Panduan Memasang Teleskop

Memasang teleskop adalah sangat mudah. Artikel ini menerangkan bagaimana memasang teleskop jenis pantulan pada mount ekuitorial

Al Quran dan Teori Big Bang

Surah Al Anbiyak ayat 30 mengatakan bahawa alam terhasil dari satu titik yang padu lalu dipisahkan menjadi alam yang sedia ada sekarang ini. Kaitannya dengan teori Big Bang diulas di artikel ini.

Mengenali Planet Kerdil

Apakah itu planet kerdil? Apakah beza planet kerdil dengan planet biasa? Artikel ini mengupas isu tersebut

Kalendar Astronomi 2012

Kalendar ini memuatkan senarai fenomena astronomi yang bakal berlaku pada tahun 2012. Jangan biarkan diri anda terlepas fenomena astronomi yang menarik dan jarang berlaku

Meneroka langit menggunakan binokular

Jangan pandang rendah kepada binokular kerana peralatan ini membolehkan anda melihat bintang, planet, gugusan bintang malah galaksi!

Khamis, 26 Jun 2008

Si Pemalu Yang Amat Menonjol! - Neutrino -

Rajah 1
Letupan supernova SN 1987a yang berlaku di nebula Tarantula berada sejauh 160,000 tahun cahaya dari bumi. (1 tahun cahaya = 9.46 trilion kilometer). Walaupun terletak sangat jauh, neutrino hasil dari letupan tersebut telah dipecut sehingga tiba ke bumi!

Saya kembali lagi dengan cerita terbaru, ini merupakan entri kedua saya dalam blog ini, saya tidak pasti samada entri pertama saya mampu difahami oleh pembaca atau tidak kerana saya mempunyai kesukaran untuk menulis dan menyusun ayat ke bahasa ibunda ini kerana agak sukar mencari istilah-istilah yang bersesuaian. Jika dilihat pada entri saya kali ini pasti ramai yang tidak dapat menangkap cerita disebaliknya. Tetapi mungkin ini merupakan salah satu sebab untuk para pembaca setia membaca entri-entri terbaru dari kami.

Saya pasti ramai yang masih ingat dengan entri pertama saya mengenai neutrino. Saya ada nyatakan bahawa neutrino adalah zarah neutral yang mempunyai jisim (pada asalnya mempunyai jisim sifar tetapi Superkamiokande berjaya mengesan jisim neutrino hasil dari ayunan neutrino tersebut, walaupun ia merupakan cara yang tidak langsung untuk mengesan jisim neutrino!) Disini saya ingin mengambil peluang untuk menerangkan antara maksud sifar dan kosong
. Sifar adalah nilai sesuatu ukuran manakala kosong adalah merujuk kepada ruang, jadi jika anda mengatakan foton mempunyai jisim kosong maknanya anda sudah melakukan satu kesilapan, jisim dan ruang adalah dua kuantiti yang berbeza. Berbalik pada neutrino, ayunan neutrino ini sangat penting dalam Astrofizik dan Kosmologi.

Di sini, saya ingin terangkan hasil penyelidikan saya selama setahun mengenai ayunan neutrino dan kesan ayunan tersebut kepada neutrino. Kita mengetahui bahawa, neutrino dihasilkan secara banyak semasa letupan besar. Disebabkan neutrino mempunyai jisim maka ia akan mengayun dan seterusnya akan menyebabkan neutrino akan kehilangan tenaga semasa ayunan berlaku.
Beberapa saat selepas berlakunya letupan besar, zarah-zarah seperti lepton, quark dan juga foton terhasil. Neutrino yang merupakan ahli keluarga lepton terhasil dengan banyaknya dan apabila neutrino terselerak akibat dari pelanggaran (kenyal) dengan zarah-zarah lain, mempunyai daya lemah dan seterusnya menyebabkan ia berinteraksi dengan elektron-elektron lain melalui interaksi "charge current" dan juga "neutral current". Semasa keadaan ini, alam semesta ini tidak mengalami pengembangan yang drastik dan kadar antara neutrino-elektron dan pengembangan alam semesta adalah sama dan kesan ayunan neutrino adalah penting!

Rajah 2
Letupan Supernova SN 1987A berlaku di nebula Tarantula yang berada dalam Awan Magellanik Besar

Mengapa saya begitu tertarik dengan ayunan neutrino pada masa ini? Pada masa ini, neutrino akan mula berayun dan akan mengalami kehilangan tenaga hasil dari ayunan tersebut.Jadi, tenaga yang hilang dari neutrino ini akan dipindahkan kepada elektron dan ini akan menaikkan tenaga elektron dan seterusnya suhu elektron tersebut. Melalui keadadian tenaga, tenaga yang berlebihan dari elektron ini seterusnya akan dipindahkan kepada foton dan seterusnya akan meningkat suhu foton.
Hasil dari kiraan yang saya lakukan, "fluctuation" yang berlaku hasil dari pemindahan tenaga dari neutrino kepada foton adalah pada dalam julat yang sama dengan suhu latarbelakang tidakseragam (CMB anisotropy). Saya membuat perbandingan di antara nilai kehilangan tenaga oleh neutrino dan juga peningkatan tenaga oleh ganguan suhu latar belakang (fluctuation of CMB temperature) mendapati bahawa suhu tersebut mempunyai ralat sebanyak 10^(-5) iaitu pada julat yang sama dengan suhu "CMB anisotropy" .

Dalam bidang Kosmologi saya ada membincangkan mengenai neutrino sebagai calon yang tepat kepada penyelesaian masalah jirim hitam, tetapi untuk menyelesaikan permasalahan ini, kita perlu mengetahui mengenai jisim neutrino dengan tepat kerana jirim hitam ini mempunyai jisim! Dengan mengetahui jisim sebenar neutrino ini, membolehkan ahli-ahli kosmologi membuat kiraan mengenai jisim sebenar alam ini dan seterusnya memahami keadaan alam ini pada masa dahulu dan cuba untuk menganggar keadaan alam pada masa akan datang. Jika jirim hitam benar-benar dapat menyelesaikan masalah kehilangan jisim alam ini , sudah pasti satu hari nanti, alam ini akan berhenti mengembang dan akhirnya akan mengecut kembali. Pada masa itu alam akan mengalami "Big Crunch" di mana alam akan bertemu kembali menjadi satu titik singular sama seperti keadaan alam semasa sebelum kejadian letupan besar.


Dalam bidang astrofizik, neutrino memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan bintang, diketahui bahawa bintang-bintang di langit akan mengelami tempoh evolusi iaitu tempoh bintang dilahirkan dan seterusnya akan mati. Semasa perkembangan bintang ini, neutrino terhasil secara banyaknya melalui proses "fussion". Bintang seperti matahari menghasilkan banyak neutrino. Neutrino-neutrino ini sangat penting dalam pemindahan tenaga dari teras bintang ke persekitaran. Bagi bintang yang mempunyai jisim yang besar dari matahari, neutrino merupakan elemen penting di mana tanaga dari bintang tersebut dipindahkan secara terus oleh neutrino. Apabila bintang-bintang ini mati secara letupan supernova, neutrino akan terhasil dengan banyak nya dan ini akan membolehkan tenaga dari letupan besar itu terselerak jauh hingga mampu dikesan oleh manusia di Bumi.

Anda mesti terfikir mengapa saya mengatakan yang tenaga dipindahkan oleh neutrino akan sampai ke Bumi padahal tenaga juga boleh tersebar melalui foton. Ya, foton mampu "membawa" tenaga dari letupan itu ke destinasinya tetapi sampai pada suatu keadaan foton tersebut akan kehilangan tenaga akibat dari serapan oleh gas-gas dan juga debu-debu dari persekitaran alam ini dan menyebabkan foton-foton tersebut kehilangna tenaga dan seterusnya mengalami anjakan merah. Informasi yang terdapat pada foton-foton tersebut akan hilang! Tetapi bagi neutrino, yang sudah semestinya mempunyai keupayaan berinteraksi secara lemah dengan zarah-zarah lain mampu membawa segala informasi mengenai bintang itu secara efektif jika kesan ayunan neutrino itu boleh diabaikan. Jadi kita dapat mengesan informasi-informasi bintang2 itu. Sekarang ini, ahli-ahli saintis dari seluruh dunia mencuba sedaya upaya untuk mengesan jisim neutrino dan juga neutrino itu sendiri dengan melakukan pelbagai eksperimen termasuklah yang bakal dijalankan di Large Hidron Collider (LHC) dan juga Ice Cube di Kutub Selatan.
Walaupun neutrino ini merupakan zarah yang berintereksi secara lemah dengan zarah-zarah lain, tetapi ia mampu menjadi elemen utama yang dapat mengungkai pelbagai misteri alam ini. Si pemalu yang amat menonjol!

Artikel oleh Norsofiah Ahmad

Rabu, 25 Jun 2008

Neutrino, misteri alam.

Balaicerap Super-Kamiokande di Institut Kajian Sinar Kosmik di Jepun. Fasiliti di bawah tanah ini menjalankan eksperimen berkaitan neutrino sejak dua dekad lalu.


Apa itu neutrino? Jika ditanyakan soalan ini kepada sesiapa yang bukan dari latar belakang sains yang mempelajari ilmu Fizik secara mendalam saya pasti hanya segelintir sahaja yang mampu menjawabnya. Di sini biar saya terangkan secara ringkas apa itu neutrino. Neutrino adalah zarah kecil yang berinteraksi secara lemah dengan zarah-zarah lain. Neutrino mempunyai spin-1/2 dan mempunyai tiga perisa atau dikenali sebagai 'flavor' iaitu elektron neutrino, muon neutrino dan tau neutrino. Neutrino mula dijumpai secara teorinya oleh Pauli. Pada masa itu neutrino dianggap sebagai zarah neutral yang tidak mempunyai jisim sama seperti foton. Tetapi dengan kemajuan teknologi dan perkembangan bidang eksperimen, Super Kamiokande di Jepun telah berjaya mengesan kehadiran jisim neutrino.

Apa yang menariknya mengenai zarah kecil yang sangat lemah berinteraksi dengan zarah-zarah lain ini? Neutrino dipercayai terhasil dalam kuantiti yang banyak semasa kejadian Letupan Besar yang juga dikenali sebagai Big Bang. Umum mengetahui bahawa Gelombang Mikro Latarbelakang (CMB) yang terhasil akibat letupan besar merupakan bukti kukuh kepada letupan besar ini, tetapi hanya sebahagian kecil yang mengetahui bahawa wujudnya secara teori mengenai Neutrino Kosmik Latarbelakang (CnB). Walaupun saya mengatakan bahawa CnB wujud secara teorinya, ramai saintis dan juga kosmologis percaya CnB ini wujud dan mampu dikesan sedikit masa lagi hasil dari perkembangan bidang terknologi kita sekaran dan jika kita mampu mengesan CnB seperti mana kita mampu mengesan CMB saya percaya kita mampu membuka sedikit ruang jawapan kepada misteri alam semesta seperti mengapa hanya terdapat unsur-unsur ringan seperti H, He, dan Li sahaja yang wujud selepas berlakunya letupan besar, penyelesaian kepada kehilangan jisim alam semesta dan juga kehadiran jirim hitam.

Pengesan neutrino matahari yang pertama

Semasa saya melakukan kajian mengenai neutrino ini dan kesannya kepada pembentukan unsur-unsur ringan seperti yang nyatakan di atas, saya terbaca mengenai kewujudan jisim neutrino mampu menjelaskan mengenai misteri jirim hitam dan juga misteri kehilangan jisim alam ini. Saya akan menerangkan mengenai jirim hitam ini pada kunjungan saya yang akan datang. Sekarang saya akan cuba menerangkan secara ringkas mengenai kepentingan neutrino pada pembentukan unsur-unsur ringan.

Seperti yang saya nyatakan, neutrino mempunyai jisim, tetapi malangnya saintis masih tidak mampu mengesan jisim neutrino secara mutlak kerana kewujudan jisim neutrino ini adalah hasil gabungan dua perisa neutrino atau secara saintifik nya adalah superposisi dua keadaan eigen jisim electron neutrino dan muon neutrino. Saya tidak akan menerangkan secara terperinci mengenai ayat-ayat fizik ini kerana saya bimbang ia akan mengurangkan jumlah pembaca kepada separuh! Kehadiran jisim neutrino ini akan menyebabkan neutrino tadi berayun pada frekuansi tertentu dan ini seterusnya menebabkan berlakunya resonans dan seterusnya menyebabkan wujud tenaga tambahan dan kehilangan tenaga kepada persekitaran ( tenaga dari alam semesta selapsa bermulanya pengembangan alam sejurus letupan besar) dan juga kepada neutrino. Pertambahan tenaga oleh neutrino hasil daripada ayunan neutrino tersebut menyebabkan berlakunya penghasilan proton secara besar-besaran dan seterusnya memnyebabkan pembentukan unsur-unsur seperti H, D, He . Oleh kerana jumlah neutron yang semakin berkurangan akibat daripada pertukaran neutron kepada proton melalui proses reputan beta maka ini menyebabkan pembentukan unsur-unsur lain terhalang. Kita mengetahui bahawa, untuk membentuk unsur seperti Deuterium D, kita memerlukan neutron dan juga proton. Neutron akan bergabung dengan proton dan membentuk unsur-unsur yang lebih berat, tetapi jika jumlah neutron yang semakin berkurangan ini menyebabkan berlaku halangan pembentukan unsur-unsur lain tadi. Selain itu unsur-unsur berat yang lain tidak dapat wujud kerana berlakunya ketidakstabilan nuklear dan menyebabkan unsur-unsur berat yang terhasil hasil dari gabungan unsur-unsur ringan ini terpecah kembali kepada unsur-unsur asas seperti H dan juga He.

Jika kita mampu mengesan jisim neutrino secara mutlak saya percaya bahawa kita mampu menyelesaikan banyak lagi masalah di dalam Fizik. Saya akan cuba menerangkan dengan lebih lanjut mengenai kesan pengembangan alam semesta kepada kepada neutrino di masa akan datang. Semoga dengan kehadiran artikel ini dapat menarik minat ramai kepada Kosmologi.


Artikel Oleh Norsofiah Ahmad

Sabtu, 21 Jun 2008

Phoenix Menemui Bukti Kewujudan Air di Marikh!


Imej ini diambil oleh Surface Stereo Imager pada Mars Phoenix Lander iaitu pada hari misi ke 21 (sol 20, 15 Jun) dan hari ke 25 (sol 24, 19 Jun)

Semalam (20 Jun 2008), kumpulan misi saintifik Phoenix telah mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan secara rasminya akan penemuan ais dari air di planet Marikh. Pengumuman ini adalah berkaitan dengan penemuan lapisan putih di dalam tanah Marikh yang digali oleh Phoenix pada 13 Jun yang lalu.

“Adalah dengan bangganya kami ingin umumkan bahawa kita telah menemui bukti bahawa lapisan putih ini adalah ais seperti yang ada di bumi” kata Peter Smith. Imej menunjukkan kesan galian pada permukaan Marikh oleh alat penggali yang terdapat pada lengan robotik Phoenix. Lapisan putih tersebut didapati telah hilang setelah beberapa hari yang mencadangkan ianya telah terpeluwap disebabkan dari lokasi kering kontang di permukaan Marikh.

Namun bagaimana ahli saintis pasti bahawa ianya adalah ais yang berasal dari air dan bukannya ais karbon dioksida?

“Kami begitu pasti bahawa ini bukanlah ais kering (dari karbon dioksida). Suhu yang tinggi semasa Phoenix membuat galian di lokasi tersebut adalah boleh diibaratkan ais yang berada di bumi pada suhu 60 darjah selsius (?). Maka sudah pasti ianya tidak mampu bertahan begitu lama dan akhirnya akan hilang menjadi wap. Kami pasti ianya bukanlah garam kerana garam tidak berlakuan seperti ini. Walaupun ais kering boleh wujud di situ untuk beberapa ketika sepanjang tahun namun kami pasti bahawa ianya adalah ais dari air."

"Tugas yang perlu dilakukan kini ialah untuk mengenal pasti apakah kandungan yang ada dalam ais tersebut. Peralatan sains pada Phoenix iaitu TEGA (Thermal and Evolved Gas Analyzer) dan MECA (Microscopy, Electrochemistry and Conductivity Analyzer) akan bertanggung jawab untuk melakukan tugas tersebut.” Kata Mark Lemmon iaitu pembantu penyiasat kepada Phoenix Surface Stereo Imager.

Ahad, 8 Jun 2008

Potentially Hazardous Asteroids (PHA)

Potentially Hazardous Asteroids (PHAs) adalah batuan angkasa (asteroid) yang mempunyai saiz lebih besar dari 100 meter dan berkemungkinan merapati planet Bumi kurang dari jarak 0.05 Unit Astronomi (AU). Pencarian objek ini dari masa ke semasa adalah penting bagi membolehkan saintis memberitahu penduduk Bumi agar bersedia jika sebarang objek tersebut bakal menghentam Bumi.

Pada 8 Jun 2008, terdapat sebanyak 956 asteroid yang berkemungkinan membawa bahaya kepada Bumi.

Jun-Julai 2008

Asteroid
Tarikh(UT)
Jarak
Mag.
Saiz
2008 KO
June 1
4.4 LD
18
60 m
2008 KT
June 3
3.3 LD
20
9 m
2008 KN11
June 22
9.0 LD
18
110 m
1999 VU
June 29
65 LD
16
1.6 km
2008 BT18
July 14
5.9 LD
13
1.0 km



Nota: LD bermaksud"Lunar Distance." 1 LD = 384,401 km, iaitu jarak dari bumi ke bulan. 1 LD bersamaan 0.00256 AU. Magnitud kelihatan ialah berdasarkan kedudukan asteroid tersebut ketika berada pada jarak paling dekat dengan Bumi.

Khamis, 5 Jun 2008

Asterisme Biduk


Rajah menunjukkan asterisme Biduk (senduk besar – Big Dipper). Asterisme biduk diketahui sebagai penunjuk arah ke bintang utara iaitu bintang Polaris di buruj Ursa Minor.

Bulan ini apa kata anda luangkan sedikit masa untuk mencari asterisme ini di langit utara. Asterisma ini dapat di lihat sepanjang bulan ini. Asterisme Biduk akan dapat dilihat bermula dari awal malam sehinggalah ke pukul 1 pagi.

Gelaran buruj Biduk yang biasa digunakan adalah tidak berapa tepat memandangkan Biduk berada di dalam buruj Beruang Besar (Ursa Major). Asterisme merupakan garisan-garisan bintang yang menggambarkan bentuk tertentu yang berada dalam sesuatu buruj. Manakala buruj kediaman asterisme itu sendiri mempunyai bentuk yang tersendiri. Antara contoh ialah asterisme mata kail dalam buruj Scorpio, asterisme teko air (tea pot) berada dalam buruj Sagittarius, huruf ‘W’ di buruj Cassiopeia dan lain-lain lagi.

Juga terdapat asterisme yang melambangkan kehadiran musim. Asterisme tersebut ialah

  1. asterisme Segi Empat Besar (musim luruh) di buruj Pegasus hasil gabungan bintang alpha, beta dan gamma Pegassi dan alpha Andromedae,
  2. asterisme Segi Tiga (musim panas) hasil dari bintang Deneb, Altair dan Vega iaitu hasil gabungan buruj Cygnus, Aquilae dan Lyra,
  3. asterisme Permata Virgo (musim bunga) hasil dari bintang Arcturus, Spica, Denebola dan Car Caroli (gabungan buruj Bootes, Spica, Leo dan Canes Venatici),
  4. asterisme Bulatan (musim sejuk) iaitu terbentuk dari bintang Sirius, Rigel, Aldebaran, Capella, Pollux dan Procyon dengan buruj Betelgeuse berada di tengah-tengah. Bintang-bintang ini adalah dari buruj Canes Major, Orion, Taurus, Auriga, Gemini dan Canis Minor.

Jika ada masa dan permintaan, saya akan terbitkan artikel lebih mendalam mengenai asterisme. Selamat mencerap ;)

Astronomy Public Lecture in University Technology Mara on " SETI"

Public talk

“SETI: Search for Extra-Terrestrial Intelligence”

by Prof. Jayant Murthy
Indian Institute of Astrophysics

Date:
10th June 2008

Venue:
Dewan Seminar HEA
Menara SAAS
Universiti Teknologi MARA
Shah Alam

Click here for more information

Astronomy Public Talk in University Malaya

Public Talk
"The Universe is Hot Stuff"
by
Prof Albert Peter Willmore
10.00am - 12 June 2008
Dewan Kuliah Teratai, Kompleks Dewan Kuliah, Faculty of Science,
University Malaya

Isnin, 26 Mei 2008

Universiti Sains Angkasa Lepas bakal dibina di Johor

JOHOR BAHRU 27 April – Sebuah syarikat tempatan bersama rakan kongsi luar negara bercadang menubuhkan sebuah universiti bernilai RM6.1 bilion yang mengkhusus pengajian sains angkasa lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Next Systems Sdn. Bhd., Noor Faizal Abdul Samad berkata, cadangan penubuhan universiti itu, yang masih di peringkat perbincangan dengan rakan kongsi luar negara, akan dikemukakan kepada kerajaan setelah segala perancangan selesai.

Katanya, sebuah kawasan seluas 1,000 hektar di Kota Tinggi telah dikenal pasti untuk pembinaan universiti yang akan dikenali sebagai Universiti Sains Angkasa Lepas Malaysia (UniSam).

“Jika cadangan terhadap penubuhan UniSam itu diterima, Malaysia akan muncul sebagai negara ketiga di dunia yang mempunyai universiti sains angkasa lepas selepas Embry Riddle Aeronautical University di Florida dan International Space University, Strasbourg, Perancis,” katanya kepada Bernama dalam satu temuramah eksklusif di sini, baru-baru ini.

Noor Faizal berkata, penubuhan universiti bertujuan mengembalikan era kegemilangan Islam di dalam bidang sains angkasa lepas seperti astronomi dan lain-lain.

Sains angkasa lepas, katanya, tidak hanya berkait dengan perkara-perkara di angkasa lepas tetapi turut merangkumi pelbagai perkara serta teknologi yang kini digunakan dengan meluas oleh manusia di bumi.

Beliau memberikan contoh mudah iaitu bateri “Lithium” yang menurutnya adalah satu teknologi yang tercipta hasil kajian pihak berkuasa angkasa lepas Amerika Syarikat, NASA, ketika di angkasa lepas.

“Teknologi sains angkasa lepas itu amat penting kerana ia telah berkembang kepada teknologi-teknologi lain yang memberikan faedah kepada manusia. UniSam yang akan berteraskan kepada kajian akan membantu kita meneroka teknologi-teknologi ini,” katanya.

Noor Faizal berkata, UniSam akan mempunyai lapan fakulti meliputi bidang-bidang kritikal di dalam kajian sains angkasa lepas seperti Kejuruteraan Angkasa Lepas dan Aeronautik, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Biologi, Bio Molekular dan Perubatan.

Bidang-bidang lain termasuklah Kejuruteraan Kimia dan Bio Kimia, Kejuruteraan Komputer, Robotik dan Perisian, Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik, Kejuruteraan Geologi, Atmosferik dan Planetari dan Kejuruteraan Matematik, Fizik dan Astronomi.

Beliau berkata, pihaknya bercadang menarik saintis-saintis sains angkasa lepas Islam yang terkenal di dunia seperti Prof. Ahmed Zemail, Prof. Ibrahim Semiz dan beberapa saintis terkenal untuk berkhidmat di UniSam.

Fakulti-fakulti terbabit, katanya, akan mempunyai 29 buah makmal yang dilengkapi dengan peralatan paling moden di Malaysia dan rantau bagi membolehkan projek-projek penyelidikan penuntutnya.

Di antara peralatan-peralatan yang dicadangkan untuk dibina di UniSam merupakan teknologi-teknologi ulung seperti Fusion Reactor atau Thermonuclear Reactor, Linear Collider, Large Binocular Telescope-Neural Network Telescope, High Performance Computing (HPC), Supersonic Wind Tunnel dan makmal simulasi 3D.

Nor Faizal berkata, pembinaan makmal dan peralatan berteknologi canggih di UniSam serta kehadiran saintis sains angkasa lepas terkemuka antarabangsa akan menjadikan universiti berkenaan sebagai pusat rujukan kepada saintis dalam dan luar negara.

“Ini akan menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan kepada kajian sains angkasa lepas,” katanya, sambil menambah kata bahawa, sebuah kolej universiti juga dicadang dibina untuk pelajar-pelajar peringkat menengah rendah, bertujuan mempersiapkan mereka sebelum memasuki UniSam.

Sumber: Bernama

Phoenix Mars Lander Selamat Mendarat di Marikh!

Gambaran artis ketika Phoenix Mars Lander sedang melakuan pendaratan

Hari ini, kapal angkasa Phoenix (Phoenix Mars Lander) telah berjaya mendarat di permukaan planet Marikh. Pendaratan yang sangat berjaya itu berlaku di kutub utara Marikh dimana ianya telah menyentuh permukaan dengan begitu baik sekali, iaitu hanya condong sesuku darjah pada kedudukannya. Menurut Pengarah Program Eksplorasi Marikh NASA, Doug McQuistion berkata, “Semuanya berjalan dengan begitu lancar sekali, malahan signal dari Phoenix terus menerus dapat diperolehi walaupun ketika Phoenix sedang mengalami kepanasan memuncak semasa sedang memasuki atmosfera Marikh. Kapal angkasa ini menunjukkan prestasi yang hebat sekali sejak hari perlancarannya lagi.”

Kemasukkan Phoenix ke atmosfera Marikh adalah pada kelajuan 21,000 km/jam dan menjadi perlahan kepada 5 mph menggunakan aerobraking, payung terjun dan pancaran roket dari bawah yang telah membolehkan Phoenix menyentuh permukaan Marikh dengan perlahan dan lembut.

Imej pertama yang dihantar oleh Phoenix sejurus pendaratan berjaya

Setelah pendaratan dan pembukaan segala peralatan pada Phoenix telah berjaya, Phoenix terus menghantar imej pertama ke bumi yang menandakan kesemua peralatan padanya beroperasi dengan baik. Misi utama Phoenix Mars Lander ialah untuk mengkaji kehadiran air dan sejarah iklim planet Marikh dengan mengkaji tanah planet tersebut.

Peter Smith dari Program Eksplorasi Marikah berkata, “Kami akan melakukan operasi di permukaan Marikh dengan serta merta”, katanya. “Kami telah dapat gambar pertama dari Phoenix untuk melihat gambaran keadaan peralatan padanya. Berkemungkinan misi ini akan diteruskan melebihi masa misi sebenar iaitu 90 hari. Ini adalah misi dunia. Kami melakukan ini untuk semua orang.” Kata beliau.



Jumaat, 9 Mei 2008

Pertandingan Astrofotografi Sempena Konvensyen Falak Negeri Sembilan


Jabatan Mufti Negeri Sembilan akan menganjurkan satu pertandingn astrofografi terbuka kepada semua astrofotografer amatur dan professional. Perincian seperti yang berikut.

Anjuran : Jabatan Mufti Negeri Sembilan
dengan kerjasama Falak-Online
Lokasi : Masjid Sikamat, Seremban
Tarikh : 16/17 Mei 2008
Penyertaan : Terbuka kepada warga Malaysia
Hadiah : Pertama RM1000
Kedua RM700
Ketiga RM500
Tempat ke 4 ~ 8 akan turut menerima hadiah berupa wang tunai
Borang Penyertaan : Klik di sini

Hari Falak/Astronomi Negeri Melaka 2008


Kerajaan Negeri Melaka akan menganjurkan Hari Falak / Astronomi di Kompleks Falak Al-Khawarizmi pada 10 dan 11 Mei 2008.

Beberapa acara menarik bakal dijalankan di sana. Menurut maklumat yang saya terima, pensyarah terkenal Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail, dari Jabatan Matematik, UPM akan mengadakan ceramah utama pada pagi Sabtu. Pengalaman saya mengikuti syarahan beliau, memang cukup mengkagumkan dari segi pengisian, penyelidikan dan penjelasan.

Jangan lepaskan peluang ini.

Selain dari itu, Mejar Dr. Faiz Khaleed, turut menyampaikan ceramah pada hari yang sama.

Maklumat lanjut, sila ke laman web Kompleks Falak Al-Khawarizmi

Jom ke sana!

(dipetik dari www.falak-online.net)

Sabtu, 26 April 2008

Sokong batal misi angkasawan kedua (terbitan akhbar Kosmo!)

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.abdulmajid@kosmo.com.my
PROTOTAIP pesawat angkasa suborbital yang dicadangkan untuk
kegunaan misi angkasawan kedua negara.

KUALA LUMPUR - Persatuan Pelancong Angkasa Malaysia (STSMC) bersetuju cadangan supaya misi angkasawan kedua yang bakal diketuai oleh Mejar Dr. Faiz Khaleed (gambar) tidak diteruskan.

Presidennya, Norul Ridzuan Zakaria yang menghubungi Kosmo! berkata, adalah lebih baik kerajaan mengambil pendekatan dengan membangunkan sebuah prototaip pesawat angkasa suborbital daripada meneruskan misi tersebut.

"Berdasarkan fakta yang dipersetujui oleh badan-badan dunia, kos bagi membangunkan sebuah prototaip pesawat angkasa adalah lebih rendah daripada kos menghantar angkasawan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS)," ujar Norul Ridzuan.

Cadangan itu dibangkitkan pada simposium ke-12 Internationall Space University di Strasbourg, Perancis pada 20 Februari lalu yang turut disertai oleh STSMC.

Ujar Norul Ridzuan, sekiranya program menghantar angkasawan ke ISS menelan belanja kira-kira RM100 juta, pembinaan sistem pengangkutan itu hanya memerlukan perbelanjaan sekitar RM80 juta dan ia sedikit menjimatkan.

Menerangkan secara terperinci tentang pesawat angkasa itu, jelas beliau, prototaip pesawat berkenaan yang boleh membuat berkali-kali penerbangan ke paras 100 kilometer (km) dari aras laut akan melayakkan juruterbangnya digelar angkasawan.

Menurut Norul Ridzuan, Federal Aviation Administration (FAA) secara prinsipnya akan menganugerahkan sayap angkasawan kepada juruterbang dan penumpang pesawat yang terbang melebihi 80 km dari aras laut.

Tambahnya, prototaip pesawat angkasa suborbital juga boleh digunakan sebagai pelantar penyelidikan saintifik terutamanya penyelidikan graviti sifar dan mikro serta kajian tentang atmosfera.

"Penyelidikan sistem pengangkutan itu telah dibuat sejak 10 tahun lalu dan ia telah pun diuji keupayaan. Jika kerajaan melaksanakan cadangan ini, pelaksanaannya memakan masa sekitar dua tahun tapi dapat digunakan dalam jangka masa panjang," katanya.

Untuk itu, katanya, beliau telah menghantar cadangan STSMC itu bagi rujukan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk pertimbangan lanjut.

STSMC sebuah badan yang beribu pejabat di Los Angeles dan mempunyai sembilan cawangan di dunia termasuk Jepun dan Singapura.

Pada masa yang sama, STSMC juga beranggapan kenyataan angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang menyarankan agar program angkasawan kedua dihentikan dianggap satu kenyataan yang bertanggungjawab.

"Tindakan beliau betul... dia punya pengalaman dan punya kesedaran terutama beban yang kerajaan tanggung semasa dia ke sana," jelas beliau.

Faiz pula kata Norul Ridzuan, perlu bersikap terbuka kerana jika kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan misi itu, ia tidak bermakna peluang menjadi angkasawan tertutup.

"Sudah pasti kerajaan mempunyai kecenderungan untuk meneruskan kesinambungan memajukan industri angkasa lepas tapi melalui pendekatan yang berbeza," tambahnya.

Sabtu, 12 April 2008

ASTRO ALERT! Letupan Nova di Buruj Cygnus

Foto ini diambil oleh Ernesto Guido menggunakan teleskop jenis pembalikan berdiameter 10 inci (0.25 m) f/3.4 di New Mexico. Kemudiannya Giovanni Sostero dari Itali telah juga mengambil gambar yang sama yang mengesahkan penemuan tersebut.

Pada 10 April yang lepas, seorang pencerap dari Fujio Kabashima, Jepun iaitu Koichi Nishiyama telah menemui kehadiran ‘bintang’ baru di buruj Cygnus. Bintang baru tersebut yang dipercayai letupan nova terletak 1/3 dari jarak antara bintang Albireo (β Cygni) ke bintang Sadr (γ Cygni). Berdasarkan maklumat, nova ini masih lagi menjadi semakin terang yang menjadikannya objek yang menarik untuk dicerap!

Penemuan ini telah diumumkan hari ini pada IAU Circular 8934 yang dikeluarkan oleh Central Bureau for Astronomical Telegrams bertempat di Smithsonian Astrophysical Observatory in Cambridge, Massachusetts. Koordinat nova tersebut dilaporkan ialah right ascension 19h 43.0m, declination +32° 19' (equinox 2000.0).


Bagi mereka yang mempunyai teleskop, apa lagi, jom mencerap! Jika sesiapa berjaya merakamkan objek ini atau ada catatan pencerapan yang ingin dikongsikan, sila emailkan kepada saya di ibnu_ali_87@yahoo.com. InsyaAllah saya akan siarkan di laman astromas.


Selamat mencerap!

Sabtu, 5 April 2008

Astrofotografi bersama Dr Rowi


Balai cerap Dr Rowi dilengkapi teleskop Takahashi Mewlon 10 inci sebagai teleskop utama dan teleskop William Optic 80 mm dan teleskop Pentax 75 mm sebagai teleskop sampingan. Kamera yang digunakan ialah dua kamera CCD dan DSLR EOS20Da

Pertemuan di Jabatan Anestetik dan Unit Rawatan Rapi, HUSM.

Dr. Mahamarowi merupakan seorang tokoh astronomi di negeri Kelantan. Beliau merupakan seorang pakar Anestetik dan bertugas sebagai ketua Jabatan Anastetik dan ICU di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. Sebelum ini saya ada mendengar akan penglibatan beliau dalam melakukan aktiviti astronomi di Kelantan namun saya sendiri tidak berkesempatan untuk bertemu dan melakukan aktiviti secara serius dengan beliau. Seingat saya, kali pertama dan terakhir saya berjumpa dan mendengar ceramah yang disampaikan oleh beliau adalah ketika saya di tingkatan empat (2003) ketika bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Panji, Kota Bharu.

Sempena cuti semester yang lepas, saya telah mengambil kesempatan untuk mengunjungi beliau di Jabatan Anastetik HUSM. Saya sendiri amat teruja untuk bertemu beliau memandangkan terdapat beberapa perkara berkaitan astronomi ingin dibincangkan. Antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai rancangan untuk melakukan aktiviti astronomi di Kelantan dan juga penglibatan dalam persatuan astronomi Malaysia yang sedang dalam perancangan untuk ditubuhkan.

Sesi Cerapan dan Astrofotografi, 4 April 2008


Bahagian loteng rumah Dr Rowi diubah suai menjadi balai cerap.
Memang sesuai untuk melakukan pencerapan ketika lapang.

Setelah perancangan diatur, pada 4 haribulan April yg lepas, saya telah berpeluang untuk melakukan satu sesi pencerapan dan astrofotografi bersama Dr Rowi. Pencerapan tersebut diadakan di rumah beliau sendiri di mana beliau membina balai cerap di atas loteng rumahnya. Saya tiba di rumah beliau sekitar jam 9 malam. Tidak disangka bahawa rumah beliau rupa-rupanya terletak tidak berapa jauh dari rumah lama saya di Jalan Guchil-Bayam di Kota Bharu. Sampai sahaja saya di rumah beliau, kami terus menuju ke loteng di mana balai cerap tersebut berada.

Balai cerap beliau dilengkapi oleh teleskop utama jenis pembalikan berjenama Takahashi berdiameter 10 inci dengan dua teleskop sokongan, satu buatan Pentax dan satu dari William Optic USA. Inilah kali pertama saya melihat teleskop Takahashi sebesar ini! Motor yang menggerakkan teleskop tersebut juga berjenama Takahashi yang sememangnya disegani dalam dunia astrofotografi. Fuh.....hebat-hebat

Bahagian bumbung balai cerap yang boleh digelongsorkan untuk
membuka-tutup


Aktiviti cerapan kami mulai dengan aktiviti melakukan aligment. Meng aligment-kan teleskop adalah sangat penting untk memastikan teleskop berada pada kedudukan dan posisi yang tepat agar apabila sesuatu objek di pilih, teleskop akan berjaya menjejakinya dengan tepat. Kebiasaanya aligment dilakukan dengan menggunakan bintang utara (Polaris). Namun ini tidak boleh dilakukan oleh kerana terdapat lindungan pokok di ufuk utara. Maka, proses alignmentasi terpaksa dilakukan dengan memilih dua bintang yang berbeza yang mana teleskop diberitahu apakah bintang tersebut. Dengan ini, perisian yang dibekalkan bersama teleskop akan mengira perbezan jarak dan kedudukan dua bintang tersebut dan seterusnya mengetahui teleskop sedang diarahkan ke arah mana.

Setelah selesai proses aligment, teleskop perlu pula dilakukan proses kalibrasi (calibration). Proses kalibrasi bertujuan untuk memastikan motor yang menggerakkan teleskop bergerak dengan kuasa yang sepatutnya pada paksi ke atas, ke bawah, ke kiri dan ke kanan ketika sedang mengikuti pergerakan sesebuah objek cakerawala. Sebagai contohnya, jika sesuatu objek cerapan itu berada agak rendah di ufuk, maka sudah tentunya badan teleskop cenderung untuk turun ke bawah disebabkan oleh daya tarikan graviti. Oleh itu, mengkalibrasikan teleskop akan memastikan objek tersebut sentiasa berjaya dijejaki oleh teleskop dengan mudah.

Proses kalibrasi dilakukan dengan cara memilih satu bintang dan membiarkan teleskop menjejakinya buat seketika. Kemudian, hasil penjejakan teleskop akan dipamerkan pada graf yang membolehkan penilaian terhadap penentuan kuasa untuk teleskop bergerak di setiap paksi dilakukan. Ketika proses ini dilakukan, imej yang terhasil di CCD SBIG ST-237A yang bertindak sebagai guider dan disambungkan ke teleskop Takahashi Mewlon 10 inci dibandingkan dengan imej yang diperolehi dari kamera CCD SBIG ST-7 yang bertindak sebagai imager yang disambungkan pada teleskop Pentax 75mm. Kedua-dua imej bintang yang dipaparkan seharusnya berada di tengah skrin sepanjang proses kalibrasi dilakukan. Dua buah komputer digunakan iaitu sebuah laptop untuk kemudahan ketika pencerapan di luar balai cerap dan sebuah desktop yang kekal di dalam balai cerap.

Setelah graf kalibrasi menunjukkan hasil yang diinginkan, maka telah tiba saat-saat yang ditunggu-tunggu, iaitu proses mengambil gambar objek cakerawala. Masa yang mengujakan. Hehe.. Disebabkan buruk Belantik (Orion) sedang berada di atas kepala ketika itu, maka nebula Orion dipilih untuk diambil gambarnya.

Say cheese!

Teleskop diarahkan untuk mencari nebula Orion dengan menggunakan sebuah perisian seakan skymap yang amat mudah untuk dikendalikan. Perisian untuk pemprosesan imej pula dikendallikan oleh CCDOPS yang boleh dimuat turun dari laman http://www.sbig.com/sbwhtmls/ccdopsv5.html atau boleh terus klik di ftp://ftp.sbig.com/pub/instops.exe untuk muat turun secara terus.

Proses mengambil gambar kali ini agak berbeza dengan proses yang pernah saya ikuti sebelum ini dengan CK Lim ketika melakukan aktiviti astrofotografi di Balik Pulau, Pulau Pinang. Kali ini, bagi setiap imej, frame merah, biru, dan hijau diambil secara berasingan dengan setiap frame diberi dedahan selama 5 atau 10 minit mengikut kesuaian dan jika cuaca amat baik, maka dedahan lebih lama boleh digunakan. Kemudian, ketiga-tiga frame tersebut digabungkan menjadi satu imej yang lengkap. Maka, setiap imej yang dihasilkan boleh dikatakan didedahkan selama 15 minit dedahan (jika setiap frame adalah 5 minit). Proses yang sama dilakukan terhadap imej nebula Orion yang kami ambil. Namun malangnya pada frame terakhir iaitu frame hijau, awan telah meliputi nebula tersebut yang menyebabkan hasil akhir imej menjadi kelabu. Tetapi masalah ini dapat diatasi menggunakan perisian Adobe Photoshop. Nasib baik! Hehe

Imej nebula Orion, M42 sebelum dan selepas proses


Awan oh Awan....

Awan kelihatan terus menyelubungi langit di Kota Bharu. ‘Adui....mungkin rezeki saya hanya sampai di sini sahaja’ gerutu hati saya. Oleh kerana hujan rintik mula turun, maka balai cerap terpaksa diturunkan dengan menggelongsorkan atap untuk menutupi bahagian dalam balai cerap. Sambil-sambil menunggu langit kembali baik (harap-harapnya...), saya mengambil peluang untuk mengedit imej-imej yang diambil oleh Dr Rowi sebelum ini. Agak lama juga untuk masa dihabiskan dengan kerja memproses imej sementara menanti cuaca mengizinkan pencerapan dilakukan kembali. Sempat juga saya mempelajari teknik-teknik baru cara memprosesan imej dari tutorial yang disediakan dari Jerry Lordriguss, yang merupakan astrofotografer yang terkenal. Laman web beliau boleh anda layari di http://www.astropix.com/. Banyak imej-imej hasil kerja beliau yang menarik dan sentiasa mengkagumkan saya.

Sekitar jam 5 pagi, barulah keadaan langit menjadi baik semula malah lebih klear dari awal malam tadi! Bak kata orang putih crystal clear. Hehe... Saya terus mengejutkan Dr Rowi yang telah terlena di tepi saya dan beliau terus bingkas bangun. Wah, keadaan langit betul mengujakan kami!

Pada ketika ini, buruj Saggitarius sedang berada di ketinggian 45 darjah di langit timur. Sebagaimana yang kita tahu bahawa buruj Saggitarius terletak di pusat jaluran galaksi Bima Sakti. Namun cahaya dari bandar Kota Bharu telah menenggelamkan jaluran tersebut dari kelihatan dengan mata kasar. Kami membuat keputusan untuk merakamkan imej nebula Trifid. Dedahan selama 10 minit digunakan bagi setiap frame dan alhamdulillah keadaan langit sentiasa mengizinkan proses merakam imej tersebut yang berjalan dengan lancar. Berikut adalah imej yang dirakamkan secara serentak menggunakan kamera digital SLR EOS20Da yang dipasang pada kamera William Optic 80 mm. Emmm..Saya lupa dimana saya letakkan gambar nebula Trifid dari kamera CCD. Harap anda berpuas hati dengan imej dari kamera DSLR ini. Sebelum malam beransur siang, kami sempat mengambil satu lagi imej iaitu kelompokan globular Omega Centauri.

---------------------------------------

Peralatan

1) Mount Takahashi NJP
2) Telescope Mewlon 10 inch (Takahashi)
3) Telescope Refractor Pentax SDHF 75 mm
4) Telescope William Optic 80 mm
5) Kamera CCD SBIG ST-7 + Colour filter
6) Kamera CCD SBIG ST-237A (as Guider)
7) Camera Digital SLR Canon Eos 20Da

Pembelajaran

1) Alignment telescope
2) Calibration
3) Long Exposure dgn mggunakan telescope Mewlon dan ST-237a sbg auto guider
4) Long exposure diambil melalui teleskop Pentax dgn menggunakan ST-7 sbg imager
5) Long exposure diambil dgn menggunakan digital kamera Canon melalui teleskop William Optic



Imej yg di ambil malam itu;

Omega Centauri Globular Cluster

* 5 minutes exposure for each filter (R 5 minit, G 5 minit, B 5 minit)


Orion Nebula

* dedahan 5 minit setiap filter R5, G5, B5. Namun disebabkan objek dilindungi awan ketika filter blue sedang dalam proses pengimejan, imej akhir kelihatan kabur. Namun disebabkan oleh kecanggihan perisian Adobe Photoshop, imej tersebut berjaya dibaik pulih.


Nebula Trifid

*Klik untuk imej lebih besar


Imej Yang Diambil Sebelum Ini Oleh Dr Rowi

Lagoon Nebula



Eagle Nebula



Orion Nebula



Kumpulan Galaksi



Omega Centauri