Assalamualaikum & hai….
Apa khabar semua? Saya harap anda berada dalam keadaan yang sihat sahaja. Saya baru sahaja sembuh dari demam selesema selama 3 hari. Alhamdulillah sekarang keadaan semakin baik untuk membolehkan saya menaip artikel untuk Geminids 2009 ini. Hehe. Mungkin ini sedikit terlambat namun mungkin boleh dijadikan panduan pada saat2 akhir kepada anda.
Peristiwa hujan meteor Geminids merupakan peristiwa hujan meteor yang paling ditunggu-tunggukan sepanjang tahun. Ianya selalu dianggap sebagai peristiwa yang boleh diharap dan kebiasaannya tidak menghampakan para pencerap yang menunggu.
Antara kelebihannya ialah Geminids biasanya menawarkan 120 tahi bintang untuk satu jam untuk dicerap. Jaluran tahi bintang yang dihasilkannya pula adalah terang dan berkelajuan sederhana untuk membolehkan kita tidak akan terlepas pandang tahi bintang yang melintas di langit. Kemuncaknya juga biasa boleh dinikmati pada dua hari antara waktu kemuncak, yang menjadikannya boleh dicerap oleh semua manusia tidak kira di pelusuk dunia mereka berada.
Tahun ini, peristiwa hujan meteor Geminids menjadi lebih menarik untuk dicerap memandangkan sang bulan tidak akan berada di dada langit malam. Maka langit akan menjadi sangat gelap untuk membolehkan kita melihat jaluran cahaya tahi bintang yang malap. Apatah lagi tahi bintang yang terang yang disebut sebagai fireball.
Artikel kali ini saya sediakan dalam bentuk soalan dan jawapan (FAQ)
Peristiwa hujan meteor ? Apa tu? Boleh makan ke?
Peristiwa hujan meteor /peristiwa hujan tahi bintang/meteor shower adalah satu peristiwa astronomi yang membolehkan kita melihat banyak tahi bintang di langit pada satu jangkamasa tertentu. Bilangan tahi bintang yang boleh dilihat ketika waktu kemuncaknya boleh mencapai hingga ratusan tahi bintang dalam masa satu jam. Namun ini bergantung kepada apakah jenis peristiwa hujan meteor tersebut. Sebagai contohnya peristiwa hujan meteor Taurids hanya menawarkan sekitar 10 tahi bintang dalam masa satu jam manakala Geminids pula boleh mencapai 120 tahi bintang dalam masa satu jam.
Apa yang akan saya lihat?
Anda berpeluang untuk melihat satu jaluran cahaya yang panjang melintasi dada langit secara tiba2. Ianya boleh bertahan selama satu saat hingga dua saat sahaja. Ada yang sangat cerah sehingga mampu menghasilkan bayang anda di lantai. Namun ada juga yang malap. Kecerahanya bergantung kepada saiz ketulan batu angkasa yang masuk ke atmosfera bumi pada ketika itu. Kebiasanya ianya bersaiz pasir di pantai sehinggalah ke saiz bola keranjang. Jangan risau kerana batuan tersebut akan habis terbakar di atmosfera.
Betul ke boleh tengok banyak tahi bintang dalam masa satu malam? Berapa banyak tu?
Mengikut data yang diberikan oleh perisian Fluximator oleh NASA, kita berpeluang untuk melihat sehingga 5.4 meteor per jam bagi di pusat bandar, 30 meteor dalam masa satu jam bagi pencerap yang berada di kawasan subbandar, 58 meteor per jam bagi pencerap di kawasan desa, dan sekitar 86 meteor per jam bagi pencerap di puncak gunung.
Graf untuk pencerap di pinggir bandar di bawah menunjukkan tahi bintang mula aktif bermula jam 11 malam (21 hours) dan memuncak pada jam 4 pagi.
Saya belum beli lagi teleskop. Mahal lah. Jadi macam mana saya nak mencerap peristiwa ini? Merajuklah macam ni.
Anda jangan risau kerana pencerapan hujan meteor tidak memerlukan penggunaan teleskop ataupun binokular. Malah alatan ini boleh disimpan sahaja dalam rumah pada waktu tersebut. Apa yang diperlukan ialah sepasang mata yang boleh melihat dengan jelas, sebidang tikar untuk membantu anda berbaring dengan selesa, satu bantal untuk mengalas kepala untuk mengelakkan tengkok anda cramp pada keesokan paginya, baju yang selesa, secawan air kopi dan juga beberapa kawan untuk memeriahkan lagi suasana. Lagi ramai lagi bagus. Jangan lupa juga untuk memasang ubat nyamuk untuk mengelakkan aktiviti cerapan anda berubah menjadi aktiviti manampar nyamuk.
Cara cerapan ialah dengan berbaring sambil memandang ke dada langit. Sabar menunggu, insyaAllah akan ada tahi bintang yang akan melintas di langit secara tiba2 yang akan menyebabkan jantung anda berdegup laju secara tiba2. Seterusnya pasti senyuman akan terukir di bibir anda dan perasaan tidak sabar untuk melihat tahi bintang seterusnya.
Bila Boleh Mencerap Peristiwa Ini?
Pencerapan hujan meteor Geminids boleh dilakukan pada malam 12hb Disember sehingga pagi dan malam 13 Disember sehingga pagi. Namun ramai peminat astronomi amatur di Malaysia melakukan pencerapan pada malam 13hb ke pagi 14 Disember.
Radian iaitu pusat kepada peristiwa hujan meteor Geminids ialah buruj Gemini Sang Kembar . Ianya akan mula muncul dari dada langit timur pada jam 9 malam 13 Disember. Namun disebabkan pada ketika itu buruj tersebut begitu rendah di ufuk, maka apa kata kita tangguhkan dulu pencerapan sehingga jam 12 malam di mana buruj ini sedang berada sekitar 40 darjah dari ufuk timur.
Buruj Gemini yang menjadi pusat peristiwa ini.
Bermula jam 12 malam, bolehlah anda hamparkan tikar berserta bantal dan pandanglah ke dada langit menggunakan mata kasar anda. Pencerapan boleh dilakukan sehingga matahari terbit.
Langit tu luas. Jadi saya perlu pandang ke arah mana?
Pada awal malam, anda boleh memandang ke langit timur. Apabila sudah tengah malam, maka anda boleh memandang mana2 arah di langit. Cuba kenal pasti buruj Gemini yang akan berada di langit timur pada awal malam. Rujuk rajah di bawah untuk sebagai bantuan.
Rajah menunjukkan keadaan langit timur (kawasan matahari terbit) pada 12 tengah malam 14 Disember. Kelihatan buruj Gemini tergantung di langit menjadi punca tahi bintang keluar.
Saya risau tahi bintang tu jatuh terkena saya. Dah la saya tak kahwin lagi ni.
Anda jangan risau kerana tidak pernah direkodkan kejadian manusia mati dihempap tahi bintang. Maka peluang anda untuk terkena mungkin 1 dalam sejuta.
Kenapa saya tak boleh terlepas peristiwa Geminids ini?
1. Ini peluang anda untuk melihat banyak tahi bintang dalam masa satu malam. Sebelum ini tengok dalam televisyen sahaja kan?
2. Kerana Geminids pasti tidak akan mengecewakan pencerapnya.
3. Kerana tahun ini tiada bulan yang mengganggu pencerapan. Tahun lepas bulan penuh berada di langit ketika waktu cerapan.
4. Keadaan langit yang kelihatan sangat baik pada dua tiga malam ini.
Apa saya perlu buat jika saya terlepas untuk mencerap peristiwa ini? Mak saya tak kasi saya keluar malam. Sedih
Peristiwa Geminids ini berlaku setiap tahun. Maka anda boleh mengikuti peristiwa ini pada tahun hadapan pula. Namun jangan lupa bahawa hampir setiap bulan terdapat peristiwa hujan meteor yang berlainan. Sila layari blog Astromas untuk info akan peristiwa astronomi akan datang.
Jika saya keluar mencerap, tetapi tak dapat lihat apa2. Astromas kelentong saya ke ni?
Ada beberapa kemungkinan anda tidak dapat melihat tahi bintang ketika peristiwa ini memuncak.
1. Anda memandang langit yang ditutupi awan.
Penyelesaian : Pandang sahaja di mana2 kawasan langit yang anda lihat bintang berada. Jika langit gelap sepenuhnya tanpa bintang, itu bermaksud awan sedang melitupi langit. Jika ada kawasan yang sedikit terbuka, maka tumpulah pada kawasan itu.
2. Anda memandang langit untuk dua saat kemudian bersembang dan bermain dam dengan rakan.
Penyelesaian : Anda perlulah berbaring dan memandang langit paling kurang untuk beberapa minit secara terus menerus. InsyaAllah akan ada tahi bintang yang akan ditangkap oleh mata anda. Sabar adalah kunci kejayaan.hehe
Jika saya menghadapi masalah, apa yang perlu saya buat?
Jangan segan untuk menghubungi saya jika anda ada persoalan untuk ditanyakan. Panggilan adalah diutamakan berbanding SMS. :-)
Sekian dulu dari saya.
Jom mencerap!
Mohd Rizuan Ali,
ibnu_ali_87@yahoo.com
013-2180412