Khamis, 24 Disember 2009

Jom menyambut tahun baru 2010 dengan gerhana bulan separa!

Assalamualaikum & hai...

Apa khabar semua? Saya harap anda semua dalam keadaan sihat sejahtera sahaja. Sedar tak sedar kita telah berada dihujung tahun 2009. Tidak lama lagi tahun 2010 pula akan menjelma. Perjalanan ditahun 2010 belum pasti bagaimana keadaanya. Namun insyaAllah semuanya akan menjadi baik2 sahaja jika ada perancangan dan perlaksanaan yang terbaik dari diri sendiri. Sudah pasti impian dan harapan kita adalah untuk memastikan kita di tahun yang baru adalah lebih baik dari tahun yang lepas. Dengan izin Allah, semuanya akan berjalan lancar.


Rajah 1
Gerhana bulan separa
Kredit imej : http://www.icerabbit.com

Amat menarik untuk tahun 2010 ini kerana kita akan menyambut tahun baru dengan peristiwa gerhana bulan separa pada pagi 1 Januari 2010 nanti. Seperti yang diketahui, gerhana bulan hanya boleh berlaku ketika bulan sedang mengambang penuh sahaja. Maka, pada malam tahun baru, bulan purnama akan memancarkan sinarnya yang terang benderang pada magnitud -12 untuk menerangi alam maya dari kegelapan malam. Secara sinonimnya, ianya bagai melambangkan permulaan hari tahun 2010 akan dimulai dengan kegemilangan cahaya. Alangkah manisnya! hehe

Namun berbeza pula bagi masyarakat di barat  kerana gerhana kali ini akan berlaku pad hujung tahun 2009. Mengikut data yang diberikan oleh pihak NASA, gerhana akan mula  berlaku pada jam 05.17 minit petang (Universal Time), 31 Disember 2009 dimana bulan mula memasuki bayang penumbra bumi. Namun disebabkan GMT bagi Malaysia adalah +8, maka kita akan mula melihat gerhana pada jam 01.17 minit pagi 1 Januari 2010. Satu perbezaan yang bagi saya membawa pelbagai maksud. Di sana ia boleh diibaratkan sebagai pengakhiran kepada tahun 2009 manakala kita di Malaysia membawa kepada sambutan tahun baru!

Adalah menarik juga kerana sedar tidak sedar kita mengalami kejadian bulan penuh/purnama sebanyak dua kali dalam bulan Disember ini. Bulan penuh yang pertama adalah pada 2 Disember 2009 dan yang ke dua adalah pada 31 Disember 2009.

Kejadian bulan penuh sebanyak dua kali dalam masa sebulan ini adalah sangat jarang berlaku. Bulan penuh seperti ini biasanya digelar sebagai blue moon hanya berlaku sebanyak 41 kali dalam masa seratus tahun ini (kurun ke-21). Disebabkan oleh blue moon ini berlaku dengan sangat jarang, maka timbullah istilah once in a blue moon  yang digunakan untuk merujuk kepada perisitiwa yang jarang terjadi.

Dari 41 kali blue moon itu terjadi, hanya 4 kali yang berlaku serentak dengan gerhana bulan. Salah satu darinya ialah pada tahun 1982 yang melibatkan gerhana bulan penuh. Ianya boleh dilihat oleh penduduk di Amerika Syarikat. Namun pada ketika itu, penduduk di sana tidaklah melihat bulan berwarna biru, tetapi ianya adalah sekadar nama yang digelar padanya.hehe

Pada 22 Disember 1999, blue moon pada ketika itu menjadi tumpuan ahli astronomi kerana ianya berlaku pada hari soltis musim sejuk; terjadi hanya beberapa jam dari kedudukan bulan paling dekat dengan bumi (perigee); dan berlaku dalam tempoh sebulan sebelum gerhana bulan seterusnya pada ketika itu.


Gerhana Bulan Separa 1 Januari 2010

Jom kita fokus kepada peristiwa ini pula. Sila rujuk rajah sebagai panduan.


Rajah 2
Klik untuk gambar lebih besar.

Gerhana bulan separa kali ini akan bermula pada jam 01.17 minit pagi dimana bulan akan mula memasuki bayang penumbra bumi (P1 pada rajah 2). Ingin diingatkan disini bahawa bayang penumbra adalah bayang bumi yang separa gelap. Maka bayang yang akan bakal kelihatan di permukaan bulan berkemungkinan tidak dapat dikesan oleh mata kasar disebabkan oleh kontras yang kurang ketara.

Maka ingin saya cadangkan anda memulakan cerapan dengan mula melihat bulan ketika ianya sedang ingin masuk ke bayang umbra bumi pada jam 02.52 minit pagi (U1). Bermula dari detik ini, anda akan melihat sebahagian kecil dari permukaan bulan akan dimamah secara perlahan2 oleh bayang umbra bumi.

Keadaan ini akan berterusan sehinggalah kemuncak gerhana iaitu pada jam 03.23 minit pagi. Seterusnya bulan akan terus berada dalam bayang umbra sehinggalah ia keluar secara keseluruhannya dari bayang umbra pada jam 03.52 minit pagi (U4).

Bulan akan keluar dari bayang penumbra pada jam 05.28 minit pagi (P4) yang menandakan berakhirnya peristiwa kali ini.


Rajah 3
Perbandingan rupa bulan ketika gerhana (kiri) dan sebelum gerhana pada pagi 1 Januari 2010

Jadi bagai mana untuk mencerap peristiwa ini?

Mudah sahaja, pada waktu yang dinyatakan, pandang sahaja ke arah langit barat (arah matahari tenggelam) di mana anda lihat bulan berada. Harap2 tak mendung atau hujan nanti.

Jangan lupa untuk khabarkan kepada saya perkembangan anda ketika pencerapan. Saya akan nantikan berita dari anda!


Selamat mencerap!

Mohd Rizuan B. Ali,
013-2180412
ibnu_ali_87@yahoo.com