Sabtu, 21 Februari 2009

Jom Mencerap Komet Lulin!

Assalamualaikum & Hai....

Komet Lulin (C/2007 N3)
Astrofoto oleh Karzaman Ahmad dari Balaicerap Negara Langkawi.

Dua tiga hari ini, ahli astronomi amatur seluruh negara mula bising membincangkan mengenai komet Lulin yang semakin menghampiri matahari. Cuma saya sahaja yang kurang bising kerana terpaksa menghadapi final examination bermula 23hb ni. :'(

Komet Lulin (C/2007 N3) merupakan sebuah komet dengan orbit tidak dijangka. Ini bermaksud ianya akan mengorbit matahari pada kali ini dan kemudiannya berkemungkinan untuk keluar dari sistem solar untuk tidak kembali lagi. Komet ini pertama kali dijumpai oleh Ye Quanzhi & Lin Chi-Sheng dari Balaicerap Lulin yang bertempat di Taiwan.

Komet Lulin kini semakin menghampiri pusat sistem suria iaitu matahari. Ini bermakna kecerahannya akan menjadi semakin terang untuk membolehkannya dicerap dengan lebih mudah. Ketika saya menulis rencana ini, komet Lulin dikatakan sedang bersinar pada magnitud 6, iaitu boleh dilihat menggunakan mata kasar jika anda berada di kawasan gelap seperti di kampung!

Lulin dijangka mencapai kecerahan maksimum pada 24 Februari ini. Ianya boleh mencapai magnitud 4 pada ketika itu yang bermaksud ianya akan kelihatan secerah bintang yang ada di langit!

Pasti anda sedang teruja untuk melihat dan mencerap komet ini pada 24hb ini bukan? Jangan terasa malu kerana saya pun sedang rasa teruja. Hehe.

Sepanjang minggu ini, anda boleh menjejaki komet Lulin yang sedang berada di buruj Leo Sang Singa. Buruj Leo akan mula keluar dari arah timur pada jam 8.30 malam bersama2 planet Zuhal (boleh dilihat dengan mata kasar). Buruj ini akan terus meninggi di dada langit pada tengah malam. Sekitar jam 10 malam ke atas, buruj Leo berserta planet Zuhal dan komet Lulin sedang berada pada ketinggian yang sesuai untuk dicerap.

Klik untuk rajah lebih besar


Rajah di atas menunjukkan rupa bentuk buruj Leo dan kedudukan komet Lulin pada 24haribulan ini. Cuba ambil masa untuk mengenali buruj Leo serta planet Zuhal yang kelihatan berwarna kejinggaan (oren) pada pandangan mata kasar. Setelah anda berjaya mengenal pasti planet Zuhal, maka jangan berputus asa untuk cuba mencari satu titik seakan bintang yang kembang di sebelah bawah planet tersebut. 

"Isk...buruj Leo dah nampak, Zuhal pun dah nampak, tapi komet Lulin masih tak nampak2. Astromas ni kelentong aje kot"

Mungkin begitu getus hati anda pada malam 24haribulan ini.hehe.. Jangan marah kat saya ye. Mungkin tiba masanya untuk anda menggunakan binokular ataupun biasa kita panggil sebagai teropong. Jika ada teleskop sudah tentu lagi baik. Komet ini sepatutnya dapat dilihat sebagai satu titik yang kembang dan mempunyai  sedikit ekor.

Jika masih lagi tidak nampak, berkemungkinan anda sebenarnya sedang berusaha melihat komet ini melalui awan yang sedang melindungi langit di tempat anda. Jika ini yang terjadi, maka eloklah anda masuk ke dalam rumah untuk berehat dahulu dan berdoa agar awan akan hilang secepat mungkin  :-)

Gunakan yang berikut sebagai panduan menjejaki komet Lulin:
  1. Melintasi bintang kembar Zubenelgenubi pada 6 Feb 09
  2. Menghampiri bintang Spica di buruj Virgo pada 15 & 16 Feb 09
  3. Menhampiri bintang Gamma Virginis pada 19 Feb 09
  4. Mencapai kecerahan maksimum pada 24 Feb 09 (sekitar magnitud +4)
  5. Kelihatan melintasi planet Zuhal pada 23 Feb 09
  6. Kelihatan berada berdekatan bintang Regulus di buruj Leo pada 26 & 27 Feb 09
  7. Kelihatan berhampiran kelompokan bintang M44 pada 4 & 5 Mac 09
  8. Kelihatan berdekatan komet Cardinal pada 12 Mei 09.
Jika anda ada mengambil foto komet ini, jangan lupa untuk kongsikan dengan kami dengan cara meng-email-kan foto tersebut kepada saya.

Selamat mencerap!


Salam hormat dari saya,
ASTROMAS
Astronomi Untuk Semua
ibnu_ali_87@yahoo.com
013-2180412