Panduan Memasang Teleskop

Memasang teleskop adalah sangat mudah. Artikel ini menerangkan bagaimana memasang teleskop jenis pantulan pada mount ekuitorial

Al Quran dan Teori Big Bang

Surah Al Anbiyak ayat 30 mengatakan bahawa alam terhasil dari satu titik yang padu lalu dipisahkan menjadi alam yang sedia ada sekarang ini. Kaitannya dengan teori Big Bang diulas di artikel ini.

Mengenali Planet Kerdil

Apakah itu planet kerdil? Apakah beza planet kerdil dengan planet biasa? Artikel ini mengupas isu tersebut

Kalendar Astronomi 2012

Kalendar ini memuatkan senarai fenomena astronomi yang bakal berlaku pada tahun 2012. Jangan biarkan diri anda terlepas fenomena astronomi yang menarik dan jarang berlaku

Meneroka langit menggunakan binokular

Jangan pandang rendah kepada binokular kerana peralatan ini membolehkan anda melihat bintang, planet, gugusan bintang malah galaksi!

Khamis, 17 Mei 2007

Phoenix Mars Lander akan ke Marikh Ogos ini


Rajah 1
Phoenix Mars Lander di permukaan Marikh mengikut pandangan artis
Kredit gambar : NASA/JPL

Setelah sekian Mars Rovers menjelajahi planet Marikh keseorangan, kini ia akan mendapat kawan baru yang akan dihantar ke planet merah tersebut tidak lama lagi. Kenderaan tersebut yang diberi nama Phoenix Mars Lander yang kini telah tiba di Florida untuk perlancarannya yang dijangka pada 3 Ogos 2007 ini.

Jika keadaan adalah baik pada hari tersebut, Phoenix Mars Lander akan menuju ke planet Marikh dengan menaiki roket Boeing Delta II. Perjalanan tersebut akan mengambil masa enam bulan untuk sampai di destinasinya. Phoenix akan didaratkan berdekatan dengan kutub artik yang berais di planet tersebut. Kenderaan ini dilengkapi dengan lengan robotik penggali dan alat untuk penganalisa air/ais di dalam tanah di sana. Jika penemuan air atau bekasnya, maka kemungkinan mikroorganisma untuk hidup di planet Marikh akan menjadi semakin nyata.

Pihak NASA akan menjalankan beberapa siri ujian dalam beberapa minggu kehadapan ini untuk menguji dan memasang beberapa komponen lain sebelum pelancaran dijalankan.

Diubahsuai dari : NASA News Release

Rabu, 2 Mei 2007

Galaksi

Galaksi merupakan satu kawasan kejiranan yang dipenuhi oleh ratusan jutaan bintang, planet, awan gas yang bersinar (nebulae), gas, debu angkasa, kawasan kosong, dan berkemungkinan lohong hitam. Ianya terdiri dari 3 kelompok utama; Elips, berpusar, dan tidak sekata.
  1. Galaksi Elips (elliptical galaxy)

Rajah 1
Galaksi M87 diambil dari Balai Anglo Australian
Kredit : David Mallin

Galaksi berbentuk elips kelihatan sebagai satu titik yang kembang. Galaksi berbentuk ini mempunyai kepelbagaian bentuk iaitu dari berbentuk sfera kepada berbentuk bujur dan hampir rata. Kecerahan bintang dipusat galaksi ini adalah yang paling terang dan bintang yang berada di pinggirnya adalah kurang terang. Oleh itu, kelihatan kecerahan galaksi sebegini kelihatan makin malap secara lembut ke arah pinggir galaksi. Maka, amatlah sukar untuk mentafsirkan sempadan galaksi sebegini. Kebiasaanya, galaksi elips adalah terdiri dari bintang yang tua yang datang dari pelbagai saiz, jisim dan kecerahan. Jika diambil sampel 1000 galaksi yang tercerah secara rawak, peratus galaksi yang berbentuk elips adalah sebanyak 20%.


2. Galaksi Berpusar (spiral galaxy)


Rajah 2
Galaksi M101

Di pusat galaksi berpusar, terdapat kumpulan bintang yang padat yang dikelilingi oleh halo dan kumpulan jirim hitam yang tidak kelihatan. Berpaut kepada kumpulan bintang ini ialah lengan-lengan yang terdiri dari bintang, gas dan debu angkasa. Lengan sebegini kelihatan berpusar mengelilingi pusat nukleus adalah kerana putaran galaksi itu sendiri. Kebiasaanya galaksi yang berbentuk berpusar hanya mempunyai satu lengan sahaja. Namun ada juga galaksi yang mempunyai lebih dari satu lengan seperti galaksi Bima Sakti.

2.1 Galaksi Berpusar Berbar (barred spiral galaxy)


Rajah 3
Galaksi NGC1300

Galaksi berpusar boleh dikatogerikan dalam dua jenis iaitu galaksi berpusar biasa dan galaksi bepusar berbar. Untuk galaksi berpusar berbar, kelihatan satu bar lurus keluar dari pusat galaksi dimana lengan galaksi tersebut berpaut pada bar tersebut. Kedua galaksi berpusar biasa dan berbar mempunyai pelbagai variasi bentuk iaitu dari segi kepadatan lilitan lengan dengan nukleus dan bilangan lengannya. Galaksi Bima Sakti adalah tergolong dalam bentuk berpusar berbar.

Umumnya galaksi berbentuk berpusar adalah terdiri dari pelbagai peringkat umur bintang. Bintang yang lebih tua kebanyakannya menghuni di pusat galaksi iaitu di nukleus dan bintang yang baru lahir dan muda menghuni di lengan galaksi. Galaksi berpusar adalah merupakan majoriti jenis galaksi yang ada di alam semesta dengan anggaran 75 % adalah berbentuk ini.

Saintis telah lama mencari teori mengenai perubahan galaksi berbentuk elips kepada berbentuk berpusar atau sebaliknya. Ada teori yang mengatakan bahawa sesetengah galaksi berpusar lengannya menjadi semakin longgar dan semakin masa berlalu ia akan berubah menjadi galaksi berbentuk elips. Ada juga teori yang mengatakan bahawa galaksi elips ada yang 'ditumbuhi' bar dari pusat nukleus apabila timbul reaksi tarikan dari galaksi lain. Namun kini, kebanyakan ahli sains bersetuju bahawa jika sesuatu galaksi itu asalnya adalah galaksi berpusar, ia akan tetap menjadi galaksi berpusar dan sebaliknya kecuali ada perlanggaran galaksi tersebut dengan galaksi lain yang mengubah struktur galaksi tersebut.


3. Galaksi tidak sekata (irregular galaxy)


Rajah 4
Sebuah galaksi berbentuk tidak sekata

Galaksi berbentuk tidak sekata hanya terdiri dari 5 % dari keseluruhan galaksi yang ada di alam semesta. Contoh terdekat dengan kita ialah galaksi Awan Magellanik Besar dan galaksi Awan Magellanik Kecil yang boleh dilihat dengan mata kasar di hemisfera selatan.

Isnin, 30 April 2007

Fenomena Cakerawala 2007

Semua masa (biru) perlu ditambah 8 jam utk mendapatkan waktu Malaysia
2007 04 03 9 UT Moon at apogee, 252,481 miles (406,329 km)
2007 04 17 6 UT Moon at perigee, 221,913 miles (357,135 km)
2007 04 22 23 UT Meteor shower peak -- Lyrids
2007 04 30 11 UT Moon at apogee, 252,407 miles (406,209 km)
2007 05 06 12 UT Meteor shower peak -- Eta Aquarids
2007 05 13 2 UT Mercury at greatest illuminated extent (evening)
2007 05 15 15 UT Moon at perigee, 223,316 miles (359,392 km)
2007 05 27 22 UT Moon at apogee, 251,941 miles (405,460 km)
2007 06 02 10 UT Mercury at greatest elongation, 23.4° east of Sun (evening)
2007 06 05 23 UT Jupiter at opposition
2007 06 09 3 UT Venus at greatest elongation, 45.4° east of Sun (evening)
2007 06 12 17 UT Moon at perigee, 226,042 miles (363,780 km)
2007 06 21 18:06 UT Summer (Northern Hemisphere) begins at the solstice
2007 06 24 14 UT Moon at apogee, 251,370 miles (404,540 km)
2007 07 07 0 UT Earth at aphelion, 94,508,722 miles (152,097,045 km)
2007 07 09 22 UT Moon at perigee, 228,993 miles (368,528 km)
2007 07 12 14 UT Venus at greatest illuminated extent (evening)
2007 07 20 15 UT Mercury at greatest elongation, 20.3° west of Sun (morning)
2007 07 22 9 UT Moon at apogee, 251,127 miles (404,150 km)
2007 07 28 13 UT Meteor shower peak -- Delta Aquarids
2007 08 03 5 UT Mercury at greatest illuminated extent (morning)
2007 08 04 0 UT Moon at perigee, 229,218 miles (368,891 km)
2007 08 13 5 UT Meteor shower peak -- Perseids
2007 08 13 18 UT Neptune at opposition
2007 08 19 3 UT Moon at apogee, 251,418 miles (404,618 km)
2007 08 28 10 UT Total lunar eclipse -- totality lasts from 09:52 UT to 11:23 UT
2007 08 31 0 UT Moon at perigee, 226,285 miles (364,171 km)
2007 09 09 19 UT Uranus at opposition
2007 09 15 21 UT Moon at apogee, 252,054 miles (405,642 km)
2007 09 23 9:51 UT Fall (Northern Hemisphere) begins at the equinox
2007 09 23 23 UT Venus at greatest illuminated extent (morning)
2007 09 28 2 UT Moon at perigee, 223,332 miles (359,418 km)
2007 09 29 16 UT Mercury at greatest elongation, 26.0° east of Sun (evening)
2007 10 02 5 UT Mercury at greatest illuminated extent (evening)
2007 10 13 10 UT Moon at apogee, 252,582 miles (406,492 km)
2007 10 21 22 UT Meteor shower peak -- Orionids
2007 10 26 12 UT Moon at perigee, 221,677 miles (356,755 km)
2007 10 28 15 UT Venus at greatest elongation, 46.5° west of Sun (morning)
2007 11 05 22 UT Meteor shower peak -- Southern Taurids
2007 11 08 21 UT Mercury at greatest elongation, 19.0° west of Sun (morning)
2007 11 09 13 UT Moon at apogee, 252,694 miles (406,671 km)
2007 11 11 18 UT Mercury at greatest illuminated extent (morning)
2007 11 12 21 UT Meteor shower peak -- Northern Taurids
2007 11 18 3 UT Meteor shower peak -- Leonids
2007 11 24 0 UT Moon at perigee, 221,950 miles (357,194 km)
2007 12 06 17 UT Moon at apogee, 252,423 miles (406,235 km)
2007 12 14 17 UT Meteor shower peak -- Geminids
2007 12 22 6:08 UT Winter (Northern Hemisphere) begins at the solstice
2007 12 22 10 UT Moon at perigee, 224,199 miles (360,813 km)
2007 12 24 20 UT Mars at opposition
-----

Ahad, 8 April 2007

Fenomena Astronomi April 2007


Rajah 1
Venus Express yang dilancarkan oleh ESA pada 2005
untuk mengkaji dengan lebih lanjut mengenai planet tersebut.


Setelah beberapa kali tidak menulis untuk Fenomena Astronomi Bulanan, bulan April ini rencana sebegini kembali menemui anda. Diharapkan ia dapat member manafaat kepada anda semua. Jika ada sebarang komen dan cadangan, silalah tinggalkannya di kotak pesanan di sebelah atau boleh hubungi saya dengan menggunakan Yahoo! Messenger.

Sepanjang bulan ini, kita akan berpeluang melihat planet paling terang di langit iaitu planet Zuhrah. Biasa juga dikenali sebagai bintang Kejora oleh sebilangan masyarakat Melayu, planet ini akan mula boleh dilihat di langit senja ketika lewat petang sehinggalah ianya tenggelam di ufuk barat pada sekitar pukul 10 malam. Jangan berlengah lagi, luangkan masa petang ini untuk melihat ke arah langit barat. Jika keadaan langit mengizinkan, pasti anda akan terlihat akan satu ‘bintang’ yang amat terang tergantung sekitar 20’ dari ufuk.

Setelah tenggelamnya bintang Kejora, kita teruskan pula pencerapan dengan beralih kepada planet bergelang iaitu Zuhal. Planet ini menjadi tumpuan pencerapan yang utama sejak beberapa bulan lalu ekoran kedudukannya yang tinggi di atas kepala pada awal malam hinggalah ke pagi. Bulan ini, planet ini masih lagi berada di kedudukan hampir zenith pada awal malam. Kedudukannya masih di buruj Leo dan kelihatan menghampiri sempadan buruj Cancer. Untuk membantu anda mencarinya, waktu yang paling sesuai ialah dengan keluar sekitar pukul 9 malam kerana ianya sedang mengalami transit iaitu berada tegak di atas kepala pada waktu itu. Maka sekitar waktu ini, anda akan dapati satu bintang kejinggaan yang agak terang berada di atas kepala yang sebenarnya ialah planet Zuhal. Jika anda sedang menghadap ke arah barat ketika itu, perhatikan di sebelah ‘belakang’ planet Zuhal sekitar 10 darjah terdapat satu bintang yang agak malap berbanding Zuhal. Bintang tersebut adalah bintang Regulus di buruj Leo. Regulus adalah bintang paling cerah di buruj Leo diikuti oleh bintang Algieba yang berkedudukan 8 darjah 21 minit di sebelah kanan Regulus (pada kedudukan anda masih ke arah barat). Berbalik kepada planet Zuhal, jika anda berkesempatan melihatnya sehingga beberapa jam seterusnya, pasti anda akan terperasan bahawa planet ini semakin lama kelihatan semakin rendah ke barat dan akhirnya akan tenggelam di ufuk barat. Oleh sebab ini, boleh disimpulkan bahawa kesemua planet dalam sistem suria adalah kelihatan timbul dari timur dan tenggelam di barat seperti kelakuan matahari dan bulan (mengikut pandangan pencerap di bumi). Kesamaan ini adalah disebabkan arah laluan planet-planet di orbitnya adalah pada arah yang sama. Oleh itu jika kita dapat terbang tinggi di angkasa, kita akan dapat melihat bahawa kesemua planet mengorbit matahari mengikut arah lawan jam.

Rajah 2
Muncung teko pada buruj Sagittarius yang menjadi pusat
buruj Bima Sakti


Seterusnya, mari kita beralih kepada planet berikutnya yang akan mula timbul dari ufuk timur sekitar pukul 11 malam untuk bulan ini. Planet tersebut adalah planet Musytari iaitu planet gas paling besar di sistem suria. Planet gas ini terdiri dari gas helium dan hidrogen terutamanya iaitu kompisisi yang sama dengan matahari. Namun disebabkan oleh saiz dan suhunya yang rendah menyebabkan ia tidak berlakuan aktiviti pelakuran nuklear seperti yang terjadi di matahari. Syukurlah ia tidak begitu kerana jika tidak pasti malam hari juga kita akan dapat merasai bahang panas yang dijana oleh Musytari yang sedang mengalami aktiviti pelakuran nuklear. Sepanjang bulan ini planet ini akan berada di buruj Ophiuchus iaitu salah satu buruj yang berada hampir dengan pusat bima sakti. Hampir dengan pusat bima sakti yang dimaksudkan di sini ialah mengikut pandangan dari bumi dan bukannya kedudukan yang sebenar di angkasa lepas. Dikatakan bahawa mengikut pandangan dari bumi, buruj Sagittarius adalah buruj paling tepat berada di pusat bima sakti. Lebih tepat lagi pada ‘muncung teko’ buruj ini (rajah 2).

Sambil Musytari yang masih lagi kelihatan di langit malam, planet Marikh pula akan keluar dari ufuk sekitar pukul 4 pagi. Planet kemerahan ini yang sering disebut-sebut oleh kebanyakan pembuat filem holy-wood sebenarnya hanya bersaiz separuh dari bumi. Dengan paksinya yang condong, planet ini juga mempu-nyai musim seperti yang di alami di bumi.

Rajah 3
NGC 3242 (Ghost of Jupiter)


Apabila memikirkan mengenai planet Musytari, apa kata kita melihat pula satu objek yang dikatakan sebagai bayangan atau hantu planet Musytari iaitu NGC 3242 (Ghost of Jupiter) iaitu merupakan sebuah nebula planetari. Dengan kecerahan magnitud 8.58, sudah pasti anda memerlukan bantuan teleskop untuk melihat objek ini. Ghost of Jupiter ini berada di buruj Hydra si ular laut. Untuk menjejakinya, mulakan dengan kedudukan bintang Alphae Hydrae, kemudian ke arah timur sedikit untuk bertemu dengan bintang Lambda Hydrae yang berada di ‘padang’ bintang yang kelam. Diteruskan lagi dengan bergerak ke arah selatan sekitar 5 darjah untuk bertemu pula dengan bintang Mu Hydrae. Sasaran yang sudah berada berdekatan boleh dicari sedikit di bawah bintang ini. Jika anda berjaya menemuinya, tahniah atas kejayaan anda. Nebula planetari ini walaupun menghampiri magnitud 9, namun sudah membolehkan kita melihat sedikit warna hijaunya walaupun menggunakan teleskop yang kecil. Objek ini terletak sekitar 1500 tahun cahaya dari bumi.

Rabu, 28 Februari 2007

Gerhana Bulan Penuh - 4 Mac 2007



Suatu malam pada bulan Mac ini, anda keluar pada waktu malam dan menghayati keindahan bulan penuh yang menyinari bumi. Kecerahan cahayanya membolehkan anda melihat samar-samar bukit bukau atau bangunan di hadapan anda. Mmmm.... satu permandangan yang menarik dan menyamankan. Pada waktu subuh kemudiannya, anda bangun lagi dan keluar rumah untuk menghirup kesegaran pagi. Anda mendongak dan,,,,

"Eh... kenapa bulan bertukar menjadi merah???"

Ayat itu biasa diucapkan bagi yang tinggal di bandar negeri-negeri utama. Bagi yang di kelantan akan berkata : "Eh... bakpo bule tuka jadi meghoh?" dan seterusnya bagi negeri-negeri lain. Hehe.....

Baiklah, sebelum saya membuat lawak yang tidak sepatutnya dengan lebih lanjut lagi, untuk dimudahkan cerita pada malam tersebut iaitu 4 haribulan ini, anda akan berpeluang melihat gerhana bulan penuh. Pada ketika gerhana bulan penuh terjadi, anda akan dapati bahawa bulan yang kebiasaannya bersinar dengan warna putih akan bertukar menjadi lebih gelap atau seperti merah tembaga.


Rajah 1 :
Menunjukkan perubahan wajah bulan serta warnanya




Gerhana bulan penuh terjadi apabila planet Bumi menghalang cahaya dari matahari dari mengenai bulan secara penuh. Oleh itu, ini hanya akan terjadi apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sejajar pada satu garis lurus. Jika anda selalu tidak terlepas peluang memerhati gerhana bulan yang berlaku saban tahun, mungkin anda akan tersedar bahawa ada perbezaan kegelapan warna bulan ketika peristiwa itu terjadi dengan gerhana bulan yang berlaku pada tahun-tahun yang sudah. Faktor yang menyumbang kepada perbezaan warna bulan ini ketika berlaku peristiwa gerhana ialah kualiti udara pada ketika gerhana bulan tersebut terjadi. Ini adalah kerana cahaya matahari yang mengenai permukaan bulan pada saat gerhana telah melalui atmosfera bumi terlebih dahulu sebelum mengenai bulan. Oleh sebab ini, jika gerhana berlaku ketika terdapat letupan gunung berapi, maka gerhana bulan yang terhasil akan kelihatan lebih gelap.


Rajah 2 :
Kedudukan bulan ketika melalui bayang matahari menentukan
sama ada gerhana bulan tersebut adalah penuh atau hanya separa.



Pada 4 haribulan ini, bulan akan mula memasuki bayangan umbra pada pukul 5.33 pagi. Bulan akan memasuki pusat gerhana pada pukul 6.45 pagi dan akan keluar dari bayangan umbra pada pukul 9.12 pagi. Oleh itu, anda berpeluang untuk mengikuti peristiwa ini bermula pukul 5.33 pagi sehingga matahari mula timbul dari ufuk. Jika anda tidak berniat untuk menunggu sepanjang pagi hingga ke pukul 7 di luar rumah, cuba keluar dari rumah anda sekurang-kurangnya setengah jam sekali pada jangka masa gerhana untuk melihat perbezaan warna permukaan bulan yang akan berubah dengan ketara.

Gerhana bulan seterusnya akan berlaku pada 28 Ogos ini.

Khamis, 8 Februari 2007

Sumbangan Ketamadunan Islam Dari Segi Astronomi

1, Pengenalan

Sumbangan oleh para ahli astronomi Islam sekitar kurun ke 9 dan 12 adalah sangat memberi kesan yang besar terhadap dunia astronomi masa kini. Sumbangan yang inovatif dan tepat itu masih lagi digunakan dan dinikmati sehingga zaman kini. Banyak konsep asas dalam astronomi moden dicipta secara terus oleh para sarjana Islam atau terbit hasil dari kesan penemuan mereka oleh para astronomi yang seterusnya.

Kebanyakan hasil kerja para sarjana Islam sangat dikagumi oleh barat sehingga mereka ini dikenali dan dikagumi oleh para saintis barat pada masa itu. Kebanyakan ahli astronomi Islam ini dikenali di barat dengan nama Inggeris seperti Suter, Sezgin dan Sarton dan banyak lagi. Antara mereka ialah Al-Battani (929) yang menulis jadual Sabian (al-Zij al-Sabi), sebuah kitab yang amat bernilai selama beberapa abad selepas beliau. Hasil kerja beliau juga termasuk pengiraan masa bulan baru, pengiraan panjang solar dan tahun sideral, jangkaan gerhana dan fenomena kesilapan paralaks. Beliau juga bukan sahaja popular kerana tanggapan pertama terhadap nisbah rigonometri yang digunakan pada masa kini, tetapi juga sumbangannya terhadap pembetulannya kepada hasil kerja Ptolemy.
“Apakah orang yang tidak beriman itu tidak mengetahui bahawa langit dan bumi kedua-duanya dulu adalah sesuatu yang padu. Kemudian kami pisahkan antara keduanya”
 (Surah Al-Anbia ayat 30)

Ayat ini menerangkan mengenai teori letupan besar (Big Bang) yang diterima kini.


2. Sumbangan para sarjana Islam

Berikut adalah antara para sarjana Islam yang memberi sumabangan besar terhadap perkembangan dunia astronomi dunia. Di sini hanya diletakkan sebilangan dari mereka. Untuk lebih lanjut cuba carinya di laman web. Semoga memberi manfaat.

a) Al-Sufi (903-986 Masihi)



Di barat Al-Sufi dikenali dengan nama Azophi.

Beliau membuat beberapa pemerhatian mengenai keserongan garis ekliptik (arah laluan bagi matahari, bulan, dan planet) dan juga pergerakan matahari (panjang setahun mengelilingi matahari). Beliau juga ada membuat pemerhatian mengenai ciri-ciri bintang mengikut buruj-buruj, membincangkan mengenai kedudukan bintang, magnitud dan warnanya. Selain itu beliau juga ada menulis mengenai astrolab dan seribu satu penggunaannya.




Peralatan astrolabe yang ditulis oleh Al-Sufi mengenai penggunaannya.

b) Al-Biruni (973-1050 Masihi)



Al-Biruni turut memberi sumbangan dalam bidang astrologi pada zaman Renaissance.

Beliau telah menyatakan bahawa bumi berpusing di atas paksinya sendiri . Beliau juga telah mengira mengenai ukur lilit bumi, dan membetulkan secara saintifik arah Kota Makkah dari mana-mana arah di dunia. Hasil kerja Al-Biruni mencapai jumlah 150 hasil, termasuk 35 dalam bidang astronomi tulen.

c) Ibnu Yunus (1009 Masihi)



Sebuah kawah dipermukaan bulan dinamakan sebagai Ibn Yunus

Beliau membuat pemerhatian selama hampir 30 tahun (977-1003) menggunakan kebanyakan astrolabe yang besar sehingga yang berdiameter 1.4 meter, menentukan lebih dari 10,000 catatan mengenai kedudukan matahari sepanjang tahun.  
d) Al-Farghani



Abu'l-Abbas Ahmad ibn Muhammad ibn Kathir al-Farghani merupakan antara sarjana Islam dalam bidang astronomi yang amat dikagumi.

Beliau adalah merupakan salah seorang ahli astronomi khalifah al-Makmun. Beliau ada menulis mengenai astrolabe, menerangkan mengenai teori matematik disebalik penggunaan alatan dan membetulkan kesalahan geometri dalam pembinaan cakera tengah. Kitab belliau yang paling popular ialah fi Harakat Al-Samawiyah wa Jaamai Ilm al-Nujum yang membincangkan mengenai kosmologi. Kitab ini mengandungi 30 bab termasuk penerangan mengenai kawasan bumi yang boleh didiami, saiznya dan juga mengenai fenomena di bumi.

e) Al-Zarqali (dikenalli sbg Arzachel di barat) (1029-1087)



Wajah Al-Zarqali diabadikan pada setem di Sepanyol bagi menghargai sumbangan beliau terhadap penciptaan astrolab yang lebih baik

Beliau telah menyediakan jadual Toledan dan juga merupakan seorang pereka yang telah membina astrolab yang lebih kompleks yang diberi nama Safiha.


f) Jabir Ibn Aflah (1145 Masihi)



Jabir Ibn Aflah atau dikenali sebagai Geber adalah seorang ahli matematik Islam berbangsa Sepanyol.

Beliau adalah orang pertama yang mencipta sfera cakerawala mudah alih yang digunakan untuk mengukur dan menerangkan mengenai pergerakan objek samawi. Antara sumbangan beliau yang utama ialah dalam bidang trigonometri sfera. Antara hasil kerja beliau ialah Kitab al-Hay’ah. 
Artikel oleh Astromas

Rabu, 31 Januari 2007

Fenomena Astronomi Februari


Rajah 1 :
Kedudukan buruj di langit pada bulan Februari 2007.
Kedudukan planet Zuhal pada peta ini adalah pada 15 hb ini jam 12 tengah malam

Planet Cerapan Bulan Ini.

Bulan ini, planet Zuhal masih lagi menjadi objek tumpuan pencerapan malam dengan kedudukannya yang semakin meninggi di langit malam. Kedudukannya yg menghampiri zenith pada pertengahan malam pasti membantu pencerapan. Cuba kenal pasti warna jingganya jika dilihat dengan mata kasar di buruj Leo.

Planet Musytari pula mula menonjolkan diri dengan mula keluar pada lewat malam. Untuk mencerap planet ini, waktu yang sesuai untuk bulan ini ialah pada pukul 3 pagi ke atas. Namun planet ini akan semakin hari semakin awal berada di atas ufuk untuk membolehkannya di cerap. Sebagai objek langit yang ke-3 tercerah di langit selepas bulan dan planet Zuhrah, pasti anda akan teruja dengan kecerahannya yang hebat. Ramai yang beranggapan bahawa objek ini yang sebegini terang adalah merupakan sebuah satelit. Sebenarnya pendapat ini tidaklah begitu tepat kerana sesebuah satelit itu cenderung untuk tidak statik pada sesuatu tempat. Oleh sebab itu, ia lebih sesuai dikatakan sebagai sebuah ‘bintang yang bergerak’. Pasti ramai yang akan terkejut apabila pertama kali melihat suatu ‘bintang’ itu bergerak dari tempatnya. Penulis juga turut begitu suatu masa dulu. Ingatkan nampak UFO. Hehe,,,


Rajah 2 :

Planet Musytari pada 28 haribulan ini pukul 3 pagi


07/02/2007 – Planet Utarid Berelongasi Terjauh.

Pada 7 haribulan ini, planet paling dekat dengan matahari akan berada di posisi elongasi terjauh. Posisi ini merujuk kepada kedudukan sesuatu planet itu menurut pandangan dari bumi. Terdapat dua titik dalam orbit planet Utarid dan Zuhrah yang mana dilihat kedudukannya jika dilihat dari bumi sebagai jarak sudut terjauh dari matahari. Dalam kata lain, kedua objek ini akan kelihatan berada di kedudukan paling tinggi di kaki langit yang boleh dicapai oleh kedua planet ini. Disebabkan oleh orbit planet Utarid yang agak elips, maka elongasi terjauhnya berbeza dari 18 hingga 28 darjah. Pada 7 haribulan ini, Utarid mencapai sudut elongasi terjauhnya pada pukul 05.24 pagi. Namun pada waktu ini, planet ini akan tidak kelihatan dari pandangan kita di Malaysia kerana berada di bawah horizon. Ini bermaksud sekiranya kita boleh melihat menembusi bumi, planet ini akan kelihatan berada di hujung paling jauh orbitnya (rujuk rajah di bawah).


Rajah 3 :

Rajah atas menunjukkan permandangan Utarid jika dilihat menembusi bumi.

Rajah bawah menunjukkan kedudukan Utarid pada masa elongasi terjauh.



22/02/2007 – Planet Utarid Berkonjukasi Dalaman (inferior conjunction)

Fenomena ini hanya boleh berlaku kepada planet dalaman (planet dalam orbit bumi) iaitu planet Utarid dan Zuhrah. Konjukasi dalamana bermaksud kedudukan salah satu dari planet ini pada kedudukan antara matahari dan bumi seperti kedudukan bulan semasa gerhana matahari berlaku. Namun, fenomena ini tidak semestinya membawa kepada peristiwa transit planet di atas matahari memandangkan perbezaan sudut satah orbit kedua planet ini dengan satah orbit bumi. Oleh sebab inilah peristiwa transit planet di hadapan matahari adalah sangat jarang berlaku. Pada masa fenomena konjukasi dalaman in berlaku, planet tersebut adalah sangat sesuai untuk dicerap memandangkan kedudukannya yang sangat hampir dengan matahari.

Rajah 4 :

Utarid ketika konjuksi dalaman (inferior) berlaku

Sabtu, 13 Januari 2007

Komet Paling Terang Dalam Masa 30 Tahun

Rajah 1
Kedudukan Komet McNaught C/2006 P1 mengikut tarikh

Satu komet baru ditemui kini kelihatan semakin terang berdekatan dengan matahari. Komet ini yang dijangka dapat dilihat dengan mata kasar ini dinamakan komet McNaught C/2006 P1 sempena nama penemunya iaitu Robert McNaught yang diumumkan penemuannya pada 7 Ogos yang lepas. Permandangan ini pasti menjanjikan satu pengalaman yang menarik bagi para ahli astronomi amatur.

Kedudukan komet tersebut kini boleh di lihat pada waktu permandangan senja sekitar jam 7.00 petang hingga jam 7.35 petang. Dengan kedudukannya yang semakin menghampiri matahari, ia akan kelihatan semakin terang hingga beberapa minggu yang akan datang. Magnitud kelihatannya (apparent magnitude) dijangkakan dari +2.1 (secerah bintang utara, Polaris) kepada hingga ke magnitud -8.8 iaitu 40 kali kecerahan planet Zuhrah! Ini bermakna walaupun dengan kecerahan lampu bandar, cahaya bulan, asap dan awan horizon yang nipis, komet ini masih lagi akan senang dikenal pasti sebagai satu titik kembang dengan teras komet yang terang. Dengan bantuan binokular, pasti objek ini akan kelihatan dengan senang sekali.
Rajah 2
Permandangan dari Kuala Lumpur Komet McNaught pada 13 haribulan
jam 7.34 petang

ddd

Selasa, 9 Januari 2007

Fenomena Astronomi Januari

Bulan pertama tahun 2007 ini, planet Zuhal akan menjadi planet tumpuan pencerapan malam dengan kedudukannya yang semakin meninggi ke langit hingga ke akhir bulan ini. Zuhal yang berkecerahan magnitud penglihatan (apparent magnitude) 0.14 pasti senang dilihat dengan mata kasar sebagai satu titik seakan bintang yang berwarna jingga di buruj Leo ( rajah 1). Buruj Leo yang akan menjadi buruj kediamannya sepanjang bulan ini mempunyai satu bintang yang tercerah iaitu bintang Regulus. Bintang ini namun kelihatan kurang terang berbanding Zuhal kerana magnitudnya hanyalah 1.34. Ini diingatkan di sini, bagi magnitud penglihatan, semakin kecil nilai magnitud (semakin negatif), maka akan semakin terang sesuatu objek itu.





Rajah 1
Kedudukan planet Zuhal pada jam 12 malam 15 Januari 2007

Permandangan pagi bulan ini akan dihiasi oleh planet Musytari dan Marikh. Planet Musytari yang merupakan objek langit ketiga tercerah selepas bulan dan planet Zuhrah (ini tidak termasuk matahari) pasti akan senang dilihat dengan mata kasar sebagai satu titik yang amat terang. Ramai yang beranggapan bahawa objek yang sebegini terang merupakan satelit. Pernyataan ini tidaklah begitu tepat kerana kebiasaannya sesuatu satelit akan kelihatan bergerak seakan satu bintang yang bergerak! Planet Marikh pula akan berada di bawah sedikit planet Musytari. Walaupun tidak seterang Musytari jika di lihat dengan mata kasar, anda masih mampu untuk melihat warnanya yang kemerah-merahan sesuai dengan nama timangannya iaitu "Planet Merah".



Rajah 2
Permandangan waktu pagi sekitar jam 6.30 pagi
Dengan kedudukannya berdekatan buruj Saggitarius, anda yang berada di kawasan
gelap pasti akan dapat melihat jalur galaksi Bima Sakti dengan mata kasar!



Rajah 3
Kedudukan bintang Kejora pada jam 8 malam 15 Januari

Permandangan waktu selepas matahari terbenam pula akan dihiasi oleh planet Zuhrah atau lebih dikenali sebagai bintang Kejora. Rujuk rajah 3

Selasa, 26 Disember 2006

Kita di Alam Semesta

Kita tinggal di alam semesta yang dipenuhi dengan jutaan galaksi. Galaksi ini dipenuhi dengan kumpulan awan gas, yang terutamanya adalah hidrogen. Disebabkan oleh graviti yang menarik sesama mereka, kumpulan gas, atom-atom yang terion (oleh sinaran radiasi yang kuat di angkasa) dan debu-debu angkasa yang terhasil dari letusan bintang yang lama akan runtuh ke satu pusat yang mana akan membentuk bintang yang baru.









Rajah 1

Nebula Amerika Utara (North American Nebulae)

dan Nebula Burung Undan (Pelican Nebulae)





Antara objek yang sentiasa menarik perhatian dalam astronomi adalah nebula yang berwarna-warni. Nebula adalah kumpulan awan gas yang terdiri dari gas hidrogen dan helium terutamanya dan juga debu-debu angkasa. Seperti dalam rajah 1, Nebula Amerika Utara (dinamakan sempena bentuknya yang seperti bentuk peta Amerika utara) dan Nebula Burung Undan (Pelican Nebulae) ini kelihatan ditutup sedikit bahagiannya oleh debu angkasa. Warna-warna yang ada pada nebula itu adalah disebabkan sinaran dari bintang yang berdekatan tehadap awan gas tersebut. Jenis gas yang ada memberikan warna yang berlainan kepada satu-satu nebula.



Perkataan debu (dust) telah lama diguna pakai dalam bidang astronomi. Ianya bukan seperti debu atau habuk yang ada di rumah kita. Debu ini kebanyakannya hanya berdiameter micron sahaja. Biasa disebut dalam astronomi adalah jirim gelap (dark matter) kerana sifatnya yang menghalang cahaya dari sesuatu objek astronomi (contohnya dari galaksi kita). Disebabkan jirim gelap ini, nebula pada rajah 1 boleh kita bahagikan kepada dua nebula berdasarkan kepada bentuknya, iaitu berbentuk peta bahagian utara Amerika (kiri rajah) dan burung undan (kanan rajah, kehijauan).



Galaksi kita, Bima Sakti, boleh diibaratkan berbentuk seperti telur goreng mata kerbau, dimana dibahagian tengahnya sedikit terbonjol (ibaratkan kuning telur ditengahnya). Sebelum ini, para ahli astronomi percaya bahawa galaksi kita adalah berbentuk galaksi berpusar (spiral galaxy). Namun berdasarkan kajian terkini mendapati bahawa bahagian galaksi kita yang dilindungi oleh jirim gelap, menyebunyikan bentuk sebenar galaksi kita. Setelah kajian baru dibuat, para saintis kini setuju bahawa galaksi kita adalah berbentuk galaksi pusar berbar (barred spiral galaxy). Ini bermaksud di bahagian tengah galaksi kita, terdapat satu bentuk bar (rajah 2).











Rajah 2

Galaksi NGC 1300.






Dari pandangan kita di bumi, galaksi kita kelihatan sebagai lurus sahaja (rajah 3). Ini disebabkan kita berada di hujung salah satu lengan Bima Sakti. Oleh kerana kita memerhati dari hujung galaksi, sudah tentu kita akan melihatnya berbentuk memanjang! Bima Sakti dipercayai mempunyai 4 lengan yang terdiri dari gas, bintang, dan debu angkasa yang berputar mengelilingi pusat Bima Sakti. Satu dari lengan ini (atau mungkin lebih) dikatakan tercabut dari pusat galaksi. Lengan ini adalah tempat kediaman sistem suria kita, dan dinamakan sebagai lengan Orion. Lengan ini dinamakan sedemikian kerana system suria kita menghadap buruj orion. Sebab inilah bintang di buruj Orion kelihatan sangat cerah. Lengan ini terletak di antara lengan Centaurus dan lengan Perseus dengan jarak sekitar 7,000 tahun cahaya. Sistem solar adalah struktur paling besar di galaksi Bima Sakti.









Rajah 3

Permandangan galaksi bima sakti jika dilihat dari bumi





Mungkin ada yang tidak tahu bahawa galaksi Bima Sakti boleh dilihat dengan mata kasar. Jika anda kenal dengan buruj kala jengking (scorpion) yang amat mudah dikenali, cuba anda perhatikan dengan teliti di buruj tersebut, pasti anda akan dapat melihat satu kepulan awan, yang sebenarnya adalah galaksi kita! Tetapi ini dengan syarat tempat anda adalah gelap dari pencemaran cahaya yang melampau. Kepulan awan tadi boleh dibezakan dengan awan yang sebenar kerana ia tidak akan bergerak seperti awan biasa. 
 
Jika kawasan anda sangat gelap seperti di Pulau Singa Besar, Langkawi, bahkan jirim gelap yang merintangi Bima Sakti pun anda boleh lihat dengan mata kasar. Bima Sakti yang jika dilihat dari bumi kelihatan padat dari buruj Saggitarius hingga ke buruj Pari (Cross/Crux) di hemisfera selatan dan menjadi semakin menipis di kawasan yang bertentangan dengan buruj ini, iaitu di Perseus dan Auriga. Bentuk yang tidak simetri ini menunjukkan bagaimana rupa galaksi kita dan membuktikan bahawa sistem suria terletak di lengan Bima Sakti. Jadi kita tidak perlu bersusah-payah menghabiskan tenaga dan wang untuk menghantar kapal angkasa ke luar Bima Sakti semata-mata ingin melihat lokasi sistem suria.



Pusat galaksi terbentang sejauh 28,000 tahun cahaya dari kita melalui buruj Saggitarius. Galaksi kita berdiameter lebih kurang 100,000 tahun cahaya dan tebal dalam 1000 tahun cahaya. Dari jarak kita ke pusat galaksi, matahari mengambil masa 230 juta tahun untuk menghabiskan satu pusingan mengelilingi Bima Sakti. Ini desebut sebagai 1 tahun galaksi (galactic year). Sambil kita bergerak mengorbit Bima Sakti, kita kelihatan bergerak menuju buruj Cygnus.Ketika anda sedang melihat ke buruj Saggitarius (di tepi buruj Scorpion), anda sebenarnya sedang melihat kearah pusat galaksi Bima Sakti. 
 
Pusat galaksi yang terbonjol ini sebenarnya terdapat lohong hitam yang amat besar, sehingga mampu untuk memegang kesemua bintang di galaksi kita untuk mengorbitnya. Lohong hitam ini berisipadu 2.6 juta kali matahari kita. Ianya dikelilingi oleh awan gas hidrogen yang panas. Awan gas ini tidak dapat dilihat dengan mata kita kerana dilindungi oleh jirim gelap. Tetapi kita masih boleh mengesannya menggunakan teleskop radio. Di sini merupakan suatu tempat yang tidak lekang dengan pelbagai aktiviti dan radiasi yang menakutkan.



Pada 4 Julai 1054, satu letupan supernova yang kuat telah berlaku di nebula Ketam (Crab Nebulae). Letupan yang kuat ini telah direkodkan oleh masyarakat China dan menurut dokumen yang ditinggalkan mereka, kecerahannya hampir menyaingi kecerahan bulan purnama! Cuba bayangkan pula apa kesan sinaran radiasi yang dibebaskan terhadap penduduk China pada masa itu. Sinaran radiasi ini masih boleh dikesan hingga sekarang. Jika ada mana-mana bintang yang berhampiran dengan sistem suria kita mengalami letupan supernova, kecerahannya akan dapat menandingi kecerahan matahari!







Rajah 4

Sinaran gamma yang kuat dari pusat galaksi.

Terima kasih kepada matahari yang banyak menghalang sinar Gamma ini dari membahayakan kita.







Artikel oleh Astromas

Konvensyen Astronomi USM Peringkat Kebangsaan Kali Ke-3


Pengumuman. Konvensyen Astronomi USM peringkat kebangsaan tahun 2007 akan di adakan pada 9-11 Mac 2007 (Jumaat hingga Ahad) bertempat di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang dengan tema : Manned Space Exploration.
Kini Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera sedang mencari dan menghubungi sponsor, kompeni, universiti, kolej, pertubuhan, kelab astronomi, badan pengajian, badan kerajaan, dan peminat astronomi di Malaysia dan di luar negara untuk turut serta menyertai konvensyen ini. Sebarang soalan, hubungi Prof Madya Dr. Chong Hon Yew di talian 016-3157318

Fenomena Astronomi Disember 2006

Selamat bertemu kembali di bulan Disember 2006 ini. Musim hujan yang masih melanda negara pasti sedikit membantutkan aktiviti cerapan. Namun ini tidak bermakna sepanjang bulan ini, langit malam akan diselubungi oleh awan sahaja. Jika nasib menyelebihi kita, pasti kita akan dapat melihat bintang-bintang dan objek cakerawala yang lain bersinar tanpa dilindungi oleh awan. Jom kita lihat objek cerapan bulan ini. Selamat mencerap!

Planet Cerapan Malam.

Planet Zuhal masih lagi akan menjadi planet tumpuan pencerapan bulan ini. Planet ini akan terus setia berada di buruj Leo sepanjang bulan Disember. Waktu yang paling sesuai untuk pencerapan planet ini ialah pada pukul 12 tengah malam dan ke atas memandangkan ia mula timbul dari ufuk timur selepas pukul 12 malam bulan ini. Planet ini akan semakin meninggi di zenith (titik di atas kepala) hingga akhir bulan dan tidak akan tenggelam langsung sepanjang langit malam. Untuk membantu anda mencari planet ini, gunakan bintang Regulus di buruj Leo sebagai panduan. Planet Zuhal akan kelihatan lebih terang dari bintang ini dengan kecerahan magnitud 0.45 berbanding bintang Regulus yang bermagnitud 1.34. Ingin diingatkan di sini bahawa semakin kecil nilai magnitud kelihatan (apparent magnitude), semakin terang objek itu. Download peta bintang di sebelah untuk membantu anda. Di akhir bulan ini, planet Musytari akan berada rendah di ufuk pagi yang membolehkan pencerapan.


Rajah 1
Planet Zuhal dan bintang Regulus di Buruj Leo
Planet Pagi.

Bulan ini, 3 buah planet, Utarid, Marikh, dan Musytari akan menjadi teman setia langit pagi. Kedudukan ketiga planet ini akan semakin mendekati masing-masing sehingga mencapai kedudukan paling dekat pada 10 dan 11 haribulan ini.


Planet Senja.

Bulan ini planet Zuhrah akan bersedirian menemani permandangan matahari tenggelam. Planet ini merupakan planet yang paling cerah di langit jika kesan daripada lapisan atmosferanya yang kaya dengan gas karbon dioksida menjadi pembalik cahaya matahari yang baik. Kecerahan puratanya ialah magnitud -3.91 iaitu lebih hampir 3 kali ganda lebih cerah dari mana-mana bintang yang ada di langit.



Peristiwa Hujan Meteor Geminids ( 14 Disember 2006)





Rajah 2
Peristiwa hujan meteor Geminids 2004Kredit imej : Fred Bruenjes

Peristiwa hujan meteor ialah satu peristiwa yang membolehkan para pencerap melihat sehingga ratusan meteor (tahi bintang) dengan mata kasar, Di Malaysia, penulis beranggapan bahawa Geminids merupakan peristiwa hujan meteor yang paling kerap dicerap. Masih lagi segar di ingatan penulis ketika menganjurkan aktiviti cerapan Geminids 2005 di Kepala Batas, Pulau Pinang. Walaupun pada hari cerapan tersebut, awan melindungi kebanyakan kawasan langit, kami masih mampu melihat sekitar 30 biji meteor dari satu 'lubang' yang berada di awan. Dengan diserikan oleh beberapa buah bebola api (fireball) yang muncul di celahan awan, ternyata pelajar Kolej Matrikulasi Pulau Pinang seramai sekitar 200 orang terhibur dengan pertunjukkan malam itu dengan sering menjerit beramai-ramai apabila ada metor yang melintas. Walaupun pencerapan malam itu hanya sempat berlangsung kurang satu jam, namun sudah cukup memuaskan orang ramai yang turut serta malam itu.Geminids merupakan peristiwa hujan meteor yang aktif. ZHR (bilangan purata meteor per jam dengan radian di zenith) bagi Geminids ialah sekitar 120 biji meteor per jam. Ditambahkan lagi dengan waktu kemuncak peristiwa ini yang mampu bertahan selama satu hari penuh, sudah pasti penantian anda pada malam tersebut tidak menghampakan.

Menurut International Meteor Organization, waktu kemuncak Geminids adalah pada jam 06.45 petang pada 14 haribulan ini. Namun pada masa itu sedikit malang bagi kita kerana radian Geminids masih lagi berada di bawah horizon.Pada 14 haribulan ini, kehadiran bulan yang bersinar dengan kecerahan 1/3 akan sedikit mengganggu pencerapan, Namun anda jangan risau kerana cahaya bulan ini masih tidak mampu untuk menenggelamkan kebanyakan meteor yang terang. Waktu yang paling sesuai untuk mencerap Geminids ialah pada awal pagi 14 haribulan ini dan kemudian diteruskan lagi pada langit malam 14 haribulan (rujuk komen di bawah). Namun lebih elok dimulakan pada 11 malam (14 November) ke atas sehinggalah ke waktu matahari naik pada 15 haribulan memandangkan radiannya akan mula naik pada waktu itu. Bagi anda di luar sana, usah risau kerana hujan meteror geminids kebiasaannya dapat bertahan selama satu hari penuh berbanding dengan hujan meteor lain seperti hujan meteor Quadrantids yang hanya bertahan beberapa jam sahaja. Oleh itu pasti anda akan mempunyai cukup masa untuk mengikuti peristiwa ini. Namun ingin diingatkan di sini bahawa peristiwa ini boleh di lihat sebelum radiannya naik dari ufuk timur dengan menghalakan arah pandangan ke ufuk timur (arah matahari timbul). Peristiwa ini boleh dilihat di seluruh kawasan langit tetapi berpunca dari buruj Gemini, iaitu pasangan kembar Pollux dan Castor.







Rajah 3
Radian Geminids iaitu buruj Gemini ketika baru naik dari horizon

Apa yang anda perlukan ialah satu kawasan yang gelap dan peralatan seperti kerusi malas ataupun tikar untuk membolehkan anda dapat melihat ke langit tanpa perlu menyebabkan leher anda terseliuh pada keesokan harinya =). Secawan kopi panas, pakaian yang tebal, dan mungkin ubat nyamuk pasti akan membantu anda mencerap dengan lebih selesa. Untuk pencerapan peristiwa hujan meteor, teleskop dan binokular adalah tidak diperlukan.-ASTROMAS

Pencerapan Hujan Meteor Geminids 2006

Peristiwa hujan meteor Geminids bagi tahun ini mencapai waktu kemuncaknya pada jam 6.45 petang pada 14 Disember 2006 mengikut data yang diberikan oleh International Meteor Organization. Pasti yang akan berasa sedikit kecewa apabila mendengar pernyataan ini kerana memikirkan bahawa kita tidak akan dapat menikmati peristiwa ini di saat kemuncaknya yang berlaku di waktu petang di Malaysia. Sebenarnya anda tidak perlu bimbang kerana kemuncak kepada peristiwa Geminids dapat bertahan selama satu hari penuh jika dibandingkan dengan peristiwa hujan meteor yang lain seperti hujan meteor Quadrantids yang akan berlaku pada bulan Januari nanti. Oleh sebab ini, pasti seluruh umat dunia yang ingin mengikuti peristiwa ini akan mendapat peluang yang sama dengan penduduk dunia yang lain.

Untuk mencerap peristiwa ini waktu yang sesuai untuk pencerapan ialah pada waktu malam 14 Disember dan diteruskan hingga ke pagi 15 Disember. Namun begitu, penulis disertai dengan beberapa orang peminat astronomi yang lain telah mencerap peristiwa ini selama dua hari iaitu bermula malam 13 Disember sehinggalah ke pagi 14 Disember dan kemudian pada malam 14 Disember hingga ke pagi 15 Disember. Ternyata kedua-dua hari tersebut mendatangkan keuntungan kepada kami kerana dihiburkan oleh bebola api (fireball) yang amat terang.
Rajah 1
Tahi bintang Geminids yang berlatar-belakangkan star-trail
Kredit Imej : Rick Schmidt
Pencerapan 13/14 Disember 2006
Sebenarnya penulis tidak merancang untuk mengadakan aktiviti cerapan hari ini. Ini adalah kerana penulis dan kebanyakan penghuni rumah telah keletihan kerana mandi-manda selama beberapa jam pada malam tersebut. Bersenam la kononnya.....hehehehe. Boleh tahan penat malam tu berkejar-kejaran sesama sendiri dalam kolam. Tapi rasa berbaloi juga kerana dapat keluarkan peluh tanpa rasa panas satu badan. Tak macam joging.

Selepas pulang dari kolam mandi, niat di hati ingin terus berehat-rehat di atas katil sambil menunggu mata menutupkan kelopaknya tanda tidur. Kemudiannya tetiba aja datang satu SMS dari seorang kawan perempuan yang ingin menghulurkan bantuan derma berupa nasi goreng lebihan diorang untuk dibahagikan kepada jejaka bujang di rumah penulis. Esh....apa lagi, rezeki yang datang jangan ditolak. Ditambahkan lagi kami ini jenis yang tak berapa pandai masak dan malas nak masak sendiri kat rumah sewa ni. Bujang la katakan.

Ketibaan rakan penulis dengan rombongan orang rumah sewanya sebagai body guard, disambut oleh kami di hadapan rumah dengan muka yang tersenyum kelat tanda kelaparan nasi goreng.
Sambil berborak-borak di hadapan rumah, barulah penulis teringat bahawa malam tersebut merupakan antara waktu aktif Geminids. Mula saja penulis membuka cerita, topik perbualan waktu itu mula berubah kepada perbicangan mengenai astronomi (lebih tepat lagi berkisar kepada peristiwa Geminids). Sambil diselang-selikan soalan yang agak bernas dari rakan yang ada di situ, dapat dilihat oleh penulis akan minat rakan-rakan yang lain terhadap astronomi sebenarnya ada. Tetapi disebabkan oleh ketiadaan peluang untuk lebih mendekati bidang astronomi ini, ramai yang kemudiannya melupakan minat mereka ini.

Acara seterusnya malam tersebut yang sebenarnya tidak berada dalam jadual penulis ialah mencerap peristiwa hujan meteor Geminids ini. Awan yang banyak memonopoli kawasan langit agak mengganggu pencerapan. Namun penantian kami terhadap satu lubang yang ada di langit nyata tidak sia-sia. Tak sampai 5 minit, kami sudah mula dapat melihat meteor yang pertama malam itu. Bagi yang tak biasa dan tak pernah melihat tahi bintang seumur hidup, pasti akan menjerit seperti terkena histeria tanda gembira. Takut juga penulis jikalau tiba-tiba jiran sebelah rumah pun menjerit histeria sama kerana kami bising malam itu. hehehee
Satu demi satu tahi bintang muncul di langit malam mengujakan kami yang mendongak dari tadi. Kemunculan beberapa bebola api yang terang menambahkan lagi kekuatan sorakan kami. Akhirnya, setelah lebih kurang 10 biji tahi bintang yang berjaya kami cerap malam itu, kumpulan rakan perempuan penulis mula meminta diri untuk pulang ke rumah sewa mereka. Almaklumlah, perempuan tidak elok sangat berada di luar rumah pada waktu malam begini. Ditambah lagi dengan pencerapan yang dilakukan di hadapan rumah siswa lelaki. Nanti tidak manis dipandang orang. Kemudian mereka berlalu pergi sambil bercerita mengenai pengalaman mencerap malam itu sesama diri mereka. Seronok nampaknya mereka malam itu.

Pencerapan 14/15 Disember 2006

Pencerapan hari ini dimulakan sekitar pukul 12 tengah malam. Penulis sengaja memulakan sedikit lewat memandangkan buruj Gemini baru sahaja keluar dari ufuk sekitar jam 11 malam. Pencerapan hari ini disertai oleh kebanyakan rakan penghuni rumah penulis.
Untuk memudahkan pencerapan, kami menghampar tikar di hadapan rumah. Dengan masing-masing membawa bantal sendiri, agak selesa juga keadaan mencerap malam itu.
Langit pada malam tersebut nyata agak menyebelahi kami dengan banyak kawasan langit yang terbuka dari lindungan awan. Tak sampai 5 minit kami menunggu, kami disambut dengan satu bebola api yang terang dan agak panjang. Rakan-rakan yang lain mula teruja. Em....Satu permulaan yang baik.. kata hari penulis.

Rajah 2
Antara yang turut mencerap malam itu.
Ternyata pencerapan cara berbaring adalah paling selesa.

Malam tersebut, pencerapan kami berakhir sekitar pukul 3 pagi. Pencerapan kami berhasil untuk melihat 25 biji meteor yang diserikan oleh banyak bebola api. Rakan penulis yang turut mencerap dari balkoni apartmennya berjaya melihat hampir 10 biji meteor. Pencerapan malam tersebut terpaksa di habiskan awal kerana kebanyakan antara kami mempunyai kelas pada pagi esok.-Astromas

Isnin, 26 Jun 2006

Messier Marathon!!!

MESSIER MARATHON!!!

Objek Messier adalah satu set objek astronomi yang telah dikatalogkan oleh Charles Messier pada tahun 1771. Terdapat sebanyak 110 objek dalam katalog Messier tersebut yang merangkumi kelompokan bintang (star cluster), galaksi, nebula, dan hasil letupan supernova.

Dengan bantuan peralatan dari rakan2 astronomi yang lain, saya akan cuba untuk melengkapkan cabaran Messier Marathon dari masa ke semasa.


M1 : Nebula Ketam
M2
M3
M4
M5
M6 : Kelompokan Terbuka Rama-Rama (butterfly)
M7 : Kelompokan Terbuka Ptolemy
M8 : Nebula Lagoon
M9
M10
M11 : Kelompokan Terbuka Itik Liar (wild duck)
M12
M13 : Kelompokan Globul Hercules
M14
M15 : Kelompokan Globul Pegasus
M16 : Nebula Helang (eagle)
M17 : Nebula Omega
M18
M19
M20 : Nebula Trifid

4 April 2008
Total 15 min exposure
 Refractor Pentax SDHF 75 mm
Kamera CCD SBIG ST-7 + Colour filter

M21
M22 : Kelompokan Globul Saggitarius
M23
M24 : Awan Bintang Saggitarius (saggitarius star cloud)
M25
M26
M27 : Nebula Dumbbell
M28
M29
M30
M31 : Galaksi Andromeda
M32
M33 : Galaksi Triangulum
M34
M35
M36
M37
M38
M39
M40 : Winnecke 4
M41
M42 : Nebula Belantik (Orion)

4 April 2008
Total 15 min exposure
 Refractor Pentax SDHF 75 mm
Kamera CCD SBIG ST-7 + Colour filter

M43 : Nebula de'mairan
M44 : Kelompokan Terbuka  Beehive
M45 : Kelompokan Terbuka Pleaides
M46
M47
M48
M49
M50
M51 : Galaksi Whirpool

26 Mac 2009
Total 10 minutes exposure with single shot
Meade Refractor 127ED/APO

M52
M53
M54
M55
M56
M57 : Nebula Gelang (ring)
M58
M59
M60
M61
M62
M63 : Galaksi Bunga Matahari (sunflower)
M64 : Galaksi Mata Hitam (black eye)
M65
M66
M67
M68
M69
M70
M72
M72
M73
M74
M75
M76 : Nebula dumbbell kecil
M77
M78
M79
M80
M81 : Galaksi Bode
M82 : Galaksi Cigar
M83 : Galaksi Pinwheel Selatan
M84
M85
M86
M87
M88
M89
M90
M91
M92
M93
M94
M95
M96
M97 : Nebula Jampuk (owl)
M98
M99
M100
M101 : Galaksi Koma Pinwheel (coma pinwheel)
M102
M103
M104 : Galaksi Sombrero
M105
M106
M107
M108
M109
M110