Panduan Memasang Teleskop

Memasang teleskop adalah sangat mudah. Artikel ini menerangkan bagaimana memasang teleskop jenis pantulan pada mount ekuitorial

Al Quran dan Teori Big Bang

Surah Al Anbiyak ayat 30 mengatakan bahawa alam terhasil dari satu titik yang padu lalu dipisahkan menjadi alam yang sedia ada sekarang ini. Kaitannya dengan teori Big Bang diulas di artikel ini.

Mengenali Planet Kerdil

Apakah itu planet kerdil? Apakah beza planet kerdil dengan planet biasa? Artikel ini mengupas isu tersebut

Kalendar Astronomi 2012

Kalendar ini memuatkan senarai fenomena astronomi yang bakal berlaku pada tahun 2012. Jangan biarkan diri anda terlepas fenomena astronomi yang menarik dan jarang berlaku

Meneroka langit menggunakan binokular

Jangan pandang rendah kepada binokular kerana peralatan ini membolehkan anda melihat bintang, planet, gugusan bintang malah galaksi!

Khamis, 2 Februari 2012

Meneroka langit menggunakan binokular!


Assalamualaikum dan hai..

Binokular merupakan salah satu peralatan astronomi yang utama selain teleskop. Binokular juga biasa disebut sebagai ‘teropong’ digunakan dengan cara memegang menggunakan kedua tangan secara bebas dan digunakan kedua belah mata untuk melihat menerusinya. Terdapat pelbagai jenis binokular di pasaran. Biasanya binokular dinilaikan berdasarkan kuasa pembesaran dan diameter bukaan kanta objektif. 

Dalam bidang astronomi, kebiasaanya binokular yang berkuasa 7x50mm dan 10x50 mm digunakan dengan nombor dihadapan merujuk kepada kuasa pembesaran dan nombor seterusnya adalah bukaan kanta objektif. Binokular 7x50mm memberi luas medan pandangan (Field of View, FOV) seluas 7 darjah dan binokular 10x50mm memberi FOV 5 darjah. Semakin kecil FOV, maka semakin kecil kawasan yang dilihat melalui binokular tersebut yang juga bermaksud lebih besar sesuatu objek astronomi itu untuk dilihat. 

Binokular berkuasa 7x50mm berjenama Fujinon. Apabila membeli binokular, pastikan kejelasan objek yang dilihat adalah lebih jelas dari pandangan mata kasar dan tiada sebarang warna sampingan hadir pada pandangan.

Namun begitu, saya ingin mencadangkan jika anda ingin membeli sebuah binokular, jangan membeli binokular yang memberi pandangan yang lebih kecil dari 5 darjah kerana ianya amat sukar untuk mengawal dan mencari objek-objek astronomi menggunakan binokular sebegini. Ianya akan menjadi sangat berat untuk dipegang dengan tangan dan mungkin akan memeningkan anda kerana terlebih gegaran terhasil. Bagi yang baru ingin berjinak-jinak dengan astronomi, binokular 7x50mm atau 10x50mm adalah lebih baik dari membeli teleskop secara terburu-buru.

Melihat langit menggunakan binokular merupakan sesuatu yang amat menarik jika anda mengetahui apa yang boleh dilihat dan dicari menggunakan binokular. Binokular membantu kita untuk melihat objek astronomi sehingga ke magnitud 9 berbanding mata kasar yang hanya boleh melihat objek sehingga ke magnitud 6 sahaja. Terdapat banyak objek menarik yang termasuk dalam lingkungan magnitud ini. Medan penglihatan yang luas membolehkan binokular digunakan secara meluas dalam pencerapan komet, mencari letupan nova dan supernova serta untuk pencerapan secara umum. Selain itu, bulan-bulan planet Musytari (bulan Galilean), asteroid Ceres dan Pallas, planet Neptun dan Titan yang tidak kelihatan pada pandangan mata kasar boleh dilihat dengan mudah dengan binokular.

Rajah 1
Garisan merah menunjukkan medan penglihatan yang dilihat menggunakan binokular 7x50mm dan 10x50mm terhadap galaksi Andromeda.

Namun ingin diberitahu di sini bahawa objek yang akan anda lihat melalui binokular dan teleskop tidaklah mempunyai warna yang pelbagai seperti yang dilihat pada foto-foto astronomi. Foto-foto astronomi kelihatan berwarna disebabkan penggunaan mod dedahan panjang oleh kamera yang mana mata kasar kita tidak mampu melakukannya walaupun dengan penggunaan binokular mahupun teleskop. Objek yang dilihat menggunakan alatan ini akan kelihatan seperti gumpalan awan gas yang keputihan yang dikelilingi oleh kumpulan bintang-bintang. 

Namun anda jangan risau kerana anda masih boleh melihat struktur objek-objek ini termasuklah galaksi Andromeda yang kelihatan bujur, kelompokan bintang terbuka yang kelihatan sebagai bebola bintang yang besar dan lain-lain lagi.

Mencerap menggunakan binokular merupakan satu langkah besar yang boleh diambil oleh mana-mana peminat astronomi yang ingin berjinak di dalam bidang ini. Malah ahli astronomi amatur dan profesional juga turut membawa binokular ketika sesi pencerapan. Antara kebaikan menggunakan binokular berbanding teleskop ialah;
  1. Kos untuk mendekati bidang astronomi menjadi lebih murah berbanding harga teleskop yang mencecah harga ribuan ringgit berbanding binokular yang boleh didapati pada harga sekitar RM200.
  2. Binokular lebih senang dikendalikan kerana ianya lebih ringan, lebih kecil dan senang dibawa ke mana-mana.
  3. Penggunaan binokular adalah cepat dan tidak melibatkan pemasangan yang rumit seperti teleskop.
  4. Kemahiran mencari objek astronomi menggunakan binokular adalah sangat penting sebelum penggunaan teleskop dalam mencari objek-objek astronomi.
  5. Binokular memberi medan pandangan yang lebih besar dari teleskop yang bermaksud;
    1. Masalah dalam mencari objek astronomi dapat dikurangkan berbanding menggunakan teleskop yang agak rumit.
    2. Sesetengah objek astronomi lebih baik dicerap menggunakan binokular berbanding teleskop. Objek tersebut termasuklah buruj, komet, kelompokan bintang, sesetengah nebula dan juga galaksi.
Bulan Feb kali ini menjadi bulan yang begitu baik untuk dilakukan pelbagai aktiviti astronomi seperti sesi cerapan bintang, astrofotografi dan sebagainya. Ini dibuktikan dengan kehadiran planet utama seperti Utarid yang meninggi pada lewat petang bulan ini. Zuhrah atau lebih dikenali sebagai bintang Kejora pula turut sama berdansa di langit petang dengan menjadi satu 'titik bintang' yang sangat terang. Planet Musytari pula mengikuti di belakangnya dengan kelihatan pada awal malam. Pada tengah malam pula planet Marikh mendominasi langit dan planet Zuhal yang bergelang mengekori keluar di langit pada waktu pagi.

Pusat galaksi Bima Sakti yang boleh dilihat dengan mata kasar menjanjikan banyak objek untuk dicerap dengan mata kasar, apatah lagi dengan binokular!

Kredit imej :


Sudah pastinya anda ingin melihat pusat galaksi Bima Sakti Bukan? Menariknya ialah pusat galaksi kita ini kita boleh lihat dengan mata kasar! Betul saya tak tipu.hehe. Pusat galaksi Bima Sakti yang melintang di langit dari arah tenggara ke barat laut dikatakan berpusat pada buruj Sagittarius. Buruj Sagittarius yang merupakan 'jantung' pusat galaksi Bima Sakti  sayangnya akan keluar pada waktu lewat pagi bulan ini dan semakin awal pada bulan2 seterusnya. Waktu terbaik untuk melihat dan mencerap pusat galaksi Bima Sakti ialah pada pertengahan tahun.

Pelbagai objek-objek astronomi berada di jaluran awan galaksi Bima Sakti. Kebanyakannya digelar sebagai objek Messier (klik untuk info lanjut). Diketahui bahawa galaksi Bima mempunyai empat lengan utama dan dua lengan kecil yang mengelilingi pusat galaksi. Untuk melihat ke pusat galaksi, kita akan melihat melalui salah satu lengan Bima Sakti yang dipanggil sebagai lengan Sagittarius yang ditandakan dengan buruj Sagittarius. Terdapat lebih 9 objek Messier boleh dicerap menggunakan binokular di lengan ini termasuklah nebula Lagoon, nebula Trifid, kelompokan Omega, nebula Helang dan banyak lagi. Bumi, matahari dan sistem solar pula terletak di lengan Orion yang mempunyai sekitar 26 objek Messier yang boleh dicerap menggunakan binokular. Di belakang lengan Orion pula ialah lengan Perseus yang mempunyai sekitar 6 objek Messier. Sila rujuk jadual satu.

Jadual senarai objek Messier sebagai objek cerapan melalui 
binokular berkuasa 7x35mm, 7x50mm, dan 10x50mm.



Wow! terdapat 42 objek Messier untuk anda lihat dengan binokular! Tidakkah anda terasa teruja? Apa lagi, beli satu binokular dan terus mencerap objek langit sekarang!

Jom mencerap!
Mohd Rizuan Ali
(Astromas)
0132180412
astromas @gmail.com

Rabu, 1 Februari 2012

Laut Terbelah di Korea


Assalamualaikum dan hai. 

Saya memetik artikel berikut dari Facebook Planetarium Terengganu. Terima kasih kepada penulisnya.



Salah satu fenomena yang tidak kurang menariknya adalah kejadian laut terbelah yang berlaku di Pulau Jindo, wilayah Jeollanam-do di kawasan barat daya Korea Selatan.

Pulau ini adalah yang ketiga terbesar di negara itu dan terletak berhampiran pulau Jejudo dan Geojodo.

Bayangkan dalam tempoh sejam, anda dapat menyaksikan kekuasaan Ilahi apabila lautan yang sebelum ini dipenuhi air dan secara tiba-tiba terbelah dan membentuk laluan sementara sepanjang 2.8 kilometer dan selebar 40 hingga 60 meter.

Kejadian itu pasti mengingatkan kita terhadap kisah Nabi Musa yang ‘membelah laut’ bagi membawa pengikutnya yang taat kepada Allah SWT melarikan diri daripada kekejaman Firaun.

Namun, kejadian moden belahan laut di Jindo itu lain ceritanya yang berkait rapat dengan faktor semula jadi iaitu berlakunya pertembungan arus surut secara serentak yang menyebabkan paras air surut sebanyak enam hingga tujuh meter.
Ini menghasilkan laluan bagi menghubungkan dua daratan yang sebelum ini ditenggelami air.

Ia juga lazimnya berlaku pada jam 5 atau 6 petang dan disambut menerusi pesta besar-besaran yang dikenali ‘Jindo Yeongdeung Festival’ atau Pesta Laut Terbelah Jindo.

Malah Pesta Laut Terbelah Jindo ini selalunya diadakan tiga kali setahun iaitu pada Mac atau Mei serta Julai.

Bagaimanapun, sambutan luar biasa pelancong tempatan dan asing yang mencecah 400,000 orang membanjiri pesta itu menyebabkan pihak berkuasa memutuskan untuk turut meraikan pesta berkenaan pada April.

Acara itu juga membolehkan pelancong menikmati pelbagai pengalaman di laut dan menyaksikan pemandangan unik serta budaya Jindo.

Pesta itu diserikan dengan lagu rakyat Jindo dan tarian khas Korea, Ganggangsullae, turut dipersembahkan.

Tarikan lain sepanjang pesta itu termasuk pertunjukan bunga api, pertunjukan laser, persembahan muzik tradisional serta permainan dram.

Bagi mendapatkan pemandangan paling menarik laut terbelah dan membentuk laluan, orang ramai boleh menikmatinya sama ada dengan memanjat bukit atau berjalan-jalan sendiri di laluan itu.

Malah, siapa yang mahu melepaskan peluang melihat detik-detik keajaiban dan tidak hairanlah sebaik lautan itu terbelah, orang ramai berpusu-pusu melintasi laluan itu dan meraikan rakan dari arah bertentangan berikutan penyatuan daratan kepulauan Jindo dan Modo.

Tidak kurang pula yang mengambil kesempatan mencari tiram, rumpai dan hasil lautan lain.

“Inilah keajaiban yang tidak mungkin disaksikan di tempat lain. Dalam sekelip mata, laut terbelah dan mendedahkan dasarnya.

Tiada perkataan dapat menggambarkan ketakjuban melihat hidupan laut seperti kerang, kepah dan hidupan marin yang sebelum ini hidup di dasarnya, tiba-tiba timbul,” kata pelancong tempatan, Cho Eun-Jun yang dipetik media tempatan, baru-baru ini.

Hakikatnya, tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan fenomena itu sehinggalah pada 1975, apabila seorang duta Perancis ketika itu, Pierre Randi, melawat Korea Selatan dan menulis mengenainya dalam sebuah akhbar negaranya.

Namun, seperti juga banyak kejadian aneh lain, ada kisah atau kepercayaan rakyat tempatan di sebalik fenomena itu.

Ia dikaitkan dengan sebuah kampung di Jindo yang diserang harimau yang menyebabkan penduduk berlari ke pulau Modo untuk berlindung.

Malangnya, seorang wanita tua, Pong, yang tidak berdaya tertinggal. Dalam keadaan serba tersedak dia memohon bantuan Dewa Laut, yang kemudian memisahkan laut dan membantu wanita malang itu lari daripada haiwan liar berkenaan.

Apabila laut itu terbelah, ramai penduduk yang berlari ke Modo, memainkan gong dalam usaha mereka mencari wanita berkenaan.

Dia, bagaimanapun meninggal dunia tetapi sebelum mati, wanita berkenaan sempat membisikkan: “Doaku dimakbulkan.

Laluan laut terbuka dan aku dapat melihat kamu semua. Kini, harapanku sudah terlaksana. Aku boleh meninggal dengan tenang.”

Nama asal daerah itu, Hodong, kemudian ditukar kepada Hoedong, bermakna ‘Kampung Orang yang Kembali’, bagi mengingati kisah Pong.

Selain di Korea, kejadian itu turut dipopularkan di Jepun, selepas penyanyi wanitanya, Dendo Yomishi, menghasilkan lagu fenomena Jindo itu pada 1996.

Kisah Nabi Musa belah samudera

Fenomena laut terbelah dua bukan perkara baru kerana ia pernah berlaku pada zaman Nabi Musa yang ketika membawa pengikutnya yang taat kepada Allah melarikan diri daripada kekejaman Firaun, pemerintah Mesir.

Namun begitu, besar perbezaan dengan apa yang berlaku di Korea Selatan kerana perkataan terbelah dan membelah itu sendiri membawa makna berlainan.

Kejadian laut terbelah di Korea Selatan berpunca daripada faktor saintifik sedangkan keupayaan Nabi Musa membelah Laut Merah pada tanggal 10 Muharam dengan tongkatnya adalah disebabkan mukjizat yang dikurniakan Allah kepada baginda.

Kekejaman Firaun yang mengaku dirinya Tuhan sudah sampai di kemuncak, menyebabkan Nabi Musa membawa pengikutnya lari untuk mengelak daripada diseksa.

Pelarian membawa mereka ke tepi Laut Merah. Sekali pandang, Nabi Musa dan pengikut baginda bakal menjadi habuan kebuasan Firaun kerana terperangkap – di depan laut dan di belakang pula tentera Firaun semakin mendekati.

Namun Allah SWT mempunyai perancangan tersendiri untuk menyelamatkan Rasul serta makhluk-Nya yang beriman.

Allah mengarahkan Nabi Musa mengetuk tongkat baginda, yang sebelum itu berjaya membuatkan ahli sihir Firaun ketakutan selepas menjelma menjadi ular besar menelan semua ular yang dijelmakan ahli sihir berkenaan, ke laut.

Dengan izin-Nya, Laut Merah itu terbelah dua, menyediakan laluan untuk Nabi Musa dan pengikut baginda menyeberang dengan selamat.

Firaun dan bala tenteranya yang ghairah mahu membunuh Nabi Musa dan pengikut baginda akhirnya masuk ke dalam perangkap maut apabila laut kembali bersatu sebaik mereka berada di tengah-tengah dan selepas Nabi Musa dan pengikut baginda sudah selamat tiba di tebing.

Bukti kejadian itu diungkap oleh seorang pakar arkeologi, Ron Wyatt, yang mendakwa menemui beberapa roda kenderaan perang purba di dasar Laut Merah.

Katanya, ia mungkin sebahagian sisa kenderaan perang tentera Firaun yang tenggelam ketika mengejar Nabi Musa.

Katanya, selain roda kenderaan perang berkuda, Wyatt bersama pasukannya turut menemui tulang manusia dan tulang kuda di tempat yang sama.

Penemuan itu mengukuhkan dakwaan ia adalah sisa tulang tentera Firaun apatah lagi hasil kajian yang dilakukan di Universiti Stockholm ke atas tulang berkenaan mengesahkan ia berusia sekitar 3,500 tahun, sama waktu kejadian Nabi Musa membelah Laut Merah berlaku.

Apapun, kedua-dua kejadian itu berlaku atas kehendak Allah SWT yang cuma mengarahkan laut terbelah mengikut jadual, dan itulah yang akan terjadi.

Salam dari saya,