Ahad, 8 April 2007

Fenomena Astronomi April 2007


Rajah 1
Venus Express yang dilancarkan oleh ESA pada 2005
untuk mengkaji dengan lebih lanjut mengenai planet tersebut.


Setelah beberapa kali tidak menulis untuk Fenomena Astronomi Bulanan, bulan April ini rencana sebegini kembali menemui anda. Diharapkan ia dapat member manafaat kepada anda semua. Jika ada sebarang komen dan cadangan, silalah tinggalkannya di kotak pesanan di sebelah atau boleh hubungi saya dengan menggunakan Yahoo! Messenger.

Sepanjang bulan ini, kita akan berpeluang melihat planet paling terang di langit iaitu planet Zuhrah. Biasa juga dikenali sebagai bintang Kejora oleh sebilangan masyarakat Melayu, planet ini akan mula boleh dilihat di langit senja ketika lewat petang sehinggalah ianya tenggelam di ufuk barat pada sekitar pukul 10 malam. Jangan berlengah lagi, luangkan masa petang ini untuk melihat ke arah langit barat. Jika keadaan langit mengizinkan, pasti anda akan terlihat akan satu ‘bintang’ yang amat terang tergantung sekitar 20’ dari ufuk.

Setelah tenggelamnya bintang Kejora, kita teruskan pula pencerapan dengan beralih kepada planet bergelang iaitu Zuhal. Planet ini menjadi tumpuan pencerapan yang utama sejak beberapa bulan lalu ekoran kedudukannya yang tinggi di atas kepala pada awal malam hinggalah ke pagi. Bulan ini, planet ini masih lagi berada di kedudukan hampir zenith pada awal malam. Kedudukannya masih di buruj Leo dan kelihatan menghampiri sempadan buruj Cancer. Untuk membantu anda mencarinya, waktu yang paling sesuai ialah dengan keluar sekitar pukul 9 malam kerana ianya sedang mengalami transit iaitu berada tegak di atas kepala pada waktu itu. Maka sekitar waktu ini, anda akan dapati satu bintang kejinggaan yang agak terang berada di atas kepala yang sebenarnya ialah planet Zuhal. Jika anda sedang menghadap ke arah barat ketika itu, perhatikan di sebelah ‘belakang’ planet Zuhal sekitar 10 darjah terdapat satu bintang yang agak malap berbanding Zuhal. Bintang tersebut adalah bintang Regulus di buruj Leo. Regulus adalah bintang paling cerah di buruj Leo diikuti oleh bintang Algieba yang berkedudukan 8 darjah 21 minit di sebelah kanan Regulus (pada kedudukan anda masih ke arah barat). Berbalik kepada planet Zuhal, jika anda berkesempatan melihatnya sehingga beberapa jam seterusnya, pasti anda akan terperasan bahawa planet ini semakin lama kelihatan semakin rendah ke barat dan akhirnya akan tenggelam di ufuk barat. Oleh sebab ini, boleh disimpulkan bahawa kesemua planet dalam sistem suria adalah kelihatan timbul dari timur dan tenggelam di barat seperti kelakuan matahari dan bulan (mengikut pandangan pencerap di bumi). Kesamaan ini adalah disebabkan arah laluan planet-planet di orbitnya adalah pada arah yang sama. Oleh itu jika kita dapat terbang tinggi di angkasa, kita akan dapat melihat bahawa kesemua planet mengorbit matahari mengikut arah lawan jam.

Rajah 2
Muncung teko pada buruj Sagittarius yang menjadi pusat
buruj Bima Sakti


Seterusnya, mari kita beralih kepada planet berikutnya yang akan mula timbul dari ufuk timur sekitar pukul 11 malam untuk bulan ini. Planet tersebut adalah planet Musytari iaitu planet gas paling besar di sistem suria. Planet gas ini terdiri dari gas helium dan hidrogen terutamanya iaitu kompisisi yang sama dengan matahari. Namun disebabkan oleh saiz dan suhunya yang rendah menyebabkan ia tidak berlakuan aktiviti pelakuran nuklear seperti yang terjadi di matahari. Syukurlah ia tidak begitu kerana jika tidak pasti malam hari juga kita akan dapat merasai bahang panas yang dijana oleh Musytari yang sedang mengalami aktiviti pelakuran nuklear. Sepanjang bulan ini planet ini akan berada di buruj Ophiuchus iaitu salah satu buruj yang berada hampir dengan pusat bima sakti. Hampir dengan pusat bima sakti yang dimaksudkan di sini ialah mengikut pandangan dari bumi dan bukannya kedudukan yang sebenar di angkasa lepas. Dikatakan bahawa mengikut pandangan dari bumi, buruj Sagittarius adalah buruj paling tepat berada di pusat bima sakti. Lebih tepat lagi pada ‘muncung teko’ buruj ini (rajah 2).

Sambil Musytari yang masih lagi kelihatan di langit malam, planet Marikh pula akan keluar dari ufuk sekitar pukul 4 pagi. Planet kemerahan ini yang sering disebut-sebut oleh kebanyakan pembuat filem holy-wood sebenarnya hanya bersaiz separuh dari bumi. Dengan paksinya yang condong, planet ini juga mempu-nyai musim seperti yang di alami di bumi.

Rajah 3
NGC 3242 (Ghost of Jupiter)


Apabila memikirkan mengenai planet Musytari, apa kata kita melihat pula satu objek yang dikatakan sebagai bayangan atau hantu planet Musytari iaitu NGC 3242 (Ghost of Jupiter) iaitu merupakan sebuah nebula planetari. Dengan kecerahan magnitud 8.58, sudah pasti anda memerlukan bantuan teleskop untuk melihat objek ini. Ghost of Jupiter ini berada di buruj Hydra si ular laut. Untuk menjejakinya, mulakan dengan kedudukan bintang Alphae Hydrae, kemudian ke arah timur sedikit untuk bertemu dengan bintang Lambda Hydrae yang berada di ‘padang’ bintang yang kelam. Diteruskan lagi dengan bergerak ke arah selatan sekitar 5 darjah untuk bertemu pula dengan bintang Mu Hydrae. Sasaran yang sudah berada berdekatan boleh dicari sedikit di bawah bintang ini. Jika anda berjaya menemuinya, tahniah atas kejayaan anda. Nebula planetari ini walaupun menghampiri magnitud 9, namun sudah membolehkan kita melihat sedikit warna hijaunya walaupun menggunakan teleskop yang kecil. Objek ini terletak sekitar 1500 tahun cahaya dari bumi.