Rabu, 12 Disember 2007

Jom Mencerap Hujan Meteor Geminids 14/15 Disember ini!!!


Rajah 1
Jaluran meteor (tahi bintang) di atas sebuah kubah ketika berlakunya
peristiwa hujan meteor.

Geminids adalah antara peristiwa hujan meteor yang terbaik untuk dicerap sepanjang tahun. Pada tahun ini, dijangkakan ianya akan menjadi Geminids yang paling meriah berbanding Geminids pada tahun-tahun lepas memandangkan waktu kemuncak pada tahun ini jatuh pada waktu malam di Malaysia iaitu pada jam 00.45 pagi pada 15 haribulan Disember ini.
Bulan sabit yang akan tenggelam awal pada pukul 11.00 malam (14 haribulan) akan membolehkan pencerapan dilakukan dengan lebih baik. Langit malam yang gelap akan membolehkan kita melihat banyak jaluran meteor yang kelam dan sudah pastinya juga dengan bebola api yang pasti mengujakan. Geminids pada tahun ini sudah pasti menjadi sesuatu yang rugi jika ditinggalkan memandangkan kita tidak selalunya bernasib baik seperti ini. Dalam kebanyakan pencerapan hujan meteor, selalunya kita akan berhadapan dengan bulan yang bersinar terang di langit ketika peristiwa ini terjadi dan waktu kemuncak jatuh pada siang hari bagi kita penduduk di Malaysia. Pada tahun ini adalah sebaliknya di mana kita berpeluang untuk menikmati Geminids pada waktu kemuncaknya (12.45am waktu Malaysia, 15hb) dan bulan tidak akan menjadi pengacau pencerapan kerana akan tenggelam awal.
Marilah kita sama-sama berdoa supaya keadaan langit pada 14/15 Disember ini adalah bebas dari awan. Sebagai panduan, pastikan ketika anda mencerap mana-mana peristiwa hujan meteor, pastikan anda dapat melihat bintang-bintang di langit. Jika langit kelihatan gelap tetapi tiada bintang yang kelihatan, maka penantian untuk melihat tahi bintang akan menjadi sesuatu yang sia-sia.
Tips Mencerap Geminids
Mencerap peristiwa hujan meteor adalah sesuatu yang menyeronokkan jika dilakukan secara beramai-ramai. Apatah lagi bagi mereka yang tidak pernah melihat keindahan tahi bintang beraksi secara langsung di langit dengan mata kasar sendiri. Walaupun jaluran cahaya tahi bintang hanya bertahan selama beberapa saat, tapi pasti anda akan teruja dengan kecerahannya yang mampu menimbulkan bayang anda! Pencerapan peristiwa hujan meteor tidak memerlukan sebarang peralatan optik seperti binokular ataupun teleskop. Cukup sekadar dengan mata kasar, satu kawasan lapang yang terlindung dari cahaya lampu yang melampau dan juga terlindung dari halangan pokok, bangunan dan sebagainya. Untuk keselesaan anda, bawa bersama tikar untuk dijadikan tempat berbaring ataupun kerusi yang boleh diturunkan supaya anda dapat terus melihat ke langit tanpa menyakitkan leher anda.
Buruj Gemini yang menjadi radian (pusat) kepada peristiwa Geminids akan mula naik dari ufuk timur pada jam 8.44 malam (14 Disember). Namun penulis ingin menyarankan agar anda memulakan pencerapan bermula jam 11 malam (14 Disember) dengan memandang ke arah langit timur di mana ketika ini buruj Gemini sudah berada pada ketinggian 30 darjah dari ufuk. Kehadiran planet Marikh di buruj Gemini pasti akan membantu anda mencari buruj Gemini dengan kecerahan planet Marikh yang mencapai magnitud -1.54 iaitu lebih cerah dari mana-mana bintang yang ada di langit. Planet ini akan kelihatan sebagai satu titik bintang kemerah-merahan yang bersinar lebih terang dari bintang yang lain.

Rajah 2
Rajah menunjukkan kedudukan radian peristiwa Geminids ketika waktu kemuncaknya iaitu pada jam 00.45am 15 Disember 2007. Perhatikan planet Zuhal yang baru muncul dari ufuk.
Klik untuk gambar lebih jelas.

Pencerapan bolehlah dilakukan sehingga matahari terbit pada pagi 15 haribulan. Namun pastikan pada jam 00.45 pagi itu anda tidak terlepas untuk menghayati peristiwa ini dikala waktu kemuncaknya. Pada waktu tersebut, anda berpeluang untuk melihat sehingga 120 buah meteor per jam. Apa yang perlu anda buat hanyalah memandang ke mana-mana arah langit dan pasti anda akan terhibur dengan pertunjukan 'bunga api' semulajadi ini. Rujuk rajah 2. Sambil-sambil anda menikmati keindahan pancuran jaluran Geminids, apa kata anda cuba mencari planet Zuhal yang bersinar terang yang akan berada agak rendah di ufuk timur pada awal jam 2 pagi. Planet ini akan semakin meninggi di langit pada jam seterusnya. Jika anda dapat mengecam planet bergelang ini, maka ini bermaksud anda sedang memandang ke arah buruj Leo si Singa yang menjadi buruj kediaman si Zuhal pada bulan ini.
Jangan lupa untuk mengajak rakan anda untuk turut serta dalam pencerapan nanti. Sediakan satu buku log untuk mencatat bilangan meteor yang berjaya dicerap dan jika anda mempunyai kamera digital, apa kata anda cuba menangkap gambar peristiwa ini dengan cara menggunakan mode dedahan panjang (long exposure). Jika cuaca mengizinkan, pasti anda akan terhibur dengan kemeriahan Geminids pada tahun ini.
Semoga cuaca pada malam 14/15hb ini tidak mendung!
Fakta Mengenai Geminids
Berbanding Leonids, kemuncak Geminids dapat bertahan selama satu hari penuh. Ini akan memberi peluang kepada orang ramai di seluruh dunia untuk menikmatinya. Geminids pertama kali dicatatkan pada awal 1800an. Namun kemunculan awalnya tidaklah begitu hebat dengan 10-20 meteor per jam. ZHR (bilangan meteor sejam dengan radian di zenith) untuk tahun kebelakangan ini ialah sekitar 100 meteor. Selepas penemuan Geminids pada 1862, ahli astronomi mula mencari komet yang menyebabkan peristiwa ini. Pada tahun 1983, Satelit Astronomi Inframerah kepunyaan NASA telah menemui objek yang bergerak di orbit yang sama dengan serpihan Geminids. Apabila diteliti, mengejutkan apabila didapati objek itu merupakan sebuah asteroid. Asteroid itu kemudiannya diberi nama sebagai 3200 Phaeton.
Untuk menghasilkan jaluran serpihan bagi sesebuah komet adalah amat mudah kerana komposisinya yang terdiri dari ais. Namun bagi sebuah asteroid seperti 3200 Phaeton, ahli astronomi masih lagi belum jelas bagaimana ia boleh menghasilkan jaluran serpihan apabila berdekatan dengan matahari memandangkan komposisinya yang lebih pejal berbanding komet. Pendapat awal ialah asteroid ini telah berlanggar dahulu dengan asteroid lain lalu menghasilkan serpihan. Namun pendapat itu kemudiannya tidak dipersetujui. Kajian terbaru mendapati asteroid ini berkelakuan seperti komet apabila mendekati matahari iaitu berpecah kepada serpihan kecil. 3200 Phaeton kali terakhir mendekati bumi pada Disember 1997 dengan jarak sekitar 0.31 Unit Astronomi dari bumi.