buruj Leo sang Singa. Planet ini akan berada sekitar 45 hingga 50 darjah di langit barat pada jam 12 tengah malam. Jika anda dapat mengenal pasti buruj Leo, pasti anda akan terperasankan akan kehadiran satu ‘bintang’ jingga yang bukan milik bintang di buruj Leo. ‘Bintang’ itu sebenarnya ialah planet Zuhal. Planet Zuhal dapat dicerap sehingga ianya tenggelam di ufuk barat sekitar jam 3 pagi.

Rajah 1 :
Musytari dilihat dari teleskop kecil. Kelihatan 3 bulan utama planet Musytari

Sesudah tenggelamnya planet Zuhal, kita akan dihidangkan dengan persembahan planet ke-dua paling terang di langit iaitu planet gas Musytari. Planet terbesar dalam sistem suria ini akan mula muncul dari kaki langit timur pada 02.30 pagi pada 1 haribulan, pada 01.38 pagi pada 15 haribulan dan pada 12.39 pagi pada 31 haribulan ini. Ini bermakna planet ini akan dapat dilihat pada  semakin awal malam untuk bulan-bulan seterusnya. Musytari kini sedang bertapa di buruj Capricornus. Menariknya pada 3 dan 4 haribulan ini ialah apabila bulan akan menemani Musytari dengan berada berhampirannya pada tarikh tersebut. Jangan lepaskan peluang untuk menggunakan bulan untuk menjejaki planet Musytari.

Naiknya sang Musytari di buruj Capricornus di ufuk timur menandakan bahawa buruj Saggitarius dan Scorpious akan juga naik dari ufuk sebentar sahaja lagi. Signifikannya buruj ini ialah ianya merupakan di mana letakknya pusat galaksi kita, Bima Sakti. Anda boleh melihat pusat galaksi kita sebagai satu jaluran seakan awan yang merentasi buruj Saggitarius. Ini hanya boleh dilihat di kawasan yang betul-betul gelap sahaja.

Mengekori planet Musytari ialah planet paling terang di langit iaitu planet Zuhrah. Seketika kemudian planet Marikh pula akan menyusul dengan keduanya mendiami buruj Pisces sepanjang bulan ini. Zuhrah mula naik dari ufuk pada 04.21 pagi pada 15 haribulan manakala si Marikh mula muncul pada 04.45 pagi.


Tarikh
Masa
Peristiwa
02 hb Mei 2009
04.00 pagi
Suku pertama bulan
06 hb Mei 2009
08.00 pagi
Kemuncak peristiwa hujan meteor Eta Aquarids
Bulan tenggelam 4.27 pagi
10 hb Mei 2009
12.02 petang
Bulan penuh
14 hb Mei 2009
11.00 pagi
Bulan berkedudukan terjauh: 404,916 km
17 hb Mei 2009
03.25 petang
Suku akhir bulan
17 hb Mei 2009
04.00 petang
Musytari pada 3 darjah di selatan bulan
18 hb Mei 2009
06.00 petang
Utarid berkonjukasi inferior
21 hb Mei 2009
04.00 petang
Zuhrah di 6.7 di selatan bulan
24 hb Mei 2009
08.12 malam
Bulan baru
26 hb Mei 2009
12.00 petang
Bulan pada kedudukan terdekat: 361,155 km
31 hb Mei 2009
11.19 pagi
Suku pertama bulan

Jadual 1:
Menunjukkan senarai peristiwa astronomi bulan ini.



 Hujan Meteor Eta Aquarids (6 Mei 2009)

Rajah 2 :
Menunjukkan punca peristiwa hujan tahi bintang Eta Aquarids pada jam 4.30 pagi, 6 haribulan Mei 2009 dengan menghadap ke arah timur.

Hujan meteor Eta Aquarids merupakan salah satu perisiwa hujan meteor yang menarik dan kaya dengan jaluran tahi bintang. Peristiwa ini dikaitkan dengan kehadiran komet 1P/Halley yang turut menjadi punca kepada peristiwa hujan meteor Orionids pada bulan Oktober. Peristiwa ini dinamakan sebagai ‘hujan meteor’ kerana ketika peristiwa ini sedang terjadi, anda dapat melihat jaluran tahi bintang di langit ibarat hujan yang sedang turun.

Peristiwa ini dijangka mencapai waktu kemuncakknya pada 6 Mei 2009 pada jam 8 pagi waktu Malaysia. Radian, iaitu buruj tempat keluarnya tahi bintang ini ialah buruj Aquarius yang akan mula keluar dari ufuk sekitar pukul 3 pagi. Kedudukan radian yang rendah pada ufuk akan membolehkan meteor kelihatan lebih panjang dari biasa.  Dijangkakan kita boleh melihat sekitar 85 tahi bintang dalam masa sejam jika cuaca adalah baik dan bebas dari awan.

Sedikit membawa gangguan apabila bulan yang hampir penuh hanya akan tenggelam di ufuk barat pada pukul 4.30 pagi. Oleh itu, jika anda ingin mengikuti peristiwa ini, dicadangkan aktiviti dimulakan sekitar pukul 4 pagi sehinggalah subuh. Pada awal pencerapan, anda bolehlah mengadap ke arah langit timur, iaitu kepada buruj Aquarius secara spesifik. Cara terbaik untuk mencerapnya ialah dengan menyediakan tikar berserta bantal. Berbaringlah di kawasan yang bebas dari lindungan bangunan atau pokok dan agak gelap. Namun pastikan keselamatan diri anda terjamin. Ajaklah rakan-rakan yang lain untuk membantu menghangatkan suasana. Selamat mencerap!.


Salam hormat,
ASTROMAS,
ibnu_ali_87@yahoo.com
013-2180412