Setelah agak lama rencana mengenai fenomena astronomi bulanan tidak saya upload, maka bulan ini ianya kembali dengan sedikit maklumat agar dapat membantu anda dalam mengadakan aktiviti pencerapan. Sepanjang bulan September, planet paling dekat dengan matahari iaitu planet Utarid akan kelihatan tinggi dipemandangan langit senja. Planet kecil ini pada 1 haribulan akan berada di buruj Leo sang singa dan kemudian akan menghabiskan hari seterusnya di buruj Virgo. Dengan kecerahan magnitud sekitar 0.00, planet ini akan kelihatan bersinar seperti bintang yang lain. Sebenarnya sedikit sukar untuk melihat planet kecil ini memandangkan kedudukannya yang selalu dilindungi oleh jerebu dan awan di ufuk. Namun bagi anda yang berminat untuk mencarinya, tarikh 13, 14, dan 15 adalah tarikh yang sesuai. 13 haribulan ini, planet Utarid akan berada di sekitar 2 darjah di timur laut bulan sabit; 14 haribulan bintang Spica iaitu bintang tercerah di buruj Virgo pula akan berada sekitar 2 darjah di timur laut bulan; 15 haribulan, bulan akan berada 12 darjah di barat laut bintang Spica dan akan membentuk satu garis lurus dengan planet Utarid di belakangnya. Rujuk rajah 1.
Rajah 2:
Planet Musytari adalah planet gas paling besar dalam sistem suria.
Setelah tenggelamnya planet Utarid, planet Musytari pula akan mula mendominasi langit selepas waktu maghrib. Kedudukan planet bergas ini masih lagi di buruj Scorpio si kala jengking. Amat mudah sekali untuk mencari planet ini memandangkan ianya kelihatan sebagai ’bintang’ yang paling terang di langit. Dengan merujuk artikel fenomena cakerawala Ogos, cuba kenal pasti buruj Scorpio yang merupakan antara buruj paling terang dan mudah untuk dikenal pasti walaupun dilihat dari bandar besar. Planet ini akan mula tenggelam sekitar jam 12 tengah malam.
Planet seterusnya sebagai peganti kepada planet Musytari ialah planet Marikh yang akan mula naik dari ufuk timur sekitar pukul 1 pagi. Namun waktu yang sesuai untuk mencerap planet ini ialah sekitar pukul 3 pagi dan ke atas. Planet Marikh yang tergolong dalam planet boleh dicerap dengan mata kasar akan kelihatan sebagai satu bintang yang berwarna kemerah-merahan yang membawa kepada nama gelarannya iaitu planet merah. Sepanjang bulan ini, planet Marikh akan menetap di buruj Taurus. Jika anda berkesempatan untuk mencerap Marikh, jangan lupa untuk turut melihat gugusan bintang Pleiades di buruj Taurus yang juga dipanggil sebagai Jula-Juli bintang tujuh oleh masyarakat Melayu. Beberapa bulan yang lepas planet Zuhrah iaitu planet paling terang di langit merupakan objek cerapan waktu senja. Pada bulan ini, planet ini kini sedang menjadi objek cerapan waktu pagi pula. Perbezaan yang ketara antara kemunculannya pada waktu senja dan waktu pagi bukanlah sesuatu yang pelik memandangkan orbit planet ini yang berdekatan dengan matahari. Oleh itu, kita hanya akan dapat melihat planet ini apabila matahari dilindungi oleh permukaan bumi. Planet Zuhrah akan mula keluar dari ufuk sekitar jam 5 pagi.