Selasa, 7 Ogos 2007

Hujan Meteor Perseids (12/13 - 13/14/08/2007, 01.00 pagi dan ke atas)

Rajah 1Foto komposit yang diambil selama 3 hari kemuncak
peristiwa Perseids
Kredit Imej :
Chris L Peterson.


Seperti kata Pak Mutoha, iaitu rakan astronomi kita dari Yogjakarta, bulan ogos adalah bulan yang dinanti-nantikan oleh para ahli astronomi amatur memandangkan banyak fenomena astronomi menarik yang berlaku pada bulan ini. Dimulakan dengan peristiwa hujan meteor Perseids pada pagi 13 haribulan ini dan diteruskan dengan gerhana bulan penuh pada 28 Ogos ini.
Agak telah lama juga kita tidak disajikan dengan peristiwa hujan meteor yang hebat. Bulan-bulan yang lepas kita bertemu dengan perisitwa hujan meteor yang agak lemah seperti alpha capricornids, delta Aquarids, June Bootids, June Lyrids dan lain2 lagi yang kebanyakannya menghasilkan bilangan meteor sekitar 10 per jam sahaja. Bulan ini kita akan dapat bertemu dengan salah satu peristiwa hujan meteor yang menarik dan hebat iaitu hujan meteor Perseids. Perseids merupakan antara hujan meteor paling dinanti-nantikan sepanjang tahun selepas peristiwa hujan meteor Geminids pada bulan Disember.
Menurut data yang diberikan oleh International Meteor Organization, kemuncak Perseids akan berlaku pada pukul 1 hingga 3.30 petang waktu Malaysia pada 13 haribulan ini. Pasti agak menyedihkan kerana waktu ini adalah waktu siang di Malaysia. Namun tidak perlu risau kerana hari-hari sekitar 13 haribulan iaitu pada malam 12-13hb dan malam 13/14hb adalah masih masih sesuai untuk mencerap peristiwa ini. Kita bernasib baik kerana pada tarikh-tarikh ini, bulan adalah pada fasa bulan baru. Maka kita tidak akan terganggu dengan cahaya bulan yang akan menenggelamkan kebanyakan jaluran meteor. Tahun lepas nasib amat tidak menyebelahi kita kerana peristiwa Perseids adalah pada ketika bulan menghampiri fasa penuh.
Rajah 2
Rajah menunjukkan radian peristiwa hujan meteor Perseids.
Klik gambar untuk imej lebih besar
Oleh kerana buruj Perseus hanya akan mua naik dari ufuk timur pada jam 1 pagi, maka dinasihatkan kepada anda untuk memulakan pencerapan sekitar jam 2 ke atas dan sehingga ke waktu subuh. Sekitar jam 2 pagi, arahkan pandangan anda sedikit rendah ke arah timur (arah matahari timbul) sehinggalah buruj Perseus naik tinggi ke atas kepala.
Untuk mencerap peristiwa ini, anda tidak memerlukan peralatan optik seperti binokular atau teleskop (cermin mata terkecuali ;-) ), cukup dengan mata kasar anda dan juga kawasan cerapan yang selamat, selesa dan terselindung dari gangguan cahaya lampu. Juga tidak perlu dibimbangkan mengenai kemungkinan batuan angkasa tersebut akan jatuh menimpa anda kerana setakat ini tidak pernah dilaporkan bahawa ada manusia yang mati atau tercedera ditimpa oleh tahi bintang. Ajaklah seberapa ramai rakan-rakan anda untuk turut serta dalam pencerapan ini kerana. Ini akan memastikan keselamatan anda dan mengelakkan anda dari tertidur atau masuk ke dalam rumah kerana ketakutan keseorangan!
Hujan meteor Perseids (Perseids) adalah merupakan antara hujan meteor paling menarik dan dinamik pada tahun 1990-an dengan aktiviti yang hebat sehingga mencapai bilangan meteor yang kelihatan sebanyak 400 lebih pada tahun 1991 dan 1992. Kadar bilangan ini kemudiannya semakin menurun sehingga ke bilangan 100 dan 120 pada lewat tahun 90-an dan pada tahun 2000, pertama kali ia gagal untuk muncul. Bagi tahun 2004-2006, dijangkakan bilangan meteor kelihatan akan kembali menjadi lebih aktif. Ini dibuktikan pada pada tahun 2004 di mana kemuncak Perseids mencapai jumlah yang memberangsangkan. Tahun berikutnya, kemuncak Perseids menjadi normal. Pencerapan pada tahun lepas adalah diganggu oleh gangguan cahaya bulan yang hampir purnama. Oleh sebab ini, untuk tahun 2007 agak susah untuk diramalkan bilangan meteor yang akan kelihatan namun dijangkakan anda akan berpeluang melihat sekitar 100 meteor per jam jika keadaan langit adalah tidak berawan dan bebas dari gangguan cahaya lampu yang melampau. Tahun 1992 merupakan tahun komet punca kepada perisitiwa ini iaitu komet 109P/Swift-Turtle berkedudukan perihelion iaitu mengorbit berdekatan dengan planet bumi. Orbit komet ini yang mengambil masa 130 tahun untuk melengkapkan satu pusingan orbit menandakan bahawa komet Swift Turtle ini kini sedang menjauhi luar sistem solar dan akan kembali dalam masa 122 tahun lagi.
Berikut adalah data mengenai hujan meteor Perseids.

Aktif = 17 Julai - 24 Ogos
Maksimum = 13 ogos, 13pm-15.30pm
ZHR = 100
Kelajuan = 56 km/jam