Selasa, 13 November 2007

Fenomena Astronomi November 2007



Pasti mengasyikkan melihat permandangan matahari tenggelam di kala senja ditambah lagi jika ianya dilakukan di kawasan tepi pantai yang menghala ke arah barat. Bagi yang kerap melakukan aktiviti ini, pasti kadang kala akan anda terlihat akan satu atau beberapa buah bintang yang kelihatan amat terang tergantung di ufuk. Kebiasaanya ramai akan beranggapan bahawa itu adalah satelit. Pendapat itu mungkin benar namun kebiasaanya apa yang dilihat oleh mereka itu ialah satu objek yang tidak dijangka oleh mereka, iaitu planet! Ini tidaklah sesuatu yang pelik memandangkan ramai yang menganggap bahawa planet tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Secara umumnya terdapat dua planet yang akan selalunya dilihat sebagai bintang di waktu senja. Planet tersebut ialah Zuhal dan Utarid. Kedua planet ini mempunya orbit yang berada di dalam orbit bumi. Oleh sebab ini, ianya akan selalu dilihat berdekatan dengan matahari iaitu ketika matahari berada di bawah ufuk dan juga ketika planet ini sedang transit di permukaan matahari. Bulan ini, kedua planet ini akan menjadi penghias permandangan sebelum matahari naik iaitu di waktu pagi. Namun anda jangan risau kerana planet Musytari akan menjadi peganti kepada kedua planet tadi sebagai penghias latar langit senja.

Planet Musytari adalah objek ke-tiga paling terang di langit selepas bulan dan planet Zuhrah. Walaupun begitu, sinarannya sudah mampu mengujakan anda dengan kecerahannya yang boleh menghampiri magnitud maksimum -2.8. Namun bulan ini ianya hanya akan bersinar dengan kecerahan sekitar magnitud -2 tetapi tetap lebih terang dari semua bintang yang ada di langit. Planet Musytari akan berada di langit barat pada awal malam dan akan tenggelam sekitar jam 9 malam. Kedudukannya pada bulan ini telah berubah iaitu dari buruj Scorpio si kala jengking ke buruj Ophiucus. Planet ini hanya akan berada selama sebulan di buruj ini dan kemudiannya akan beranjak ke buruj Saggitarius pada awal bulan Disember. Oleh sebab inilah buruj Ophiucus menjadi kontroversi apabila ada yang mencalonkannya sebagai zodiak yang ke 13.

Planet Marikh akan menggantikan planet Musytari dengan mula timbul dari ufuk timur sekitar jam 10.30 malam dan akan tenggelam sekitar 10.30 pagi keesokkan harinya sepanjang bulan ini. Planet ini akan kelihatan sebagai bintang yang berwarna kemerahan yang akan berada di buruj Gemini si kembar Pollux dan Castor sepanjang bulan November. Jika anda berminat untuk mencarinya, mungkin pada waktu ianya sedang transit di atas kepala iaitu sekitar pukul 4.30 pagi adalah waktu paling mudah untuk mencarinya. Mengandaikan ianya berwarna kemerahan, pasti anda tidak akan tekeliru dengan bintang Sirius yang kelihatan lebih terang menyinarinya yang turut sama transit pada ketika itu.

Pada lewat pagi pula, kita akan berpeluang untuk mencerap planet Zuhrah dan Utarid pula. Planet Zuhrah akan mendahului keluar dari ufuk sekitar pukul 4 pagi dan diikuti oleh planet Utarid sekitar pukul 6 pagi. Jika anda berpeluang melihat planet ini di waktu pagi, apa kata anda turut mengadakan aktiviti melihat satelit seperti yang dibincangkan dalam artikel ini dahulu.