Bulan ini, planet Marikh masih lagi menjadi planet tumpuan pencerapan dengan kehadirannya yang tinggi di langit pada awal malam. Marikh akan mengalami transit iaitu kedudukan di atas kepala pada pukul 9.15 malam dan akan berada di buruj Taurus si Lembu sepanjang bulan ini dan seterusnya beranjak ke buruj Gemini pada bulan hadapan. Bagi yang mempunyai teleskop, penggunaan kuasa pembesaran yang sesuai akan membolehkan para pencerap untuk melihat permukaan Marikh yang berkepelbagaian dengan kawasan lembah, gunung berapi dan kutub berais berwarna keputihan. Struktur permukaanya akan menjadi lebih jelas jika keadaan di Marikh pada ketika itu adalah bebas dari ribut pasir.
Mengikuti planet Marikh ialah planet Zuhal yang berada sedikit terkebelakang iaitu kedudukannya di buruj Leo sang singa. Planet ini akan mencapai kedudukan tegak di atas kepala sekitar pukul 2.10 pagi sepanjang bulan ini. Planet ini akan bersinar dengar kecerahan pada magnitud sekitar 0.26 iaitu lebih malap berbanding Marikh yang bersinar terang pada pandangan mata kasar pada magnitud -0.2. Walaupun Zuhal merupakan planet gas yang kedua terbesar dalam sistem suria iaitu jauh lebih besar dari planet Marikh, namun disebabkan oleh kedudukan Zuhal yang lebih jauh dari matahari telah menyebabkan kecerahanannya lebih kelam dari Marikh. Namun begitu ia masih lagi tetap boleh dilihat dengan mata kasar seakan-akan satu bintang yang berwarna jingga. Gelangnya yang lebih cantik berbanding gelang yang dimiliki oleh planet lain telah menjadikan Zuhal sebagai planet paling digemari untuk dilihat melalui teleskop. Namun setiap 15 tahun sekali gelang ini akan kelihatan hilang dari pandangan dari bumi apabila satah gelangnya adalah sama dengan satah bumi. Permukaan planet Zuhal tidak mempunyai variasi warna awan yang pelbagai seperti Musytari walaupun Zuhal juga merupakan planet gas seperti Musytari iaitu terkomposisi dari gas hidrogen dan helium terutamanya.
Bulan ini terdapat dua buah planet akan menghiasi permandangan waktu pagi. Dimulai oleh planet Musytari yang akan mula keluar dari ufuk timur sekitar jam 4.34 pagi dan diikuti oleh planet Zuhrah pada 5.32 pagi. Pada awal bulan ini, menarik untuk diikuti peristiwa kedua planet ini berada sangat dekat antara satu sama lain sehinggakan kelihatan sebagai dua titik bintang yang hampir bercantum. Kecerahan yang hebat dimiliki oleh planet Zuhrah atau juga dikenali sebagai bintang kejora apabila digabungkan dengan kehadiran planet Musytari yang memang dikenali sebagai planet yang amat cerah untuk dilihat dengan mata kasar pasti menjanjikan permandangan yang menarik. Fenomena ini boleh diikuti dengan cara mamandang ke arah langit timur (arah matahari naik) sekitar pukul 6.30 pagi pada 1, 2, 3, dan 4 haribulan ini. Pada hari-hari seterusnya kedua planet ini masih lagi kelihatan berada agak dekat antara satu sama lain iaitu masih berada di buruj saggitarius. Jika anda berpeluang untuk mengikuti peristiwa ini, apa kata anda cuba mengenal pasti akan buruj Scorpio si kala jengking yang berada di atas buruj Saggitarius. Buruj Scorpio adalah antara buruj yang paling senang untuk dikenal pasti dan dicerap menggunakan mata kasar.