Rabu, 28 Februari 2007

Gerhana Bulan Penuh - 4 Mac 2007



Suatu malam pada bulan Mac ini, anda keluar pada waktu malam dan menghayati keindahan bulan penuh yang menyinari bumi. Kecerahan cahayanya membolehkan anda melihat samar-samar bukit bukau atau bangunan di hadapan anda. Mmmm.... satu permandangan yang menarik dan menyamankan. Pada waktu subuh kemudiannya, anda bangun lagi dan keluar rumah untuk menghirup kesegaran pagi. Anda mendongak dan,,,,

"Eh... kenapa bulan bertukar menjadi merah???"

Ayat itu biasa diucapkan bagi yang tinggal di bandar negeri-negeri utama. Bagi yang di kelantan akan berkata : "Eh... bakpo bule tuka jadi meghoh?" dan seterusnya bagi negeri-negeri lain. Hehe.....

Baiklah, sebelum saya membuat lawak yang tidak sepatutnya dengan lebih lanjut lagi, untuk dimudahkan cerita pada malam tersebut iaitu 4 haribulan ini, anda akan berpeluang melihat gerhana bulan penuh. Pada ketika gerhana bulan penuh terjadi, anda akan dapati bahawa bulan yang kebiasaannya bersinar dengan warna putih akan bertukar menjadi lebih gelap atau seperti merah tembaga.


Rajah 1 :
Menunjukkan perubahan wajah bulan serta warnanya




Gerhana bulan penuh terjadi apabila planet Bumi menghalang cahaya dari matahari dari mengenai bulan secara penuh. Oleh itu, ini hanya akan terjadi apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sejajar pada satu garis lurus. Jika anda selalu tidak terlepas peluang memerhati gerhana bulan yang berlaku saban tahun, mungkin anda akan tersedar bahawa ada perbezaan kegelapan warna bulan ketika peristiwa itu terjadi dengan gerhana bulan yang berlaku pada tahun-tahun yang sudah. Faktor yang menyumbang kepada perbezaan warna bulan ini ketika berlaku peristiwa gerhana ialah kualiti udara pada ketika gerhana bulan tersebut terjadi. Ini adalah kerana cahaya matahari yang mengenai permukaan bulan pada saat gerhana telah melalui atmosfera bumi terlebih dahulu sebelum mengenai bulan. Oleh sebab ini, jika gerhana berlaku ketika terdapat letupan gunung berapi, maka gerhana bulan yang terhasil akan kelihatan lebih gelap.


Rajah 2 :
Kedudukan bulan ketika melalui bayang matahari menentukan
sama ada gerhana bulan tersebut adalah penuh atau hanya separa.



Pada 4 haribulan ini, bulan akan mula memasuki bayangan umbra pada pukul 5.33 pagi. Bulan akan memasuki pusat gerhana pada pukul 6.45 pagi dan akan keluar dari bayangan umbra pada pukul 9.12 pagi. Oleh itu, anda berpeluang untuk mengikuti peristiwa ini bermula pukul 5.33 pagi sehingga matahari mula timbul dari ufuk. Jika anda tidak berniat untuk menunggu sepanjang pagi hingga ke pukul 7 di luar rumah, cuba keluar dari rumah anda sekurang-kurangnya setengah jam sekali pada jangka masa gerhana untuk melihat perbezaan warna permukaan bulan yang akan berubah dengan ketara.

Gerhana bulan seterusnya akan berlaku pada 28 Ogos ini.