Assalamualaikum & Selamat sejahtera….
Chalet milik Dr Rowi di pantai Mek Mas sering dijadikan tempat untuk melakukan kegiatan astronomi kerana lokasinya yang gelap.
Pada 20, 21, dan 22 haribulan Mac yang lalu, saya dan berapa rakan dari Falak-Online telah mengadakan satu aktiviti cerapan bintang yang bertempat di chalet milik Dr Rowi di Pantai Mek Mas, Kuala Besar, Kota Bharu Kelantan. Aktiviti ini dinamakan Program Realiti Menjejak Bintang (bunyinya ala-ala Akademi Fantasia aje…hehe)
Program cerapan bintang ini disertai sekitar 15 orang peserta yang datang dari sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Penang. Antara yang hadir ialah Dr Mahamarowi sendiri, tuan punya Falak-Online iaitu En Shahrin Ahmad, Pak Aziz, dari ANGKASA iaitu saudara Redzuan dan Hamka, wakil Jabatan Mufti Pulau Pinang iaitu ustaz Hardi dan dua pembantunya, dari negeri Sembilan iaitu Ustaz Shamsul & Ustaz Ramli, dua rakan dari sekolah Maahad Muhammadi Lelaki iaitu Izul dan Azwan, Ustaz Mat Noor dari Maahad Muhammadi Perempuan, Abe Jih, Shafie, beberapa forumer Falak-Online seperti Nursyah, Fukhairei dan lain2 yang tidak dapat saya sebutkan di sini.
Lagoon dan Trifid Nebula adalah antara objek yang sempat kami jejaki menggunakan binokular pada malam itu.
Pencerapan dimulakan pada hari Jumaat malam Sabtu. Alhamdulillah cuaca begitu amat mengizinkan untuk kami melakukan cerapan. Keadaan yang amat gelap di Pantai Mek Mas sangatlah mengujakan kami dengan taburan bintang kelihatan memenuhi dada langit. Bintang2 yang malap yang kebiasaannya susah untuk dilihat telah bersinar terang pada malam tersebut sehinggakan saya merasa sedikit susah untuk mengenal pasti bentuk buruj. Saya hampir2 tersilap cuba membayangkan bentuk buruj Scorpio pada buruj Bootes.hehe. Antara aktiviti pengimejan yang dilakukan pada malam tersebut ialah mencerap planet Zuhal, melakukan astrofotografi oleh Pak Aziz dan mengambil gambar star trail oleh saudara Redzuan. Saya sempat menunjukkan kepada Nursyah dan rakan dari sekolah Maahad Muhammadi cara untuk menjejaki objek astronomi yang mudah dilihat menggunakan binokular. Antara objek yang kami jejak pada malam itu ialah kelompokan bintang terbuka M6 dan M7, kelompokan bintang globul Omega Centauri, Whirpool Galaxy M51, Nebula Lagoon M8, Nebula Trifid M20 dan Nebula Burung Helang M16 (eagle nebulae). Aktiviti cerapan telah berakhir pada jam 4 pagi.
Hari ke-dua program dimulakan dengan sarapan pagi dengan nasi bungkus berlauk. Adalah menjadi kebiasaan di negeri Kelantan untuk sarapan pagi dengan nasi berlaukkan ayam atau ikan yang dimasak kari. Selain itu, menu seperti nasi dagang dan nasi kerabu juga biasa dimakan pada waktu pagi. Sesiapa yang tidak pernah ke Kelantan kebiasaannya akan mengalami sedikit kejutan budaya apabila terpaksa menjamah sarapan dengan menu yang agak berat. Namun akhirnya nasi bungkus tersebut licin juga dimakan walaupun mengambil tempoh yang lama untuk dihabiskan.hehe.
Aktiviti pada waktu tengah hari ialah melawat balaicerap Dr Rowi yang terletak di Jalan Bayam, Kota Bharu. Balai cerap ini telah dibina sendiri oleh Dr Rowi di atas loteng rumahnya. Peserta program ditunjukkan secara ringkas akan peralatan yang dimiliki oleh Dr Rowi. Pastu ramai yang kagum apabila melihatkan betapa hardcorenya Dr Rowi dalam hobi astronomi ini. Saya tidak hadir pada sesi tengah hari ini kerana meluangkan masa untuk berhibernasi di rumah saya :p
Abe Jih dan Izul sedang sibuk membakar ikan dan ayam. Kelihatan Encik Shah sedang memerhati tempat BBQ dari jauh sambil menanti bila ayam akan masak.hehe
Aktiviti petang diteruskan dengan acara membakar BBQ untuk dijadikan santapan awal makan malam sebelum pencerapan dilakukan. Tujuan utamanya ialah untuk memastikan kami mempunyai lebih masa untuk mencerap pada malam nanti.hehe. Malam nanti saya bercadang untuk mengadakan aktiviti Messier Marathon iaitu aktiviti menjejak sebanyak mungkin objek Messier.
Ikan yang tidak dapat dikenal pasti spesiesnya. Yang penting sedap :p
Aktiviti pencerapan bintang yang dirancang pada malam hari ke-dua telah dibataskan oleh kehadiran awan tebal yang menyelubungi langit Kota Bharu. Nampaknya Messier Marathon saya juga terpaksa dibatalkan. Oleh itu, kami menghabiskan masa dengan bersembang mengenai pengalaman melakukan cerapan dan sebagainya. Taiko2 astronomi tempatan seperti Dr Rowi, En Shahrin dan Pak Aziz mendominasi suasana dengan kisah mereka yang menarik.
Encik Shah, Ustaz Hardi, Dr Rowi, Redzuan ANGKASA, Pak Aziz dan saya sedang bersembang mengenai aktiviti astronomi tempatan.
Saya tertarik dengan kisah lama Dr Rowi yang mana beliau terpaksa menghabiskan masa selama tiga tahun semata-mata untuk mempelajari cara menfokuskan pada sesuatu bintang. Dengan sumber info yang terhad ditambah lagi pada masa itu (tahun 90-an) masih ramai yang kurang mengetahui teknik melakukan cerapan bintang dan astrofotografi, maka Dr Rowi terpaksa mencuba sendiri bagaimana menggunakan alatan yang dibelinya itu secara try & error. Dengan berkat dan kesungguhan beliau, akhirnya kini beliau tergolong di antara sifu2 astronomi yang disegani di negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Program pada malam tersebut berakhir sekitar jam 12 malam.
Pak Aziz sedang melihat cicak di dinding. hehe.. Jangan marah ye Pak Aziz..
Saya akan terus berada di Kelantan sehingga 5haribulan April ini. InsyaAllah saya akan cuba melaksanakan aktiviti Messier Marathon saya dengan bantuan peralatan Dr Rowi. Kita tunggu dan lihat laporannya nanti ;)
Salam hormat dari saya,
MOHD RIZUAN BIN ALI,
ASTROMAS,
www.astromas2020.blogspot.com
ibnu_ali_87@yahoo.com
013-2180412