Panduan Memasang Teleskop

Memasang teleskop adalah sangat mudah. Artikel ini menerangkan bagaimana memasang teleskop jenis pantulan pada mount ekuitorial

Al Quran dan Teori Big Bang

Surah Al Anbiyak ayat 30 mengatakan bahawa alam terhasil dari satu titik yang padu lalu dipisahkan menjadi alam yang sedia ada sekarang ini. Kaitannya dengan teori Big Bang diulas di artikel ini.

Mengenali Planet Kerdil

Apakah itu planet kerdil? Apakah beza planet kerdil dengan planet biasa? Artikel ini mengupas isu tersebut

Kalendar Astronomi 2012

Kalendar ini memuatkan senarai fenomena astronomi yang bakal berlaku pada tahun 2012. Jangan biarkan diri anda terlepas fenomena astronomi yang menarik dan jarang berlaku

Meneroka langit menggunakan binokular

Jangan pandang rendah kepada binokular kerana peralatan ini membolehkan anda melihat bintang, planet, gugusan bintang malah galaksi!

Selasa, 27 Januari 2009

Kalendar Astronomi Februari 2009

KALENDAR ASTRONOMI FEBRUARI 2009


KEDUDUKAN PLANET BULAN INI

Tahukah anda bahawa planet boleh dilihat dengan mata kasar? Tak percaya? Jom ikuti pergerakan planet berikut dan anda pasti seronok melihat planet ini tergantung di langit dengan hanya menggunakan mata kasar sahaja. Jangan lupa tunjukkan kepada rakan2! ;-)

Selepas Matahari Terbenam
Planet Zuhrah (Venus) akan menghiasi permandangan langit barat selepas waktu maghrib sepanjang bulan ini. Planet ini akan berada di buruj Pisces sang Ikan dan akan bersinar terang di kaki langit sebagai sebuah 'bintang' yang amat terang. Patutlah orang Melayu menggelarkannya sebagai bintang Kejora. Kan? :-)

Jangan lepaskan peluang untuk melihat planet ini menghiasi permandangan matahari terbenam bersama2 sang bulan sabit pada 27 dan 28hb ini. Jika anda mempunyai kamera digital (jika DSLR merupakan bonus), luangkan masa untuk mengambil gambar planet ini!

Pertengahan Malam
Sepanjang bulan ini, planet Zuhal akan mendiami buruj Leo sang singa. Planet ini akan naik dari ufuk timur bersama2 buruj Leo sekitar jam 8 malam dan akan berada di atas kepala sekitar jam 3 pagi. Planet ini akan dapat dilihat dengan mata kasar sehinggalah matahari terbit dari ufuk timur pada waktu pagi.

Cuba luangkan masa anda untuk mengenali buruj Leo. Gunakan gambar rajah di bawah untuk membantu anda.

Sebelum Matahari Timbul
Sepanjang bulan ini, 3 buah planet akan berada di dalam kawasan buruj Capricorn. Planet tersebut ialah Musytari, Marikh dan Utarid.

Rajah di bawah menunjukkan kedudukan 3 planet ini berada berdekatan pada 23hb. Bulan juga tidak lepas peluang untuk turut sama interframe dengan berada bersebelahan Musytari :-)

Jangan lupa untuk melihat peristiwa konjukasi 3 planet ini pada 26hb. Perinciannya boleh di dapati di bawah  ;-)



















PERISTIWA ASTRONOMI FEBRUARI 2009


9 Feb - Bulan penuh

9 Feb - Gerhana bulan penumbra
Gerhana bulan ini akan melintasi kawasan Afrika Selatan dan bergerak ke arah timur-utara melalui lautan Hindi dan seterusnya melintasi Sumatera dan Borneo. Masyarakat di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Afrika Selatan dan  Barat Australia akan dapat melihat gerhana separa. Gerhana bermula jam 8.36 malam dan berakhir 12.39 malam.
Klik untuk rajah besar


22 Feb - Konjukasi planet Utarid, Marikh dan Musytari
Konjukasi adalah peristiwa objek-objek samawi seperti planet akan berada berdekatan antara satu sama lain. Fenomena ini yang boleh dilihat dengan mata kasar akan berlaku pada pagi 22 Februari. Cara untuk melihatnya ialah dengan memandang ke arah langit timur (arah matahari naik) sebelum waktu matahari naik.

 25 Feb - Bulan baru
Merupakan malam yang gelap tanpa kehadiran cahaya bulan. Sesuai untuk melakukan aktiviti cerapan objek langit kelam (galaksi, nebula, komet dll).


Selamat mencerap. Saya amat gembira untuk menerima maklum balas dari anda!

Jom mencerap!
MOHD RIZUAN B. ALI
ibnu_ali_87@yahoo.com
013-2180412



Isnin, 26 Januari 2009

Catatan Pencerapan Gerhana Matahari 26 Jan 09

Assalamualaikum & Hai...

Bersempena peristiwa gerhana matahari yang berlaku pada 26 Januari 2009, saya bersama Dr Chong telah berada di Planetarium Negara untuk melakukan aktiviti cerapan gerhana. Kehadiran orang ramai begitu memberangsangkan di mana ratusan pengunjung datang untuk turut sama mengikuti program cerapan.

Pelbagai cara cerapan telah digunakan. Antaranya ialah menggunakan teleskop dan binokular yang dilengkapi penapis, cermin mata khas untuk melihat gerhana, pin hole projection method, bayang melalui lubang pada kadbod dan sebagainya.

Keadaan langit mengizinkan kami untuk melihat gerhana yang bermula pada jam 4.32 minit petang sehinggalah kemuncak gerhana pada pukul 5.50 minit.

Menariknya ketika kemuncak gerhana berlaku, lapisan awan yang nipis telah melindungi matahari sehinggakan kami dapat melihat matahari yang berbentuk sabit dengan mata kasar! Pertama kali saya melihat keadaan ini terjadi. Tidak boleh dibayangkan perasaan saya ketika itu. :-)

Pencerapan berakhir pada pukul 7 petang. Saya dan Dr Chong terpaksa bergegas pulang memandangkan urusan lain sedang menanti. 

Berikut adalah gambar sekitar aktiviti tersebut.



 Teleskop beserta filter digunakan untuk melihat gerhana matahari



 Kotak pasang sendiri ini membolehkan orang ramai melihat gerhana secara serentak

Sebahagian daripada permukaan matahari dilitupi oleh bulan

Perhatikan matahari yang berbentuk sabit.
Gambar diambil dengan menggunakan filter dihadapan kamera. 



 Kemuncak gerhana berlaku di mana kami dapat melihatnya menggunakan mata kasar sahaja. Awan yang melitupi sebahagian cahaya matahari telah membantu.
Sayangnya gambar ini kurang  jelas.
 Pihak RTM turut membuat liputan.

 Dr Chong sedang memberi penjelasan akan kejadian alam semesta bermula dari big bang





Salam hormat dari saya,

MOHD RIZUAN B. ALI
ibnu_ali_87@yahoo.com
013-2180412


Ahad, 25 Januari 2009

Gerhana Matahari Annular 26 Januari 2009

 Gerhana Matahari pada 26 Januari 2009 ini akan membolehkan seluruh rakyat Malaysia melihat matahari ditutupi sekitar 63 % dari keseluruhan permukaanya oleh bulan.

 Assalamualaikum & Hai...

Maafkan saya kerana lama tidak update weblog Astromas ini. Urusan pelajaran dan tugas kelab medikal yang makin bertambah betul2 telah mencuri masa saya untuk mengemas kini laman ini.

Namun anda semua jangan risau kerana saya masih lagi mengikuti perkembangan peristiwa astronomi yang berlaku. Jika ada peristiwa astronomi yang menarik untuk dikongsi, saya akan cuba sedaya upaya untuk memasukkannya di dalam weblog ini. 

Sebagai contohnya, kini sebuah komet yang digelar komet Lulin kini semakin hampir mendekati pusat sistem suria iaitu matahari. Buat masa ini komet Lulin masih lagi belum kelihatan dengan mata kasar. Dijangkakan ianya akan menjadi semakin terang pada bulan Februari. InsyaAllah saya akan muatkan artikel mengenainya supaya rakan2 semua dapat mengikutinya.

 Esok, iaitu pada 26 haribulan Januari 2009, akan berlaku satu peristiwa gerhana matahari annular. Gerhana ini yang biasa dipanggil gerhana cincin akan membolehkan kita melihat matahari dilindungi oleh bulan sehingga mempamerkan bentuk cincin. 

Namun malangnya kita di Malaysia hanya dapat melihat sebahagian dari gerhana ini. Gerhana matahari separa ini akan kelihatan di seluruh Malaysia bermula jam 4.32 minit petang dan berakhir pada jam 6.59 minit petang. 

Untuk maklumat lanjut, klik di sini untuk ke risalah hebahan peristiwa gerhana matahari Jan 09 dari pihak ANGKASA.

Saya akan berada di Planetarium Negara ketika peristiwa tersebut bermula jam 2 petang sehingga malam. Jumpa di sana!

Salam hormat dari saya,