Rabu, 15 Oktober 2008

Asteroid 2008 TC3 Menghentam Bumi!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera..

Seminggu yang lepas, satu asteroid yang berdiameter antara 2-5 meter telah dijangka akan menghentam planet bumi. Saya yang ketika itu sedang 'demam' peperiksaan akhir semester tidak dapat untuk mengikuti dan melaporkan akan peristiwa tersebut di laman Astromas ini.

Pasti ramai yang agak kecewa kerana tidak dapat mengetahui peristiwa ini dengan lebih awal Namun mungkin saya tidak akan berasa begitu bersalah kerana kemasukkan asteroid dengan atmosfera bumi tersebut menghasilkan jaluran bebola api yang tidak dapat dilihat dari Malaysia. (hehe..)

Asteroid yang dimaksudkan diberi kod nama 2008 TC3. Asteroid ini pertama kali berjaya dicerap dari Catalina Sky Survey (CSS) menggunakan teleskop berdiameter 1.5 meter yang terletak di gunung Lemmon, di utara Tucson, Arizona, USA. Penemuan tersebut adalah 19 jam sebelum perlanggaran berlaku. Walaupun tempoh antara hentaman dan penemuan asteroid tersebut adalah kurang dari sehari, namun para pencerap tersebut berjaya meramal dengan tepat laluan asteroid tersebut yang menghala ke bumi.

Asteroid 2008 TC3 telah memasuki atmosfera bumi (maka akan dipanggil sebagai meteoroid kerana telah memasuki atmosfera bumi) pada 2.46 UTC, 7 Oktober 2008 bersamaan pukul 1.46 petang waktu Malaysia. Meteoroid ini telah memasuki ruang udara Sudan pada kelajuan 12.8 kilometer per saat dengan anggaran trajektori (arah laluan di langit) dari arah barat pada azimuth 281 darjah dan altitud 19 darjah dari ufuk.

Meteoroid 2008 TC3 telah terbakar sekitar 10 kilometer dari permukaan bumi dengan tenaga letupan di anggarkan 1 kiloton TNT, lalu menghasilkan cahaya bebola api, iaitu lebih hebat dari sinaran tahi bintang, pada pagi waktu Sudan. Majalah Times melaporkan cahaya letusan dari meteroid tersebut adalah sangat terang sehingga menjadikan dada langit kelihatan terang seperti ketika bulan penuh. Sebuah pesawat yang terletak 1,400 km dari lokasi kemasukan juga melaporkan melihat cahaya yang terang di ruang langit utara Sudan.
Artikel Oleh Astromas


Komen anda?