Rabu, 2 Mei 2007

Galaksi

Galaksi merupakan satu kawasan kejiranan yang dipenuhi oleh ratusan jutaan bintang, planet, awan gas yang bersinar (nebulae), gas, debu angkasa, kawasan kosong, dan berkemungkinan lohong hitam. Ianya terdiri dari 3 kelompok utama; Elips, berpusar, dan tidak sekata.

  1. Galaksi Elips (elliptical galaxy)

Rajah 1
Galaksi M87 diambil dari Balai Anglo Australian
Kredit : David Mallin

Galaksi berbentuk elips kelihatan sebagai satu titik yang kembang. Galaksi berbentuk ini mempunyai kepelbagaian bentuk iaitu dari berbentuk sfera kepada berbentuk bujur dan hampir rata. Kecerahan bintang dipusat galaksi ini adalah yang paling terang dan bintang yang berada di pinggirnya adalah kurang terang. Oleh itu, kelihatan kecerahan galaksi sebegini kelihatan makin malap secara lembut ke arah pinggir galaksi. Maka, amatlah sukar untuk mentafsirkan sempadan galaksi sebegini. Kebiasaanya, galaksi elips adalah terdiri dari bintang yang tua yang datang dari pelbagai saiz, jisim dan kecerahan. Jika diambil sampel 1000 galaksi yang tercerah secara rawak, peratus galaksi yang berbentuk elips adalah sebanyak 20%.


2. Galaksi Berpusar (spiral galaxy)


Rajah 2
Galaksi M101

Di pusat galaksi berpusar, terdapat kumpulan bintang yang padat yang dikelilingi oleh halo dan kumpulan jirim hitam yang tidak kelihatan. Berpaut kepada kumpulan bintang ini ialah lengan-lengan yang terdiri dari bintang, gas dan debu angkasa. Lengan sebegini kelihatan berpusar mengelilingi pusat nukleus adalah kerana putaran galaksi itu sendiri. Kebiasaanya galaksi yang berbentuk berpusar hanya mempunyai satu lengan sahaja. Namun ada juga galaksi yang mempunyai lebih dari satu lengan seperti galaksi Bima Sakti.

2.1 Galaksi Berpusar Berbar (barred spiral galaxy)


Rajah 3
Galaksi NGC1300

Galaksi berpusar boleh dikatogerikan dalam dua jenis iaitu galaksi berpusar biasa dan galaksi bepusar berbar. Untuk galaksi berpusar berbar, kelihatan satu bar lurus keluar dari pusat galaksi dimana lengan galaksi tersebut berpaut pada bar tersebut. Kedua galaksi berpusar biasa dan berbar mempunyai pelbagai variasi bentuk iaitu dari segi kepadatan lilitan lengan dengan nukleus dan bilangan lengannya. Galaksi Bima Sakti adalah tergolong dalam bentuk berpusar berbar.

Umumnya galaksi berbentuk berpusar adalah terdiri dari pelbagai peringkat umur bintang. Bintang yang lebih tua kebanyakannya menghuni di pusat galaksi iaitu di nukleus dan bintang yang baru lahir dan muda menghuni di lengan galaksi. Galaksi berpusar adalah merupakan majoriti jenis galaksi yang ada di alam semesta dengan anggaran 75 % adalah berbentuk ini.

Saintis telah lama mencari teori mengenai perubahan galaksi berbentuk elips kepada berbentuk berpusar atau sebaliknya. Ada teori yang mengatakan bahawa sesetengah galaksi berpusar lengannya menjadi semakin longgar dan semakin masa berlalu ia akan berubah menjadi galaksi berbentuk elips. Ada juga teori yang mengatakan bahawa galaksi elips ada yang 'ditumbuhi' bar dari pusat nukleus apabila timbul reaksi tarikan dari galaksi lain. Namun kini, kebanyakan ahli sains bersetuju bahawa jika sesuatu galaksi itu asalnya adalah galaksi berpusar, ia akan tetap menjadi galaksi berpusar dan sebaliknya kecuali ada perlanggaran galaksi tersebut dengan galaksi lain yang mengubah struktur galaksi tersebut.


3. Galaksi tidak sekata (irregular galaxy)


Rajah 4
Sebuah galaksi berbentuk tidak sekata

Galaksi berbentuk tidak sekata hanya terdiri dari 5 % dari keseluruhan galaksi yang ada di alam semesta. Contoh terdekat dengan kita ialah galaksi Awan Magellanik Besar dan galaksi Awan Magellanik Kecil yang boleh dilihat dengan mata kasar di hemisfera selatan.