Selamat bertemu kembali di bulan Disember 2006 ini. Musim hujan yang masih melanda negara pasti sedikit membantutkan aktiviti cerapan. Namun ini tidak bermakna sepanjang bulan ini, langit malam akan diselubungi oleh awan sahaja. Jika nasib menyelebihi kita, pasti kita akan dapat melihat bintang-bintang dan objek cakerawala yang lain bersinar tanpa dilindungi oleh awan. Jom kita lihat objek cerapan bulan ini. Selamat mencerap!
Planet Cerapan Malam.
Planet Zuhal masih lagi akan menjadi planet tumpuan pencerapan bulan ini. Planet ini akan terus setia berada di buruj Leo sepanjang bulan Disember. Waktu yang paling sesuai untuk pencerapan planet ini ialah pada pukul 12 tengah malam dan ke atas memandangkan ia mula timbul dari ufuk timur selepas pukul 12 malam bulan ini. Planet ini akan semakin meninggi di zenith (titik di atas kepala) hingga akhir bulan dan tidak akan tenggelam langsung sepanjang langit malam. Untuk membantu anda mencari planet ini, gunakan bintang Regulus di buruj Leo sebagai panduan. Planet Zuhal akan kelihatan lebih terang dari bintang ini dengan kecerahan magnitud 0.45 berbanding bintang Regulus yang bermagnitud 1.34. Ingin diingatkan di sini bahawa semakin kecil nilai magnitud kelihatan (apparent magnitude), semakin terang objek itu. Download peta bintang di sebelah untuk membantu anda. Di akhir bulan ini, planet Musytari akan berada rendah di ufuk pagi yang membolehkan pencerapan.
Rajah 1
Planet Zuhal dan bintang Regulus di Buruj Leo
Planet Pagi.
Bulan ini, 3 buah planet, Utarid, Marikh, dan Musytari akan menjadi teman setia langit pagi. Kedudukan ketiga planet ini akan semakin mendekati masing-masing sehingga mencapai kedudukan paling dekat pada 10 dan 11 haribulan ini.
Planet Senja.
Bulan ini planet Zuhrah akan bersedirian menemani permandangan matahari tenggelam. Planet ini merupakan planet yang paling cerah di langit jika kesan daripada lapisan atmosferanya yang kaya dengan gas karbon dioksida menjadi pembalik cahaya matahari yang baik. Kecerahan puratanya ialah magnitud -3.91 iaitu lebih hampir 3 kali ganda lebih cerah dari mana-mana bintang yang ada di langit.
Peristiwa Hujan Meteor Geminids ( 14 Disember 2006)
Rajah 2
Peristiwa hujan meteor Geminids 2004Kredit imej : Fred Bruenjes
Peristiwa hujan meteor ialah satu peristiwa yang membolehkan para pencerap melihat sehingga ratusan meteor (tahi bintang) dengan mata kasar, Di Malaysia, penulis beranggapan bahawa Geminids merupakan peristiwa hujan meteor yang paling kerap dicerap. Masih lagi segar di ingatan penulis ketika menganjurkan aktiviti cerapan Geminids 2005 di Kepala Batas, Pulau Pinang. Walaupun pada hari cerapan tersebut, awan melindungi kebanyakan kawasan langit, kami masih mampu melihat sekitar 30 biji meteor dari satu 'lubang' yang berada di awan. Dengan diserikan oleh beberapa buah bebola api (fireball) yang muncul di celahan awan, ternyata pelajar Kolej Matrikulasi Pulau Pinang seramai sekitar 200 orang terhibur dengan pertunjukkan malam itu dengan sering menjerit beramai-ramai apabila ada metor yang melintas. Walaupun pencerapan malam itu hanya sempat berlangsung kurang satu jam, namun sudah cukup memuaskan orang ramai yang turut serta malam itu.Geminids merupakan peristiwa hujan meteor yang aktif. ZHR (bilangan purata meteor per jam dengan radian di zenith) bagi Geminids ialah sekitar 120 biji meteor per jam. Ditambahkan lagi dengan waktu kemuncak peristiwa ini yang mampu bertahan selama satu hari penuh, sudah pasti penantian anda pada malam tersebut tidak menghampakan.
Menurut International Meteor Organization, waktu kemuncak Geminids adalah pada jam 06.45 petang pada 14 haribulan ini. Namun pada masa itu sedikit malang bagi kita kerana radian Geminids masih lagi berada di bawah horizon.Pada 14 haribulan ini, kehadiran bulan yang bersinar dengan kecerahan 1/3 akan sedikit mengganggu pencerapan, Namun anda jangan risau kerana cahaya bulan ini masih tidak mampu untuk menenggelamkan kebanyakan meteor yang terang. Waktu yang paling sesuai untuk mencerap Geminids ialah pada awal pagi 14 haribulan ini dan kemudian diteruskan lagi pada langit malam 14 haribulan (rujuk komen di bawah). Namun lebih elok dimulakan pada 11 malam (14 November) ke atas sehinggalah ke waktu matahari naik pada 15 haribulan memandangkan radiannya akan mula naik pada waktu itu. Bagi anda di luar sana, usah risau kerana hujan meteror geminids kebiasaannya dapat bertahan selama satu hari penuh berbanding dengan hujan meteor lain seperti hujan meteor Quadrantids yang hanya bertahan beberapa jam sahaja. Oleh itu pasti anda akan mempunyai cukup masa untuk mengikuti peristiwa ini. Namun ingin diingatkan di sini bahawa peristiwa ini boleh di lihat sebelum radiannya naik dari ufuk timur dengan menghalakan arah pandangan ke ufuk timur (arah matahari timbul). Peristiwa ini boleh dilihat di seluruh kawasan langit tetapi berpunca dari buruj Gemini, iaitu pasangan kembar Pollux dan Castor.
Rajah 3
Radian Geminids iaitu buruj Gemini ketika baru naik dari horizon
Apa yang anda perlukan ialah satu kawasan yang gelap dan peralatan seperti kerusi malas ataupun tikar untuk membolehkan anda dapat melihat ke langit tanpa perlu menyebabkan leher anda terseliuh pada keesokan harinya =). Secawan kopi panas, pakaian yang tebal, dan mungkin ubat nyamuk pasti akan membantu anda mencerap dengan lebih selesa. Untuk pencerapan peristiwa hujan meteor, teleskop dan binokular adalah tidak diperlukan.-ASTROMAS