Selasa, 6 Mac 2012

Planet Kerdil (Dwarf Planet)

“Terdapat 5 buah planet yang disahkan sebagai planet kerdil di dalam Sistem Solar – Pluto, Eris, Makemake, Haumea dan Ceres”

Apa Itu Planet Kerdil & Bagaimana Mahu Membezakannya dengan Objek Samawi yang Lain?

Bilakah masanya sesebuah planet itu tidak dikira sebagai planet? Sebenarnya, pengesahan sesuatu jasad samawi sebagai planet atau tidak bukanlah perkara mudah. Banyak perbincangan dan perdebatan dilalui semata-mata untuk mengklasifikasikan sesuatu objek itu boleh diiktiraf sebagai planet.


Menurut Kesatuan Astronomi Antarabangsa (International Astronomical Union, IAU), planet kerdil didefinisikan sebagai objek berbentuk sfera yang mengorbit Matahari, bukan sebagai Bulan, serta turut berkongsi orbit dengan sisa-sisa hasil pembentukan sistem solar seperti asteroid. Sebab inilah yang menjadi salah satu punca mengapa Pluto diturunkan pangkat daripada ‘jawatan’ planet ke-9 dalam Sistem Suria kepada hanyalah sebuah planet kerdil setanding dengan 4 buah planet kerdil yang lain. 


Selain itu, ahli astronomi juga telah menjumpai lebih banyak jasad yang bersaiz lebih besar dari Pluto, seperti Eris di dalam Sistem Solar mengukuhkan lagi kewajaran Pluto sebagai sebuah planet kerdil.

Secara mudah, planet kerdil merupakan jasad berbentuk sfera di dalam Sistem Suria yang mempunyai semua/beberapa ciri seperti planet tetapi tidak mempunyai kekuatan graviti yang cukup untuk menolak atau mengusir objek-objek lain dari kawasan orbitnya. Pada masa ini, hanya Pluto, Eris, Makemake, Haumea dan Ceres yang diberikan status planet kerdil. 


Kendatipun begitu, terdapat masih banyak jasad di kawasan tali pinggang Kuiper (Kuiper Belt, kawasan berbentuk cakera selepas orbit planet Neptun) dan awan Oort (Oort Cloud, penghujung Sistem Suria) yang masih dinamakan sebagai calon dan berpotensi menjadi planet kerdil. 5 buah planet ini juga berbeza dari segi komposisi dan rupa, seperti kondisi 8 buah planet utama dalam Sistem Suria. 




Sebagai contoh, Pluto merupakan satu-satunya planet kerdil yang mempunyai satelit/bulan sendiri iaitu Charon. Eris pula ialah jasad bersuhu paling rendah yang pernah diketahui dalam Sistem Solar manakala Ceres pula asalnya dinamakan sebagai asteroid berbentuk sfera dalam kawasan tali pinggang asteroid (asteroid Belt antara planet Marikh dan Musytari) namun kemudiannya ‘dinaikkan pangkat’ menjadi planet kerdil kerana Ceres merupakan objek terbesar dalam kawasan tersebut dan memiliki jisim sepertiga daripada keseluruhan jisim di situ.

Carta alir di atas merupakan kaedah penentuan mudah bagi mengklasifikasikan sesuatu jasad samawi sama ada planet, planet kerdil, bulan, asteroid mahupun komet.


Bertemu lagi di lain artikel.


Salam dari saya,
Nurul Fatini Jaafar