Rajah 1
Planet Marikh bersama bulan di tanduk buruj Taurus si Lembu pada malam 19/20 haribulan ini. Kehadiran bulan pasti membantu anda untuk mengenal pasti planet Marikh dengan menggunakan mata kasar anda.
Bulan ini, objek cakerawala yang menjadi tumpuan pencerapan mata kasar, binokular dan juga teleskop sudah semestinya milik planet Marikh. Planet ini pada tahun lepas hanya menjadi objek pencerapan pada waktu pagi. Bagi tahun 2008, planet merah ini akan menjadi antara objek utama dicerap yang bersinar terang di langit pada awal malam sehingga pertengahan tahun ini. Kecerahan planet Marikh yang sudah mampu dilihat dengan mata kasar pasti senang dikenal pasti dan dibezakan dari bintang yang lain jika anda mengetahui buruj kedudukannya sepanjang bulan ini. Tambahan lagi warnanya yang kelihatan sebagai satu titik bintang yang kemerah-merahan berbanding dengan bintang-bintang lain di buruj Taurus si Lembu yang akan menjadi buruj kediamannya sepanjang bulan ini. Sepanjang bulan ini, planet ini akan mula keluar dari ufuk timur sekitar pukul 5.12 petang, mengalami transit iaitu berkedudukan tegak di atas kepala pada pukul 11.20 malam dan akan tenggelam di ufuk barat sekitar jam 5.28 pagi. Planet Marikh akan bergerak di langit di dalam sempadan buruj Taurus dan akan semakin menghampiri tanduk si Lembu pada hujung bulan. Pada malam 19 haribulan ini, Marikh bersama-sama dengan bulan akan menghiasi buruj Taurus dengan jarak sekitar 6 darjah antara satu sama lain. Rujuk rajah 1.
Menjelang pukul 10.15 malam, planet paling diminati oleh ramai pencerap iaitu planet Zuhal akan mula muncul dari ufuk timur. Sudah pasti gelangnya yang menarik akan terus berjaya memukau mana-mana pencerap yang menggunakan teleskop untuk melihatnya. Bagi yang hanya mempunyai binokular, jangan risau kerana anda masih berpeluang melihat tarian bulan planet ini yang masih terjangkau untuk dilihat dengan bantuan binokular dengan kuasa pembesaran sekitar 7x50 dan ke atas. Planet ini akan berada di atas kepala pemerhati pada jam 4.19 minit malam. Kedudukan yang tinggi ini pasti mendatangkan ketidak-selesaan bagi pengguna binokular kerana terpaksa melihat terlalu tinggi ke dada langit. Namun ini tidak menjadi masalah bagi pengguna teleskop yang mempunyai pembalik cahaya diagonal.
Dapatkan majalah Dewan Kosmik isu Januari untuk artikel lebih lanjut.